Sastera Kanak-Kanak

Memertabatkan Sastera Kanak-kanak
oleh Mohd Saiful Mohd Sahak



Mengantarabangsakan karya kanak-kanak Malaysia merupakan suatu cabaran besar. Justeru Perbadanan Kota Buku (PKB) menggunakan Festival Kandungan Buku Kanak-kanak Asia (AFCC) di Singapura baru-baru ini sebagai platform untuk membantu mengangkat genre sastera itu ke persada antarabangsa supaya setanding dengan karya yang diiktiraf dunia.

Pengerusi PKB, Tan Sri Dr. Asiah Abu Samah berkata, penglibatan utama negara adalah untuk memberi peluang kepada penggiat buku kanak-kanak yang terdiri daripada penerbit, penulis serta ilustrator supaya mampu melonjakkan karya sastera kanak-kanak tempatan ke persada antarabangsa.

Katanya, penglibatan Malaysia di AFCC dapat mengetengahkan himpunan penerbit buku kanak-kanak dari Malaysia, Asia serta negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Sebagai negara tumpuan, Malaysia telah diberi penghormatan membentangkan karya sastera kanak-kanak Malaysia kepada khalayak antarabangsa .

"Dalam masa sama, kita menghantar tujuh wakil terdiri daripada penulis, penerbit dan ilustrator terbaik Malaysia untuk menggunakan peluang memperkenalkan diri dan hasil nukilan mereka dalam seminar yang dianjurkan," katanya ketika ditemui di AFCC di Perpustakaan Negara Singapura baru-baru ini.

Festival itu direalisasikan menerusi kerjasama antara PKB Malaysia dengan Lembaga Pembangunan Buku Kebangsaan Singapura (NBDCS).

Malah, festival itu turut diserikan dengan kehadiran Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang berkenan menghadiri Majlis Malam Malaysia sempena AFCC.

Keberangkatan baginda diiringi Pengerusi Jawatankuasa Ahli Lembaga Pengarah AFCC, Claire Chang dan Pengarah Eksekutif Perbadanan Pembangunan Buku Kebangsaan Singapura, P. Ramachandran.

Yang turut hadir, Pengurus Kanan PKB, Razin Abd. Rahman dan Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku PKB, Norhayati Razali.

Dalam majlis tersebut, Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan cenderamata penghargaan kepada wakil-wakil Malaysia yang terlibat dalam AFCC.

Asiah berkata, penglibatan Malaysia di AFCC memberi pendedahan kepada penggiat sastera kanak-kanak tempatan mengenai aplikasi terbaharu dunia buku termasuk bentuk digital.

"Usaha ini dapat mengangkat lagi karya sastera kanak-kanak dari Malaysia memandangkan pasaran dunia sarat dipenuhi karya sastera Barat.

"Malaysia juga memberi tumpuan khusus kepada aspek kandungan berkualiti memandangkan karya buku kanak-kanak boleh diperluas dalam pelbagai medium termasuk buku digital, animasi dan filem di peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Asiah berkata, Perbadanan Kota Buku akan terus menjadi pusat perkembangan sastera kanak-kanak supaya bidang tersebut akan lebih tersusun dari segi penulisan, pengkaryaan dan penerbitan.

"Saya menaruh harapan tinggi untuk melihat Malaysia maju di persada dunia dengan penghasilan karya kanak-kanak yang bermutu, baik dari segi kandungan mahupun ilustrasi melalui usaha yang dijalankan Perbadanan Kota Buku," katanya.

Sumber ; Utusan Malaysia


 Malaysia Jadi Tumpuan Festival Sastera Kanak-Kanak (AFCC) 2013

MALAYSIA menjadi negara tumpuan pada Festival Sastera Kanak-kanak Asia (AFCC) 2013, yang diadakan sejak Sabtu hingga 30 Mei ini di Bangunan Perpustakaan Nasional di sini.

Festival tahunan AFCC yang amat dinanti-nantikan itu menghimpunkan penulis dan penerbit sastera kanak-kanak bersama ibu bapa, guru, pustakawan dan sesiapa saja yang berminat dengan kandungan sastera Asia bagi kanak-kanak di seluruh dunia.

Kota Buku Corporation (Book City), sebuah pertubuhan berkaitan kerajaan yang diwujudkan untuk mencergaskan industri penerbitan buku, menjadi pelopor penyertaan Malaysia dalam AFCC 2013.

Kota Buku mengambil bahagian dalam AFCC sejak penubuhannya pada 2009.

Pengerusinya Tan Sri Dr Asiah Abu Samah berkata: "Kami mengucapkan tahniah kepada Majlis Pembangunan Buku Nasional Singapura (NBDCS) kerana usaha berterusan mereka untuk mempromosi kesusteraan kanak-kanak Asia kepada dunia.

"Kami melihat AFCC terus berkembang dari tahun ke tahun dan berbangga menjadi sebahagian daripadanya. AFCC 2013 memberi kami peluang untuk berada dalam kalangan kumpulan yang sangat dihormati yang melakar nama di negara masing-masing.

"Saya harap delegasi Malaysia yang menyertai AFCC akan memperoleh inspirasi dan semangat untuk menulis serta menggambarkan kisah-kisah hebat dari tanah air mereka. Kami menanti-nantikan untuk mengambil bahagian setiap tahun dan melihatnya berkembang ke tahap lebih tinggi," katanya menerusi satu kenyataan.

AFCC telahpun meningkatkan jumlah program bahasa Melayu dalam Kongres Guru AFCC, Forum Ibu Bapa AFCC, dan Bengkel Bahasa AFCC.

Setiap tahun, Malaysia menerbitkan lebih 17,000 judul baharu, satu perempat daripadanya adalah buku kanak-kanak, termasuk buku teks.

Majoriti buku kanak-kanak itu dalam bahasa Melayu, diikuti bahasa Inggeris dan Cina. Sesebuah judul yang laris dijual, terutamanya dalam bahasa Melayu, boleh mencapai sehingga lebih 20,000 naskhah.

Memandangkan kira-kira setengah juta kanak-kanak memasuki tahun pertama persekolahan setiap tahun, ini merupakan pasaran yang semakin berkembang namun belum diteroka sepenuhnya.

Antara penceramah dan pemimpin bengkel termasuk Rilla Melati Bahri, Dr Mohd Mukhlis dan Zainaba Omar.

Penceramah dari Malaysia ialah artis dan pengarang tersohor Mohd Yusof Ismail aka Yusof Gajah, novelis remaja popular Ain Maisarah, Presiden Lembaga Antarabangsa Buku Remaja dan Kanak-kanak Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Mohd Khair Ngadiron. - Bernama

Sumber: Sinar Harian 

Comments