27 Jun 2013

Semarak Bangsawan



Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengadakan Program Semarak Bangsawan sebagai suatu usaha untuk memartabatkan pementasan bangsawan di negara ini. Program ini diadakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Program ini juga merupakan langkah pemuliharaan seni teater bangsawan. Tindakan yang dilakukan oleh JKKN amat wajar dalam usaha menempatkan semula bangsawan dalam kalangan khayalak terutama generasi muda. Bangsawan sebagai teater tradisional dan warisan seni Melayu yang harus sentiasa disuburkan dan berakar kukuh dalam masyarakat.

Marilah kita mengimbau kembali usaha-usaha yang dilakukan dalam Program Semarak Bangsawan ini..




Mermartabatkan Bangsawan, seni tradisi

BANGSAWAN merupakan satu lagi teater tradisional yang bakal pupus jika usaha-usaha mengangkat dan memartabatkannya tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Daripada persembahan yang sering dipersembahkan kepada golongan istana satu ketika dahulu, kini bangsawan tidak lagi dihiraukan terutama oleh generasi muda.

Golongan itu kini lebih leka dengan teater-teater moden selain asyik dengan pelbagai bentuk program realiti terutama yang ditayangkan di televisyen.

Sebelum persembahan bangsawan terus berkubur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah mengambil inisiatif melancarkan Siri Semarak Bangsawan 2012 dan Bazaar Industri Seni Budaya.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Siri Semarak Bangsawan 2012 merupakan program jabatan itu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Program ini bertujuan memartabatkan seni persembahan bangsawan di samping menarik minat dan memperkenalkan masyarakat terhadap teater bangsawan.

"Memandangkan Bangsawan merupakan satu bentuk kesenian tradisional, usaha pemuliharaan dan menyemarakkan seni pementasan bangsawan giat dilaksanakan oleh JKKN.

"Siri Semarak Bangsawan bertujuan membangunkan seni Bangsawan di Malaysia dan mengembalikan kegemilangan pementasan Bangsawan sebagai satu cabang seni yang popular," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, program ini bertujuan menyemarakkan minat masyarakat terhadap pementasan bangsawan.

Di samping itu katanya, ia juga bagi memperkenalkan, mendedahkan dan melengkapkan pengetahuan generasi muda dalam pementasan Bangsawan.

Tambah beliau, sejak Siri Semarak Bangsawan mula diadakan pada tahun 2007, sehingga kini hampir 50,000 orang penonton telah membanjiri Panggung Bandaraya bagi menyaksikan pementasannya.

Manakala sebanyak 26 kumpulan telah berpeluang mementaskan 46 naskhah Bangsawan. Rentetan daripada itu, program tersebut juga dilihat telah berjaya mengembalikan era kegemilangan seni Bangsawan melalui kewujudan banyak kumpulan-kumpulan baru.

"Apa yang membanggakan adalah kebanyakan kumpulan-kumpulan baru yang wujud ini dipelopori oleh generasi muda.

"JKKN percaya perkembangan ini merupakan kejayaan kepada program penyemarakan Bangsawan ini," kata Norliza.

Beliau memberitahu, pengisian aktiviti bagi Siri Semarak Bangsawan 2012 merangkumi sembilan pementasan yang bakal diumumkan pada esok (24 Mac).

Bagi membuka tirai Siri Semarak Bangsawan 2012, Bangsawan Chelorong-Cheloreng yang diarahkan oleh Zaiffri Hussin bersama Kumpulan Bangsawan JKKN akan mengambil tempat bermula 23 hingga 25 Mac ini.

Program Semarak Bangsawan 2012 berkonsepkan persembahan Bangsawan oleh sembilan kumpulan yang masih aktif yang dipilih seluruh Malaysia. Setiap kumpulan tersebut akan melakukan persembahan selama tiga hari pada minggu kedua setiap bulan.

Kumpulan yang terpilih itu juga kata Norliza, perlu menyediakan pameran seperti sejarah bangsawan di Malaysia, tokoh-tokoh Bangsawan negara, busana teater Bangsawan dan pengenalan kepada kumpulan yang membuat persembahan serta aktiviti-aktiviti yang pernah dijalankan.

Sembilan kumpulan tersebut adalah Angkatan Seni Teater Anak Kampar yang akan mempersembahkan Bangsawan Paduka Menteri pada 13 hingga 15 April diikuti Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan dengan Bangsawan Raja Badang pada 11-13 Mei.

Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam akan membawakan Bangsawan Genta Alam pada 8-10 Jun, Persatuan Penggerak Seni Budaya Kuala Lumpur pula dengan Bangsawan Cinta Puteri Mekar Mewangi Layu Tak Berseri pada 13 hingga 15 Julai.

Kumpulan Bangsawan Seri Kedah akan mementaskan Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa pada 21- 23 September 2012.

Kelab Teater Seri Teja Kuala Lumpur akan mempersembahkan Bangsawan Sumpah Lantara Bijaya pada 12-14 Oktober diikuti Majlis Kebudayaan Selangor dengan Bangsawan Ahmad Albab pada 16-18 November 2012.

Kumpulan terakhir yang akan melakukan persembahan ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 14-16 Disember.

Sempena tahun 2012 ini, JKKN turut mengambil inisiatif mengadakan Bazaar Seni Industri Budaya serentak sempena Siri Semarak Bangsawan. Antara pengisiannya seperti program mencungkil bakat yang akan diadakan pada setiap bulan dengan fokus kepada pencarian bakat dalam bidang muzik dan lawak jenaka.

Turut diadakan sempena bazar itu ialah permainan tradisional, persembahan jalanan dan santai puisi yang di selaraskan bersama Persatuan Penulis Nasional Wilayah Persekutuan.

Turut diadakan ialah Dendang Rakyat, persembahan kesenian pelbagai kaum, pameran motosikal berkuasa tinggi, pertunjukan basikal fixie dan banyak lagi aktiviti yang sesuai dikongsi bersama seisi keluarga.

Bagi memastikan para penonton dapat menyaksikan pementasan bangsawan ini dengan selesa, pas-pas masuk berharga RM5 boleh ditempah di talian 013-2266830.

Manakala bagi Bazaar Seni Industri Budaya, masuk adalah percuma.

Maklumat lanjut tentang Siri Semarak Bangsawan boleh didapati di www.jkkn.gov.my dan rangkaian media sosial facebook Sahabat Budaya JKKN, atau hubungi Cawangan Komunikasi Korporat JKKN di talian 03-20523703 (Hassanal) atau 03-20523616 (Noorariza).

Sumber : Utusan Malaysia


Penantian Empat Tahun Teater Bangsawan 'Putera Salang Ur' Akhirnya Dipentaskan


KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Setelah empat tahun menanti, hasrat kumpulan teater Suara Alam Selangor akhirnya tercapai apabila teater sulung mereka berjudul 'Putera Salang Ur' dipentaskan di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Teater bangsawan itu dipentaskan di bawah program Semarak Seni Bangsawan anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta DBKL selama tiga hari mulai Jumaat, pada pukul 8.30 malam.

Pengarahnya, Mohd Rosli Abd Wahab berkata beliau tidak menyangka percubaannya selama empat kali menghantar karyanya kepada JKKN akhirnya diterima pada tahun ini untuk dipentaskan.

"Tahun ini sangat bertuah kepada kami kerana akhirnya naskah bangsawan saya dapat dipersembahkan buat julung kalinya kepada orang ramai setelah empat tahun atau empat kali percubaan untuk menghantarnya dan ia merupakan satu penghargaan daripada pihak JKKN kepada kami.

"Kami telah mengambil masa dua bulan untuk membuat persiapan bagi pementasan ini dengan krew seramai 70 orang, termasuk pelakon dan petugas di sebalik tabir," katanya kepada Bernama.

Katanya, karya ini ditulis hasil olahan daripada cerita lisan rakyat yang berkaitan dengan asal-usul negeri Selangor.

"Saya yakin tidak ramai yang tahu siapa putera yang pertama di negeri Selangor, jadi saya petik kisah ini untuk dipersembahkan dalam bentuk teater kepada orang ramai.

"Jadi dengan cara persembahan teater itu dapat memberi pemahaman secara jelas kepada penonton tentang cerita lisan rakyat yang diolah secara unik itu," katanya.

Katanya, teater berbentuk bangsawan sudah jarang dipersembahkan kepada orang ramai kerana kebanyakan teater dipersembahkan dalam bentuk moden.

