Hadiah Sastera Perdana Malaysia



Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 mengiktiraf 35 karya sastera yang diterbitkan dalam bentuk buku dan karya eceran yang tersiar dalam akhbar, majalah, jurnal dan buku atau karya yang dipentaskan untuk skrip drama.

Bagi kategori A iaitu melibatkan penerbitan buku atau kumpulan karya perseorangan, setiap pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

Pemenang-pemenang kategori itu ialah Kamaludin Endol atau nama penanya, Pelita di dalam Kaca dengan novel berjudul Baldatun Thoiyyibatun, terbitan Pustaka Kanzun Mahfiyyan pada tahun lalu.

Pemenang lain ialah S.M. Zakir dengan kumpulan cerpen berjudul Serigala dan Sekuntum Tulip terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP);

Marzuki Ali yang menghasilkan kumpulan puisi Khazanah Segala Rimbun dan Dr. Noriah Taslim yang menulis tentang kajian sastera Lisan dan Tulisan Teks dan Budaya.

Sementara itu, bagi kategori B iaitu karya eceran, sebanyak 28 buah karya cerpen, puisi, esei atau kritikan sastera serta drama diiktiraf dengan setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM2,000.

Bagi karya cerpen, antara pemenangnya ialah Dr. Mawar Safei dengan karya berjudul Benarlah Kata Angin Itu dan Saya Meneruskan Perjalanan, Mohd. Lutfi Ishak (Orang Budiman dan Negeri Seribu Gunung) serta Aidil Khalid (Taaruf).

Bagi karya puisi pula, 10 karya dipilih sebagai pemenang. Antara pemenangnya ialah Arbak Othman dengan karya berjudul Seluas-luasnya dan Setenang-tenangnya, Zaen Kasturi (Ingatan Kepada Kawan XXIV) dan Fahd Razy (Nota Kecil Saat Menyeberangi Usia ll).

Bagi Kategori C iaitu karya dalam bentuk buku atau kumpulan karya perseorangan untuk bacaan kanak-kanak dan remaja menawarkan hadiah wang tunai RM5,000.

Mereka yang memenangi kategori itu ialah Sri Rahayu Mohd. Yusop dengan novel remaja berjudul Bimasakti Menari.

Pemenang lain ialah Allahyarham Azizi Abdullah yang menghasil novel berjudul Beruk dan kumpulan puisi kanak-kanak berjudul Pantun dan Syair oleh Muda @ Daud Yusof.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sumber : Utusan Malaysia


Ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ke 20
28 Disember 2012


1. Marilah kita mengucap syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-Nya maka pada petang ini kita dapat bersama-sama meraikan para sasterawan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke-20. Saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Urus Setia dan penganjur yang telah mengambil inisiatif menjayakan sebuah majlis yang amat bermakna kepada dunia sastera negara kita.

2. Saya berharap majlis ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada para karyawan yang telah menghasilkan karya yang bermutu tinggi dan memperkaya khazanah persuratan kreatif malah meningkatkan lagi martabat bahasa kebangsaan kita. Saya juga berharap pengiktirafan ini akan mendorong semangat dan minat para penulis terutama generasi muda untuk berkarya dengan menghasilkan karya-karya sastera yang dapat kita banggakan.

3. Karya sastera yang baik harus membijaksanakan lagi pembacanya, bukan sekadar indah pada bentuk dan gaya penulisannya, tetapi yang penting pemikiran yang diungkapkan harus dapat memberi makna yang mendalam kepada kehidupan kita. Karya sastera yang baik akan mengangkat ketinggian akal budi dan kekayaan khazanah budaya bangsanya. Karya-karya yang sedemikian ini pastinya akan dapat memberikan kesan yang mendalam kepada para pembaca, terutamanya dalam membimbing mereka untuk berfikir secara positif, berbangga dengan susur galur budayanya dan akhirnya berupaya memajukan bangsa berasaskan acuan kita sendiri.

4. Semasa penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke-19 pada 30 November 2010 lalu, saya telah berjanji bahawa penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke-20 bagi karya sastera yang terbit pada tahun 2010 dan 2011 akan disempurnakan pada tahun 2012. Dengan berlangsungnya majlis pada petang ini, janji ini telah terlaksana. Untuk itu saya mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Dewan Bahasa Pustaka atas segala usaha yang telah dilakukan untuk menjayakan majlis ini.

5. Saya berharap agar momentum ini akan berterusan. Yang lebih penting lagi, para karyawan harus terus menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi yang mempunyai nilai estetika. Hanya dengan karya-karya yang sedemikian mampu mengangkat darjat dan martabat sastera kita ke tahap yang dihormati dan tahan ujian masa. Hal ini kerana karya yang baik akan sentiasa dihayati, dinilai dan ditafsir oleh masyarakat dari satu zaman ke satu zaman. Karya itu sentiasa relevan dan hidup dengan pemikirannya yang sentiasa segar dan penuh makna. Hal ini telah terbukti dengan kejayaan para penggiat sastera terdahulu menghasilkan karya sastera bermutu tinggi yang terus dibaca oleh khalayak pada hari ini dan memberikan makna yang mendalam terhadap kehidupan mereka.

6. Kecenderungan sebahagian masyarakat kita terutama generasi muda hanya membaca karya yang bersifat popular wajar diberi perhatian. Di satu pihak kita harus memuji kerancakan penerbitan popular kerana penerbitan beginilah yang sebenarnya turut membantu menghidupkan industri penerbitan buku di negara kita. Malah, terdapat dalam kalangan para penulis muda yang menjadikan profesion penulisan popular sebagai kerjaya mereka dengan pendapatan yang cukup lumayan. Ini adalah suatu perkara yang kita galakkan sejak dari dahulu lagi.

7. Jika dilihat dalam kerangka dasar industri kreatif negara, kesusasteraan adalah salah satu elemen penting dalam menjayakan industri kreatif. Kesusasteraan menyediakan elemen penting dalam industri kreatif, iaitu isi kandungan. Tanpa isi kandungan atau nilai cerita yang baik, teknologi kreatif kita tidak akan ke mana-mana. Hal ini demikian kerana pakar teknologi sama ada perfileman atau animasi tidak akan dapat mencipta imej atau kesan luar biasa tanpa dasar atau asas cerita yang membantu imaginasi mereka. Lihatlah apa yang dilakukan oleh industri perfileman terhadap karya sastera yang ditulis oleh J.R.R Tolkien, iaitu The Lord of the Rings dan The Hobbits. Dua buah novel ini telah mencipta satu fenomena dalam industri perfileman dengan pulangan berjumlah berbilion ringgit. Bukan itu sahaja, daripada adaptasi novel ini, perkembangan teknologi perfileman juga telah mencapai satu tahap yang luar biasa.

8. Namun apa yang saya juga ingin lihat adalah wujudnya keseimbangan dalam penerbitan karya sastera dan pemilihan bahan bacaan. Dalam kerancakan penerbitan novel popular dan mudah, ia harus diseimbangkan dengan penerbitan karya sastera yang lebih serius. Ini bermakna bahawa khalayak masyarakat kita juga harus menyeimbangkan pembacaan mereka dengan memilih karya sastera yang serius untuk menggarap pemikiran yang lebih kritis dan membina nilai estetika. Ini kerana karya sastera yang mengandungi nilai dan budaya murni memainkan peranan penting dalam memberikan pengisian nilai manusiawi dan rohani kepada kemajuan material. Dengan itu, tamadun bangsa kita tidak hanya dibangunkan oleh kejayaan ekonomi dan teknologi semata-mata, tetapi berkembang seiring dengan kemajuan budaya dan nilai kemanusiaan.

9. Seperkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah penerbitan dalam talian dan digital yang sedang berkembang pesat. Hari ini maklumat berada di hujung jari. Generasi muda yang kita kenali sebagai generasi Y adalah generasi yang lebih bergantung pada alat mudah alih untuk mendapatkan maklumat. Mereka memperoleh maklumat dan berkomunikasi secara lebih pantas dengan menggunakan pelbagai saluran teknologi baharu.

10. Perkembangan ini telah memberi kesan yang besar terhadap bidang penerbitan dan percetakan. Hujung tahun ini sebuah penerbitan yang berpengaruh iaitu majalah Newsweek akan dihentikan percetakannya dan akan hanya diterbitkan secara dalam talian. Selaras dengan perkembangan baru ini, para penulis dan penerbit di negara kita wajar mempelbagaikan wahana penerbitan hasil karya, termasuk menggunakan kaedah digital bagi menyebarluaskan kandungan sastera kepada khalayak yang lebih gemar mengakses maklumat dalam talian.

11. Selain itu, kita juga perlu memberi perhatian terhadap penggunaan bahasa ringkas yang tidak mengikut kaedah yang betul hasil perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Hari ini ejaan-ejaan ringkas yang digunakan dalam mesej pesanan ringkas telah mula dipakai secara agak meluas, termasuk dalam aktiviti pembelajaran dan peperiksaan di institusi-institusi pendidikan. Ini adalah satu fenomena yang perlu dipantau dan dibendung dengan segera supaya ia tidak berleluasa dan merosakkan keindahan bahasa kita. Saya berharap agar perkara ini dapat diatasi melalui pelaksanaan program pemantauan dan Audit Bahasa Melayu yang dijalankan oleh DBP. Saya juga berharap agar rakyat di negara kita dapat memupuk sikap cinta kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menggunakan bahasa yang betul pada setiap masa, baik dalam urusan rasmi atau tidak rasmi.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

12. Saya berharap agar karya sastera yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia ini akan diberikan keutamaan oleh Jawatankuasa Penilai dan Pemilihan Teks Sastera untuk digunakan dalam mata pelajaran kesusasteraan, bahasa Melayu dan KOMSAS di sekolah. Ini kerana karya-karya yang telah memenangi hadiah ini telah dinilai kualitinya. Bukan sahaja nilai sasteranya tinggi tetapi aspek bahasanya juga amat baik.

13. Sesungguhnya, usaha memperkasa karya sastera bukan hanya terletak di tangan para sasterawan. Usaha ini memerlukan dokongan dan sokongan semua pihak. Karya sastera yang baik memerlukan khalayak sastera yang yang membaca, menghargai dan berbangga dengan karya tersebut. Dalam erti kata lain, pembudayaan sastera dalam kalangan masyarakat kita harus diperhebat dan berjalan seiring dengan kerancakan penerbitan karya sastera.

14. Akhir sekali, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada DBP yang telah berjaya menganjurkan majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke-20 pada petang ini. Saya percaya hadiah dan pengiktirafan yang diterima oleh para sasterawan ini tidak akan dengan mudah menyebabkan tuan-tuan berada dalam zon selesa dan tidak berusaha untuk mencabar keupayaan tuan-tuan untuk menghasilkan karya yang lebih hebat. Saya percaya pengarang atau karyawan sebenar sentiasa berusaha dengan lebih gigih untuk menghasilkan karya yang kritis, yang mampu mengangkat dan mencabar pemikiran masyarakat. InsyaAllah, dengan penghasilan karya sastera yang bermutu, hasil karya kita tidak sahaja gah di negara sendiri tetapi dikagumi oleh masyarakat antarabangsa.

15. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke-20. Semoga segala usaha anda semua akan menyumbang kepada pemerkasaan sastera negara kita. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke-20.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.


 Kaedah Penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 

PENGARANG kreatif negara ini termasuk mereka yang menetap di luar negara dipelawa menghantar karya sastera bagi penilaian untuk pengiktirafan dwitahunan, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011, sekiranya ada karya mereka yang diterbitkan sepanjang tahun penilaian.

Menurut iklan yang disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 19 Mei lalu, HSPM dibahagikan kepada

Kategori A (buku sastera) khusus untuk karya perseorangan yang diterbitkan dalam bentuk buku merangkumi genre puisi, cerpen, novel, drama pentas, esei dan kritikan sastera, kajian sastera, biografi/ autobiografi/ memoir.

Kategori B (karya eceran) khusus untuk karya perseorangan yang disiarkan dalam akhbar, majalah, jurnal atau antologi merangkumi puisi, cerpen, esei/kritikan/kajian sastera/drama pentas.


Kategori C (buku sastera kanak-kanak/remaja) karya perseorangan yang terbit dalam bentuk buku pada tahun penilaian bagi bidang kumpulan puisi kanak-kanak, kumpulan cerpen kanak-kanak, novel kanak-kanak, drama pentas kanak-kanak, kumpulan puisi remaja, kumpulan cerpen remaja, novel remaja, drama pentas remaja.

Hadiah Kategori A bernilai RM10,000 x 7 hadiah (satu bagi setiap genre), Kategori B adalah RM2,000 x 10 hadiah (10 hadiah bagi setiap satu genre), RM2,000 x 3 (bagi genre drama pentas saja) dan Kategori C pula, RM5,000 X 8 hadiah (satu bagi setiap genre)

Karya perlu dihantar kepada Urusetia Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tingkat 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa 50460 Kuala Lumpur, (UP Mohd Amran Daud/Malissa Malik) dan tarikh tutup penyertaan ialah 31 Disember ini.

Sumber : Berita Harian

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (Genre Novel)

PENDAHULUAN

DALAM TEMPOH PENILAIAN tahun 2010 – 2011, agak sukar untuk menyenaraikan secara tepat jumlah penerbitan novel di Malaysia kerana peningkatan bilangan syarikat penerbit dan jumlah novel yang diterbitkan. Di samping penerbitan oleh syarikat penerbit yang besar, ramai penulis yang menerbitkan karya mereka dengan pembiayaan sendiri dan mengedarkannya tanpa menggunakan kedai buku. Perkembangan ini sangat pantas sehingga pengumpulan dan penyenaraiannya tidak lagi dapat dibuat dengan sempurna. Oleh itu, panel penilai hanya menilai karya yang dapat dikumpul, sama ada yang dihantar oleh penerbit, penulis, mahupun hasil carian oleh pihak urus setia Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Namun begitu, pihak urus setia dan panel penilai yang arif tentang perkembangan novel yakin bahawa naskhah yang terkumpul ini sudah merangkumi karya yang sepatutnya dinilai. Dalam kata lain, karya yang layak dinilai atau yang bermutu telah dapat dikumpulkan untuk diteliti dan dinilai.

KRITERIA PENILAIAN

Asas pemilihan novel terbaik bagi HSPM 2010-2011 berpaksikan dua aspek utama, iaitu aspek isi dan bentuk. Sebagai suatu bentuk penarafan yang mencerminkan pencapaian tertinggi, novel yang dipilih sewajarnya memiliki nilai pemikiran yang tinggi, mencabar taakulan, menyisipkan gagasan atau ideologi yang besar dan nilai moral yang bersifat sejagat. Persoalan yang relevan dengan masyarakat semasa, baik secara lokal mahupun global, seharusnya menjadi muatan kandungannya. Karya yang dapat berdialog dengan masyarakatnya merupakan ciri penting dalam pertimbangan kerana kewujudan karya sastera mesti memberikan manfaat, bukannya sekadar mempamerkan estetika dan nilai artistik sahaja.

Daripada sudut estetika, karya seharusnya memiliki nilai kepelbagaian, kesatuan, dan keseimbangan dalam sebahagian besar unsur yang menjadi rangka naratifnya. Kompleksiti bukanlah suatu nilai estetika yang mutlak kerana simplisiti juga mempunyai nilai yang baik sekiranya bersifat organik dengan persoalan dan pemikiran, tetapi karya yang kompleks tetap dianggap mempunyai kelebihan asalkan wujud kesatuan secara menyeluruh. Latar, watak, bahasa, plot, sudut pandangan, dan persoalannya perlu hadir secara organik antara satu dengan lainnya, malah lebih baik jika bersifat simbiotik. Kesan akhir pembacaan sememangnya tidak seragam antara khalayak yang berlainan dan zaman yang berbeza, tetapi pengalaman estetik akhirnya masih dapat dikumpulkan dalam satu rumusan yang universal. Jika kesan ini dapat ditemukan dalam sesebuah karya, nilaiannya akan lebih tinggi.

