Membaca Cinta Zainab


Berikut adalah petikan daripada novel Di Bawah Lindungan Kaabah karya Pak Hamka. Temui keindahan bahasa garapan Pak Hamka. Lentur kata yang membingkai emosi dan rangkai cinta Zainab dan Hamid. Bagaimana bahasa bermain dengan keindahannya menyentuh saraf emosi dan gedung jiwa pembaca.



Petikan Satu

“Zainab! Mengapa engkau menangis pula, sahabat? Tidakkah di rumah yang sepermai ini sarang orang yang berdukacita.Di rumah yang indah-indah dan gedung yang permai, yang di kiri kanannya dikelilingi oleh kebun-kebun yang subur, cukup dengan orang-orang gajian yang setia, tiadalah patut terdapat orang yang mengalirkan airmata. Disana tidaklah ada kesedihan dan kedukaan.”

Zainab menjawab: “Salah sekali persangkaanmu, sahabat! Bahawasanya airmata tidaklah ia memilih tempat untuk jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun. Airmata adalah kepunyaan bersyarikat, dipunyai oleh orang-orang yang melarat yang tinggal di dangau-dangau yang buruk, oleh tukang sabit rumput yang masuk ke padang yang luas dan ke tebing yang curam, dan juga oleh penghuni gudang-gudang yang permai dan istana-istana yang indah. Bahkan di situlah lebih banyak orang menelan ratap dan memulas tangis. Luka jiwa yang mereka hidupkan, dilingkung oleh tembok dinding yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan oleh orang di luar penuh dengan kepahitan.”

“Kesedihan orang lain lebih merdeka dan lebih puas, dapat ia menerangkan fahamnya yang tertumbuk kepada alam yang sekelilingnya, dapat pula mereka lupakan dan menghilangkan. Tetapi di rumahtangga yang sebagai ini, kedukaan akan dirasakan sendiri, airmata akan dicucurkan seorang, rumah dan gedung menjadi kubur kesedihan yang tiada berhujung”. Airmata Zainab kembali jatuh.


Petikan Dua

“Waktu itu isteriku menjawab,” kata Salleh, ujarnya: “Tidak Nab, cinta itu adalah perasaan yang mesti ada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci, cuma tanahnyalah yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipuan, langkah serong dan lain-lain perangai yang tercela. Tetapi kalau ia jatuh ke tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budipekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji. Saya tiada hendak menghinakan engkau kerana jatuh cinta padanya, wahai sahabatku Zainab, dan saya banyak pula membaca dalam buku-buku, bahawa biasa cinta yang suci bersih itu tidaklah tumbuh dengan sendirinya, kerana jiwa itu bertemu dengan batin, dalam azal (baka) kejadian Allah sebelum badan kasar manusia ini berkenalan. Itulah kuasa ghaib yang perlu kita percayai. Sebab itu saya percaya bahawa cintamu tak jatuh ke pasir tentu saja Hamid mencintai engkau pula; tidaklah jiwa engkau tertarikh mengingat akan dia, kalau kiranya jiwanya tak mengingat engkau pula. Hati orang yang bercinta mempunyai mata, ia dapat melihat barang yang tak dilihat oleh orang lain.”


Petikan Tiga

Negeri Pariaman hijau nampaknya dari jauh, ombak memecah dan menderum tiada berhenti memukul pasir tepi itu. Di sana kami berlari- larian mengejar ambai-ambai yang segak dan lekas lari ke sarangnya. Kadang-kadang kami buat unggunan pasir sebagai rumah-rumah atau masjid-masjid. Tiba-tiba datang ombak yang agak besar, dihapuskannya unggunan yang kami dirikan itu; anak-anak perempuan lari ke tepi menyinsingkan tepi bajunya, takut tersiram air laut.
Waktu orang berlimau, sehari akan puasa, kami dibawa ke atas puncak Gunung Padang, kerana di sanalah ayahku berkubur, dan beberapa famili ibu Zainab. Saya disuruh membawa air wangi dalam botol. Zainab mambawa bunga-bungaan dan ibuku serta ibunya mengiringi dari belakang.

Semuanya masih tergambar dalam fikiran saya hari ini. Masih saya ingat bahawa persaudaraan kami suci dan ikhlas adanya, dari tahun berganti tahun, sampai kami tamat dari sekolah pertengahan. Amat besar budi Engku Haji Jaafar kepada saya. Banyak kepandaian yang telah saya peroleh kerana kebaikan budinya itu. Dari sekolah rendah (H.I.S) saya sama-sama naik dengan anaknya menduduki Mulo.


Petikan Empat

Zainab menjawab: “Salah sekali persangkaanmu, sahabat! Bahawasanya airmata tidaklah ia memilih tempat untuk jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun. Airmata adalah kepunyaan bersyarikat, dipunyai oleh orang-orang yang melarat yang tinggal di dangau-dangau yang buruk, oleh tukang sabit rumput yang masuk ke padang yang luas dan ke tebing yang curam, dan juga oleh penghuni gudang-gudang yang permai dan istana-istana yang indah. Bahkan di situlah lebih banyak orang menelan ratap dan memulas tangis. Luka jiwa yang mereka hidupkan, dilingkung oleh tembok dinding yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan oleh orang di luar penuh dengan kepahitan.”

“Kesedihan orang lain lebih merdeka dan lebih puas, dapat ia menerangkan fahamnya yang tertumbuk kepada alam yang sekelilingnya, dapat pula mereka lupakan dan menghilangkan. Tetapi di rumahtangga yang sebagai ini, kedukaan akan dirasakan sendiri, airmata akan dicucurkan seorang, rumah dan gedung menjadi kubur kesedihan yang tiada berhujung”. Airmata Zainab kembali jatuh.



Dapatkan edisi penuh novel ini di pasaran

Comments