Negeriku Merdeka

NEGERIKU MERDEKA  (Marjan S)


MAKSUD


Rangkap 1

PARA pejuang yang telah gugur dalam perjuangan mempertahankan tanah air menentang komunis seperti dalam peristiwa Bukit Kepong dan perang Kebun Ubi telah dilupakan jasa dan bakti mereka. Pusara mereka terbiar dan dilupakan oleh masyarakat.

Rangkap 2

Dalam kesedihan para balu penuh reda merestui kehilangan suami mereka yang berjuang demi agama, bangsa dan negara. Mereka sendiri tidak pasti akan masa depan mereka. Anak-anak para pejuang pula bersumpah untuk menerusan perjuangan ayah mereka yang masih dianggap belum selesai.

Rangkap 3

Masyarakat masih belum berupaya menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya. Rakyat negara ini perlu ingat bahawa maruah negara sebenarnya masih terhukum kerana tanah air kita pernah tergadai kepada bangsa yang kononnya pernah berjasa dan memakmurkan negeri ini. Atas nama kemerdekaan kesilapan mereka dilupakan.

Rangkap 4

Sebenarnya kemerdekaan negara kita telah dicemari dengan anak watan yang berjiwa lemah, bahasa kita terpinggir, dan moral anak watan semakin runtuh . Siapakah yang bersalah sehingga anak-anak muda terpengaruh dengan budaya barat dan orang-orang tua masih bersikap tamak haloba. Sebagai sebuah negara merdeka, tindakan perlu dilakukan untuk menentukan nasib dan masa depan anak bangsa kita

MAKSUD KESELURUHAN


Penyajak kesal kerana pejuang-pejuang tanah air yang gugur telah dilupakan jasa mereka. Pusara mereka terbiar dan semangat keberanian mereka tiada dalam diri anak watan. Kehilangan mereka ditangisi oleh para isteri namun mereka reda atas pemergian suami demi agama, bangsa dan negara meskipun nasib masa depan mereka tidak terjamin. Anak-anak pejuang bersumpah untuk meneruskan perjuangan. Kita masih belum menghayati erti kemerdekaan kerana jiwa kita masih terbelenggu dengan bangsa penjajah. Kita tidak menyedari bahawa minda anak bangsa kita dijajah oeh anasir-anasir barat yang merosakkan bahasa dan meruntuhkan moral. Sebagai sebuah negara merdeka, kita sebenarnya berhak menentukan nasib dan masa depan anak bangsa kita sendiri.

TEMA


Semangat cinta akan tanah air. Para pejuang berjuang melawan musuh negara dan setelah kemerdekaan dikecapi jasa dan bakti mereka dilupakan. Namun para isteri merelakan pemergian mereka dan anak-anak mereka pula berjanji untuk meneruskan perjuangan tersebut. Cthnya; bersumpah penuh setia pertiwi
Berjanji menyambung perjuangan
Yang belum bertemu sudahnya

PERSOALAN-PERSOALAN


Persoalan pengorbanan. Para pejuang kemerdekaan sanggup berkorban nyawa mempertahankan tanah air dari kekejaman komunis

Persoalan kejujuran. Jasa dan bakti para pejuang tanah air perlu dikenang dengan penuh kejujuran kerana sumbangan mereka memerdekakan negara ini.

Persoalan kasih sayang. Para isteri merelakan pemergian suami mereka sebagai tanda cinta dan kasih sayang terhadap suami yang berjuang.

Persoalan kepincangan moral anak muda. Anak muda sebagai generasi pewaris merdeka mudah terpengaruh dengan budaya yang boleh meruntuhkan maruah generasi merdeka.

Persoalan mengenang jasa. Anak-anak para pejuang masih mengenang jasa dan bakti ayah mereka dan berjanji untuk meneruskan perjuangan yang masih dianggap belum selesai.

BENTUK


Sajak ini terdiri daripada empat rangkap

Jumlah baris dalam setiap rangkap tidak sekata. Rangkap pertama dan kedua mempunyai 12 baris, rangkap ketiga 11 baris dan rangkap akhir terdiri daripada 14 baris.

Bilangan kata dalam setiap baris tidak tetap. Terdapat antara satu hingga enam patah perkataan dalam setiap baris

Bilangan suku kata dalam setiap baris adalah tidak sekata. Suku kata yang terdapat dalam setiap baris di antara 4 hingga 12 suku kata

Rima akhir sajak ini tidak terikat.

Sajak ini berbentuk bebas

GAYA BAHASA


Metafora
Contoh : di ribaan terang gelap masa depan
Perang saraf

Sinkof
Yang tak pernah subur

Kata Ganda
Contoh : hutang-piutang

Asonansi
Sewaktu gugurnya mereka dengan
(pengulangan bunyi huruf vokal a)

Merdeka dalam perang
(pengulangan bunyi huruf vokal e)

Aliterasi
Peradaban seorang hamba Tuhan
(pengulangan bunyi huruf konsonan n)

Menyebut makna merdeka
(pengulangan bunyi huruf vokal m)

Anafora
Tentang wangsa yang kuning minda-
Tentang yang berusia senja

Inversi
Contoh : Belum siapa pasti

Pengulangan
Contoh : semakin runtuh – semakin hancur

NADA SAJAK


Sajak ini bernada patriotik. Penyajak menyanjung jasa para pejuang yang terkorban demi memerdekakan tanah air dari musuh negara.Cthnya:
Ke mana hilangnya pusara wira
Bersemangat waja legenda

PERASAAN DAN SIKAP PENYAJAK


Penyajak merasa kecewa sikap tidak mengenang budi masyarakat. Kekecewaan penyajak terhadap masyarakat yang tidak prihatin terhadap pengorbanan para pejuang. Pusara mereka diabaikan dan keluarga mereka terbiar tanpa pembelaan.

Penyajak terharu dengan nasib para isteri pejuang yang kehilangan para suami sedangkan mereka berhadapan dengan masa depan yang tidak pasti.

Penyajak menegaskan bahawa nasib golongan muda perlu diberi perhatian. Nasib masa depan anak bangsa terletak di tangan kita dan langkah untuk memperbetulkan kesilapan anak muda perlu diambil segera.

Penyajak kesal terhadap golongan yang bertindak menjadi petualang negara tetapi atas dasar kemerdekaan kesalahan mereka diabaikan.

NILAI


Simpati. Penyajak bersimpati dengan nasib para pejuang bangsa yang dilupakan jasa dan sumbangan mereka dalam mempertahankan tanah air

Berani. Anak-anak para pejuang bangkit dengan berani untuk menyambung perjuangan ayah mereka yang telah terkorban


Rasional. Penyajak mengajak pembaca secara rasional bertindak untuk membela nasib generasi muda agar memahami makna kemerdekaan yang sebenarnya

PENGAJARAN


Kita mesti menghargai jasa pejuang tanah air yang telah berjuang menuntut kemerdekaan.

Kita haruslah berani mempertahankan tanah air daripada pihak yang ingin melihat negara ini hancur

Seseorang isteri mesti reda akan kematian suami demi mempertahankan tanah air

Seorang isteri harus tabah menghadapi dugan hidup selepas kehilangan suami yang berjuang.

Kita mesti mengekalkan kemerdekaan tanah air yang telah diperjuangkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan

Anak-anak bangsa perlu menghayati erti kemerdekaan agar mereka mencintai negara ini.

Kita jangan mudah terpengaruh dengan anasir luar yang boleh merosakkan minda.

Comments

  1. assalam,

    salam ukhuwah dan salam satu blogger dari bunda...

    ReplyDelete

Post a Comment