28 Jun 2013

Karya Agung Faust

 

PENANTIAN 240 TAHUN
Seni estetika tinggi sentuhan karya agung

Apakah dua faktor ekstrinsik yang mendorong minat kita terhadap sastera besar atau sastera agung dunia? Pertama, faktor emosi terhadap sesebuah karya yang dapat dikaitkan dengan keagamaan atau kerohanian. Bagi sesetengah orang Islam, dorongan itu mendekatkan mereka kepada sastera sufi, umpamanya Mathnawi oleh Rumi, Qasidat-ul-Burda karya al-Busiri, dan Persidangan Burung ciptaan Farid a-Din Attar.

Kedua, faktor bahasa asing pertama yang kita kuasai. Bagi orang Melayu yang menguasai bahasa Arab, mereka boleh mengikuti sastera sufi yang disebut di atas langsung daripada bahasa asalnya. Bagi mereka yang tidak menguasai bahasa Arab, mereka membaca karya terjemahan dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada kita pula menguasai bahasa Inggeris, menyebabkan kita lebih didedahkan kepada sastera Inggeris.

Kita sebenarnya mempunyai warisan karya-karya agung kita sendiri. Dua daripadanya ialah Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu). Dalam masyarakat kita sendiri, karya-karya ini sudah beredar begitu lama, sejak karya itu dihasilkan.


Pada mulanya karya itu disalin dalam bentuk manuskrip tulisan tangan dalam tulisan Jawi. Apabila mesin cetak diperkenalkan ke negara kita pada awal abad ke-19, karya-karya terbabit dicetak dan dapat diterbitkan dengan banyak. Selain versi tulisan Jawi, karya-karya itu juga ada dalam versi tulisan rumi, iaitu huruf yang boleh dikatakan datang bersama-sama penjajahan Barat.


Dua gandingan

Huruf rumi dan penjajahan Barat, khususnya Inggeris adalah dua gandingan yang mencorakkan pemahaman sebahagian daripada kita terhadap sastera yang dianggap baik. Karya-karya sastera Inggeris diperkenalkan kepada pelajar negara ini sejak 1940-an atau lebih awal dari tarikh itu, sama ada di sekolah misionari, sekolah Inggeris, dan malah sekolah Melayu (melalui terjemahan).

Demikianlah kita dihidangkan dengan The Cantebury Tales oleh Chaucer, drama-drama Shakespeare, Gullivers Travels oleh Swift, novel-novel karya Defoe, Richardson, Jane Austin, DH Lawrence dan sebagainya. Perkenalan terhadap sastera Inggeris saja sudah melupakan kita akan hakikat wujudnya karya besar di sekeliling England seperti di Perancis, Jerman dan lain-lain lagi.

Kendala menguasai bahasa asing selain Inggeris mengakibatkan kita agak terlewat mengikuti karya-karya besar dari negara lain kerana kita harus mencari versi terjemahan Inggerisnya. Lebih lewat lagi apabila kita harus menunggu pula versi bahasa Melayu yang diterjemahkan daripada versi bahasa Inggeris daripada bahasa asalnya! Inilah situasi yang menyebabkan karya pengarang Perancis dan Jerman tiba lewat kepada kita.

Di Perancis umpamanya, karya besar muncul daripada penulis seperti Rabelais (Gargantua dan Pantagruel), Victor Hugo (Les Miserables), dan Flaubert (Madame Bovary). Di Jerman karya-karya sastera yang menarik antara lain sudah dihasilkan oleh Thomas Mann, Hermen Hesse, Franz Kafka, Gunter Grass serta Goethe dengan drama besarnya, Faust.

Tunggu 240 tahun

Apabila baru-baru ini Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) melancarkan Faust dalam bahasa Melayu, kita sebenarnya menunggu karya agung ini selama kira-kira 240 tahun sejak kali pertama diterbitkan di Jerman. Ini bukan saja akibat perhatian kita yang selama ini lebih berfokus kepada sastera Inggeris, tetapi juga masalah menemukan penterjemah yang cukup berwibawa, yang mendalami nuansa bahasa Jerman dan bahasa Melayu dengan baik.

Selain menunggu kira-kira 240 tahun, kita juga sebenarnya menunggu seorang Latiff Mohidin untuk dapat menterjemahkan Faust ke dalam bahasa Melayu. Latiff terdidik selama empat tahun di Academy of Fine Arts, Berlin. Beliau menguasai bahasa Jerman dengan baik. Beliau juga seorang penyair Melayu berbakat besar yang menghasilkan beberapa kumpulan puisi seperti Sungai Mekong, Kembara Malam, Wayang Pak Dalang, Pesisir Waktu dan sebagainya.

