Sungai Mekong



  Antara puisi terkenal Latiff Mohidin adalah Sungai Mekong. Puisi ini telah diangkat sebagai pemenang  Hadiah Satera 1973. Bagi Rahman Shaari Sungai Mekong merupakan sebuah puisi imaginatif yang lahir dari minda bawah sedar penyairnya. Sememangnya Sungai Mekong memiliki keintelektualan bahasa yang tersendiri. Bahasa yang digunakan memerlukan pentafsiran yang mendalam kerana gerak bahasanya berpusar pada kegunaan bahasa yang tidak lagi bersifat sehari-hari. Melalui puisi ini Latiff terkenal sebagai penyair surealis pada masa itu.

Inilah keistimewaan sesebuah puisi. Kita tercabar oleh imaginasi dan rukun bahasa yang tidak lagi berlegar pada hujah biasa. Keistimewaan inilah yang sebenarnya membuktikan bahawa puisi adalah bahasa terbaik dalam susunan yang terbaik. Sungai Mekong adalah rakaman rasa Latiff Mohidin melihat penderitaan rakyat Vietnam di tangan tentera Amerika. Penuh metafora penyair membawa dimensi derita dan sengsara yang tak berkesudahan terhasil dari peperangan.

Nikmatilah puisi Sungai Mekong dan deklamasi oleh Latiff Mohidin .

 SUNGAI MEKONG

1
Sungai Mekong
kupilih namamu
kerana aku begitu sepi
kan kubenamkan dadaku
ke dadamu
kaki kananku ke bulan
kaki kiriku ke matahari
kan kuhanyutkan hatiku
ke kalimu
namaku ke muara
suaraku ke gunung.

2
Sungai Mekong
nafasmu begitu tenang
lenggangmu begitu lapang
di tebingmu
ada ibu bersuara sayu
mencari suara puteranya yang hilang
waktu ia merebahkan wajahnya
ke wajahmu
kau masih bisa senyum senang.

3
Sungai Mekong
akhirilah tari siang riakmu
kulihat di dasarmu
kuntum-kuntuman berdarah
batu-batu luka
malam ini
ribut dari utara akan tiba
tebingmu akan pecah
airmu akan merah
dan arusmu akan lebih keras
dari Niagara
.
Vientienne
1 Februari 1966

Latiff Mohidin

Deklamasi puisi Sungai Mekong - Latiff Mohidin


Sungai Mekong ( 1974, 75 hal. ) termasuk terjemahan bahasa Cina diterbitkan oleh Tan Swee Hian dan May Sook Ching. Dalam tahun 1981, diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dengan terjemahan Inggerisnya oleh Mansor Ahmad Saman. Sungai Mekong mengandungi 38 buah puisi yang dihasilkan sepanjang 1960 hingga 1970 mengandungi puisi sungai mekong ( vientiene. 1 feb 1966 ) sebuah bas berwarna biru ( kuala lumpur, 23 mei 1965 ) tidak kita sedari ( singapura, mac 1968 ) kebakaran ( berlin, 6 januari 1968 ) cinta dari sebuah kamar ( seoul, ogos 1970 ) pohon cemara ( copenhagen, 15 okt. 1966 ) kalau kau mau ( hong kong, julai 1970 ) merupakan renungan dan pemikiran penyair terhadap budaya, sosial dan ekonomi di beberapa tempat yang digubah dalam minda Melayu dengan eleman pantun dan syair. Kita temui bentuk visual seperti zig-zag dan anak tangga seperti banjir, setitis darah atau satu perspektif, pepisahan, burung-burung hitam, masih kudengar dan lain-lain. Puisi pendek Latiff sangat menguja dan mendapat perhatian yang sangat menghiburkan.


MENGENALI PUISI LATIFF MOHIDIN
Oleh: RAHMAN SHAARI
14 Ogos 2011

Penyair Latiff Mohidin amat dikenali dan dikagumi dalam dekad 1960-an, 1970-an, 1980-an, dan 1990-an. Namanya meningkat naik kerana puisinya berbeza daripada puisi penyair lain yang sezaman dengannya. Dalam dekad-dekad tersebut, beliau sering dirangkaikan dengan penyair Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain. Mereka disebut penyair tiga serangkai. Namun, Latiff ada kelebihan lain yang tidak terdapat pada Muhammad dan Baha. Latiff ialah penyair cum pelukis.