"Kebanyakan teater sekarang berbentuk moden, disebabkan teater bangsawan banyak menggunakan prop dan peralatan, jadi tidak ramai yang nak dimainkan.

"Teater bangsawan ini secara tidak langsung dapat mendedahkan kepada generasi muda tentang budaya bangsa Melayu," katanya.

Pementasan selama tiga hari itu antara lain mengisahkan perjalanan hidup putera Negeri Langkapura Tengku Daik yang membina negeri Salang Ur setelah dihalau oleh kekanda kembarnya, Tengku Muda akibat salah faham.

Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan teater bangsawan 'Putera Salang Ur' itu boleh mendapatkan tiket dengan harga RM5.



Pementasan Bangsawan Tindakan Pemeliharaan Warisan

PEMENTASAN bangsawan dilihat sebagai tindakan pemeliharaan warisan negara kerana kesenian bangsawan itu sendiri telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan sejak dua tahun lepas, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kesenian bangsawan merupakan kesenian rakyat yang banyak membawakan elemen masyarakat zaman lampau khususnya feudal dan semasa ke dunia pentas.

Katanya pementasan bangsawan juga sarat dengan pengajaran yang boleh diterima pakai seperti menyelitkan mesej perpaduan di kalangan masyarakat kini, kesopanan dan pengamalan nilainilai murni.

"Justeru, pementasan ini diharap dapat menarik perhatian generasi muda untuk mengenali lebih dekat kesenian ini dan seterusnya menjadikan mereka sebagai pelapis kepada kesinambungan warisan kesenian ini," katanya dalam buku cenderahati teater bangsawan "Tun Fatimah Srikandi Melaka".

Teater bangsawan itu, yang diarahkan oleh pengarah berpengalaman Abdul Rahman Abu Bakar atau Rahman B, berlangsung selama tiga bermula semalam dan dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini.

Rais berkata kerjasama yang baik di kalangan agensi kementerian dilihat mampu merealisasikan warisan negara dibawa ke tengah masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada penganjur teater bangsawan Tun Fatimah Srikandi Melaka iaitu Jabatan Warisan Negara dalam usahanya membawa kesenian negara kepada khalayak masyarakat.

Cerita bangsawan merupakan satu persembahan drama tradisi yang mengisahkan raja-raja yang melibatkan alam kayangan dan nyata.

Sementara itu, pementasan teater Tun Fatimah Srikandi Melaka berkisar tentang perjuangan srikandi itu menegakkan keadilan terhadap kematian ayahandanya, Datuk Bendahara Tun Mutakhir yang dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Shah akibat difitnah Datuk Mendeliar.

Objektif pementasan itu, antara lain adalah untuk memartabatkan bangsawan sebagai salah satu produk seni dari Pulau Pinang bersempena pengisytiharaan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (Unesco).

Selain itu, skrip yang berkisarkan tentang sejarah Kesultanan Melayu Melaka juga mempunyai hubung kait pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco. (BERNAMA)

 Sumber : mStar online




JKKN cuba selamatkan bangsawan

JANGAN pandang sepi kepada pementasan bangsawan kerana ia memiliki kelebihan serta keistimewaan tersendiri yang mungkin tiada pada persembahan lain. Dari segi laras bahasa digunakan sangat tertib dan tersusun sesuai dengan adat Melayu yang amat mementingkan kesopanan.
Biar gerhana melanda di hati apabila suaminya berkahwin lagi, tetapi adab seorang puteri yang begitu menghormati suami tetap dijaga sebaiknya.

Semua perkara yang indah dan molek itu dapat disaksikan ketika menonton Pementasan Bangsawan Genta Alam yang dipersembahkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pementasan yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini diadakan di Panggung Bandaraya DBKL, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Pementasan itu adalah sempena Siri Semarak Bangsawan 2012.

Bangsawan adalah satu teater tradisional yang bakal pupus jika usaha ‘menyelamat’ tidak dilakukan bersungguh-sungguh. Daripada persembahan yang sering dipersembahkan kepada golongan istana satu ketika dulu, kini bangsawan tidak lagi dihiraukan terutama oleh generasi muda.

Golongan itu kini lebih leka dengan hiburan moden selain asyik dengan pelbagai bentuk program realiti terutama yang ditayangkan di televisyen. Sebelum persembahan bangsawan terus berkubur, JKKN mengambil inisiatif melancarkan Siri Semarak Bangsawan ini dan Bazaar Industri Seni Budaya.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Siri Semarak Bangsawan 2012 adalah program jabatan itu dengan kerjasama DBKL.