Seorang penyair biasanya melalui proses penyaringan idea, pemilihan diksi yang teliti, menyelami dunia bayangan bagi mencari mutiara metafora, dan menekuni bentuk, warna serta rentak bahasa, agar puisinya indah dan hidup di atas kertas. Apabila seorang penyair seperti Latiff sudah menempuh proses terbabit, ditambah pula dengan penguasaan bahasa Jerman, tidaklah menghairankan jika Faust hadir di hadapan kita dalam bahasa Melayu yang indah, bersahaja serta merangsang emosi dan intelektual kita.

Merangsang karya besar

Baik pengarang muda mahupun pengarang mapan, mereka harus menekuni dan membiasakan diri membaca serta menghayati karya agung dunia. Ini boleh merangsang mereka untuk melahirkan karya besar.

Anggota masyarakat juga wajar membaca karya besar dan agung. Melalui pembacaan dan penghayatannya, kita menikmati seni estetika tinggi dan dalam masa sama memperkaya pengalaman kemanusiaan dan menambah kebijakan.

Berita Harian


Faust sentuhan Latiff Mohidin
06 Mar 2013 - Berita Harian


Tokoh seni negara dan penerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1984, Latiff Mohidin, kembali menggegarkan dunia seni Malaysia apabila menterjemahkan Faust karya agung kesusasteraan Jerman berusia 205 tahun tulisan Johann Wolfgang Von Goethe.

Faust yang diterbitkan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) adalah sebahagian daripada naskhah sastera antarabangsa yang ditangani ITBM di bawah projek penerbitan Karya Agung Dunia dan institut berkenaan sebelum ini menterjemahkan puisi enam jilid karya Jalalludin Rumi, Mathnawi, pada 2012.

Karya istimewa Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron, berkata Faust menjadi lebih istimewa kerana ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan teliti dan puitis oleh Latiff yang bukan saja mampu berbahasa Jerman dengan baik, tetapi juga pernah menuntut di negara bekas komunis itu dan memahami budaya Jerman.

"Membaca terjemahan Faust seolah-olah membaca naskhah asal yang ditulis dalam bahasa Melayu. Ia menjadikan Faust cukup istimewa. Penterjemahan dan penerbitan buku ini dibuat atas dasar kepentingan wacana sastera bermutu tinggi perlu diketengahkan dalam masyarakat pembaca berbahasa Melayu rantau ini," katanya yang menekankan Faust berasal dari benua Eropah dipilih untuk diterjemahkan kerana nilai ilmiah, falsafah dan nilai tinggi estetika yang terkandung di dalamnya.

Kemunculan kembali Naskhah terjemahan Faust dilancarkan baru-baru ini oleh Sasterawan Negara (SN) Ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan, di Cinnamon Cafe, Hotel One World, menandakan kemunculan kembali Latiff dalam dunia seni negara dan diraikan lebih 200 khalayak dengan kebanyakan mereka ialah penulis, pelukis dan pengkritik seni.

Latiff ketika ditemui Sastera menyifatkan projek penterjemahan Faust yang mengambil masa dua tahun adalah kerja yang memenatkan, tetapi nikmat, tetapi beliau belum merancang untuk menterjemahkan bahagian kedua Faust atau naskhah lain Jerman.

Faust adalah drama yang terbahagi kepada dua bahagian dan ditulis pada 1808 dengan bahagian pertama ialah Faust; Der Trag'dieerster Teil (Faust: Tragedi Bahagian Pertama) dan Faust; Der Trag'die zweiterTeil (Faust: Tragedi Bahagian Kedua).

Latiff yang lama menghilang dalam dunia penulisan dan catan kembali menggegarkan dunia seni negara dengan dua pameran catannya; Siri Serangga yang diadakan di Bank Negara Malaysia bermula 28 November 2012 hingga 28 Januari lalu, manakala pamerannya di Balai Seni Visual Negara (BSVN) bermula pada 12 Disember 2012 hingga 15 Jun ini.
Sumber : ITBM

 

 Majlis Pelancaran Buku Terjemahan Drama Klasik Faust

oleh SN Anwar Ridhwan

28 Februari 2013 (Khamis) | 3.00 petang | Cinnamon Coffee House, One World Hotel

Yang Berusaha Encik Mohd. Khair Ngadiron,
Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Yang berbahagia Dr. Michael Feiner,
Pemangku Ketua Perwakilan Jerman di Malaysia.

Sdr Latiff Mohidin,
Penterjemah buku Faust, pelukis dan penulis terkenal tanah air.


