Rumahku

RUMAHKU
(Dyg. Zuraizah Ag. Fauzi)


MAKSUD

Rangkap 1
Masyarakat mula berbicara tentang benteng keamanan yang terbina selama ini telah runtuh. Keselamatan Negara kian terancam akibat kehidupan masyarakat yang tidak peduli akannya. Terlalu sedih apabila melihat segala keindahan negara bertukar menjadi kotor dan kelam. Perasaan kecewa juga terasa apabila melihat kekotoran asap berterbangan di udara. Tidak perlu ditanya sebab waktu siang menjadi terlalu panas dan keadaan yang damai menjadi tidak aman. Tetapi hal ini perlu ditanya kepada diri sendiri sebab masyarakat masih alpa dengan hiburan walaupun menyedari bahawa malapetaka sentiasa menyerang dunia ini.

TEMA
Sikap mengabaikan tanggungjawab menjaga kemakmuran negara. Masyarakat dunia/negara (rumahku) yang mengabaikan tanggungjawab menjaga dan memakmurkannya hingga membuatkan ia terancam.
Contoh: mengapa api siang membakar garang

PERSOALAN
Persoalan kecuaian masyarakat menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara (rumah).
Contoh : keselamatan rumahku semakin terancam
angkara penghuninya semakin jahil

Persoalan sesuatu yang musnah amat dikesalkan dan menyedihkan.
Contoh : betapa sayu melihat
Warna-warna keindahan
Bertukar menjadi kelabu

Persoalan malapetaka akan terjadi disebabkan kecuaian.
Contoh : mengapa manusia
masih bersuka ria
setelah mengetahui malapetaka
semakin wujud di dunia ini

Persoalan semua perbuatan manusia berpunca dari hati.
Contoh : tapi tanyalah kepada
Seketul darah di dalam tubuh


BENTUK

Puisi ini mempunyai satu rangkap sahaja.
Ia juga terdiri daripada 19 baris yang diatur tidak sekata.

Susunan bilangan perkataan dalam satu baris tidak sama
Terdapat di antara 2 hingga 5 patah perkataan sebaris.
Contoh: R1B11 : ‘usah ditanya’ – 2 perkataan
R1B12 : ‘mengapa api siang membakar garang’ – 5 perkataan

Bilangan suku kata dalam sebaris tidak sama
Terdapat antara 5 hingga 14 suku kata.
Contoh : R1B11 : usah ditanya (2 perkataan)
R1B3 : keselamatan rumahku semakin terancam (14 suku kata)

Rima akhir tidak sama bebas
Contohnya : aabcdaeafgfhififffg

Puisi ini merupakan sebuah puisi berbentuk bebas

GAYA BAHASA
Asonansi
keselamatan rumahku semakin terancam
(pengulangan bunyi vokal ‘a’)

Aliterasi
angkara penghuninya semakin jahil
(pengulangan bunyi konsonan ‘n’)

Diksi yang puitis
Contoh : mengapa api siang membakar garang (R1B12)

Personifikasi
Contoh : asap pelbagai warna sedang menari-nari (R1B9/10)

Simbol
‘rumah’ merujuk kepada negara atau dunia.

Metafora
Contoh : api siang (R1B12) dan warna keindahan (R1B6)

Anafora
mengapa api siang membakar garang (R1B12)
mengapa jernih bertukar darah (R1B13)

Responsi
keselamatan rumahku semakin terancam
angkara penghuninya semakin jahil

Sinkof
Contoh : rumahku

Kata ganda
Contoh : warna-warna


NADA
Melankolik
Penyajak berasa sayu dan kecewa melihat sikap masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab menjaga keharmonian Negara.
Contoh : sayu melihat warna-warna keindahan bertukar kelabu (R1B5/6/7)

PERASAAN PENYAJAK
Penyajak berasa sedih apabila melihat segala keindahan negaranya telah menjadi kotor.
Contoh : betapa sayu melihat
Warna-warna keindahan
Bertukar menjadi kelabu

Penyajak berasa kecewa apabila melihat kekotoran asap yang dilepaskan ke udara.
Contoh : betapa retak hati menyaksikan
Asap pelbagai warna

NILAI

Prihatin
Contoh : ‘keselamatan rumahku semakin terancam’

Kesedaran
Contoh : ‘keselamatan rumahku semakin terancam’

PENGAJARAN
Kita mesti prihatin akan keselamatan Negara.
Contoh : keselamatan rumahku semakin terancam
Angkara penguhinya semakin jahil

Kita haruslah sedar dari kelekaan.
Contoh : mengapa manusia
masih bersuka ria

Kita mestilah mencari kebenaran apabila berlaku sesuatu kekeliruan.
Contoh : usah ditanya
mengapa api siang membakar garang
mengapa jernih bertukar keruh

Kita hendaklah berusaha menyelamatkan negara dari kemusnahan
Contoh : Tapi tanyalah kepada
seketul darah di dalam tubuh
mengapa manusia
masih bersuka ria

Comments