Puisi Latiff yang mula mengharumkan namanya ialah “Sungai Mekong”. Karya ini dihasilkan dalam dekad 1960-an, tetapi menjadi terkenal sepanjang masa, dari dekad ke dekad. Dapat dikatakan bahawa “Sungai Mekong” ialah puisi rentas dekad, sama seperti sajak “Ke Makam Bonda” karya Usman Awang, atau “Di Bawah Bintang Mengerdip” karya A Samad Said.

Sajak “Sungai Mekong” adalah aneh bagi orang yang pertama membaca karya ini yang agak surealis. Cubalah anda baca rangkap pertama ini:
Sungai Mekong kupilih namamu
Kerana aku begitu sepi
Kan kubenamkan dadaku ke dasarmu
Kaki kananku ke bulan/ Kaki kiriku ke matari
Kan kuhanyutkan hatiku ke kalimu
Namaku ke muara/ Suaraku ke gunung.

Dalam pengajaran di kelas-kelas puisi, saya selalu bertanya kepada pelajar tentang makna bari-baris ini: Kan kubenamkan dadaku ke dasarmu/ kaki kananku ke bulan/ Kaki kiriku ke matari. Pelajar kebanyakannya hairan, bagaimankah penyair dapat berbuat begitu, atau berimaginasi begitu. Dadanya dibenamkan ke dasar Sungai Mekong, manakala kakinya terkangkang, sebelah di bulan, sebelah lagi di matahari. Seseorang tentu tidak dapat melakukan perbuatan begitu. Jadi, apakah maknanya?

Jika makna sajak di atas dilukiskan dengan menggunakan berus dan cat, keanehan perlakuan itu akan dianggap surealis. Dan himpunan imej-imej yang dipungut penyair, iaitu ‘sungai’, ‘matahari’, ‘bulan’, ‘muara’ dan ‘gunung’ menjadikan sajak ini imagis. Seterusnya, perlu ditegaskan bahawa sajak begini hanya dapat dihasilkan oleh penyair yang berbakat besar dalam seni puisi dan seni lukis.

Pada masa makalah ini ditulis, Latiff Mohidin tidak aktif menghasilkan karya, baik puisi mahupun lukisan. Sekurang-kurangnya itu ialah tanggapan peminat-peminat beliau. Mungkin beliau ada menghasilkan karya diam-diam, dan akan menerbitkannya secara tiba-tiba hingga menjadi satu kejutan besar.

Setelah agak lama memikirkan kemungkinan Latiff masih menulis, atau sebaliknya, muncul sebuah buku yang bertajuk Catatan Latiff Mohidin (Maya Press, 2010). Pada mulanya saya menyangka ini ialah buku tentang proses kreatif beliau, atau autobiografi Latiff. Ternyata tidak. Buku ini memuatkan pelbagai hal dalam kehidupan harian Latiff, dan disertai kata-kata pedoman (aforisme) ciptaannya.

Dalam bicara ini, saya akan menumpukan perhatian terhadap aforisme Latiff. Ini mungkin dapat menjadi petunjuk kepada sesiapa yang sesuai menerima dan menghadamnya.

Latiff mengatakan, tragedi penulis ialah apabila karyanya tidak lagi dibaca orang. Itu betul. Adakah itu bertaraf aforisme? Apakah pengajaran yang kita peroleh? Saya kira, pengajarannya ialah bahawa penulis hendaklah menghasilkan karya evergreen. Apabila karyanya tahan lama, maka dia tidak akan menghadapi tragedi yang disebutkan Latiff. Nampaknya, kita akan mendapat manfaat setelah merenungi makna lapisan kedua, bukan lapisan pertama.