Dif-dif kehormat, jemputan-jemputan khas, para sasterawan, penulis, pihak media, tuan-tuan dan puan-puan yang saya dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya dapat kita bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Buku Terjemahan Drama Klasik Faust versi bahasa Melayu terjemahan Latiff Mohidin. Majlis yang dianjurkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) ini, pada hemat saya melakar satu lagi kejayaan dan usaha penting yang dilaksanakan dalam penerbitan, apabila sebuah buku Karya Agung Dunia yang sangat terkenal akan dilancarkan dan dipersembahkan kepada umum sebentar sahaja lagi.

2. Atas sebab-sebab penjajahan, dari kecil kita sudah diperkenalkan kepada lagu kanak-kanak, serta karya sastera negara penjajah kita. Padahal di luar dari lingkungan itu, terdapat seaneka karya sastera besar dan agung. Salah satu daripadanya dari Jerman, iaitu Faust yang dilancarkan pada petang ini.

3. Faust adalah karya terbesar penulis tersohor Jerman, Johann Wolfgang von Goethe selepas karyanya yang lain seperti Stella, Egmont, Torquata Tasso dan sebagainya. Pada hemat saya setiap pelajar teater belum sempurna pembelajarannya jika belum membaca dan menghayati karya drama besar, termasuk Faust ini.

4. Masyarakat Malaysia, khususnya pendukung dan golongan penting bidang sastera tanah air wajar berasa bangga, apabila buku terjemahan klasik Faust karangan Goethe dilancarkan di sini, dan meletakkan Latiff Mohidin sebagai seorang penterjemah berwibawa yang berjaya mengungkapkan versi klasik Jerman ke dalam bahasa Melayu, dengan leretan puisi yang begitu indah dan setia kepada pengungkapan aslinya; seterusnya diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia dalam bentuk yang berprestij dengan ciri penerbitan istimewa. Dengan bentuk ini, karya klasik terkenal ini dapat dinikmati, dihayati dan dikongsi oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara kita. Kita perlu menunggu kira-kira 240 tahun, dan seorang seniman-penterjemah tempatan yang menguasai bahasa Jerman dengan baik, iaitu Latiff Mohidin, untuk dapat menatap Faust dalam bahasa Melayu.

5. Faust menjadi sebuah karya agung Jerman, dan sebagaian sastera besar dunia, kerana keterampilan seni pengarangnya mengangkat tema besar tentang kehidupan manusia yang tidak abadi ini, yang masuk ke jagat logosentrisme. Kreativitinya meluaskan dimensi horisontal kita untuk memahami jiwa manusia, dan dalam masa yang sama mengangkat dimensi vertikal kita akan yang Maha Agung. Penanjakan dimensi vertikal ini bagaimanapun, mungkin menimbulkan persoalan rumit tentang tanzil, atau antropomorfik dalam kalangan kita, terutamanya dalam bahagian ‘Prolog di Langit’ apabila Maha Agung diturunkan ke pentas oleh pengarangnya.

6. Karya Faust ini masih berpengaruh sehingga kini dan dikatakan mempunyai pesona yang besar dalam dunia sastera, teater dan kegiatan seni, khususnya di benua Eropah. Karya ini sudah banyak difilemkan dan ia menjadi perbahasan khusus dalam dunia sastera. Lantaran itu, saya mengalu-alukan usaha ITBM menerbitkan terjemahan drama klasik Faust yang akan dapat mempererat hubungan sastera dan ilmu kedua-dua negara iaitu Jerman dan Malaysia.

7. Keperluan melakukan transformasi dalam persekitaran yang semakin berubah amat dituntut seandainya kita ingin terus kekal berdaya saing seiring dengan negara maju lain. Ini juga proses yang harus dilalui oleh seseorang penulis tempatan jika kita ingin sampai ke pentas sastera dunia. Perubahan yang banyak dilakukan oleh ITBM sejak kebelakangan ini dan penerbitan pelbagai karya agung, sastera dan klasik yang diusahakannya merupakan suatu bentuk perubahan yang diambil oleh ITBM dalam menerajui dunia penerbitan negara, yang harus dimanfaatkan oleh penulis-penulis tempatan. Melalui penerbitan karya sastera luar, ITBM berjaya mengorak langkah lebih jauh mendepani penerbit yang lain dan mempunyai peluang yang lebih besar untuk menerokai dunia baharu di luar sempadannya. Saya mengucapkan tahniah atas usaha konsisten dan kejayaan ITBM meneroka jauh ke pasaran penerbitan antarabangsa.

8. Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan sukacita melancarkan Buku Terjemahan Drama Klasik Faust karya Johann Wolfgang von Goethe yang diterjemahkan oleh Latiff Mohidin. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dalam memperbanyak khazanah ilmu dan menyemarakkan penerbitan karya sastera di Malaysia.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena