Kesusasteraan Melayu Komunikatif 3 : Pengurusan



Pengurusan Kegiatan Sastera

Ada dua bidang asas yang difokuskan dalam aspek pengurusan. Pertama asas pengurusan dan kedua adalah pengurusan organisasi sastera. Inilah dua fokus yang ditumpukan dalam bahagian kedua Kertas 3 Kesusasteraan Melayu Komunikatif. Kertas ini akan ditawarkan dalam Semester Ketiga pengajian.

Dalam aspek asas pengurusan apa yang perlu difahami adalah berkaitan dengan ilmu pengurusan. Ia meliputi perancangan, pengorganisasian, tenaga kerja, kepimpinan, dan kawalan. Segala maklumat tentang aspek pengurusan ini dapat dibaca melalui buku-buku pengurusan yang tersedia dijual di pasaran. Yang penting adalah kita memahami segara asas apakah yang menjadi kunci dalam aspek pengurusan ini. Sebenarnya ilmu ini cukup membantu kita dalam memahami asas pengurusan. Ia dapat kita gunakan apabila kita berhadapan dengan tugas yang perlu dilaksanakan sama ada dalam aspek kerjaya atau organisasi. Pengetahuan dalam bidang pengurusan membolehkan kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih mudah, praktikal dan berfokus. Tidak ada yang merugikan kita dalam mempelajari asas pengurusan ini meskipun fokus kita adalah sastera.

Asas pengurusan dari aspek teori ini nanti akan dijabarkan ke dalam teks kajian sastera. Kita akan berhadapan dengan teks kajian dan akan melihat ke dalam teks tersebut bagaimana elemen pengurusan ini dipraktikkan dalam penceritaan pengarangnya. Bagaimana sebuah karya sastera ini dapat membawa dunia pengurusan dalam penceritaannya. Kita akan melihat bagaimana aspek pengurusan ini diberi penekanan sesuai dengan teori yang dipelajari.


Mengapakah teori pengurusan digunakan dalam karya sastera? Karya sastera asebenarnya boleh dilihat dari pelbagai sudut ilmu. Ada yang melihat dari aspek psikologi, sosiologi, keagamaan, falsafah, bahasa, dan sebagainya. Ia kemudiannya menjadi sudut kritikan sastera seperti kritikan psikologi, pendekatan falsafah, estetik atau stilistika, dan strukutral. Apa yang menjadi dasar kepada pendekatan kajian itu adalah sudut ilmu bantu yang diguna pakai oleh pengkritik atau pengkaji.

Bersesuaian dengan pembaharuan ilmu yang bercambah maka ilmu pengurusan dan teori pengurusan boleh dijabarkan sebagai sudut pandangan dalam penelitian sesebuah karya sastera. Ilmu pengurusan ini sebenarnya dilihat lebih berdayasuai dengan keperluan semasa khalayak. Banyak karya sastera sezaman yang membawa elemen pengurusan dalam karya mereka dan ia menjadi karya besar yang diminati. Karya-karya seperti The Business oleh Iain Banks. Malah novel sedemikian jauh lebih membawa kepada alam perdagangan dan keusahawanan. Tetapi asas pengurusan dalamnya masih boleh dipelajari dengan melihat kepada episod dan perisitiwa dalam novel. Perkara yang sama dapat dilihat dalam Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris Mas. Iaitu mempelajari apakah selok belok pengurusan yang berjaya dipaparkan dalam karya berkenaan.

Pengurusan organisasi sastera pula merupakan elemen kepada aspek memasyarakatkan sastera. Ia berkait rapat dengan pengurusan organisasi, serta pengurusan aktiviti atau projek sastera atau seni seperti seminar, hari sastera, baca puisi, sayembara, pertemuan sastera, kolokium, dan sebagainya. Ia lebih berfokus kepada aktivis atau pelaksana dalam menyuburkan kegiatan sastera di tanahair. GAPENA misalnya merupakan sebuah pertubuhan bahasa dan sastera yang aktif dalam mengadakan kegiatan sastera tanahair.

Fokus pertama adalah kefahaman terhadap pengelolaan organisasi sastera. Teori pengurusan yang dipelajari boleh dijabarkan dalam pengurusan organisasi ini. Selain itu pengetahuan berkaitan dengan sesuatu organisasi bukan kerajaan yang menjuruskan kegiatan dalam bidang sastera, bahasa, dan seni haruslah dimiliki. Sekarang ini banyak organisasi seperti ini yang boleh dihubungi dan mendapatkan maklumat berkaitan dengan struktur organisasi dan kegiatan masing-masing. Kajian lapangan adalah aktiviti terbaik untuk mendapatkan maklumat sebegini. Kita hendaklah memahami bagaimana struktur organisasi itu dan bagaimana urustadbirnya dilaksana. Selain itu kita juga perlu mengetahui bidang-bidang kegiatan yang menjadi tumpuan dalam organisasi berkaitan. Pengetahuan ini mustahak agar kita mendapat maklumat yang berguna untuk digunakan dalam kajian yang dilakukan. Perjumpaan dengan organisasi yang diatur secara tersusun akan dapat membantu. Kerjasama organisasi seperti Persatuan penulis tempatan, Pertubuhan Drama dan sebagainya boleh memberi input yang berguna.

Dalam aspek pengurusan organisasi sastera pula, kita hendaklah benar-benar dapat menguasai bagaimana sesuatu kegiatan atau projek sastera itu dilaksanakan. Kita pernah mendengar tentang Anugerah Sasterawan Negara, Pementasan drama, Kegiatan baca puisi, seminar sastera, dan sebagainya. Semua ini tergolong dalam aktiviti sastera bertujuan untuk mengkhalayakkan sastera. Dalam bahagian ini kita perlu mendapat banyak maklumat bagaimana untuk mengurus suatu projek atau kegiatan sastera secara berkesan.

Pengalaman dalam mencari informasi kegiatan sastera ini akan banyak membantu kita memahami selok belok kegiatan atau projek sastera dilaksana. Jika ada kegiatan sastera seperti pementasan drama, deklamasi puisi, seminar, kolokium, monodrama, dan sebagainya ambillah peluang untuk melibatkan diri sebagai peserta. Pengalaman ini berguna untuk kita memahami bagaimana kegiatan dilakasanakan. Ia memerlukan banyak maklumat kerana pengurusan projek sebegini berkait dengan banyak pihak lain pula.

Misalnya dalam kegiatan baca puisi ia harus dimulai dengan perancangan dan penubuhan jawatankuasanya. Sudah pasti sesebuah projek memerlukan kertas kerja atau kertas cadangan yang sempurna. Dari kertas perancangan inilah akan bermula perancangan lain seperti penubuhan jawatankuasa, promosi, pengisian kegiatan, tempat program, jemputan, perasmian, penyertaan, dan sebagainya. Inilah masanya kita belajar menyusun gerak kerja yang teratur untuk menentukan langkah mula dan di manakah titik mula untuk memulakan projek ini. Deraf perancangan hendaklah ada serta dibincangkan panjang lebar untuk memastikan aspek-aspek penting dalam melaksanakan aktiviti tidak terabai. Pengalaman begini besar manfaatnya. Ia tidak mudah dicapai melalui pembacaan melainkan kita sendiri melibatkannya. Sebagai cadangan adakan program baca puisi. Lakukanlah sebagaimana perancangan dan tindakan sehingga program itu terhasil. Apa yang dilakukan melalui pengalaman hands on begini jauh lebih berguna dari bacaan semata-mata

Begitulah secara ringkas keperluan dan persiapan untuk berhadapan dengan bahagian pengurusan sastera ini. Tidak ada yang tidak mampu diteroka dan dilaksana melainkan kita tidak memulakannya.

Mulalah sekarang untuk memahami aspek-aspek pengurusan organisasi dan kegiatan sastera, dan bertanya mereka yang arif.

Kita harus mengalaminya barulah kita memperolehi ilmunya.