Selain itu, turut diperhatikan ialah unsur intelektualiti di samping nilai emosi dan simbolisme yang boleh menerbitkan makna yang polisemik. Intelektualiti bermaksud, karya itu mampu menggerakkan daya taakulan pembaca agar turut sama membenihkan pengertian baharu berdasarkan imej dan unsur yang terkandung dalam teks. Karya yang mengemukakan kisah yang ringan dan tidak ditunjangi pemikiran yang serius tentulah tidak wajar diangkat sebagai penanda aras zamannya. Oleh itu, intelektual dan keseriusan fikiran perlu dijadikan pengukuh karya.

Nilai emosi juga penting bagi mengakrabkan karya dengan jiwa pembaca supaya penyaliran nilai moral atau pemikiran dapat terhantar secara halus. Jiwa yang halus dalam diri pembaca akan dapat menghadamkan sebuah cerita yang membawa nilai emosi juga seperti peragaan aspek batiniah dan psikologi watak secara mendalam. Perkongsian rasa antara pembaca dengan watak dapat tumbuh apabila strategi naratifnya dibuat dengan kaedah yang sesuai.

Di samping itu, aspek simbolisme juga menjadi faktor penting untuk mengangkat sesebuah karya sastera. Atas sifatnya yang tidak berkomunikasi secara langsung, karya sastera memerlukan strategi yang lebih bijak untuk memperlihatkan kelainannya daripada penulisan faktual. Kepintaran pengarang membina simbol yang universal dan dapat pula dibaca dengan dua pengertian, yakni secara selapis dan dua lapis, akan menghasilkan karya yang hidup sepanjang zaman kerana tafsiran mengenainya akan sentiasa berlaku oleh pengkritik dan pembaca yang berlainan.

Panel penilai menggunakan asas penilaian tersebut sedapat mungkin bagi memilih karya terbaik dalam kalangannya. Barangkali matlamat itu tidak tercapai sepenuhnya, namun itulah harapan yang ditetapkan agar pemilihan karya pemenang nanti dapat diterima secara kosensus oleh khalayak yang celik sastera. Panel menyedari bahawa keputusan penilaian tidak objektif, tetapi yang lebih utama daripada keputusan ialah proses pemilihannya yang rapi dan rinci.

PENILAIAN KESELURUHAN

Panel telah membaca 65 buah novel terbitan pelbagai penerbit dengan pecahan 36 buah novel diterbitkan pada tahun 2010 manakala 29 buah novel diterbitkan pada tahun 2011. Panel mendapati sebahagian besar novel ini bersifat ringan atau bercorak novel popular. Persoalan yang tergarap adalah biasa, yang menyentuh subjek percintaan, kekeluargaan, pendidikan, dan keagamaan. Walaupun bernilai moral dan bermakna, kebanyakannya terungkap dalam gaya persembahan atau teknik penulisan yang biasa, tiada percubaan memperagakan teknik baharu yang lebih menarik.

Tidak banyak pembaharuan dapat dilihat dalam keseluruhan novel yang diterima untuk penilaian, sama ada dalam aspek pemikiran, subjek, mahupun olahan dan tekniknya. Penulisan sebahagian besar novel hanya meneruskan gaya biasa dengan cerita yang tidak mengujakan. Ketandusan karya yang kuat menopang kreativiti, artistik, serta idealisme mahupun ideologi begitu ketara seolah-olah sastera Melayu tidak berkembang dalam genre novel. Kehalusan menyisipkan ideologi, ketajaman menyampaikan kritikan, kelihaian memanipulasikan simbolisme, dan keindahan atau kesesuaian bahasa tidak ditemukan secara bersepadu. Gaya penulisan masih di tahap konvensional dengan serba kesederhanaannya.

Walau bagaimanapun, beberapa pengarang telah bersungguh-sungguh memanipulasi bahan sejarah untuk merekonstruksikan sejarah atau menghidupkan sejarah dalam konteks masa lampau demi manfaat masa kini. Karya yang berasaskan sejarah diolah dengan kesungguhan dan kreativiti, memberikan makna yang relevan untuk bacaan khalayak kini. Namun begitu, daripada segi kreativiti dan keaslian, novel berdasarkan sejarah masih berada di tahap karya salinan, yakni kekurangan keaslian. Jalan cerita sejarah yang sudah terakam dijadikan landasan cerita, dan watak serta peristiwanya hanya peminjaman secara bebas. Ini mengurangkan meritnya sebagai karya yang asli dan segar.

Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian kecil karya yang menggarap persoalan besar dan sarat dengan ilmu pengetahuan. Peragaan karya sebegini memperlihatkan tahap keilmuan dan pengetahuan yang dimiliki oleh pengarangnya. Kelebihan inilah yang terlihat pada lima buah novel yang disenaraipendekkan untuk pertimbangan peringkat akhir.

Air Mata Raja karya Shaharudin Haji Alias dan Norzailina Nordin lebih merupakan novel sejarah yang membina kembali kehidupan watak Datuk Paduka Bendahara Raja Tun Seri Lanang, pengarang atau penyusun Sejarah Melayu, di samping watak raja-raja Melayu, terutama raja Melaka. Dalam zaman keagungannya ini Melaka dilihat sebagai negara yang amat berdaulat dan maju; keadaan ini berlanjutan sehingga 109 tahun. Pengarang memperlihatkan kewibawaan dan kebijaksanaan raja-raja Melayu mentadbir negara yang bersendikan undang-undang Islam. Ekonomi negara sentiasa berkembang; pelbagai bangsa dari pelbagai negara datang berniaga di Melaka; dan jajahan takluknya sangat luas. Semua faktor ini menjadikan Melaka terkenal dan disegani. Inilah yang hendak diperlihatkan oleh pengarang novel ini, iaitu kebolehan dan kebijaksanaan raja-raja dan orang Melayu memerintah dan memajukan negara mereka, menegakkan agama Islam dan keindahan budaya mereka serta mengamalkan sistem pemerintahan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara.

Jalan cerita atau plotnya berdasarkan perjalanan sejarah Melaka semenjak tahun 1509 serta jurai keturunan sultan Melaka sehingga kini. Wujud percubaan untuk merekonsktrusikan sejarah yang terputus selepas penaklukan Portugis dan seterusnya penyambungan pemerintahan oleh penjajah yang bersilih ganti. Plotnya menjadi lebih mudah diikuti oleh sebab adanya penekanan pada fakta sejarah dan realiti. Di samping penggunaan bahasa yang bersahaja dan terjalin lancar, pelukisan watak juga hidup dan meyakinkan kerana mereka wujud dalam kehidupan dan sejarah bangsa Melayu.

Pada Sayap Burung Helang karya Sasterawan Negara Arena Wati membawa persoalan besar tentang keperkasaan dan kebijaksanaan bangsa Melayu dalam bidang perniagaan antarabangsa yang berpusat di alam Melayu dan di Amerika Syarikat. Dalam bentuk representasi ideologikal, bangsa Melayu digambarkan sebagai pewaris dunia yang bertanah air dan megah berdaulat: tanah airnya luas dan kaya, melingkungi kepulauan Melayu yang bukan sahaja kaya dengan penghasilan bumi tetapi juga budaya dan tatasusila hidup yang bersendikan agama Islam. Alam Melayu merupakan antara kerajaan besar di dunia yang memiliki sistem perundangan dan politik sendiri. Untuk mewajarkan kebenaran ini, pengarang menghidupkan watak-watak utama yang terdiri daripada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan tokoh-tokoh dari kepulauan Indonesia. Mereka menjadi keluarga besar melalui perkahwinan dan bekerjasama erat dalam bidang perekonomian, ketenteraan, dan ilmu pengetahuan di peringkat antarabangsa. Ideologi yang besar dalam novel ini ialah meletakkan bangsa Melayu sebagai pemain dunia dagang antarabangsa dan umat yang berilmu, setanding atau bahkan mengatasi bangsa di dunia Barat yang sering dilabelkan sebagai bangsa agung.

Novel ini dapat digolongkan sebagai novel polifonik, iaitu suatu konsep yang diperkenalkan oleh Mikhail Bakhtin: “Ideanya tersampai secara ilmiah, tanpa kelihatan suara pengarang secara langsung. Dunianya tersendiri dan bersifat antonomi dan ideanya tidak terlahir daripada watak tertentu sekiranya terbina melalui struktur keseluruhannya.

Cahaya Delima karya Mahizan Husain juga berkecenderungan untuk mengambil bahan sejarah sebagai landasan atau tunjangan cerita. Sejarahnya berkaitan dengan kisah Megat Seri Rama yang terlibat dalam pembunuhan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Episod ini dipertalikan dengan watak utama novel, seorang penulis skrip filem, yang berusaha menemukan sejarah hidup keturunannya untuk membantunya membawa perubahan dalam filem Melayu. Keistimewaan novel ini terletak pada strategi naratifnya yang menggabungkan zaman silam dengan zaman kini, iaitu yang berkaitan dengan keturunan Megat Seri Rama di Malaysia dan di Republik Rakyat China.

Memori Abadi karya Poul Nanggang dapat digolongkan sebagai novel psikologi, mengisahkan pergolakan jiwa watak “aku” yang mungkin mewakili diri pengarang. Melalui watak “aku” terakam kehidupan bawah sedarnya yang sarat dengan pengalaman pahit dan manis, yang memperlihatkan keinginannya yang mendalam untuk memajukan kaumnya, iaitu masyarakat Bisaya di Sarawak. Keinginan yang demikian memberikan kesan besar sehingga timbul konflik dalam jiwa bawah sedar “aku” (pengarang), lebih-lebih lagi apabila dia yang berketurunan Bisaya ditukarkan mengajar di kawasan pedalaman yang dihuni oleh suku kaum lain. Perpindahan itu memungkinkan dia menyaksikan sendiri kemunduran dan kedaifan mereka. Konflik jiwa ini menjadi semakin mendalam apabila “aku” mengingat kembali pengalaman pahit, terutama yang berkaitan dengan penindasan dan ketidakadilan. Antaranya ialah rasa rendah diri dan kecewa kerana hidup dalam masyarakat Bisaya yang mundur, sikap orang tuanya yang mengabaikan tanggungjawab untuk mendidik tetapi melebihkan penghinaan, dan sikap pilih kasih serta diskriminasi yang diamalkan oleh ketua tempat dia bertugas.

Segala konflik ini terolah dengan meyakinkan kerana terhasil daripada pengalaman peribadinya sendiri. Pengalaman sedemikian dapat dianggap sebagai benar, jujur dan sepenuhnya berlandaskan realiti.

Baladatun Thoiyyibatun karya Pelita di dalam Kaca bercorak futuristik yang membayangkan rupa bentuk negara Malaysia dalam tahun 2020. Pada zaman itu, negara terbentuk dalam sistem negara Islam, iaitu negara aman sejahtera. Negara begini dapat diwujudkan apabila segala aspek kehidupan rakyatnya mengikut lunas-lunas ajaran Islam, khususnya dalam aspek-aspek politik dan perundangan, sosial dan budaya, pendidikan, perekonomian, dan keagamaan. Dengan berkonsepkan ini, negara yang disebut sebagai Kota Cahaya menjadi negara yang benar-benar maju dan aman sejahtera.

Persoalan tersebut dihidupkan melalui kunjungan seorang pensyarah dari Australia ke Kota Cahaya untuk menziarahi sahabat Islamnya. Dia menjelajahi bandar Kuala Lumpur, daerah pedalaman di Kuala Tembeling (Pahang), dan seterusnya ke Kelantan. Dalam pengembaraan inilah dia dapat melihat kejayaan dan kemajuan negara yang mengamalkan cara pemerintah dan kehidupan Islam di samping mengekalkan kebudayaan dan tatacara hidup Melayu sepenuhnya. Dia kemudiannya teruja untuk memajukannya bersama-sama sehingga tertarik dengan kejelitaan dan budi bahasa gadis Melayu dan ingin mengahwininya.

SENARAI KEPUTUSAN

Setelah mempertimbangkan semua karya secara analitikal dan perbandingan, Panel Penilai memutuskan untuk memperakukan novel Baldatun Toiyyibatun karya Pelita di dalam Kaca sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010-2011.


ULASAN PENILAIAN PEMENANG

Baldatun Thoiyyibatun karya Pelita di dalam Kaca (Pustaka Kanzun Mahfiyyan, 2011)

Novel Baldatun Thoiyyibatun membina sebuah model negara impian di Malaysia yang mengutamakan aspek kebajikan. Dr. Lleyton Hewitt dari Edith Cowan University, Australia, datang ke Malaysia atas jemputan Tengku Kamal Izzudin Shah untuk melawat Kota Cahaya. Dr. Lleyton yang sudah menganut Islam dengan nama Muhammad Yassin Fikri tetapi belum mengisytiharkan keislamannya telah menjadi wadah bagi pengarang menumpahkan segala ilmu Islam. Beliau merupakan watak yang diprojeksikan untuk menyebarkan ilmu Islam dan mengangkat imej Islam sama ada dalam kalangan umat Islam mahupun di peringkat antarabangsa.

Novel ini sarat dengan idea dan ideologi yang menjurus ke arah pengagungan Islam sebagai tonggak pembinaan sebuah tamadun. Kota Cahaya dibina menurut nilai keadilan, ketertiban, kebersihan dan kebenaran Islam. Pembangunan prasarana, sistem pengadilan, sistem pendidikan, pendaulatan ilmu dan ilmuwan, disejajarkan dengan kehendak Islam. Misalnya, daripada segi keilmuan dan corak pembelajaran, Kota Cahaya memanfaatkan media elektronik secara optimum untuk membina fikiran masyarakat; masjid menjadi pusat penyuburan ilmu, tanpa menunggu institusi pengajian tinggi yang formal berfungsi secara rasmi. Dalam konteks pengadilan sesuatu kes jenayah, prinsip asasnya adalah untuk mencari keadilan dan kejernihan hidup, bukannya sekadar menetapkan hukuman yang menderakan. Sistem jalan rayanya juga dibina secara inovatif demi memanfaatkan ruang yang tersedia di samping menjaga kemaslahatan umum. Bentuk pembangunan dan pentadbiran yang Islamik begitu mencerminkan suatu alternatif yang dapat ditiru oleh pemimpin dan perancang pembangunan negara pada masa depan.

Dalam skala yang lebih besar, pertembungan antara Islam dengan penentangnya yang mengalami gejala Islamofobia dihuraikan dengan begitu informatif, argumentatif, ideologikal dan terbina dalam plot yang dramatik.

Rangkuman teknik dan nilai yang sedemikian menjadikan teks ini bertenaga sebagai penyampai ilmu, peneguh ideologi dan sekali gus menjinakkan kedegilan manusia secara halus. Persoalan ini disampaikan melalui konflik yang berlaku antara Dr. Lleyton dengan kerajaan Australia yang sangat rasis dan membenci Islam. Dengan berpegang pada prinsip bahawa Islam ialah penganjur keganasan, kerajaan Australia telah menangkap Dr. Lleyton kerana kunjungannya ke Kota Cahaya. Perbuatan Dr Lleyton itu dianggap jenayah menurut undang-undang Akta Keselamatan Kenegaraan Australia 2015 yang digubal oleh Parlimen Australia, lalu Dr. Lleyton ditahan serta disoal siasat dengan kekerasan yang tidak berpaksikan undang-undang.

Namun begitu, plot ini mempunyai signifikasinya sebagai wadah untuk penjelasan tentang Islam yang sebenar yang disampaikan oleh Dr. Lleyton. Semasa bersoal jawab dengan pegawai penyiasat daripada polis Australia, Dr. Lleyton telah berhujah menolak segala prasangka terhadap Islam. Inilah masanya dia menghuraikan makna keadilan dan kebenaran Islam secara panjang lebar. Dalam binaan plot, penjelasan itu tidak berupaya mengubah persepsi dan sikap polis yang menahannya, tetapi dalam skala yang lebih besar khalayak pembaca telah diberi penceramahan secara ilmiah dan logik tentang Islam. Strategi naratif sebegini diangkat dengan begitu kemas sehingga menjadikannya karya yang informatif dan berideologi. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa perwatakan dan pemplotannya terbina dengan kemas dan wajar bagi mewujudkan makna berlapis dan artistik.

