Proses Kreatif Kesusasteran Melayu Komunikatif



Kertas 3 merupakan kertas terakhir Kesusasteraan Melayu Komunikatif yang bakal dihadapi oleh pelajar STPM di Semester Ketiga. Kertas 3 memberi fokus kepada Kreativiti, Pengurusan dan Multimedia.

Penulisan Kreatif

Dalam bahagian penulisan kreatif ia difokuskan kepada aspek penciptaan, penulisan, dan penyuntingan karya. Aspek penghasilan atau penciptaan karya sastera memerlukan pelajar menghasilkan cerpen atau sajak secara kreatif sama ada berdasarkan bahan rangsangan (berpandu) atau bebas. Aspek ditekankan dalam pembelajaran ialah puisi tradisional, cerpen, dan sajak. Keutamaan adalah bagaimana pelajar melihat dan meneliti hasil karya sastera berkenaan dari aspek teknik penciptaannya dan proses kreatif penghasilan karya berkenaan.

Sebagai persediaan untuk menjadi penulis cerpen atau sajak, di samping memahami teknik penghasilan karya berkenaan, kita perlu memahami proses kreatif yang dialami oleh penulis atau pengarang yang sudah mapan. Sebagai langkah persediaan itu kita perlulah mengenali dengan lebih dekat proses kreatif pengarang ternama negara. Buku-buku seperti ini banyak memberi pendedahan dan perjalanan kreatif pengarang ke arah penghasilan karya. Melalui bacaan kita akan dapat mengetahui kerahsiaan pengarang dalam menulis sesebuah karya sastera. Proses kreatif akan dapat memberi beberapa garis panduan kepada kita untuk menulis dan menghasilkan karya sastera.

Kita juga perlu memahami latar pengarang. Biodata pengarang atau penulis yang kita kaji perlu diketahui dari aspek latar belakang, pendidikan dan sumbangan dalam perkembangan sastera. Informasi ini memberi laluan kepada kita untuk memahami siapa pengarang berkenaan dan bagaimana mereka menghasilkan karya. Ini penting kerana pengalaman pengarang seringkali tercurah ke dalam karya sastera.

Perkara ketiga yang harus dilakukan adalah membaca cerpen dan sajak yang dihasilkan oleh pengarang. Penelitian adalah dibuat terhadap aspek estetik karya berkaitan sama ada dari unsur bentuk dan inti karya. Lihatlah bagaimana bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam penceritaan mereka. Begitu juga teknik penceritaan dapat membantu kita memahami selok-belok alam cerpen dan puisi.


Terakhir adalah kita perlu memahami dan menguasai bagaimana proses penulisan karya sastera. Kefahaman ini perlu bermula dari apakah bentuk karya yang mahu dihasilkan sama ada cerpen atau puisi. Apakah elemen-elemen yang membangunkan karya berkenaan?. Bagaimana cerita dalam karya tersebut disampaikan dan apakah teknik penceritaan yang digunakan?. Perkara penting dalam menghasilkan karya sastera adalah subject matter yang menjadi pilihan. Apakah yang mahu dijadikan puisi atau cerpen dan perkara apakah yang mustahak di dalamnya?. Bagaimana perkara itu mengusik kesedaran dan menjadi fokus kepada keinginan kita menulis. Bacalah karya-karya besar yang ditulis oleh pengarang ternama. Lihatlah bagaimana mereka memilih subject matter dan lingkungan penceritaan yang dihasilkan. Sudut manakah yang menjadi pilihan pengarang hingga karya yang terhasil begitu menakjubkan atau mempesonakan pembaca. Semua ini perlu dilakukan dengan tekun dan teliti. Kelebihan kepada mereka yang banyak membaca dan mengetahui banyak kosa kata. Ingatlah bahawa dalam penulisan karya kreatif tidak semua kata diguna pakai. Kita tidak menulis dalam bahasa kewartawanan atau bahasa saintifik tetapi bahasa kreatif. Apa lagi dalam puisi, kata yang tercipta adalah kata pilihan yang indah dan bermakna.

Aspek kedua dalam bidang kreatif adalah penyuntingan karya. Kita perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang penyuntingan dan kaedah penyuntingan. Bacalah buku-buku berkaitan perkara berkenaan atau hubungilah mereka yang berkerjaya dalam bidang ini untuk mengetahui secara kaedah dan teknik mereka bekerja.

Suntingan akan melibatkan penandaan, simbol, dan penambahan atau pemotongan kata. Kita perlu membiasakan diri dengan proses ini untuk mendapatkan kemahiran. Barangkali kerja ini akan rumit pada awalnya tetapi sesudah dilakukan latihan ia akan menjadi lebih mudah dan berkesan. Pengalaman dalam bidang suntingan ini amat berguna kerana sesebuah karya yang baik perlu pada proses penyuntingannya. Ada bahagian dalam karya itu barangkali terlalu tidak perlu dan perlu diganti dengan ungkapan baru yang lebih berkesan. Ia juga melibatkan kepada tanda baca yang biasa digunakan dalam proses penulisan karya kreatif.


Apa yang penting dalam penulisan kreatif ini adalah kesungguhan kita membedah karya orang lain. Banyakkan membaca karya sastera dan melihat hasil dan kesan karya berkenaan. Lihatlah segala sudut yang ada dalam karya berkaitan dari aspek teknik atau isinya. Melalui pembedahan karya ini kita akan dapat belajar bagaimana menulis karya sastera.

Mulakan menulis dari sekarang sama ada cerpen atau puisi. Tulislah apa yang terlintas dalam kotak jiwa atau lintas fikir. Barangkali ia begitu mentah dan kasar pada awalnya tetapi akan menjadi lunak dan manis sekiranya kita berkali-kali mencuba dengan tekun.
Tidak mudah menghasilkan karya sastera tetapi tidak mustahil kita boleh melakukannya.

Semoga kita dapat bertemu lagi dalam perbincangan yang lain dalam Kertas 3 ini.

Ingatlah kita manusia kreatif dan boleh melakukannya.

Comments