Perkara lain yang juga agak menarik ialah peristiwa Latiff ditanya tentang makna sajaknya. Sebenarnya, saya pernah mendengar kisah Latiff menjawab soalan kawannya tentang apa-apa yang ada di sebalik lukisannya. Jawapan Latiff begini: Di sebalik lukisan ini ialah dinding. Itu tentulah betul, kerana lukisan tergantung di dinding.

Dalam hal puisi, Latiff dikunjungi oleh kawannya (halaman 186-187). Anak kawannya (yang turut bersama-sama) akan menduduki peperiksaan. Latiff ditanya tentang makna baris-baris sajak “Sungai Mekong”. Ketika itu (akhir dekad 1979-an) “Sungai Mekong” ialah salah sebuah puisi yang dikaji untuk peringkat SPM.

“Apakah makna sebenarnya baris-baris ini?”

Latiff tidak dapat menjawab soalan bapa yang mewakili anaknya itu. Beliau mengelak daripada menjawabnya secara lurus. Kata Latiff, “...makna sesebuah sajak itu tidak begitu penting, tetapi yang lebih penting ialah kita pernah mempunyai pengalaman membacanya.”

Ternyata, Latiff tidak sesuai menjadi guru sastera. Di sekolah, guru hendaklah memberikan tafsiran yang meyakinkan. Terdapat kaedah-kaedah pengajaran yang akhirnya menyebabkan pelajar yakin akan makna sajak. Walau bagaimanapun, Latiff merasakan bahawa jawapannya diterima oleh bapa dan anak itu. Tetapi, malang bagi Latiff, lelaki itu berkata: Tetapi sajak mesti ada makna!” (Halaman 187)

Latiff berjanji dengan si bapa untuk bertemu lagi. Beliau akan menolong anak itu. Di samping itu, Latiff berfikir ligat tentang pertolongan yang akan diberikannya. Beliau teringatkan guru sastera.

Bahagian manakah dalam kisah di atas yang dapat kita anggap aforisme? Perhatikan kata-kata Latiff: yang lebih penting ialah kita pernah mempunyai pengalaman membacanya. Latiff tidak memikirkan makna sebenar sesebuah sajak. Apabila si bapa mengatakan bahawa setiap sajak mesti ada makna, Latiff masih tidak cenderung untuk memberikan jawapan yang mantap dan meyakinkan.

Memang betul. Pendidikan puisi di luar sistem peperiksaan tidak menghasratkan sesiapa mengetahu makna baris, tema keseluruhan dan lain-lain. Yang penting ialah pengalaman membaca karya. Namun, bagi pelajar sekolah, tiada gunanya membaca karya jika dia tidak dapat menyatakan maknanya, dan juga temanya. Makna dan tema itu pula mestilah menyamai makna dan tema yang ditentukan oleh Lembaga Peperiksan.

Bahagian di atas membawa maksud, peminat sastera yang tulen tidak membaca karya sastera untuk mendapatkan makna tetap. Dia membaca karya secara kreatif, dan mendapatkan makna ketika membacanya, bukan melalui pertanyaan kepada penulis karya itu. Pelajar sekolah selalunya bergantung kepada makna yang diberikan oleh orang lain, termasuk guru sastera.


(Profesor Rahman Shaari kini bertugas di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Artikel ini diterbitkan dalam Sinar Harian (14/8/2011). Walau bagaimanapun artikel yang disiarkan dalam blog ini adalah versi asal penulis.) 

Sumber : Catatan : Latiff Mohidin

Selian memahami dunia puisi Latiff Mohidin, kita juga tidak boleh memisahkan dirinya dengan dunia  senivisualnya. Perkembangan dunia seni visual Latiff Mohidin bergerak seiringan dengan dunia puisinya. Jarang kita temui penyair dan pelukis sekaligus. Barangkali inilah kerahsiaan dan keistimewaan dunia penyair dan pelukis ini. Memahami  dunia visualnya harus kita mengenali puisinya begitu juga sebaliknya.


DUNIA SENI LATIFF MOHIDIN


PENYAIR dan pelukis, Abdul Latiff Mohidin dan karya-karya lukisan ekspresionismenya, Pago-Pago sangat sinonim. Siri tersebut dianggap sebagai lukisan jiwa dan mata hatinya.

Begitu juga kumpulan sajak Sungai Mekong (1972), Kembara Malam (1974), Wayang Pak Dalang (1977), Garis: Dari Titik ke Titik (1998), Rawa-Rawa (1992) yang berjaya menaikkan namanya sebagai penyair dan pelukis besar tanah air.

Puisi dan lukisannya merupakan catatan verbal serta visual kepada anak kelahiran Lenggeng, Negeri Sembilan pada 1938 itu. Sebuah kata dan secalit warna untuk mencerita segalanya dari perspektif seni sejak 1960-an.

Dalam genre puisi misalnya, sajak Sungai Mekong yang ditulis pada 1 Februari 1966, menggambarkan seorang ibu sedang mencari puteranya yang hilang di Sungai Mekong akibat perang Vietnam, sangat memukau.

Puisi Sungai Kelang yang ditulis pada Oktober 1967 pula, Abdul Latiff menggambarkan kesedihannya melihat Sungai Kelang yang kotor akibat pembuangan sampah oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.

Abdul Latiff menggunakan nama pena seperti A. Latiff Mohidin dan Alma mendapat pendidikan formal dalam bidang seni lukis dari Academy of Fine Arts, Berlin pada pertengahan 1960-an.

Beliau pernah mengikuti kursus seni goresan di Atelier La Courrier, Paris pada 1969 dan di Pratt Graphic Centre, New York, Amerika Syarikat.

Sepanjang kerjaya seni lukisnya, Abdul Latiff pernah mengadakan beberapa pameran lukisan di dalam dan luar negara termasuk di Bonn, Berlin, Frankfurt, Hamburg, Bangkok, Singapura, New Delhi, New York, Sydney, Sao Paulo, Osaka, Montreal, Manila, Jakarta, Dublin dan London.

Sesungguhnya sumbangan beliau kepada dunia seni lukis dan kepenyairan negara cukup besar. Namun, faktor usia dan kesihatan membataskan aktiviti seninya kini. Bagaimanapun, kelibatnya tetap dinanti oleh khalayak sastera dan seni tampak tanah air.

Pada 1 September ini, Abdul Latiff terpilih sebagai tokoh seni yang dibicarakan pada Seminar Kefahaman Budaya Ke-XII bertema Dari Warna ke Bahasa: Lukisan dan Puisi Latiff Mohidin di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, Pulau Pinang.

Sebanyak lapan kertas kerja mengenai ketokohan beliau dalam aspek seni lukis, kepenyairan, simbolisme dalam karya, pemikiran dan aspek leksikografi karya.

Para pembentang kertas kerja ialah Prof. Madya Dr. Zakaria Ali (Latif Mohidin Sebagai Seorang Pelukis), Marzuki Ali (Kepenyairan Latiff Mohidin) dan Dr. Fatimah Busu (Sungai Mekong oleh Latiff Mohidin: Melapis-lapis Kepelbagaian Elemen).

Pembentang lain ialah Prof. Madya Dr. Arndt Graf (Penggunaan Topoi Warna dan Cahaya Dalam Puisi Latiff Mohidin), Dr. Ahmad Suhaimi Mohd. Noor (Pemikiran Pengembaraan Dalam Lukisan Latiff Mohidin).

Tiga Lagi pembentang kertas kerja seminar tersebut ialah Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz (Latiff Mohidin: Sajak-sajak Lengkap, 1963-1994), Dr. Lalita Sinha (Di Pantai Dunia Tiada Bertepi: Terjemahan Puisi oleh A. Latiff Mohidin) dan Amanda Katherine Rath (Cohesive Interlayers: Dualism in the Visual Works of Latiff Mohidin).

Sumber Utusan




Demikianlah Sungai Mekong yang hadir sebagai antara puisi yang dikagumi sepanjang zaman. Dan Latiff Mohidin akan selamanya diingati kerana puisi ini.




Comments