“Program ini bertujuan memartabatkan seni persembahan bangsawan di samping menarik minat dan memperkenalkan masyarakat terhadap teater bangsawan.

“Memandangkan bangsawan satu bentuk kesenian tradisional, usaha pemuliharaan dan menyemarakkan seni pementasan bangsawan giat dilaksanakan oleh JKKN,” katanya.

Di samping itu katanya, ia juga bagi memperkenal, mendedah dan melengkapkan pengetahuan generasi muda dalam pementasan Bangsawan. Tambah Norliza, pengisian aktiviti bagi Siri Semarak Bangsawan merangkumi sembilan pementasan.

Bagi membuka tirai, Bangsawan Chelorong-Cheloreng arahan Zaiffri Hussin bersama Kumpulan Bangsawan JKKN sudah pun dipentaskan pada Mac lalu, diikuti pementasan Bangsawan Paduka Menteri pada April dan Bangsawan Raja Badang pada Mei.

Selepas persembahan Bangsawan Genta Alam yang baru lalu, akan dipertontonkan pula Bangsawan Cinta Puteri Mekar Mewangi Layu Tak Berseri pada 13 hingga 15 Julai ini dan pementasan Tragedi Merong Mahawangsa pada 21 hingga 23 September.

Seterusnya, persembahan Bangsawan Sumpah Lantara Bijaya pada 12 hingga 14 Oktober dan Bangsawan Ahmad Albab pada 16 hingga 18 November. Kumpulan terakhir yang akan melakukan persembahan ialah DBKL pada 14 hingga 16 Disember.

Bangsawan Genta Alam bukan saja menarik dari segi jalan cerita tetapi kumpulan Seri Mahkota Alam juga teliti dari segi reka atur pentas dengan props yang amat bersesuaian dengan jalan cerita dan lokasi kejadian yang berlaku. Kostum yang dikenakan oleh setiap watak berwarna-warni membangkitkan rasa ceria suasana.


Penata set, props, kostum dan tatarias pementasan itu, berjaya memberikan gambaran yang berbeza. Kostum yang dipakai oleh Putera Genta Alam dan Puteri Indera Sari menggambarkan kebesaran putera dan puteri zaman kegemilangan kesultanan Melayu lama, serba lengkap dan indah sehingga terleka seketika menatapnya.

Melihat kepada persediaan yang dilakukan oleh kumpulan Seri Mahkota Alam ternyata mereka serius serta bersungguh-sungguh mahu mengembalikan maruah dan martabat bangsawan.

Meskipun semua pelakon dalam pementasan bukanlah artis terkenal tetapi masing-masing berjaya menghayati peranan dan karakter mereka dengan baik. Kesenian dan kebudayaan Melayu adalah hak kita semua yang patut dihayati seisi keluarga.
Inilah adat dan budaya kita yang sebenar yang sewajarnya menjadi kebanggaan kita semua.

Bangsawan Genta Alam mengisahkan Puteri Indera Sari dan kekanda sulungnya dari negeri Kayangan meminta izin ayahanda dan bonda mereka untuk turun bermain-main di bumi. Selepas puas memujuk dan berjanji untuk mematuhi segala syarat, barulah mereka diizinkan. Antara syaratnya mereka perlu terbang balik ke Kayangan sebelum ayam berkokok. Pemergian mereka ke bumi ditemani pengasuh yang bernama Kembang.

Ketika saat mahu terbang balik ke Kayangan, kain layangnya hilang yang sebenarnya disembunyikan oleh kekanda sulung. Terbanglah kekanda sulung ke Kayangan meninggalkan Puteri Indera Sari dan Kembang. Dalam hutan mereka bertemu nenek kebayan dan Putera Genta Alam lalu mereka berkahwin.

Selepas hidup bahagia beberapa ketika, Puteri Indera Sari terlanggar pantang lalu ditumbuhi ekor seperti duyung. Putera terpaksa mencari penawar di hutan dan berjumpa dengan Tok Rimba dan pada masa sama anak Tok Rimba iaitu Damar yang cacat muka jatuh hati dengan Putera Genta Alam. Menggunakan ilmu hitam, Damar dapat menundukkan Putera Genta Alam dan mereka pun berkahwin.

