Rubiah



Rubiah Dari Teater Ke Drama Televisyen

Pertama kali Teater Muzikal Rubiah dipersembahkan sempena pertabalan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung ke-11 di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 26 hingga 30 Mei 1999. Rubiah kemudiannya dipentaskan sekali lagi  di Panggung Sari, Istana Budaya pada 27 Mei hingga 5 Jun 2005. Demikian sejarah pementasan Muzikal Rubiah di Istana Budaya.  Setelah pementasan kali pertama, naskhah teater ini telah dikaji dan kekurangan teater ini diperbaiki untuk dipentaskan kali keduaanya di tempat yang sama.


Mengikut kamus Dewan, perkataan Rubiah bermakna pertapaan wanita atau wanita yang solehah.
Justeru, watak Rubiah dalam teater ini disifatkan sebagai seorang gadis yang khatam Quran, mempelajari hukum hakam, mencintai keindahan alam dan bertugas sebagai guru al-Quran. Bahkan perwatakan ini di modifikasi serta dikembangkan bukan saja solehah, malah cantik jelita, bersuara merdu dan mempunyai kisah lahir yang tersendiri.

Rubiah bukan gadis biasa. Anak tunggal Pak Tuan dan Mak Tuan ini bukan saja disayangi kawan-kawan malah merupakan kebanggaan Desa. Mak Alang sudah lama berhasrat menjodohkan Rubiah dengan anaknya, Alang. Demi untuk menyunting Rubiah, Alang keluar mengembara mencari bekalan hidup. Malangnya ketika bermain di tasik, Rubiah didatangi lelaki misteri, Daeng bersama rakan-rakannya. Sesungguhnya kemunculan lelaki misteri itu adalah satu watak yang unik yang mengkagumkan dan menyenangkan Rubiah.Kemunculannya menggoda dan mempesonakan Rubiah.
Begitu juga dengan usikan Daeng telah memaksa Rubiah bersumpah, ``Walau sejuta gordang sembilan kau palu, aku bersumpah tak akan menari, sirna jasad ku di muka bumi.''

Sumpahan itu membuatkan Daeng tercabar dan utusan merisik segera dihantar. Pak Tuan menjadi serba salah tetapi Mak Tuan terus menerima dengan rasa bangga. Mak Alang terluka kerana hasrat untuk menjodohkan Alang dengan Rubiah tergendala. Namun tiba-tiba Alang pulang. Dengan bantuan kawan-kawan Alang, Mak Alang segera menghantar risikan sekali gus meminang Rubiah.
Sayangnya mereka terlambat. Rayuan dan desakan Mak Alang ditolak oleh Mak Tuan. Rubiah pula mengatakan belum sedia berumah tangga. Alang tidak memaksa. Namun begitu, Mak Alang tetap terluka. Pak Tuan terhimpit kerana sebagai jiran, Mak Alang amat dihormati, tetapi Paduka Daeng amat digeruni, bahkan pernah terhutang budi. Kerabat adat di kerah membuat keputusan yang berpihak kepada Daeng. Rubiah kesal dan kecewa kerana sumpah sudah terlepas. Rubiah pasrah dan berdoa. Ketika cincin pertunangan disarungkan ke jari Rubiah, tiba-tiba angin menderu, kilat memancar, petir memanah, pelita terpadam dan dinding rumah runtuh. Apabila suasana tenang dan terang. Semua orang tercengang. Rubiah didapati hilang. Selendang dan cincin pertunangan tertinggal di atas sejadah. Mak Tuan menangis sedih manakala Pak Tuan gelabah. Daeng dan kerabat desa mencari Rubiah. Namun Rubiah ghaib entah ke mana.


Kedua-duaa pementasan Muzikal Rubiah mendapat sentuhan gubahan muzik oleh Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah).Pementasan kedua terisi dengan 17 buah  lagu manakala pementasan kali pertama hanya menampilkan 14 buah lagu, Dari aspek pemainnya, Muzikal Rubiah yang pertama watak-watak Rubiah, Pak Tuan, Mak Alang dan Lelaki Misteri dilakonkan oleh Fauziah Latif, Zaidi Omar, Fauziah Nawi dan Ramli Hasan. Manakala pementasan terbaru  watak-watak tersebut didukung oleh Maizurah Hamzah dan Safinaz Selamat, Yalal Chin dan Ali Osman, Azizah Mahzan dan Rahimah Rahim serta Saufi Yahya. Watak-watak Mak Tuan, Alang dan Daeng terus dihidupkan oleh Zuhaila Siregar, Ahmad Idham dan Razak Ahmad. Pementasan Muzikal Rubiah menyaksikan kemunculan Safinaz Selamat dan Saufi Yahya yang merupakan muka baru di pentas teater.


Muzikal Rubiah diarahkan oleh  Ahmad Tamimi Serigar. Selain naskah Muzikal Rubiah beliau pernah mengarahkan Kaba Kasih Menanti (1994) dan Itik Liar (1995). Ahmad Tamimi begitu kukuh berpegang  kepada cerita mitos atau anak dara keramat yang berlaku di Kuala Selangor yang bernama Rubiah. Bagaimanapun, cerita sebenar yang berlaku pada 1800 ini tidak jelas kerana tiada bahan kajian yang sahih. Oleh itu mitos ini dijalin secara halus menjadikan Muzikal Rubiah lebih berfokus kepada permasalahan manusia dan masyarakat. Bagi Ahmad Tamimi Muzikal Rubiah yang dipentaskan sebanyak dua kali di Istana Budaya ini merupakan sumbangan beliau dalam menyemarakkan warna-warani teater tanahair. Pementasan Muzikal Rubiah pada 27 Mei - 5 Jun 2005 diterbitkan oleh  Lay-Tas Communication.

Nasib Muzikal Rubiah tidak sekadar berakhir di pentas teater. Dato' Ahmad Tamimi Serigar sekali lagi membawa warna Rubiah ke alam baru iatu drama siri televixyen.  Rubiah diberi nafas dan warna baru dalam siri tv Rubiah yang sedang ditayangkan di Saluran 180 TVi. Lakon Layar dan Arahan Rubiah disempurnakan oleh Dato' Ahmad Tamimi Serigar. Pelakon yang mendokong watak dalam tele-movie ini terdiri daripada Datin Zulhaila Serigar, Elly Mazlin, Zaidi Omar, Shahrizal Mahmud. Turut dibantu oleh Meor Mohd, Ramli Hassan, Ray Redzuan, Jefrizal Jaafar, dan lain-lain. Drama ini diterbitkan oleh True Legacy Sdn Bhd di bawah penerbit Eksekutifnya Datin Zulhaila Serigar.

Kisah hidup Rubiah dipaparkan dalam drama tv yang pastinya memilki kekaguman yang lebih berbeza dengan drama pentas.  Selamat menonton di Salutan 180 TVi Astro


The Making Of Rubiah



Comments