Selain itu, pewujudan watak yang pelbagai latar belakang dan kedudukan juga mencerminkan kehalusan teknik pengolahan naratifnya. Watak-watak Islamnya tidak hanya berbangsa Melayu juga merangkumi bangsa Eropah, Cina, dan India. Ini memberikan makna secara tersirat bahawa Islam bukannya milik satu kaum sahaja bahkan bersifat universal. Secara halus paradigma ini menghapuskan persepsi stereotaip kini bahawa hanya Melayu yang beragama Islam, dan jika seseorang itu menganut Islam samalah seperti menjadi Melayu. Persepsi sebegitu sangat sempit dan boleh mewujudkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, terutama bangsa lain. Oleh itu, novel ini membersihkannya dengan kaedah yang halus dan bersahaja.

Selain itu, secara tersirat juga, dengan meletakkan watak daripada keturunan raja, iaitu Tengku Kamal Izzudin Shah yang kuat pegangan agamanya, sebagai pendamping Dr. Lleyton, teks ini menyarankan makna bahawa Islam bukan untuk masyarakat bawahan semata-mata; malahan, golongan istana benar-benar menjadi pelindung agama Islam sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Bukan sahaja dalam bentuk peneguhan prinsip dalam Perlembagaan, malahan representasi watak ini memberikan saranan secara halus untuk difahami oleh golongan yang terlibat. Dalam kemelut masa kini yang mempertentangkan golongan pemain politik kepartian dengan bangsa Melayu, paparan dan sekali gus saranan halus ini berupaya menjadi pandu arah kepada pemikiran masyarakat agar lebih sedar akan hakikat kedudukan kuasa raja Melayu.

Dalam perspektif naratif realisme, novel ini dianggap tidak logik dan mungkin tidak relevan, tetapi daripada sudut yang lebih strategis, teks futuristik dan bersifat representatif sebegini berupaya memberikan mesej yang jauh melampaui keupayaan teks realisme. Banyak perkara yang tidak berlaku sekarang tetap memiliki kemunasabahannya untuk dijelmakan pada masa depan. Jika tidak seluruhnya pun, sebahagian daripada idea tersebut dapat dimanfaatkan. Sifat negara dan masyarakat yang ideal sebegini menyamai teks klasik Utopia yang ditulis oleh Sir Thomas Moore pada tahun 1516. Utopia yang merepresentasikan kehidupan yang ideal di sebuah pulau di Lautan Atlantik, telah diberi tanggapan yang pelbagai: ada yang menyifatkannya sebagai buku panduan untuk masyarakat pekerja di England, dan ada yang menanggapinya sebagai sebuah satira. Namun begitu, ada juga kesan lain yang lebih besar apabila dikatakan bahawa karya Thomas Moore ini telah menginspirasikan pembentukan negara dan masyarakat Perancis. Oleh hal yang demikian, novel Baldatun Toiyyibatun ini juga tidak harus dianggap cerita fiktif yang imaginatif dan kosong makna, bahkan sebaliknya teks ini dapat berfungsi sebagai kertas panduan (blueprint) kepada pembinaan negara yang ideal di samping melawan serangan hegemoni Barat terhadap Islam.

Kekuatan lain yang dapat diangkat daripada novel ini ialah nilai ilmunya yang sarat. Bersumberkan kitab al-Quran, sirah dan hadis, banyak persoalan yang dikemukakan secara sepintas lalu telah disokong dengan sumber dan penjelasan tambahan pada bahagian nota hujungannya. Kaedah ini memberikan nilai tambah yang sangat bermanfaat demi mengangkat karya sastera sebagai korpus ilmu dan pemikiran, bukan sekadar cerita dan emosi. Dengan huraian yang tuntas pada nota hujungannya, setiap pandangan yang disampaikan dapat diterima dengan lebih objektif dan ilmiah. Oleh sifat dan kelebihannya yang begitu, novel ini mempunyai nilai yang tinggi dalam sejarah persuratan Melayu moden.

KESIMPULAN

Daripada penilaian dan keputusan yang telah dibuat, novel-novel yang disenarai pendek telah memperlihatkan pencapaian yang agak baik dalam adunan tema dan persoalan dengan teknik pengolahannya meskipun tidak mencapai tahap yang memuaskan dibandingkan dengan novel tahun-tahun yang lalu. Namun begitu, bagi novel yang diperakukan layak untuk diberi hadiah, terpamer usaha sungguhan dalam menggabungkan ilmu dengan daya kreativiti dan imaginasi yang memikat. Pengarang berani mencipta masyarakat masa depan berlandaskan Islam yang syumul.

PANEL PENILAI
Dato’ Dr. Hashim Awang
Haji Hamzah Hamdani
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (Genre Esei/Kritikan/Kajian Sastera)

PENDAHULUAN

PANEL telah meneliti buku dan juga esei yang dicadangkan oleh pihak urus setia yang boleh dikategorikan sebagai kajian sastera, biografi, autobiografi dan esei kritikan. Pada umumnya, pencalonan karya kurang memuaskan dari segi bilangan dan mutu.

Panel penilai meneliti 25 buah buku kajian sastera dan kumpulan esei/kritikan sastera, serta sebuah buku biografi/autobiografi. Panel penilai kemudian memutuskan untuk membincangkan secara rinci tujuh (7) buah buku kajian sastera, empat (4) buah kumpulan esei/kritikan sastera, serta sebuah buku biografi/autobiografi.

Setelah diteliti dengan kritis, panel penilai mengambil keputusan mencadangkan sebuah buku dalam kategori Kumpulan Esei dan Kajian Sastera untuk menerima hadiah yang disediakan oleh urus setia. Kategori Buku Kajian Sastera dan Kategori Biografi/Autobiografi biografi disepakati tiada pemenang.

Panel penilai menilai buku dan esei berkenaan berpandukan empat kriteria yang digunakan bagi penilaian buku kajian sastera atau kumpulan esei/kritikan sastera, serta autobiografi/biografi. Kriteria-kriteria yang digunakan ialah penulisan yang kritis, sistematik dan bertanggungjawab, menggunakan teori/pendekatan/konsep kritikan yang relevan dengan tujuan penulisan dan menyumbang kepada perkembangan ilmu sastera. Panel juga menilai aspek ketepatan dan kejelasannya, selain menunjukkan pemahaman dan penguasaan penulisnya terhadap subjek yang dipilih. Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang adalah penting. Penulisan yang baik diharapkan berupaya menampilkan suatu penemuan baharu, atau memberikan pemikiran serta perspektif baharu terhadap kajian yang sedia ada serta membijaksanakan pembaca. Kesahihan dan kerincian dari segi fakta dan huraian merupakan satu indikator penulis berupaya membuat analisis yang mendalam dan tepat. Sungguhpun demikian panel mendapati mutu yang dihasilkan rata-ratanya adalah sederhana. Malahan, ada kategori yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Setelah penilaian dibuat terdapat beberapa buah buku dan esei yang memperlihatkan kekuatan yang tertentu sebagai bahan kajian ilmiah yang baik dan karya-karya ini wajar diberikan hadiah.

KRITERIA PENILAIAN

Kriteria penilaian adalah seperti yang berikut:

i. Membicarakan persoalan sastera secara kritis, sistematik dan bertanggungjawab.
ii. Penggunaan teori/pendekatan/konsep kritikan yang relevan dengan tujuan penulisan. Ketepatan dan kejelasannya perlu menunjukkan pemahaman dan penguasaan penulisnya.
iii. Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang dan memaparkan sesuatu yang baharu dan membijaksanakan pembaca.
iv. Kesahihan dan kerincian dari segi fakta dan huraian dapat menunjukkan satu analisis yang mendalam dan tepat.

PENILAIAN KESELURUHAN

Pada umumnya, panel mendapati hasil penulisan yang diteliti memperlihatkan mutu yang sederhana. Sungguhpun analisis yang dikemukakan dalam setiap karya menepati skop kajian atau objektif yang ditetapkan, namun persembahannya kurang memberangsangkan dari segi perkembangan ilmu sastera. Sehubungan itu, panel penilai sukar untuk mencari hasil penulisan yang benar-benar cemerlang.

Secara sederhananya, penulisan yang diteliti menunjukkan kemampuan penulisan yang mencapai nilai yang boleh diyakini. Hujahan yang dikemukakan mencakupi kesinambungan idea yang berkembang mengikut penghujahan sama ada disampaikan dalam bentuk induktif atau deduktif.

Kematangan dalam berhujah menunjukkan keupayaan karya yang mengupas isu-isu yang dipilih. Pengemukaan hujah secara tersusun, diberikan pembuktian serta contoh-contoh yang sesuai. Kewajaran dan kerasionalan membahaskan idea secara pro dan kontra menunjukkan kematangan dalam analisis data.

Tulisan yang bersifat ilmiah berupaya ditonjolkan melalui kerangka teori atau konsep yang sesuai. Dengan itu subjek dapat dikupas secara tersusun dan terkawal. Pemahaman terhadap teori yang dipilih dengan rujukan terhadap sumber yang tepat, menunjukkan kefahaman mendalam dalam bidang yang diperkatakan.

Kekuatan karya juga terserlah dengan pengemukaan idea yang baharu dan segar. Perbahasan terhadap hasil kajian melalui analisis literatur mampu menyumbangkan idea dalam pengembangan sesuatu bidang ilmu. Oleh itu, karya yang menunjukkan idea dari perspektif baharu didapati memberikan impak penting terhadap pembangunan kesusasteraan negara.

Secara umumnya, sebahagian buku kajian dan esei kritikan yang dinilai telah memperlihatkan beberapa kelemahan dalam penulisan. Antara kelemahan tersebut ialah terdapat tulisan yang bersifat impresif yang kurang dengan hujah yang disokong dengan perbincangan yang kritis dan komparatif. Hal ini terjadi kerana banyak penulisan khususnya yang bersifat eceran yang datang daripada penulis yang mempunyai kolum di dalam sesuatu penerbitan. Terdapat juga beberapa tulisan yang gagal memberikan pandangan kritis dalam mengkonsepsikan sesuatu topik yang dibahaskan. Sebaliknya hanya berpandukan pada pendapat mereka sendiri sahaja yang bersifat impresif. Ada juga penulisan yang memuatkan terlalu banyak idea untuk dibincangkan dari pelbagai perspektif. Ketiadaan fokus ini menyebabkan analisis yang dilakukan bersifat kurang mendalam. Sekali gus mengurangkan nilai-nilai kritis dan analitis yang sepatutnya ditampilkan dalam penulisan sesebuah kajian.

Selain itu, terdapat juga tulisan yang mempamerkan kelemahan dari segi kaedah penyampaian. Cara penyampaian dan penyusunan idea serta penjelasan yang tidak teratur dan tidak berformat menyerlahkan kelemahan dari segi nilai sistematik. Kelemahan lain yang dapat dikesan juga apabila terdapat beberapa tulisan yang tidak memasukkan sumber rujukan ke dalam bahagian bibliografi, meskipun tulisan tersebut telah memperturunkan petikan daripada sumber tertentu. Seterusnya terdapat juga tulisan yang tidak mengemukakan contoh semasa melakukan perbincangan. Hal ini menyebabkan perbahasan terhadap sesuatu idea atau fakta menjadi kurang jelas dan tidak meyakinkan.

Beberapa tulisan esei pula didapati menampilkan subjek lama, yang mana subjek tersebut telah berulang kali dibahaskan, sama ada oleh sarjana lain atau penulis itu sendiri. Hal ini menyebabkan tiadanya idea atau pemikiran baharu yang ditampilkan dalam tulisan tersebut. Selain beberapa kelemahan tersebut, terdapat juga tulisan yang menggunakan kaedah penyampaian bersifat santai, dan tidak menyerlahkan sifat-sifat ilmiah. Sifat penulisan yang santai adalah tidak sesuai untuk sesebuah penulisan yang menampilkan isu yang serius. Demikian antara beberapa kelemahan umum yang dapat dikesan pada karya-karya yang telah dinilai.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG BUKU KUMPULAN ESEI/KRITIKAN SASTERA


Kajian Lisan dan Tulisan: Teks dan Budaya karya Noriah Taslim (DBP, 2010)

Buku ini menyerlahkan keistimewaan dan kekuatan sebagai sebuah penulisan ilmiah. Idea disampaikan melalui kaedah penghuraian dan perbincangan yang meyakinkan pembaca kerana setiap hujah dan alasan dibuktikan dengan alasan-alasan yang munasabah atau merujuk sumber. Fakta yang dibahaskan diolah melalui tafsiran dan deskripsi yang menampakkan keupayaan kognitif yang tinggi dan mendalam. Setiap tesis yang ditemui berupaya meneroka ilmu berkenaan serta berkeupayaan dibincangkan secara kritis.

Buku ini merupakan himpunan esei-esei yang berasal daripada kertas-kertas kerja yang dibentangkan. Sebahagian besar topik merupakan hasil daripada laporan penyelidikan yang dilaksanakan melalui peruntukan geran penyelidikan universiti. Oleh itu buku ini menyerlah sebagai sebuah hasil kajian akademik.

16 buah bab di dalam buku ini mencakupi topik-topik yang membincangkan dua perkara pokok, iaitu teks lisan dan tulisan daripada tradisi sastera Melayu tradisional. Tulisan bermula dengan satu pengenalan kepada budaya lisan yang deskriptif dan kritis, kepada bab-bab seterusnya yang membincangkan satu perjalanan perkembangan teks lisan ke teks tulisan. Perbincangan bab-bab di dalam buku ini berkisar pada teks dan konteks. Konteks yang diperkatakan ialah konteks budaya yang disuburkan oleh tradisi tulisan yang membawa implikasi besar kepada perkembangan sastera Melayu tradisional. Perbincangan dibuktikan melalui penemuan kajian bahawa konteks budaya itu terserlah melalui konteks peradaban seperti Hindu, Islam dan Barat. Budaya tulisan telah menemukan dua tradisi, iaitu lisan dan tulisan dan mengikut penulis dua tradisi ini memperkayakan karya historiografi Melayu. Tulisan Jawi telah membawa kepada kemunculan karya historiogarafi Melayu yang memancarkan dua tuntutan, iaitu tuntutan Islam yang berpaksi kepada kebenaran dan tuntutan penaung, iaitu Raja yang berpaksikan kepada kekuasaan.

Cara penyampaian buku ini mudah dan dapat difahami dengan tepat. Prakata yang dikemukakan di dalam buku ini dapat memberi satu gambaran umum yang padat tentang keseluruhan isi dan perbincangan yang dapat diperoleh oleh pembaca. Semua istilah yang digunakan diberi penghuraian yang jelas dan diletakkan di dalam konteks yang tepat. Aspek latar belakang persoalan pokok di dalam buku ini diberi dengan jelas dan secara perlahan-lahan pembaca dibawa untuk meneroka dan memahami persoalan yang lebih rencam tetapi mengarah kepada kesatuan yang utuh. Sehubungan itu, flow of ideas di dalam buku ini menjadi jelas dan memudahkan pembaca menghadamkannya.

Buku ini bukan sahaja dapat melakar sejarah dan perkembangan idea yang dikemukakan tetapi juga dapat memperkatakannya secara kritis, yang sesuai dan perlu. Rujukan yang digunakan mewakili skop bidang yang dibincangkan dan mencukupi. Setiap rujukan yang dirujuk dipaparkan secara cermat, sesuai dengan hujah yang dikemukakan, kemudian dibincangkan di dalam konteks topik yang dibahaskan.

Perbahasan terhadap bidang yang dibincangkan, iaitu Teks dan Budaya dikemukakan melalui rujukan literatur yang merujuk dan mentafsir keperluan dan rasional idea sebelum ini. Pandangan daripada tokoh bidang yang diperkatakan menunjukkan keupayaan hasil penyelidikan yang teliti dan dipaparkan melalui deskripsi data yang diolah dalam bentuk bab-bab yang berhubungan antara satu bab ke satu bab. Teori-teori berkaitan bidang lisan dan tulisan, teks dan budaya dikemukakan melalui pendekatan evolusi rasionalisme dan membahaskan idea-idea sebelum ini yang dikemukakan oleh tokoh pengkaji seperti A. Teeuw, V.I. Braginsky, H.M.J. Maier, Amin Sweeney, dan V. Propp.

Buku ini yang membahaskan antara media, budaya dan teks sastera membuktikan bahawa bukan tahap pemikiran bandingan moden atau primitif yang menentukan nilai atau ciri hasil pemikiran, tetapi mekanisme yang digunakan akan menentukan nilai produk pemikiran tersebut. Perbahasan dibuktikan melalui kedua-duanya tidak dilihat sebagai fenomena yang terpisah terus, tetapi sesuatu yang tampil dalam satu kontinum, saling lengkap melengkapi. Malahan dibuktikan bahawa dalam era pascamodenisme teks tradisional terus dirujuk dan digunakan sebagai suatu produk yang mempunyai nilai pemikiran tinggi. Ini merupakan usaha untuk menghidupkan semula tradisi silam yang telah dipupuskan oleh literasi Barat (Inggeris) dan pemodenan.

Setelah menilai 31 buah karya yang disenarai pendekkan, panel sepakat memperakukan hanya enam (6) esei/kritikan sahaja layak untuk menerima HSPM 2010/2011 seperti yang berikut:

ULASAN PENILAIAN PEMENANG ESEI/KAJIAN/KRITIKAN SASTERA ECERAN

i. “Salah Tanggapan Terhadap Interlok” oleh Fatimah Busu (Dewan Sastera, April 2011)

Esei ini bermula daripada reaksi penulis terhadap satu artikel yang telah terbit di akhbar The Sun (30 Disember 2010) yang menyatakan bahawa novel Interlok (2010) karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang menjadi buku teks sekolah menengah bagi Tingkatan 5 di wilayah Zon Tengah (Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan) akan menimbulkan persepsi yang salah tentang kaum India di Malaysia. Penulis telah menolak pandangan di dalam akhbar The Sun ini dengan memberi hujah-hujah yang kritis. Penulis telah meletakkan satu persepektif yang mengambil kira pelbagai latar penulisan novel ini dari segi zaman, kreativiti, budaya, sejarah dan sastera. Persoalan kasta masyarakat India yang menjadi perdebatan hangat tentang novel ini dibincangkan dengan mengaitkan dengan karya-karya lain seperti Untouchable (1970) yang dengan jelas membincangkan hal ini. Golongan paria yang ditimbulkan di dalam karya ini bukan untuk merendahkan kasta rendah ini tetapi untuk menyindir kasta atasan yang tidak bertimbang rasa itu. Maka bagi penulis, novel Interlok harus difahami dalam konteks zamannya. Dengan kata lain, penulis telah memberi perspektif yang jelas dalam merungkai permasalahan yang timbul terhadap novel Interlok oleh SN Abdullah Hussain. Penulis melebarkan horizon sejarah pembaca, khususnya dalam memahami asal-usul penghasilan novel Interlok dan kewajarannya sebagai pemangkin perpaduan rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Analisis yang kritis dan rinci terhadap novel Interlok berhasil menyanggah salah faham segelintir pembaca terhadap novel ini. Sekali gus, esei ini memberikan justifikasi kukuh tentang kewajaran novel ini dibaca oleh semua pihak, khususnya di peringkat para pelajar sekolah. Dengan perkataan lain, esei ini membuktikan bahawa novel Interlok tidak mencerminkan diskriminasi kaum, sebaliknya sebagai pemangkin perpaduan kaum dengan memahami konteks novel tersebut.

ii. “Hubungan Melayu-Cina dalam Cerpen Melayu” oleh Mawar Shafei (Dewan Sastera, Jun 2010)

Membincangkan subjek hubungan antara Melayu – Cina dalam cerpen yang ditulis oleh penulis Cina selepas merdeka, iaitu semenjak tahun 1960-an. Antara penulis-penulis yang cerpen mereka dibincangkan ialah Akhbar Goh, Peter Augustine Goh, Jong Chian Lai dan Lee Keok Chih. Subjek ini dikupas dalam kepelbagaian persoalan yang berhubung dengan isu-isu berkaitan nasionalisme, perpaduan dan agama (saudara baru) yang dikemukakan oleh pengarang menerusi cerpen mereka. Dengan menampilkan sejumlah besar cerpen yang mewakili zaman tersebut, esei ini memberi maklumat berguna kepada pembaca, khususnya yang berhubung dengan subjek yang dipilih. Kerincian fakta dan huraian lengkap menunjukkan keupayaan esei ini meluaskan horizon sastera pembacanya. Sungguhpun masa yang dijadikan sempadan kajian ini sangat luas, hasil tulisan ini dapat memberi satu gambaran yang jelas pola perpaduan antara kaum Melayu dan Cina yang bermula sebagai hubungan yang bersifat peribadi melalui hubungan kekeluargaan seperti perkahwinan kepada hubungan yang sarat dengan konflik pada zaman selepas merdeka yang serba mencabar. Agama Islam dilihat sebagai wadah untuk mewujudkan perpaduan di antara kaum Melayu dan Cina melalui perkahwinan campur. Kemunculan golongan saudara baru ini melalui perkahwinan dapat merealisasikan perpaduan tersebut. Namun perpaduan melalui perkahwinan tidak mudah seperti yang disangkakan. Melalui perniagaan juga memungkinkan perpaduan antara dua kaum ini dapat dijalankan. Ramai penulis cerpen yang membincangkan perpaduan antara Melayu dan Cina dapat dikembangkan melalui rasa hormat dan menghormati di antara satu sama lain.

iii. “Falsafah Kehidupan Seni Komunikasi Teromba” oleh Mohd. Rosli Saludin (Dewan Sastera, Mei 2010)

Esei ini memberi kefahaman yang jelas terhadap maksud teromba dan keistimewaannya. Penulis membincangkan bagaimana teromba sebagi satu bentuk pengucapan adat dapat menjadi satu bentuk komunikasi budaya Melayu Minangkabau yang utuh sehingga ke hari ini. Bagi menjadikan teromba wadah komunikasi budaya maka penutur dan pendengarnya perlu menguasai sejumlah kemahiran budaya yang asas. Penulis membincangkan kemahiran budaya yang perlu dikuasai oleh penutur teromba. Selain kemahiran budaya tersebut, penulis juga membincangkan kaedah yang membolehkan komunikasi budaya itu berlaku seperti kaedah langsung, iaitu penutur teromba meminta atau memberi maklumat secara terang-terangan. Manakala kaedah tidak langsung pula merujuk kepada penutur teromba menyampaikan mesejnya secara kias ibarat. Apa yang dikomunikasikan melalui teromba ialah hal-hal yang berkaitan dengan falsafah kehidupan yang terpancar melalui pelbagai adat resam yang menekankan tentang institusi keluarga. Penulis telah mengemukakan beberapa contoh teromba untuk menguatkan hujah-hujah yang diberi berkaitan dengan hakikat teromba sebagai satu alat komunikasi yang tidak boleh diganggu-gugat lagi.

iv. “Karya Agung” oleh Noriah Mohamed (Dewan Sastera, Disember 2011)

Masyarakat di Malaysia telah didedahkan dengan istilah “karya agung Melayu” untuk merujuk kepada sesetengah karya sastera tempatan. Namun belum ada satu tulisan yang komprehensif seperti yang dinyatakan oleh penulis esei ini. Esei ini menjelaskan dengan tuntas maksud karya agung Melayu dan ciri-cirinya, iaitu lambang dan pesanan yang hendak disampaikan, nilai budaya dan pandangan hidup, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa. Selain itu, penulis juga menyatakan sumber karya agung Melayu yang berasal daripada sistem pemerintahan beraja. Penulis telah menghuraikan dengan panjang lebar setiap ciri yang dinyatakan bagi sesebuah karya agung Melayu itu. Setiap ciri yang dibincangkan itu pula diiringi dengan hujahan yang disertakan dengan contoh-contoh yang sesuai. Esei ini boleh menjadi satu permulaan untuk satu penulisan yang lebih besar dan lengkap.

v. “Konsep Sejarah dalam Karya Historiografi Melayu Tradisional” oleh Siti Hawa Haji Salleh (Dewan Sastera, Ogos 2011)

Esei ini membincangkan satu persoalan yang telah lama diperkatakan, iaitu tentang konsep sejarah di dalam karya historiografi Melayu. Esei ini semacam satu pengulangan. Namun wajar juga diperkatakan dari masa ke semasa kerana konsep sejarah yang dikemukakan di dalam karya historiografi Melayu merupakan sebahagian besar daripada aspek kearifan tempatan dalam mengemukakan permasalahan yang timbul mengenai konsep sejarah. Esei ini menjelaskan bahawa masyarakat Melayu mempunyai justifikasi tertentu mengapa konsep sejarah sedemikian rupa. Melalui esei ini ditampilkan konsep sejarah berdasarkan beberapa karya historiografi Melayu, untuk mencari persamaannya dan menemukan satu standard tentang maksud sejarah itu. Perbincangan konsep sejarah dan fungsi pengarang dalam karya historiografi Melayu tradisional dikemukakan secara kritis dan sistematik, serta diperkukuhkan dengan contoh-contoh yang relevan dan meyakinkan. Penekanan terhadap peranan mitos dan legenda dalam mengkonsepsikan sejarah telah dibahaskan secara rinci dan analitis. Dengan berpaksikan konsep sejarah, esei ini memaparkan kejelasan dan ketepatan fakta dengan analisis yang mendalam, dan mengemukakan contoh-contoh petikan data yang sesuai, yang menunjukkan kearifan penulisnya dalam menguasai subjek yang dibincangkan.

vi. “Dari Bahasa Kata ke Bahasa Gambar” oleh Siti Jasmina Ibrahim (Dewan Sastera, November 2010)

Penulisan esei ini adalah berdasarkan satu catatan pandangan peribadi pengarang sendiri yang berpengalaman sebagai seorang pengarang novel, penulis skrip drama TV dan filem. Esei ini memilih subjek yang baru dan jarang diperkatakan sebelumnya, iaitu tentang ruang dan peluang penulis sastera untuk menjadi penulis skrip drama dan filem. Dengan menampilkan perbincangan tentang persamaan dan perbezaan di antara menulis novel dan skrip drama TV dengan filem, serta permasalahan yang melanda penulis skrip drama TV dan filem. Selain itu, perbincangan ini turut menimbulkan permasalahan yang dihadapi penulis apabila berhadapan dengan kehendak penerbit drama tv dan pengarah filem. Masalah utama yang dipaparkan ialah berdepan dengan dilema antara tuntutan seni sastera dan seni visual.

Walaupun penulisan esei ini agak ringkas dan menggunakan kaedah penyampaian yang agak santai serta tidak menekankan penggunaan format penulisan ilmiah, namun menampilkan isu yang baharu dan menarik, dapat memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada pembaca. Esei-esei seperti ini seharusnya lebih banyak dihasilkan untuk mencipta keupayaan dalam menongkah arus transformasi dalam dunia sastera Melayu dan kritikannya yang kini sudah memasuki gerbang media, khususnya media baharu.

KESIMPULAN

Karya yang memenangi hadiah dalam Kategori Kumpulan Esei/Kritikan dan Kategori Esei/Kritikan Eceran pada kali ini dapat menunjukkan keupayaan penulis membincangkan secara ilmiah dan menarik dari segi penulisan esei. Kedalaman dalam analisis dan mampu membincangkan topik melalui kerangka teoritikal dan konseptual yang betul dan maju. Hal ini dapat menunjukkan keberkesanan penulisan esei yang dihasilkan. Garapan dalam mengemukakan idea melalui hujah dan sokongan data daripada sumber-sumber tertentu, memantapkan perbincangan terhadap sesuatu topik yang dipilih. Kebanyakan karya yang dinilai dan menang mengemukakan pandangan yang asli, bertanggungjawab dan berupaya mengawal ciri penulisan esei yang dipilih. Subjek yang dikupas dikemukakan satu persatu secara jelas, dan pembuktian dilakukan melalui contoh dan penghujahan. Setiap tahap idea berkembang dengan kesinambungan jalur fikir pengarang, selaras dengan kaedah sama ada induktif atau deduktif. Ketepatan, ringkas dan padat merupakan kunci utama penulisan esei/kritikan yang berjaya.

Karya yang dinilai tetapi tidak berjaya kerana mempunyai kelemahan dari segi kesatuan idea yang tidak menyeluruh, objektif yang tidak jelas dan gagal mengemukakan bukti serta penghujahan secara meyakinkan. Kekeliruan idea menyebabkan kesan penghayatan tulisan yang tidak komunikatif. Selain itu terdapat tulisan yang hanya bersifat memberikan kenyataan tanpa menganalisis secara mendalam di sebalik setiap fakta yang dikemukakan. Sogokan fakta semata-mata tanpa penghuraian yang mendalam gagal meyakinkan pembaca. Oleh itu mutu karya dilihat tidak mencapai objektif. Gabungan antara idea, fakta, kaedah penghujahan, dan pembuktian didapati penting dalam penulisan kajian, esei dan kritikan.

PANEL PENILAI
Prof. Dr. Sohaimi Abd. Aziz
Prof. Madya Dr. Hashim Ismail
Dr. Norhayati Ab. Rahman


Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (Genre Puisi)

PENDAHULUAN

PUISI YANG BAIK selalunya dikaitkan dengan kekuatannya mengungkapkan atau menyampaikan mesej yang mempunyai makna atau signifikan yang tersendiri kepada penulis khasnya dan kepada kemanusiaan amnya. Puisi yang baik adalah puisi yang menggunakan bahasa yang puitis serta terkawal bagi memungkinkan isi kandungannya difahami dan dihayati, dan pada masa yang sama kesan estetik dan elemen kesenian dirasai juga oleh pembaca. Puisi yang baik hendaklah jujur dan ikhlas dalam mengupas atau memperkatakan tentang isi atau perkara yang dijadikan persoalan utama oleh penulis, tanpa terlalu memaksa pembaca menerima idea atau pendirian peribadinya. Kespontanan seni dan kesenianlah yang membezakan antara puisi yang baik dengan puisi yang serba sederhana.

KRITERIA PENILAIAN

Puisi yang baik memperkatakan sesuatu yang dapat meningkatkan kesedaran serta kepekaan kemanusiaan dalam kalangan pembaca. Selain merangsang imaginasi dalam kalangan pembaca, puisi yang baik secara bersahaja pula berkemampuan membangkitkan kesedaran, keinsafan dan keinginan untuk berfikir atau merenung sama permasalahan yang diketengahkan oleh penulis. Puisi yang baik berkeupayaan meninggalkan kepuasan emosi dan intelek yang berkekalan.

Dalam kata lain, puisi yang baik memberi makna atau nilai kepada seseorang, tempat atau objek yang dipilih. Puisi yang baik dibangunkan oleh kata-kata, baris dan bait yang dipilih sebegitu rupa hingga wujud kesepaduan isi dan bentuk, mesej dan struktur, dan antara kedua-duanya saling melengkapi. Puisi yang baik berkeupayaan memberi imej atau gambaran serta kesan visual kepada pembaca. Puisi yang baik adalah puisi yang tulis sarat dengan kejujuran dan keikhlasan dalam mengupas permasalahan utamanya dan memberi makna yang tersendiri kepada penulis dan juga pembaca.

PENILAIAN KESELURUHAN

Bagi kumpulan puisi, selain melihat setiap satu puisi dari sudut keindahan seni dan kekuatan makna yang ingin disampaikan oleh penyair dalam kumpulan tersebut, panel mengambil pendekatan untuk menilai 36 buah kumpulan puisi oleh 32 orang penyair itu dari sudut impak atau kesan makna, kesan emosi, kesan psikologi dan kesan intelektualnya secara keseluruhan, sebagai satu pakej yang berupaya mendorong pembaca untuk memikir secara bersama mesej atau persoalan pokok puisi tersebut. Ilmu pengetahuan dan pengalaman sosiobudaya dan pengalaman kesenian baru yang disampaikan oleh penulis serta kematangan pengolahan dan penggunaan bahasa turut dijadikan ukuran utama dalam memperakukan kumpulan puisi itu untuk dipertimbangkan bagi menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011.

Tiga buah kumpulan puisi yang difikirkan sesuai untuk diteliti dan dinilai bersama di peringkat akhir penilaian adalah:

1. Mencari Akar di Ladang Terbakar karya Zam Ismail (YWJ Citra, 2011)

2. Khazanah Segala Rimbun karya Marzuki Ali (Penerbit USM, 2011)

3. Terminus A Quo karya Raihani Mohd. Said (Rumah Buku Rania, 2011)

Panel penilai kategori puisi menggunakan kayu ukur yang telah ditetapkan urus setia di samping pertimbangan-pertimbangan di atas untuk menilai dan memilih puisi eceran untuk diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011. Puisi eceran bermaksud karya yang disiarkan dalam media iaitu akhbar dan majalah, antologi dan kumpulan (karya yang terbit untuk kali pertamanya). Hasil penelitian ke atas 1,898 buah puisi eceran itu Panel Penilai telah mengenal pasti sebanyak 100 buah puisi yang layak dipertimbangkan bagi penilaian tahap kedua, dan seterusnya mengenal pasti 25 buah puisi untuk dinilai pada peringkat akhir. Daripada 25 buah puisi tersebut Panel Penilai HSPM bagi kategori puisi bersetuju memilih dan memperakukan 10 buah puisi diangkat sebagai yang terbaik untuk diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG KATEGORI KUMPULAN PUISI
Khazanah Segala Rimbun karya Marzuki Ali (Pulau Pinang: Penerbit USM, 2011)

Kumpulan ini memuatkan sejumlah 168 buah puisi yang berkisar sekitar tema alam flora dan fauna yang bertujuan untuk meningkatkan kepekaan, kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama, terutama dalam kalangan warga kampus USM, terhadap usaha memelihara, melindungi dan menjaga ekosistem alam semula jadi. Tanggungjawab manusia sebagai makhluk Tuhan yang diberi kelebihan akal di samping memiliki juga naluri kemanusiaan dan nilai keinsanan, bukan saja terbatas kepada kecekapan menggunakan khazanah dan kekayaan alam sebagai sumber penting bagi menjamin kelangsungan tamadun manusia, tetapi amat wajar juga kebijaksanaan untuk menjaga dan memulihara alam itu secara sistematis dan berhemah bagi menjamin kelestarian alam sekitar yang segar dan subur.

Selain itu, kumpulan ini juga mengetengahkan persoalan alam sekitar sebagai isu sastera yang setaraf dengan isu politik, di dalam ruang yang mempunyai dua pola, lagaan antara pemusnah dan pembela, kerakusan dan kemurahan hati. Dari satu segi, buku ini adalah satu seruan. Dari segi yang lain pula, ia merakam kepelbagaian flora dan fauna di kampus USM, malah di seluruh Pulau Pinang, dibahagikan kepada empat bahagian atau bab demi memudahkan rungkaian tema.

Penyair bertindak sebagai saksi yang merakam keperihalan alam, dalam sebanyak 168 selingan, yang panjang pendek bari-barisnya berbeza. Sekali gus penyair berubah menjadi seorang ahli botani, mengenal jenis-jenis tumbuhan dan bentuk warna burung-burungan, mencatatkan sikap dan perangai masing-masing.

Pepohon palma, umpamanya, boleh dipuisikan penyair sebagai watak-watak yang mahu dihormati, tidak dipandang hina. Hubungannya dengan tukang kebun adalah rapat sebab ia sudah lama bekerja menjaga bunga, menyiram air, membaja, dan meracun lalang, saling kenal mengenal mengharungi zaman. Pohon palma sama seperti tukang kebun kian hari kian tua, berlalu, membiarkan benih baru hidup subur: metafora manusia berhadapan dengan ancaman dan janjian usia.

Rangkap-rangkap puisi mencerminkan pemerhatian penyair yang tajam, terhadap bintik-bintik embun hinggalah ke sayap helang yang menyongsong lalu. Kumpulan awan direnungnya dari celah-celah hujan yang mengusai, cabang- cabang tanpa daun, ranting-ranting lusuh dan berlumut. Begitu juga akar-akar yang saling mencengkam dan membelit batang-batang pokok sena yang redup, sepanjang laluan dari desa siswa ke perpustakaan. Kesemuanya ini menjadi semacam kolaj yang terlekat tindih menindih, tanpa adanya pemusatan yang perlu diutamakan, sebab semuanya layak diberi fokus.

Kumpulan ini adalah yang kedua yang diinspirasikan oleh alam semula jadi di kampus USM. Buku pertama Sebutir Zamrud di Deru Selat oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh mengolah tema yang sama, dalam dua belas bab, bermula dari bulan Januari hingga bulan Disember. Kehijauan kampus USM yang cantik itu menyediakan bakat-bakat yang sensitif kepada tumbuhan-tumbuhan dan haiwan liar untuk diabadikan. Penyajak menyumbang ke arah tradisi penulisan puisi moden, bermain dengan tema yang amat purba, setua manusia: kebergantungan manusia pada alam.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG KATEGORI PUISI ECERAN

1. “Permainan Mimpi” karya Baha Zain (Dewan Sastera, Januari 2010)

Sajak ini mengajak pembaca untuk melihat mimpi sebagai satu dunia yang tersendiri, seakan saudara kembar kehidupan seharian yang biasa dilalui saban hari. Lantas, sebagai satu dunia kembar, seperti juga pengalaman dalam dunia nyata, setiap mimpi memberi kesan emosi dan sosialnya yang tersendiri – menimbul kan keinsafan dan kesedaran, memberi kepuasan atau meninggalkan keresahan berterusan, dan juga turut membantu meleraikan kekusutan termasuk menyelesaikan masalah.

Ungkapan yang digunakan penyajak merupakan ungkapan-ungkapan yang biasa akan tetapi menjadi puitis melalui pemilihan beberapa peristiwa yang amat segar, kontemporari dan terkini sebagai mimpi, perwujudan elemen dramatik – seakan sebuah filem kehidupan, yang bergerak dari satu episod ke episod lain.

Contoh ungkapan-ungkapan padat yang berkaitan langsung dengan pemikiran penyair, umpamanya:

Mengapa tidak saban malam datang mimpi?
Tentang kehidupan lain, di dunia lain,
aneh, menggerunkan dan sesekali mengagumkan.

Begitu juga dengan sebuah rangkap lain yang berbunyi:

Mimpi membawa kita mengembara ke dunia yang jauh.
Menyelesaikan kekusutan dan memenuhi keinginan.
Menyusuri zaman remaja yang tak kembali,
tetapi kita tak dapat memaksa mimpi
dengan arahan atau kekuasaan tirani.

Penyajak juga mengaplikasikan unsur personifikasi melalui baris:

Mimpi yang aneh itu akan memilih
bentuk, cara dan waktunya sendiri.

Ternyata, adunan pemikiran dan corak pemakaian bahasa yang impresif walaupun dalam sesetengah keadaan kelihatannya agak sederhana, puisi ini menjadi berkesan melalui pemilihan subjek “mimpi” untuk mengajak pembaca merenung dan memikirkan kewujudannya dalam kehidupan.

2. “Dalam Persekitaran Kata-kata” karya Baha Zain (Dewan Sastera, Februari 2010)

Kesederhanaan pengucapan dalam puisi ini memberi makna yang amat mendalam tentang hubungan hakiki antara manusia dengan Tuhan, antara manusia dengan bahasa ibundanya, dan antara manusia dengan alam sekelilingnya. Makna tersirat dalam sajak ini meminta pembaca sebagai pewaris bumi dan sebagai khalifah menghormati anugerah yang telah diberikan.

Penggunaan ungkapan “memindahkan” dalam karya ini membantu meninggalkan impak atau kesan makna kepada pembaca. Sekali gus, membuktikan keindahan bahasa Melayu itu sendiri; kaya dan sarat dengan lapisan-lapisan makna dalam keadaan ia semakin dilupakan. Penyajak menggambarkan keterhirisan rasanya melihat betapa bahasa itu semakin dirosakkan.

Sikap penyajak yang pasrah mengangkat taraf sajak ini ke tahap pembinaan kesedaran yang tinggi. Keyakinan sendiri, menurut penyajak penting, terutamanya ketika menerokai keesaan Ilahi. Pengakuan tentang kekerdilan manusia dibuat secara bersahaja, tetapi meyakinkan kerana mampu mengajak pembaca turut sama merasainya.

3. “Selamat Berpisah, Wahai Dalangku” karya Rosli K. Matari (Dewan Sastera, Mac 2010)

Apakah signifikannya kehadiran Tok Dalang dan wayangnya dalam kehidupan seharian penyajak? Apakah kesan tinggalan wayang mainan tersebut kepada hati dan perasaannya? Apakah pengajaran yang diperoleh daripada persembahan wayang kulit tersebut? Kesan dan impak Tok Dalang dan wayangnya kepada penyajak diungkapkan melalui ingatannya kepada Tok Dalang dan wayangnya yang sekali gus menggamit nostalgianya, ucapnya:

Jika kurenung kembali
Lantera tua ini, meski tidak bercahaya lagi
Aku akan selalu terkenang padamu,
Wahai dalangku.

Penyajak menyedari pengorbanan dan peranan besar yang dimainkan Dalang dalam memaknakan kewujudan atau memberi erti kepada watak-watak dalam wayangnya. Dikatakan oleh penyajak:

Entah berapa lama
Sebahagian hayatmu disuluh cahaya
Untuk kaujelmakan bari hikayat,
Menjujuk segala peri watak ke muka kelir.

Di hadapan kelir itulah, sekian lama
Engkau menggalur taakul dan teladan
Berterap tamsil, meresap ke dalam fikir
Antara kias suluh dan bayang-bayang.

Penyajak melihat bahkan menginsafi kesementaraan ketika memaparkan kehadiran watak-watak dalam wayang Tok Dalang melalui garapan berikut ini:

Tiada bayang, jikalau tiada cahaya
Ada cahaya, ada pelita
Dan wujud makrifat pelita
Kerana bersebalikkan Pencipta.

Manakala, kesementaraan akan kewujudan Tok Dalang pula diungkapkan penyajak sebagai:

Seperti bayang itu,
Engkau pun tidak kekal di sini
Kerana dunia ini sirna,
Tiada sesempurna alam hakiki.

Kekuatan sajak ini terletak pada kebijaksanaan penyajak menggunakan wayang dan Tok Dalang sebagai subjek utama untuk mengingatkan dirinya tentang kesementaraan kewujudan manusia di dunia yang fana ini. Ini disimpulkan dalam rangkap yang berikut ini:

Kautinggalkan juzuk bari
Tabuh tidak terdengar lagi,
Tetapi segala teladan tersimpan itu
Tetap jernih bagai embun dan cermin.

Pemilihan dan penggunaan bahasa didapati dikawal dengan rapi berdasarkan keperluan dan ini menjadikan puisi ini ekonomis dari segi pemakaian bahasa. Bahasanya mampu mengandung emosi kerana dapat meninggalkan kesan nostalgik dan keterharuan dalam hati pembaca:

Selamat berpisah,
Wahai dalangku
Tinggalkanlah aku di sini
Menunggu memaknakan bayang-bayang.

4. “Seluas-luasnya dan Setenang-tenangnya” karya Arbak Othman (Mingguan Malaysia, 13 Jun 2010)

Peluang dan ruang untuk mengenali, memahami dan menghayati cahaya kebenaran selalunya luas dan terbuka. Dengan yang demikian, usaha dan langkah-langkah ke arah menginsafi kekurangan dan kekerdilan diri di sini Ilahi, sentiasa dilaksanakan. Seterusnya, tindakan-tindakan akan menambahbaikkan amalan bagi mendapatkan keredaan-Nya pula. Pemikiran ini menunjangi puisi ini. Petikan berikut memberi gambaran tentangnya:

… aku mesti terus belajar
menjejaki alam fana ini
dan pulang dengan setitik air
meski kau rasakan selautan
tidak padan sekali-kali jadi milikku
atau selama-lamanya.

Aku yang bertambah tua
Terus-menerus merasa
Ia penambah derita
Tidak sedikit pun pernah dewasa.

Sifat keterbukaan penyajak selanjutnya ditunjukkan sebagai benih cahaya di akalku, bukan lautan yang kupinta, cuma setitik air bening dari telaga cinta. Dan, inilah saatnya menghidupkan semula segala, juga taufan yang tidak menggetarkan mimpi dan juga kenyataan. Pengalaman yang dilalui, meskipun merupakan rasa dahaga dari lembah atau bukit seperti jurang diserang arus, membuat kita tergelepar menghirup doa silam, namun kerana kepintaran dan kebijaksanaan pujangga atau ulama sufi maka segala kekurangan itu dapat diatasi. Hal ini dirumuskan penyajak melalui:

Pada ombak yang mula tenang
di perjumpaan sunyi yang menyimpan guruh
sepanjang malam
malam yang tiada lagi mimpi
yang mendengungkan hujan;
dan yang menitis itu
buka lagi setitik air bening
tetapi selautan cahaya
yang membuka terang langit
seluas-luas dan setenang-tenangnya.

Puisi ini relevan kerana idea tentang fitrah manusia dan kemanusiaan, tentang ruang serta peluang yang terbuka untuk manusia menginsafi kekurangan diri di satu pihak, dan merenungi kebesaran Tuhan pada satu pihak yang lain diungkapkan dengan cermat dan berhati-hati. Penggunaan lambang dan imej alam memberi kesegaran kepada “perasaan” dan “emosi kerohanian” yang ingin dijadikan asas untuk memahami dan menghayati kebesaran Ilahi. Kesepaduan semua inilah yang menjadikan sajak ini istimewa.

5. “Ingatan Kepada Kawan XXIV” karya Zaen Kasturi (Mingguan Malaysia, 17 Oktober 2010)

Puisi ini memperkatakan tentang makna kewujudan manusia, perjalanan waktu dan peralihan musim sebagai sesuatu yang wajar berlaku. Walaupun, sesekali mungkin akan diragui kebermaknaan kewujudan itu sebagaimana yang disifatkan sebagai “bayangan yang entah sementara atau nyata di sebalik rendang dan redunya pohon hayat“. Sekiranya difahami hakikat ini – tak kunjung mimpi tanpa tidur yang panjang, tak hadir cinta tanpa hidup yang ditakdirkan, maka hidup yang membawa ke satu arah nyata akan menginsafkan pembaca peri pentingnya kehadiran setiap unsur dalam kehidupan yang saling melengkapi – di mana angin berguling, di mana bunga berpuing, aku akan menjagamu, kau akan menjadi sebahagian daripada riwayatku.

Puisi ini mengungkapkan secara simbolik akan makna persahabatan antara sesama insan – cinta adalah perihal menjaga bukan semata keinginan kuat untuk memilikinya. Manakala, persahabatan juga dilihat sebagai satu pengorbanan – gunung yang menampung seluruh puncak sepi dan derita. Dalam konteks ini penyajak mentafsirkan kehadiran kawan sebagai samudera yang menenggelamkan segenap benci dan angkara, dan bagi penyajak hidup ini justeru bagaikan karang segara, yang akan sering dipukul gelombang.

Penyajak membawa persoalan yang berat tentang kewujudan, persahabatan dan rasa tanggungjawab secara perlambangan. Pemilihan imejan dan lukisan alam yang digunakan mengharmonikan idea dan pemikirannya sehingga terasakan wujud suasana yang akrab dan mesra. Kesimpulan yang dapat diambil ialah bahawa persahabatan itu menjadi indah dan bermakna kerana tanggungjawab berat dan pengorbanan yang perlu difahami serta dilalui bersama.

6. “Suluk Rohaniah II” karya A. Murizu Idham (Tunas Cipta, Disember 2010)

Jalan untuk mencapai kesempurnaan batin lewat amal ibadat dan zikir amatlah mencabar dan penuh dengan cubaan dan dugaan. Lantaran itu, perjalanan untuk mencari dan menemui diri dan kebenaran tidak pernah dianggap mudah. Justeru, insan yang membuat ketetapan dan memilih bagi mengabdikan diri dalam menyusuri titian rohaniah untuk memaknakan kehadiran dan kewujudan diri di sisi Allah sentiasa mendapat sanjungan dan dikagumi. Puisi ini merakamkan dengan keadaan ini – ingatan tentang kembara yang dilalui seorang insan ke arah kesempurnaan rohani, melalui pelbagai bentuk pengalaman peribadi yang mencemaskan atau pun sesekali merimaskan. Ungkap penyajak;

Sesungguhnya kami telah melihat dia rebah di penjuru kehinaan
setelah diragut kepulan masa yang penuh tirani itu. Namun dalam
diam kami mengesan suatu kesedaran bangkit dari jiwa dia untuk kembali mereguk
nilai cinta-Nya. Saat itu semakin hari kami melihat dia mulai fana
dalam nafas duniawi dan mabuk dalam hakiki.

Dalam aspek penggunaan bahasa, ia kelihatan amat biasa. Akan tetapi di sebaliknya, penyajak berusaha mengangkat makna, dan dengan penggunaan ungkapan-ungkapan yang puitis, penyajak mengimbau pengalaman peribadi ketika menyaksikan perjalanan hidup dan pengorbanannya;

Sesekali kami melihat engkau menggiring pergi
sebuah permata cinta amat kudus
mengisi sebuah teratak sukma usang

kami melihat engkau mengutip
serpihan-serpihan kaca nafsi dari cermin peribadi
yang pecah saat datarnya penuh debu-debu duniawi

kami melihat engkau telah membunuh serigala amarah
demi menyambut setitik tinta cinta buat mengguyur
rohani lusuh di ruang syariat.

Dalam pencarian dan perjalanan ini, keinsafan tentang kebenaran dan kecintaan terhadap Ilahi diekspresikan dengan menarik melalui rangkap-rangkap ini, sekali gus meletakkan karya ini sebagai sangat meyakinkan selain meninggalkan pengertian mendalam:

Tuhan, tinggalkan diriku bersama-Mu dalam satu ruang yang
penuh keindahan. Biarlah hanya kita berdua yang setia bercinta.

Engkau – Aku; mengenal di balik pintu syariat
Berkelana di pesisir tarikat; bercinta dalam nafas hakikat,
Bertemu dalam ruang makrifat.

7. “Belajarlah Memahaminya – Gunung Legenda” karya Shapiai Muhammad Ramly (Antologi Puisi Bingkisan Ledang, 2010)

Puisi ini bertemakan kelestarian alam dengan merakamkan kepekaan penyajak tentang daun-daun yang dengan “bahasa diamnya” yang turut memanjatkan doa dan berzikir agar dapat menemui ketenangan dari kesibukan yang serba “menyisih”, mendapat jawapan tentang kebenaran daripada sejarah penuh misteri, dan mendapat petunjuk tentang cara bagaimana menjaga amanah alam dalam “keruh keresahan industri”. Sama ada ketika tidur di kakinya (Gunung Ledang) – mengingati kisah sejarah silam “yang penuh sindiran alam”, atau ketika berada di puncaknya melihat mesranya pohon menyapa dengan kalimat indahnya juntaian embun, atau ketika turun dan merasai juga jari-jari mesra, sungai setia, pohon sabar dan lembah ghairah alam, penyajak menginsafi diri tentang kegagahan dan misteri gunung legenda, dan pentingnya “belajar memahami bahasa gunung legenda ini”.

Puisi ini turut menyinggung persoalan yang sekarang ini banyak diperkatakan – persoalan tentang kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab warga dunia untuk menjaga dan memelihara alam sekitar. Kekinian persoalan ini menjadikan karya ini mudah difahami dan senang dihayati. Kekuatan puisi ini terletak pada kebijaksanaan dalam pemilihan ungkapan yang banyak membantu pembaca untuk memahami dengan lebih mendalam akan mesej yang hendak disampaikan selain penggunaan unsur alam secara natural.

8. “Nota Kecil Saat Menyeberangi Usia II” karya Fahd Radzy (Mingguan Malaysia, 13 Februari 2011)

Dengan menggunakan imejan matari yang meluruhkan sengatnya di gelanggang perjalanan adalah pepisau waktu yang meraut roh kewujudan, karya ini cuba menampilkan peri besarnya kuasa alam dalam membentuk hati nurani dan peribadi seseorang, di samping keupayaannya untuk meningkatkan kesedaran serta keinsafan tentang makna kewujudan serta kerapuhan jasad manusia. Perjalanan hidup yang terbuang dan jejak-jejak yang ditinggalkan hanyalah sebagai gores pasir yang sesekali lenyap digeser angin. Malahan, sesekali kehidupan ini disifatkan seakan lopak yang menakung pengalaman masa silam yang parah, terutama sekali apabila keangkuhan dan kekusutan jiwa mencirikan kewujudannya.

Penyajak berpandangan bahawa seorang musafir tua yang apabila “menyeberangi usia” hanya melihat dirinya sebagai “sekujur jasmani” yang terlupa “perjalanan hakiki” sebagai khalifah Allah, dan hanya mampu membentangkan renyuk perjalanan sebuah peta pudar, darah yang menitis pada halamannya, keliru yang tersangkut pada mata anginnya, dan dosa yang berdebu pada garislipatnya, sesungguhnya adalah seorang individu yang amat tidak signifikan kewujudannya. Hal ini digambarkan melalui baris berikut ini:

dalam segengam pasir aku hanyalah titik nil
dalam sebanjar bukit aku hanyalah titik nil
dalam sepandang gurun aku hanya titik nil
dalam sedepang lautan aku hanyalah titik nil
dalam saujana alam aku hanyalah setitik nil.

Puisi ini boleh disifatkan kuat ideanya kerana boleh mencorakkan kebijaksanaan kepada pembaca khususnya dalam merenungi hakikat kekhalifahan yang disisipkan kemas dalam pelbagai imejan yang dipilihnya.

9. “Tanah Diciptakan Angin” karya S.M. Zakir (Dewan Sastera, Jun 2011)

Puisi 30 baris tanpa noktah ini sarat dengan pemikiran, membacanya sesekali sahaja dilegakan hanya oleh satu sengkang, dua koma, dan empat titik koma, sebenarnya membawa mesej mengenai keingkaran manusia. Keingkaran itu dinyatakan oleh kaum yang pandai menulis menggunakan darah di atas daun lontar, terlalu yakin akan untung nasib yang ditentukan sendiri, kini ditempias pada manusia masa kini yang sudah hilang kepercayaan pada Tuhan.

Penyajak mengaburkan garis pemisah yang mengagihkan masa lampau dan masa kini, sebab yang menyatukan penghuni kedua-dua ruang waktu itu ialah rasa takbur yang berlebih-lebihan di sepanjang zaman. Betapa ruginya mereka yang lupa diri untuk mengakui bahawa dosa dan pahala itu dicatat malaikat yang merakam gerak hati dan gerak badan, tertenggek di atas bahu, saksi setia ke akhir hayat.

Peta purba itu bukannya kiraan mengikut angka tetapi kiraan hakiki yang melampai segala pecahan masa. Peta purba dan peta moden adalah sama, sebagai petunjuk arah, ke kiri atau ke kanan, ke timur atau ke barat, ke utara atau ke selatan, tetapi bukan kepada diri sendiri, ke denyut jantung di dalam dada.

Inilah petaka yang dihadapi oleh manusia sejagat, sesat, angkara ciptaan sendiri. Penyajak mengupas isu ini secara sungguh-sungguh melalui teknik tadi. Dengan kekuatan bahasa yang dipamerkan dan melalui gaya penggarapan yang bersesuaian, kesan makna dan apresiasi menerobos masuk ke persepsi pembacanya.

10. “Suatu Ketika di Kaki Kinabalu” karya S. Iqram (Kumpulan Puisi Siber S. Iqram Ekstasi Cinta, eSastera Enterprise, 2011)

Puisi ini menggunakan watak-watak setempat secara untuk memberi gambaran tentang keindahan, kesyahduan serta kewajaran penghijrahan cinta seorang “aku”. Dari perasaan cinta ketika remaja kepada Suzie kerana keayuan dan kejelitaan seorang gadis pingitan, cinta “aku” yang kini sudah didewasakan oleh perjalanan waktu berpindah kepada rasa rindu dan cinta kepada Tuhan yang Maha Rahim.

Dilihat dari satu sudut yang lain, karya ini memberi gambaran yang romantis tentang perjalanan hidup seorang “aku” yang mencari erti ketakwaan – mensyukuri rahmat dan nikmat pemberian Tuhan – perpindahan daripada kepercayaan yang tradisional sifatnya yang bersifat tercari-cari kepada kepercayaan keagamaan yang abadi.

Ingatan tentang kerinduan ketika alam remaja yang amat nostalgik dirakamkan dengan berkesan oleh penyajak melalui penggunaan bahasa yang puitis serta sarat dengan imejan yang segar seperti berikut:

Engkau hanyalah sumandak pingitan yang pemalu;

Sejelita birumeru Kinabalu di jendela pagi yang kebasahan;

bertahun waktu bergulir dan berganjak;

Bukan mencari jelita Huminodun dari potret memori purba; dan

Kugamit rindu pada zikir angin Kundasang.

Keindahan dan misteri Gunung Kinabalu serta alam sekelilingnya yang dilukis dengan baik turut memberi konteks setempat yang relevan kepada puisi ini. Lihatlah ungkapan indah seperti:

Leluhurmu dari Nunuk Ragang yang diterbangkan oleh dewata;

seperti pesona Huminodun, tak pernah kulupa gemulai tari sumazau; dan

di kaki Kinabalu; dalam dingin dan suci terbungkus kabus.

Penyair didapati berjaya membawa pembaca menghayati makna penghijrahan cinta yang dirasai dan dialami olehnya sebagai satu perjalanan rohani yang dinamik.

KESIMPULAN

Banyak lagi puisi eceran dan kumpulan puisi yang patut diberi pengiktirafan tetapi had yang dikenakan supaya memilih satu buku dan sepuluh puisi berkesudahan dengan senarai yang telah kami ketengahkan ini. Kami berbincang dan berdebat dalam proses memilih, yang kami kendali seadil yang mungkin.

PANEL PENILAI
Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin
Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah
Prof. Dr. Zakaria Ali

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (Kategori Kanak-kanak dan Remaja)

PENDAHULUAN

HADIAH dalam kategori ini merujuk pada karya sastera kreatif bentuk buku, bagi genre cerpen, novel, puisi dan drama. Karya bentuk buku ini merupakan hasil pengarang perseorangan untuk sasaran peringkat kanak-kanak 9-12 tahun dan peringkat remaja (13-18) tahun. Karya yang dinilai ialah penerbitan pada tahun 2010-2011.

KATEGORI KESUSASTERAAN KANAK-KANAK

Empat kategori karya yang dinilai iaitu:
i. Kategori Novel Kanak-kanak
ii. Kategori Kumpulan Cerpen Kanak-kanak
iii. Kategori Kumpulan Puisi Kanak-kanak
iv. Kategori Kumpulan Drama Kanak-kanak

KATEGORI NOVEL KANAK-KANAK

Novel kanak-kanak merupakan salah satu kategori yang dinilai dalam Hadiah Sastera Perdana (HSPM) 2010-2011. Dalam tempoh dua tahun yang termasuk dalam syarat anugerah, penerbitan novel kanak-kanak agak menggalakkan sejajar dengan perkembangan sastera kanak-kanak dan remaja di negara ini. Pihak urus Setia HSPM 2010-2011 menerima sejumlah novel kanak-kanak yang sesuai dinilai dalam kategori berkenaan. Novel-novel yang diterima mengutarakan pelbagai tema dan persoalan, merangkumi ruang lingkup dunia kanak-kanak seperti yang ditetapkan.

KRITERIA PENILAIAN

Antara kriteria dasar yang ditetapkan dalam proses penilaian ialah karya perlu memenuhi ciri-ciri kekuatan kesatuan organik, kekuatan dan keaslian persoalan, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, dana inovasi dalam kreativiti. Novel-novel dibaca secara analitikal untuk memastikan kehendak kriteria penilaian itu dipenuhi. Ada karya yang memaparkan kekuatan dalam aspek-aspek tertentu, tetapi lemah dalam aspek-aspek yang lain. Hal-hal sebegini telah diberikan perhatian yang sewajarnya oleh panel penilai dalam menentukan karya yang benar-benar kuat diangkat sebagai penerima anugerah.

PENILAIAN KESELURUHAN

Panel telah menerima sebanyak 47 buah novel kanak-kanak untuk dinilai berdasarkan kriteria dan pertimbangan yang ditetapkan. Meneliti secara keseluruhan novel yang dihasilkan, umumnya menampakkan kesesuaian terutama sebagai bahan bacaan kepada kelompok sasaran. Sebahagian besar novel yang diketengahkan berkisar di sekitar kehidupan kanak-kanak, pengalaman hidup kanak-kanak, cerita-cerita teladan dan pengajaran di samping cerita-cerita yang berasaskan pengetahuan sains. Dalam konteks ini, ada usaha dan kesungguhan yang dilakukan oleh penulis untuk menyisipkan ilmu dan pengetahuan yang diterapkan melalui cerita yang disampaikan.

Selain itu nilai dan pengajaran yang dapat diperoleh melalui karya itu dikesan secara dominan dalam keseluruhan karya yang diteliti. Namun demikian, kecenderungan penulis menyuguhkan nilai dan pengajaran secara keterlaluan dalam novel menjadikan karya berkenaan tidak realistik dan seperti sengaja dibuat-buat. Fenomena ini telah menghilangkan nilai estetika kerana tumpuan diberikan pada satu atau dua aspek semata-mata dan pada masa yang sama mengabaikan aspek yang lain.

Tidak kurang juga novel yang menggunakan bahasa yang santai berlebihan sehingga mencetuskan kerancuan. Penggunaan bahasa basahan, bahasa slanga, bahasa asing, digunakan untuk menyesuaikan karya dengan dunia kanak-kanak. Hal ini tidak dianggap sebagai satu perkara yang baik kerana pengabaian terhadap estetika bahasa sudah tentu menghilangkan pesona kesusasteraan itu sendiri.

Hasil penelitian dan pembacaan secara rinci terhadap 47 buah novel yang dinilai dari segi kesesuaian cerita, watak, dan teknik penyampaian dan penulisan, hanya dua buah novel telah dipilih untuk dipertimbangkan dalam senarai pendek bagi penilaian ke peringkat separuh akhir. Novel-novel tersebut ialah :

i. Beruk oleh Azizi Haji Abdullah
ii. Ok Ok oleh Jong Chian Lai

Setelah diperhalus segala aspek penilaian, panel sebulat suara membuat keputusan untuk memilih dua buah yang berjaya memenuhi justifikasi pemilihan akhir iaitu novel Beruk karya Azizi Haji Abdullah dan Ok Ok karya Jong Chian Lai. Kedua-dua buah novel ini memenuhi kriteria pemilihan yang telah ditetapkan oleh pihak urus setia.


Novel Beruk mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Lias yang tinggal bersama-sama ibunya yang lumpuh setelah kematian ayahnya. Lias memelihara Pon, beruk yang dijinakkan oleh bapanya. Lias membawa Pon mengambil upah memetik buah kelapa. Konflik timbul apabila Pon hilang pada suatu pagi. Lias berusaha mencari Pon sehingga lewat datang ke sekolah dan dimarahi oleh gurunya Cikgu Sunan. Tindakan Cikgu Sunan menampar pipi Lias telah menambahkan konflik dalam hidup Lias. Kekuatan perwatakan Lias terpamer apabila dia sangat menjaga hati semua orang yang disayanginya. Walaupun dia mengalami kesakitan akibat telinganya bernanah, dia tidak pernah menceritakannya kepada ibu dan rakannya Som. Lias berusaha menanggung perbelanjaan keluarga dan rawatan ibunya yang lumpuh. Akibatnya, Lias langsung tidak hadir ke sekolah, tetapi masih tetap mengulang kaji pelajarannya. Kegagalan Lias hadir ke sekolah telah menyebabkan Cikgu Sunan mula menyedari kesilapannya. Cikgu Sunan akhirnya datang ke rumah Lias. Akhirnya beliau mengetahui kesusahan Lias dan berusaha untuk membantu. Pon tersalah anggap terhadap Cikgu Sunan kerana disangkanya guru itu akan mencederakan Lias. Lias pula telah bertindak membunuh Pon semata-mata mahu menyelamatkan Cikgu Sunan ketika guru itu datang ke rumahnya. Ternyata kasih sayang Lias terhadap gurunya telah membuatkan Cikgu Sunan berjanji untuk menyara Lias hingga ke universiti.