Membawa Damar pulang ke istana sebagai madu kepada Puteri Indera Sari amat mendukacitakan puteri itu. Bagaimanapun, akhirnya segala rahsia dan kejahatan Damar terbongkar, Putera Genta Alam dan Puteri Indera Sari kembali bahagia.

Sumber : My Meteo


 10 Pementasan Bangsawan 2010

JKKN dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur anjur program setiap bulan

SELEPAS kejayaan cemerlang pementasan Bangsawan Sinbad – Ratu Permata Dewa di Pulau Pinang baru-baru ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) meneruskan misi menyemarakkan bangsawan melalui penganjuran 10 lagi pementasan itu tahun ini.
Bangsawan Sinbad itu tidak termasuk dalam program pada tahun ini tetapi ia dipentaskan di Auditorium Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang sebagai kesinambungan kejayaan hebat ketika dipentaskan di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur tahun lalu.


Turut menyaksikan pementasan bangsawan itu ialah Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan tetamu kehormat lain. Pengarah Bahagian Produksi dan Teknikal JKKN, Rosnan Nordin bertindak sebagai penulis skrip dan pengarah dari cerita yang diangkat dari Hikayat Seribu Satu Malam.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, disebabkan kejayaan pementasan pertama yang dijayakan oleh kakitangan jabatan itu sendiri mendorong JKKN mementaskan bangsawan 5 Bersaudara, Disember ini.

Program Semarak Bangsawan 2010 dimulakan oleh kumpulan Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Negeri Perak dengan cerita Melati Pujaan Tumasek, minggu lalu.
Norliza berkata, bagi memenuhi minat orang ramai yang semakin suka menyaksikan pementasan bangsawan mendorong JKKN mengadakan setiap bulan bermula Mac. Pementasan dijayakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Rumpun Seni dan Teater Shah Alam akan mementaskan bangsawan Laksamana Do Re Mi pada 9 hingga 11 April manakala Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam akan mementaskan Nilam Diwani pada 7 hingga 9 Mei.

Persatuan Seni Bangsawan Bintang Timur memilih mementaskan Megat Bulang Kuala manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) memilih cerita Aladdin. Bintang Timur akan mementaskan pada 11 hingga 13 Jun manakala UPM pada 9 hingga 11 Julai.


Persatuan Penggerak Seni Budaya Kuala Lumpur memilih cerita Puteri Maharani pada 6 hingga 8 Ogos manakala Kumpulan Akrab memilih Satria Menara Putih yang dijadual dipentaskan pada 24 hingga 26 September.

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut merancakkan bangsawan dan memilih cerita Bunga Sakti Cinta Malam dan dipentaskan pada 8 hingga 10 Oktober manakala kumpulan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memlih Panca Delima pada 12 hingga 14 November.

Sejak bangsawan bertapak di Malaysia pada 1880-an, bermulalah satu kegiatan teater yang yang kemudiannya menjadi sangat popular dan monopoli kegiatan teater di Malaysia selama lebih 70 tahun.

Bangsawan bermula di Pulau Pinang dan berkembang ke seluruh negara hingga ke Indonesia. Bentuk bangsawan mengalami perubahan apabila diperkenalkan di Indonesia.

Setiap negeri di Malaysia mempunyai pusat untuk pementasan bangsawan. Di Kuala Lumpur tempatnya di Sungei Wang Plaza dan ia dikenali sebagai Happy world.

Antara kumpulan bangsawan itu ialah Nahar Bangsawan Malayan Opera, Kinta Opera, Indera Bangsawan of Penang, City Opera, Penisular Opera, Seri Permata Opera, Jaya Opera, Zanzibar Bangsawan, Dean Union Opera, Rose Opera, Gray Noran Opera, Indera Permata of Selangor, Constantinople Opera, Rahman Opera, Kencana Wati Opera, Bangsawan Jenaka Melayu dan Bolero Opera.

Seperti kata tokoh bangsawan, Pak Morad Ibrahim tanpa bantuan JKKN, bangsawan sudah lama berkubur.

Sumber : Berita Harian 


Semoga bangsawan akan terus menemui khalayaknya
dan subur sebagai seni warisan yang dipupuk bersama

Tahniah JKKN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena