Seuntai Kasih Secebis Harapan

Gurindam Seuntai Kasih Secebis Harapan




Kami tak mahu keadaan begini,
Azab sengsara di abad ini.

Kami kehausan kami kelaparan,
Di medan perang mayat berkaparan.

Mengapalah perang terus meletus,
Suara kedamaian sering diutus.

Memohon kasih mengharap sayang,
Aman bahagia sukar ditayang.

Hulurkan bantuan berilah harapan,
Demi kebahagian masa hadapan.

Kasihan kanak-kanak menjadi mangsa,
Susah derita hidup terseksa.

Seuntai kasih secebis harapan,
Berhati bersih berbudi sopan.

Kepada para pemimpin yang berkuasa,
Pastikan penghuni alam aman sentosa.

Mohd Sidek Mohd Dollah (Mas Adeki)
Seuntai Kasih Secebis Harapan :


 

Maksud


Rangkap 1
Mengisahkan tentang luahan hati untuk keluar daripada seksaan azab penderitaan peperangan

Rangkap 2
Mengisahkan tentang penderitaan yang terpaksa dilalui oleh mangsa peperangan yang berada dalam kehausan dan juga kelaparan.

Rangkap 3
Rangkap ini menerangkan tentang luahan hati pengarang mengenai peperangan yang terus mecetus walaupun suara kedamaian terus berkumandang tetapi perang tetap juga terus berlaku.

Rangkap 4
Mengharapkan kedamaian negara mereka seperti negara lain supaya mereka seperti sebelum peperangan yang hidup dalam penuh
kedamaian dan kasih sayang.

Rangkap 5
Menyeru kepada masyarakat di seluruh dunia untuk memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa peperangan untuk memberikan mangsa peperangan tersebut harapan untuk memulakan hidup baru.

Rangkap 6
Kanak-kanak yang tidak bersalah terpaksa hidup dalam penderitaan yang dicipta oleh orang dewasa. Segala masa depan kanak-kanak tersebut musnah akibat peperangan itu

Rangkap 7
Seseorang yang digambarkan mempunyai sifat yang baik iaitu mempunyai hati budi yang bersih daripada sifat-sifat terkeji serta i budi pekerti yang sopan santun.

Rangkap 8
Pemimpin harus memastikan bahawa rakyat yang dipimpin berada dalam keadaan baik serta sentiasa berada dalam hidup aman sentosa.

Maksud Keseluruhan

Perang membawa penderitaan dan kesengsaraan kepada umat manusia. Perang menjadi punca kematian dan kehancuran. Kanak-kanak yang menjadi mangsa peperangan hidup dalam penderitaan. Perang perlu ditamatkan dan manusia harus hidup dalam kedamaian. Kasih sayang dapat menyelamatkan manusia dari berperang dengan ketulusan pemimpin untuk mengutus damai bagi umat manusia

 

Bentuk

Puisi jenis berangkap dan mempunyai lapan rangkap.

Setiap rangkap gurindam mempunyai dua baris.

Jumlah perkataan dalam sebaris adalah sekata
Jumlah patah perkataan dalam satu baris antara empat hingga lima patah perkataan.
Contoh: Seuntai kasih secebis harapan (4 patah kata)
Pastikan penghuni alam aman sentosa (5 patah kata)

Jumlah suku kata dalam sebaris adalah sekata
Jumlah suku kata dalam satu baris sepuluh hingga dua belas sukukata.
Contoh: Susah derita hidup terseksa (10 sukukata)
Hulurkan bantuan berilah harapan (12 sukukata)

Baris pertama gurindam ialah syarat dan kedua adalah jawapan

Rima akhir berbentuk terikat
Rima akhir gurindam ini adalah sama iaitu a,a

Puisi ini merupakan sebuah puisi berbentuk terikat

Tema

Tema gurindam ini keperitan hidup akibat peperangan.
Penderitaan mangsa peperangan yang tidak berdosa seperti kanak-kanak dan wanita bertarung nyawa demi meneruskan kehidupan, berada dalam kebuluran dan sebagainya. Oleh itu, mangsa peperangan ini mengharapkan belas kasihan daripada masyarakat dunia untuk membela nasib mereka dan mereka juga mengharapkan keamanan dan kedamaian.
Contoh : di medan perang mayat berkaparan
Susah derita hidup tersiksa

 

Persoalan


Persoalan kesengsaraan hidup yang dilalui mangsa peperangan akibat daripada kekejaman oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Contoh: Kami kehausan kami kelaparan
di medan perang mayat berkaparan

Persoalan simpati kepada masyarakat yang hidup tertindas
Contoh:Hulurkan bantuan berilah harapan
demi kebahagian masa hadapan

Persoalan golongan yang tidak berdosa menjadi mangsa peperangan.
Contoh: Kasihan kanak-kanak menjadi mangsa
Susah derita hidup terseksa.

Persoalan peranan pemimpin yang bertanggungjawab memastikan kedamaian dalam negara
Contoh: Kepada para pemimpin yang berkuasa
Pastikan penghuni alam aman sentosa

Persoalan usaha untuk menghentikan peperangan sering gagal walaupun pelbagai pihak bersuara
Contoh: Mengapalah perang terus meletus
Suara kedamaian sering diutus

Gaya Bahasa


Aliterasi
Contoh: Kami kehausan kami kelaparan
(Pengulangan bunyi huruf konsonan ‘k’)

Asonansi
Contoh: Hulurlah bantuan berilah harapan
(Pengulangan bunyi huruf vokal ‘a’)

Sinkof
Contoh: Kami tak mahu keadaan begini,

Kata ganda
Contoh:Kanak-kanak

Repitasi
Contoh: kami

 

Nilai


Tolong-menolong
Contoh: Hulurkan bantuan berilah harapan

Kasih sayang
Contoh: Memohon kasih mengharap sayang

Bertanggungjawab
Contoh:Kepada para pemimpin yang berkuasa
Pastikan penghuni alam aman sentosa

Baik hati
Contoh:Seuntai kasih secebis harapan
Berhati bersih berbudi sopan

Keprihatinan/Simpati
Contoh: Kasihan kanak-kanak menjadi mangsa
Susah derita hidup terseksa.

 

Pengajaran/ Mesej


Kita hendaklah hidup saling membantu antara satu sama lain bagi memelihara keamanan dunia.
Contoh: Hulurkan bantuan berilah harapan
Demi kebahagian masa hadapan

Kita janganlah menindas antara satu lain supaya masyarakat dapat hidup dalam suasana yang harmoni.
Contoh: Mengapalah perang terus meletus
Suara kedamaian sering diutus

Kita hendaklah bersimpati dan prihatin dengan penderitaan orang lain
Contoh: Kasihan kanak-kanak menjadi mangsa
Susah derita hidup terseksa.

Comments