Novel Ok Ok pula mengisahkan seekor orang utan yang dipelihara oleh datuk Jabau. Orang utan yang jinak itu dibawa oleh datuk Jabau ke rumah Jabau. Konflik timbul apabila ada rakan-rakan Jabau yang bertindak melastik Ok Ok. Konflik semakin serius apabila Ok Ok telah terlepas dan masuk ke hutan. Ah Seng, Samad, dan Ningkan yang mahu mencarinya setelah diupah oleh seorang pemuda, akhirnya telah tersesat. Ketika mereka diserang kumpulan kera liar, Ok Ok telah datang untuk menyelamatkan mereka. Akhirnya, orang utan itu dihantar ke Taman Hidupan Liar Matang untuk dijaga dengan baik kerana haiwan berkenaan termasuk dalam spesies yang dilindungi.

SENARAI KEPUTUSAN

Pada peringkat akhir penilaian, panel penilai telah bersetuju untuk mengangkat novel Beruk karya Azizi Haji Abdullah sebagai novel yang memenangi kategori ini.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG

Keputusan ini dibuat berdasarkan justifikasi-justifikasi yang dipersetujui iaitu kekuatan kesatuan dan organik karya, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, keseimbangan estetika bahasa dan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, kesesuaian nilai, serta inovasi dan kreativiti.

Dilihat dari aspek kekuatan dan kesatuan organik karya, novel Beruk diakui mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Lias, seorang murid darjah lima yang berjiwa polos dan luhur, namun bersemangat kental dan bergantung hidup dengan membawa beruk peninggalan arwah bapanya untuk mencari rezeki. Kehilangan Pon, beruknya mencambahkan konflik Lias untuk berhadapan dengan pelbagai dugaan yang tidak dijangka. Pengarang berjaya mewujudkan kekuatan penceritaan yang tekal untuk menarik minat pembacaan yang berterusan. Secara organik juga, novel ini dibina dengan binaan struktur yang utuh sehingga sukar untuk mencari ruang kelemahan yang signifikan. Watak Lias, seorang murid tahun lima di sebuah sekolah luar bandar dibina dengan baik oleh pengarang sehingga pembaca dapat merasai keperitan hidup watak tersebut di sepanjang plotnya. Kekuatan watak ini dikukuhkan dengan watak sampingan seperti Cikgu Sunan yang tegas, ibunya yang lumpuh, Som yang prihatin, beruknya Pon yang jinak dan kuat bekerja, dan persekitaran kampung yang jauh di pedalaman. Rentetan peristiwa hubungan Lias dengan beruknya telah menzahirkan wadah penikmatan kasih sayang antara manusia dengan haiwan dan sebaliknya. Pon, watak beruk tersebut diberikan peranan yang besar oleh pengarang untuk menampakkan kesatuan organik yang utuh dan dicernakan dengan baik, menarik, serta tidak membosankan.

Kemantapan aspek struktural lain seperti nilai-nilai positif, pengajaran-pengajaran, dan unsur kemanusiaan yang utuh dapat menonjolkan kekuatan novel ini berbanding novel-novel lain yang diketengahkan. Persoalan-persoalan yang ditonjolkan juga ada keaslian tersendiri apabila pengarang menggunakan hubungan dan kasih sayang watak Lias kepada beruknya, kepada rakannya, kepada ibunya, dan kepada gurunya yang tegas. Jelas, kasih sayang tidak terhad sesama manusia, malah haiwan juga mempunyai naluri kasih sayang yang luas biasa. Pon bertindak menyerang Cikgu Sunan kerana disangka Cikgu Sunan mahu melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap Lias ketika guru itu memeriksa telinga anak muridnya yang bernanah. Perwatakan Lias yang menyayangi semua yang ada dalam dunianya biarpun dia sendiri yang menderita wajar diteladani oleh pembaca khususnya golongan kanak-kanak yang sebaya.

Kekuatan novel ini juga banyak bergantung pada kepengarangan pengarang yang matang dan berpengalaman. Keupayaan estetika yang tinggi dipaparkan di sepanjang perkembangan plot sehingga pembaca seolah-olah dapat merasai keterlibatan langsung dalam karya, dapat menderitai kesakitan watak, merisaukan kepayahan, dan mewajarkan tindakan-tindakan. Sesungguhnya, pengarang berhasil mencambahkan keindahan moral yang digarap dengan teliti dan tidak berlebih-lebih sehingga menampakkan seperti dibuat-buat. Keindahan moral ini sudah tentu menyerlahkan dampak nilai secara intrinsik dan ekstrinsik yang disuguhkan oleh pengarang.

Di samping itu pengarang juga melontarkan kritikan terhadap masyarakat yang bertindak melulu tanpa menyelidik sesuatu perkara secara lebih jelas. Selain itu, kedaifan hidup masyarakat desa yang kurang pembelaan juga dapat menyedarkan kita bahawa tidak semua manusia bernasib baik dan perlu dibantu. Ternyata kreativiti penulis dalam melontarkan kritikan sosial dalam novel ini sangat menyerlah dan berkesan. Novel ini pasti dapat menarik minat pembaca sasaran iaitu peringkat akhir kanak-kanak kerana bahasanya yang berterus terang, mudah, dilengkapi glosari, berjaya meruntun emosi, dan berlatarkan budaya Melayu tipikal bersesuaian dengan latar zamannya yang semakin dilupai oleh generasi masa kini. Nilai kesusasteraan tuntas novel ini dilihat lebih menyerlah berbanding novel-novel lain yang dipertandingkan dalam kategori yang sama.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, novel kanak-kanak yang dinilai mengetengahkan pelbagai tema yang berkaitan dunia kanak-kanak. Namun pemilihan tema sewajar diperteguh dengan binaan struktur karya yang lengkap dan saling menyokong antara satu sama lain. Kebanyakan novel yang dinilai tidak dapat memenuhi keperluan struktural yang optimum. Pada tahap inilah pengalaman dan kematangan pengarang amat berperanan kerana hanya pengarang yang berpengalaman dan mapan mampu merencanakan karyanya dengan baik dan dapat diterima oleh khalayak pembaca sasaran. Ringkasnya, novel yang diangkat sebagai pemenang mempunyai kekuatan dan kehebatannya yang tersendiri, melepasi novel-novel dalam kategori yang sama.

KATEGORI KUMPULAN CERPEN KANAK-KANAK

PENDAHULUAN

Kumpulan cerpen kanak-kanak ialah koleksi cerita yang berlatarkan dunia kanak-kanak dalam lingkungan usia 9 hingga 12 tahun. Selain itu sasaran pembaca kumpulan cerpen ini juga terdiri daripada kalangan kanak-kanak. Untuk memenuhi kriteria ini, karya hendaklah benar-benar bercirikan dunia kanak-kanak seperti watak, perwatakan, tema dan persoalan, nilai dan pengajaran, dan unsur-unsur lain yang berkenaan.

KRITERIA PENILAIAN
Kriteria penilaian karya diasaskan pada perkara-perkara yang berikut:

a. Kekuatan kesatuan organik karya. Cerpen-cerpen yang termuat dalam kumpulan cerpen terbina dengan unsur struktural yang mantap tanpa mengabaikan kesesuaian dan kewajaran karya, nilai dan ilmu yang diterapkan, keindahan moral serta kreativiti.

b. Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang. Keaslian persoalan berkait dengan keupayaan pengarang mengetengahkan sesuatu tema baharu dan terkini.

c. Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan. Gaya bahasa yang mantap menjadikan cerpen itu indah dan berseni.

d. Keindahan moral melibatkan pengajaran yang berguna kepada kanak-kanak. Setiap cerpen disisipkan nilai moral tentang kepentingan ilmu, menghargai ibu bapa, menyayangi binatang dan sayang menyayangi sesama manusia.

e. Inovasi dalam kreativiti memberatkan aspek pembaharuan dalam karya di samping mendorong kanak-kanak berfikiran kreatif dalam kehidupan.

PENILAIAN KESELURUHAN

Panel penilai telah menerima tiga kumpulan cerpen kanak-kanak untuk dipertimbangkan. Hasil penelitian dan perbincangan rinci dilakukan, panel memutuskan tiada pemenang untuk kategori ini kerana karya-karya yang dihasilkan tidak mencapai tahap yang diperlukan, iaitu tidak menepati kriteria penilaian yang digari. Hal ini demikian kerana karya-karya tersebut tidak bersesuaian dengan kriteria penilaian seperti penggunaan watak-watak yang lebih berusia atau sebaliknya, aspek keaslian yang lemah dan sebagainya. Ada karya yang dihasilkan berdasarkan cerita yang telah sedia ada. Perkara ini sudah tentu dipertikaikan dari sudut keasliannya.

KESIMPULAN

Secara amnya, kumpulan cerpen kanak-kanak juga amat terhad penghasilannya. Akibatnya, bilangan kumpulan cerpen yang diterima untuk dinilai juga terhad. Hal ini menyebabkan pihak urus setia menghadapi masalah untuk memilih kumpulan cerpen yang benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan.

KATEGORI KUMPULAN PUISI KANAK-KANAK

PENDAHULUAN

Kumpulan puisi kanak-kanak adalah himpunan puisi yang dikhususkan untuk memperihalkan dunia kanak-kanak dalam lingkungan usia 9 hingga 12 tahun. Dalam konteks ini, sasaran pembaca kumpulan puisi kanak ini juga terdiri daripada kalangan kanak-kanak. Untuk memenuhi kriteria ini, puisi-puisi yang dihasilkan hendaklah benar-benar bercirikan dunia kanak-kanak sama ada dari aspek tema dan persoalan, nilai dan pengajaran, dan unsur-unsur lain yang berkenaan yang membentuk puisi tersebut sama ada tradisional mahupun moden.

KRITERIA PENILAIAN

Asas pertimbangan penilaian dilihat berdasarkan kekuatan karya yang dikesan melalui kesesuaian dan kewajaran karya dari aspek tema dan persoalan yang diketengahkan, gaya bahasa yang digunakan, penerapan nilai dan ilmu yang diketengahkan, kesatuan organik karya dan keindahan moral, kreativiti dan keaslian dalam karya.

PENILAIAN KESELURUHAN

Panel penilai menerima 11 buah kumpulan puisi. Setelah meneliti keseluruhan kumpulan puisi tersebut, dua buah kumpulan puisi telah disenarai pendek untuk diteliti iaitu:


i. Pantun dan Syair oleh Muda@Daud bin Yusof terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
ii. Dengarlah Ini Sayang oleh Mariam Awang Lah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Secara keseluruhan, kedua-dua kumpulan puisi itu mengetengahkan nilai dan persoalan yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak. Puisi-puisi yang diketengahkan selain berfungsi sebagai medium untuk menghiburkan turut mengangkat persoalan kasih sayang, kepentingan ilmu, pengorbanan ibu bapa dan semangat kejiranan. Dari segi pengolahan, kedua-dua kumpulan puisi ini menggunakan bentuk puisi tradisional iaitu pantun, syair dan gurindam dalam menyampaikan mesejnya.

Dalam Kumpulan puisi Dengarlah Ini Sayang, memperlihatkan kreativiti penulis dalam menghimpunkan rangkap puisi tradisional yang digunakan oleh kaum ibu untuk mendodoikan anak kecil. Kumpulan puisi ini mengandungi empat bahagian dan setiap bahagian mempunyai informasi berhubung fungsi dan kegunaan puisi tersebut.

Kumpulan puisi ini telah mewujudkan glosori kata bagi mendedahkan pemahaman terhadap istilah yang terdapat dalam puisi tersebut diberikan. Semua ini membantu pembaca memahami maksud yang disampaikan khususnya berkaitan dengan kanak-kanak dan dunia kanak-kanak. Namun, kewujudan puisi tradisional yang sedia ada telah diketahui umum dalam masyarakat menjadikan kumpulan puisi tersebut bukan hasil asli sepenuhnya pengarang walaupun pada bahagian-bahagian lain penulisnya menghasilkan puisi berdasarkan kreativitinya.

Sementara Kumpulan puisi Pantun dan Syair merupakan himpunan pantun dan syair yang mengetengahkan pelbagai mesej yang boleh dimanfaatkan oleh kanak-kanak khususnya pelajar sekolah rendah. Hal ini juga dapat mendedahkan mereka untuk memahami bidang kesusasteraan. Kumpulan puisi ini juga telah berhasil menyisipkan nilai murni dan estetika melalui pemilihan kata yang digunakan.

SENARAI KEPUTUSAN

Setelah penelitian dibuat terhadap kedua-dua kumpulan puisi tersebut, panel memutuskan bahawa kumpulan puisi Pantun dan Syair oleh Muda@Daud bin Yusof terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah dipilih sebagai pemenang untuk kategori ini. Pemilihan tersebut berdasarkan pertimbangan yang dirincikan dalam perkara (5) yang berikut.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG

Meneliti keseluruhan kumpulan puisi Pantun dan Syair, dikesan usaha penulisnya menggarap idea untuk disesuaikan dengan pengalaman, latar dan budaya kanak-kanak. Usaha ini bukan sesuatu yang mudah tetapi telah dapat diterjemahkan melalui kreativiti dan sensitiviti penulisnya. Panel pemilih juga telah mengenal pasti kekuatan kumpulan puisi ini berasaskan beberapa perkara iaitu:

i. Kesesuaian dan Kewajaran – Kesesuaian dan Kewajaran – Kumpulan puisi ini telah memilih bentuk pantun dan syair iaitu bentuk puisi tradisional yang paling popular untuk diketengahkan. Bentuk pantun yang diketengahkan terdiri daripada pantun dua kerat, pantun empat kerat, dan pantun berkait. Sementara bentuk syair yang diketengahkan dihasilkan dengan penuh kreativiti oleh pengarangnya untuk disesuaikan dengan keperluan bacaan di sekolah rendah.

ii. Gaya Bahasa yang digunakan oleh pengarangnya sesuai untuk kelompok sasar. Dalam konteks ini, pemilihan kata mudah difahami, tidak memberatkan pemahaman pembaca tetapi masih mampu untuk memberikan kesan terhadap makna yang disampaikan. Pemilihan kata berima dipilih, telah menimbulkan kesan estetik terhadap unsur bunyi. Kesepadanan bunyi yang wujud ini dikesan dalam keseluruhan rangkap sama ada pantun mahupun syair. Dikesan juga penggunaan seni bahasa misalnya bahasa kiasan- Tidak seperti gelagat ayam, bertelur sebiji riuh sekampung.

iii. Nilai dan ilmu yang dibawakan – Keseluruhan puisi yang dihasilkan telah menyisipkan nilai-nilai murni yang sesuai untuk dihayati dan difahami oleh khalayak sasarnya. Antaranya nilai murni berkaitan dengan sikap hormat menghormati, kejujuran, pengorbanan, menghargai dan kesetiaan yang merupakan nilai murni sejagat. Dari sudut ilmu, dapat dikesan wujudnya kepelbagaian ilmu yang diterapkan. Misalnya, ilmu kesihatan yang menyarankan agar mengamalkan meminum madu lebah untuk memastikan kesihatan tubuh badan. Berasaskan nilai dan ilmu yang terkandung dalam kumpulan puisi ini, memperlihatkan bahawa pengarang telah telah mewajarkan fungsi karya sastera sebagai alat untuk mendidik dan menyampaikan maklumat secara terancang dan berhemah.

iv. Kesatuan organik karya – Penghasilan pantun berkait menyerlahkan kekuatan kumpulan puisi ini. Perkaitan antara rangkap demi rangkap telah mewujudkan hubungan antara makna dalam rangkap yang dihasilkan. Hasilnya, pertalian rangkap ini mewujudkan suatu kesatuan wacana yang menarik dan memiliki nilai estetik yang menjadi aspek penting penghasilan karya kreatif imaginatif.

v. Keindahan moral, kreativiti dan keaslian – Kumpulan puisi ini mengetengahkan nilai moral dan pengajaran yang berguna kepada kanak-kanak. Setiap rangkap disisipkan nilai moral tersebut antaranya kepentingan membaca, kepentingan ilmu, menghargai ibu bapa, menyayangi binatang dan sayang menyayangi.