Bahagian Kedua 


KEGIATAN SASTERA KARYAWAN PK
oleh Talib Samat

PERSATUAN Karyawan Perak (Karyawan Pk) mengatur pelbagai kegiatan untuk membangunkan seni dan kesusasteraan di negeri Perak. Dengan sokongan pelbagai pihak khususnya kerajaan negeri, Karyawan Pk yakin semua perangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Presiden Karyawan Pk, Haji Zabidin lsmail berkata, pelbagai kegiatan yang dirancangkan dan sebahagian besarnya telah dipersetujui oleh kerajaan negeri Perak.

Antara rancangan besar dan penting itu termasuklah mengwujudkan semula Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-4. Hadiah ini adalah penghargaan kepada para penulis Perak kerana sumbangan yang diberikan dalam pengembangan bahasa dan sastera Melayu.

Tambah Haji Zabidin, hadiah-hadiah penulisan diberikan untuk karya-karya yang tersiar atau diterbitkan sepanjang tahun 2010-2012 sama ada dalam bentuk buku, majalah atau akhbar dan skrip drama yang pernah disiarkan di radio, televisyen atau dipentaskan.

Menurut beliau lagi, Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-4 anjuran Kerajaan Perak dan Karyawan Pk juga akan mengurniakan Anugerah Sasterawan Perak Darul Ridzuan bersama wang tunai RM10,000 dan Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan (RM7,000) kepada tokoh-tokoh penulis Perak yang telah mengharumkan nama Perak di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Di samping itu seperti diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu majlis di Koloni Karyawan Perak (PORT), Ipoh, Perak akan mengadakan Kongres Penyair Sedunia ke-33 pada Oktober depan di Ipoh. Perak dipilih sebagai tuan rumah Kongres Penyair Sedunia ke-33 yang dianggap suatu penghormatan kepada Perak yang banyak melahirkan penulis, penyair dan sasterawan di negara ini.

Karyawan Pk dan kerajaan negeri akan menggerakkan usaha penyusunan buku Biografi 200 Penulis Perak Kreatif dan Non Kreatif. Buku bercorak biografi penulis Perak ini diselenggarakan oleh Mohd. Zamberi Abdul Malik, Talib Samat dan Zabidin sendiri.

Dalam usaha memupuk bakat dan memantapkan kefahaman masyarakat dengan teknik penulisan biografi, memoir dan autobiografi, Karyawan Pk dengan kerjasama Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Kursus Penulisan Biografi, Memoir dan Autobiografi pada 19 hingga 20 April ini di Hotel Seri Malaysia, lpoh.

Antara penceramah kursus penulisan itu ialah Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh dan Mohd Samsuddin dari UKM.

Bagi mereka yang berminat menyertai kursus penulisan itu bolehlah menghubungi Setiausaha Karyawan Pk, Onn Abdullah di talian 016-5360864 atau emel mas-onn@yahoo.com.my

Sementara itu menurut Onn, yuran RM150 (menginap di Hotel Seri Malaysia), RM80 (tidak menginap di hotel) dikenakan kepada peserta kursus yang terbuka kepada orang ramai.

Di samping itu Karyawan Pk dengan kerjasama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Muzium Matang (Kota Ngah Ibrahim), Persatuan Persuratan Melayu, UPSI akan menganjurkan Seminar Mengenang Perjuangan Almarhum Sultan Abdullah pada 2 Mei ini pukul 8 pagi hingga 2 petang.

Antara pembentang kertas kerja termasuklah Prof. Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi (USM), Prof.Madya Dr. Mohd.Rosli Saludin (UPSI), Muhd. Nazri Zainuddin (UPSI), Mohd. Zamberi Abdul Malik dan Cikgu Alang lbrahim Mohd. Said.

Sempena majlis itu juga akan dilancarkan buku-buku terbaru terbitan Penerbit Mentari iaitu Menjejaki Pulau Seychelles (Travelog Seychelles Jilid 2), Biografi Lapan Orang Pemegang Gelaran Tengku Menteri, Kenali Tokoh Perak Terpinggir Tetapi Berjasa Jilid 1 dan Jilid 2.
Majlis ilmu ini terbuka kepada umum. Keterangan lanjut tentang majlis ini bolehlah menghubungi saya sendiri, Talib Samat di talian 012-2269740 atau emel dr.talibsamat@yahoo.com

Sumber : Utusan Malaysia

Comments