KESIMPULAN

Meneliti kepada jumlah kumpulan puisi yang diperoleh untuk tujuan penilaian, memperlihatkan jumlah yang kecil berbanding dengan khalayak kanak-kanak secara umumnya. Usaha memperbanyak kumpulan puisi melalui penerbitan yang dilakukan oleh penerbit-penerbit persendirian merupakan usaha murni yang menuntut sokongan semua pihak. Namun begitu, selain jumlah sebagai ukuran, pertimbangan estetika dan nilai-nilai moral dan ilmu yang selaras dengan dunia kanak-kanak perlu diberikan perhatian serius.

KATEGORI DRAMA KANAK-KANAK

PENDAHULUAN

Panel penilai telah menerima satu kumpulan drama kanak-kanak iaitu Siber Lima. Namun setelah meneliti skrip drama tersebut Panel memutuskan tiada pemenang untuk kategori ini kerana tidak mencapai tahap yang diperlukan.

KRITERIA PENILAIAN

Seperti yang ditetapkan oleh urus setia, kriteria yang sama digunakan untuk menilai kategori drama kanak-kanak. Karya dinilai dari aspek:

a. Kekuatan kesatuan organik karya. Drama-drama yang termuat dalam kumpulan drama terbina dengan unsur struktural yang mantap tanpa mengabaikan kesesuaian dan kewajaran karya, nilai dan ilmu yang diterapkan, keindahan moral serta kreativiti.

b. Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang. Keaslian persoalan berkait dengan keupayaan pengarang mengetengahkan sesuatu pemikiran baharu dan terkini.

c. Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan. Gaya bahasa yang mantap menjadikan drama itu indah dan berseni dilengkapi pula dengan unsur dramatik yang menarik.

d. Keindahan moral melibatkan pengajaran yang berguna kepada kanak-kanak. Setiap drama disisipkan nilai moral tentang kepentingan ilmu, menghargai ibu bapa, menyayangi binatang dan sayang menyayangi sesama manusia.

e. Inovasi dalam kreativiti memberatkan aspek pembaharuan dalam karya di samping mendorong kanak-kanak berfikiran kreatif dalam kehidupan.

PENILAIAN KESELURUHAN

Hanya satu kumpulan drama yang diterima untuk dinilai. Walau bagaimanapun panel mendapati karya tersebut tidak mencapai tahap untuk diberikan anugerah.

KESIMPULAN

Karya drama kanak-kanak juga merupakan genre yang sangat sedikit diterbitkan. Hal ini menyebabkan pemilihan karya untuk diberikan anugerah tidak dapat dilakukan.

KATEGORI KESUSASTERAAN REMAJA

Empat kategori karya yang dinilai iaitu:

i. Kategori Novel Remaja
ii. Kategori Kumpulan Cerpen Remaja
iii, Kategori Kumpulan Puisi Remaja
iv. Kategori Kumpulan Drama Remaja

KATEGORI NOVEL REMAJA

PENDAHULUAN

Panel telah menerima sebanyak 68 buah novel remaja untuk dinilai berdasarkan kriteria dan pertimbangan-pertimbangan tertentu. Meneliti secara keseluruhan novel yang dihasilkan, umumnya novel-novel yang dihasilkan sesuai dengan golongan remaja terutama sebagai bahan bacaan. Sebahagian besar persoalan yang diketengahkan berkisar tentang kehidupan remaja, isu-isu tentang remaja, konflik remaja, dan persoalan identiti remaja. Walaupun begitu, dikesan juga novel-novel yang mengetengahkan persoalan yang agak berat dan serius yang kemungkinannya sukar untuk ditanggapi maknanya oleh remaja. Namun demikian semua usaha yang dilakukan oleh kelompok penulis ini wajar dipuji kerana ia merupakan usaha yang baik dengan memasukkan unsur sastera terutama berkaitan dengan keperluan estetika iaitu dari sudut bahasa, pemikiran dan tekniknya.

KRITERIA PENILAIAN

Penilaian terhadap karya yang dinilai dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan dengan melihat kekuatan yang dapat dikesan dalam karya. Hal tersebut dikesan melalui kesesuaian dan kewajaran karya dari aspek tema persoalan dan pemikiran yang diketengahkan, keseimbangan estetika bahasa, penerapan nilai moral dan ilmu yang diketengahkan, kesatuan organik karya dan kreativiti yang merangkumi aspek keaslian persoalan yang diketengahkan dalam karya.

PENILAIAN KESELURUHAN

Hasil penelitian dan pembacaan secara rinci terhadap 68 buah novel yang dinilai dari segi kesesuaian tema, persoalan, watak, teknik penyampaian dan penulisan, hanya empat buah novel telah dipilih untuk dipertimbangkan bagi penilaian ke peringkat separuh akhir. Novel-novel tersebut ialah:

1. Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop (Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2011)
2. Dayung Sudah di Tangan karya Norziati Mohd Rosman (Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2010)
3. Impuls/Roh karya Sri Rahayu Mohd Yusop (Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2010)
4. Tawanan Komander Caucasus karya Ruzaini Yahya (Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2010)

Novel Bimasakti Menari memerihalkan tema yang agak langka dalam perkembangan novel remaja tanah air. Hal ini demikian kerana persoalan yang dikemukakan tentang perjuangan golongan anak muda terhadap kepentingan mewujudkan bandar yang meminimumkan penggunaan cahaya. Novel ini memaparkan perjuangan watak utamanya, Nurul Hafsa dan Taufik terhadap pemeliharaan kelip-kelip dan kecintaan terhadap buruj cakerawala. Perjuangan kedua-dua anak muda ini diselarikan dengan falsafah Islam yang amat mementingkan bintang sebagai sandaran cahaya dalam kehidupan manusia. Gandingan watak remaja yang gigih sebagai aktivis alam sekitar ini turut menjadikan ilmu pengetahuan tentang sains, ilmu falak dan kelip-kelip memperlihatkan novel ini cukup ampuh dalam mengukuhkan perutusan tentang persoalan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan manusia. Berdasarkan keperibadian anak muda yang pantas bertindak dalam menangani perihal hubung kait antara alam sekitar, kelip-kelip, cahaya dan bintang memperlihatkan novel ini suatu saranan dan pengetahuan baharu terhadap khalayak.

Novel Dayung Sudah di Tangan pula mengajukan persoalan tentang peri pentingnya pertanian dibangunkan dalam kalangan anak muda walaupun negara dipacu dengan industri dan teknologi. Kegigihan anak muda yang didominasi oleh watak utamanya, abang Dasuki dan Razin Hamdi memperlihatkan nilai persahabatan yang diiringi dengan penaklukan ilmu tentang pertanian yang perlu dimiliki generasi kini. Walau bagaimanapun, novel ini didapati sederhana dalam menimbulkan konflik dan tema yang diutarakan agak klise. Maka, hal ini meminimumkan sesuatu isu yang baharu dari sudut kepelbagaian corak penceritaan, subjek pengisahan dan pemikiran.

Sementara dalam novel Impuls/Roh tema yang memunculkan kelainan kerana membicarakan tentang persoalan kewujudan manusia di muka bumi. Hal yang disuguhkan pengarang dalam novel ini sarat dengan ilmu kejadian manusia yang bersandarkan Islam dan pandangan Darwin dalam konteks sains. Maka, novel ini mencabar pemikiran golongan remaja untuk menghadamkannya dengan lebih rinci. Walau bagaimanapun, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan dengan bumbu ilmu sedikit banyak menyulitkan khalayak sasaran remaja awal untuk menekuni novel ini.

Sementara itu dalam novel Tawanan Komander Caucasus pula mengangkat isu tentang dunia kembara remaja ke alam sains fiksyen yang menuntut dimensi pemahaman yang menguja taakulan. Novel ini menampilkan hubungan persahabatan antara pelbagai kaum, iaitu Farhani, Kim Yang, Devnath, Haikal, dan Wei dalam memperjuangkan keadilan warga serangga, iaitu kumbang memperlihatkan keindahan moral, inovasi dan kreativiti. Walau bagaimanapun, kesatuan organik dalam novel tidak dirangkaikan dengan utuh yang menyebabkan sasaran khalayak pembaca khususnya remaja tidak dapat berimaginasi dengan logik akal sempurna.

SENARAI KEPUTUSAN


Setelah melakukan perbincangan secara rinci, panel penilai sepakat memperakukan novel Bimasakti Menari oleh Siti Rahayu Mohd Yusop sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011. Pemilihan tersebut berdasarkan pertimbangan yang dirincikan dalam perkara (5) yang berikut.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG

Novel Bimasakti Menari mengemukakan dimensi baharu tentang pencemaran cahaya daripada jenis-jenis lampu yang seterusnya menyajikan saranan inovatif terhadap “bandar jimat cahaya” menerusi Projek Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor. Perjuangan anak muda tersebut bukan sekadar untuk membangun projek kediaman mesra alam, selain menjadikan Kuala Selangor sebagai tempat yang bebas dari pencemaran cahaya. Kejayaan sains yang ditonjolkan dalam proses semula jadi untuk mengatasi masalah pencemaran cahaya dapat membentuk kesedaran kalangan remaja tentang peri pentingnya ilmu pengetahuan sains diteroka bagi kehidupan yang sihat, bersih dan harmoni.

Kekuatan novel ini diperhati pada aspek pemikiran yang secara kritis menyarankan tentang kehebatan kedudukan ilmu cakerawala dalam Islam yang perlu diberi perhatian utama oleh khalayak remaja. Dalam konteks Islam, penelitian terhadap ilmu bintang bukan sekadar mengenali tokoh-tokohnya seperti al-Biruni, al-Tusi, dan lain-lain bahkan memiliki keupayaan menyelidiki aspek kosmos yang banyak kali disebut dalam al-Quran. Novel ini mempertalikan bidang astronomi dengan sistem kosmos yang dirujuk dalam beberapa surah, misalnya Surah al-Maidah memperlihatkan ketamadunan Islam mengatasi perkembangan sains. Hal ini mengundang kesahihan dan kerincian dari segi fakta dalam novel ini bagi menolak hakikat yang digemburkan oleh Yunani tentang kehebatan tamadunnya semata-mata. Pengarang mengungkap persoalan yang luar biasa dalam konteks penemuan ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada masyarakat tentang ilmu astronomi dan kaitannya dengan Islam memperkukuh tanggapan diri dan kebolehan teks menyampaikan iktibar menjadi unsur kekuatan novel ini.

Malah, pandangan tentang kosmologi Islam yang dipertembungkan dengan falsafah sains menyuguh rasa keinsafan dan keinsanan yang tinggi tentang martabat keilmuan yang luas lingkungannya berdasarkan perbahasan secara musyawarah. Hubungan antara spesis kelip-kelip, “pteroptyx tener” dengan kajian dalam bidang “scotobiologi” dijadikan asas perbincangan antara Taufik dan Nurul Hafsa membuktikan bahawa dengan penyelidikan, ilmu akan berkembang dan manusia akan memperoleh keuntungan dalam memandu akal budi. Kajian biologi yang memerihalkan tentang bidang “scotobiologi” secara nyata dan khusus yang dipengaruhi dengan kegelapan telah digalurkan dalam novel ini dengan meyakinkan khalayak.

Selain itu, penaklukan terhadap ilmu astrologi dan astronomi dalam cabang sains kosmologi turut memperakukan bahawa manusia sekadar khalifah yang diutus Tuhan di muka bumi untuk kemakmuran dan keharmonian. Dalam konteks ini, kehadiran dua watak utamanya yang prihatin tentang jalinan astronomi Islam dalam menjana kemudahan pencerapan khususnya pengemblengan terhadap kegemilangan “Institut Balai Cerap Islam”, perlu diberi perhatian yang serius dalam masyarakat lebih-lebih lagi oleh remaja kini. Hal ini demikian kerana kepentingan astronomi pencerapan dalam kehidupan manusia dapat menyumbang kepada sistem takwim Islam yang sekata, malah dianggap sebagai fardhu kifayah dalam kalangan orang Islam.

Novel yang sarat dengan saranan ilmu bintang dalam tradisi sains dan Islam ini digarap dengan strategi ideologi tentang manusiawi. Walaupun teknik pemplotannya dilarik secara konvensional, namun aksi-aksi yang diketengahkan dibina secara deskripsi yang dapat menawarkan kejutan dan emosi secara beriringan kepada pembaca. Unsur-unsur ketegangan dirangkum dalam binaan yang konkrit, dan dirungkaikan dengan jalinan yang sempurna, seterusnya mengundang kelegaan dan kepuasan terhadap pembaca. Dengan menggunakan langgam penceritaan yang mudah menerusi garapan bahasanya yang komunikatif, novel ini sesuai untuk golongan remaja sama ada pertengahan atau akhir.

Nilai motivasi yang diutarakan berdasarkan sahsiah diri melalui kedua-dua watak utamanya dalam menjaga adab dan perilaku sebagai seorang Muslim semasa dalam pergaulan merupakan antara kekuatan novel ini. Hubungan antara lelaki dan wanita diajukan dengan ikatan yang kudus sebagai sahabat seperjuangan yang cintakan kebenaran, kebaikan dan keindahan terhadap keagungan Islam dan kebesaran Yang Maha Pencipta dalam proses penaklukan ilmu lahiriah dan maknawi. Malah, hubungan kekeluargaan digabungjalinkan dalam suasana yang harmoni menerusi keprihatinan ibu bapa dan adik-beradik, iaitu antara Nurul Hafsa dengan ayahnya, Haji Yassir dan abangnya, Budiman dan Taufik dengan ayahnya, Tan Sri Muhaimin dan ibunya, Maryam @ Marion Wickham Abdullah. Perutusan yang dibawa dalam novel ini mengajak pembaca untuk meletakkan keluarga dalam harakat tertinggi bagi melentur keperibadian diri anak muda mengharungi gelombang kehidupan yang tepu dengan cabaran.

Novel ini juga mampu memancing khalayak dalam membentuk keunggulan watak berilmu dan berani memperjuangkan kebenaran menerusi perbincangan dan penyelidikan. Keunggulan peribadi Nurul Hafsa dan Taufik dapat menggerakkan motivasi golongan remaja agar bersiap siaga berhadapan dengan pelbagai dugaan bagi mengenggam kemenangan khususnya dalam urusan altruisme. Kelebihan memiliki dana dan mempunyai latar belakang keluarga yang berkedudukan bukan sandaran jaminan kejayaan dalam mengharung kemelut kehidupan. Terdapat pengisian pesanan terhadap remaja agar menobatkan ilmu segandingan dengan penghayatan pengetahuan dalam diri bagi membangunkan pembentukan insan al-Kamil. Pembentukan sahsiah ini bermakna kepada golongan remaja yang mengharung kerencaman kehidupan yang mencabar, di samping penuh dengan asakan kepentingan materialisme.

Bagi mencakup horizon keilmuan, novel ini mengandungi fakta yang sepadan dengan subjek yang digalurkan. Ia sekali gus memperlihatkan muatan ilmu yang diutarakan tidak bersifat momokan, tetapi diterapkan secara selari dengan perkembangan cerita yang menggerakkan daya taakulan pembaca. Selain itu, novel ini dilihat sebagai amanat untuk anak muda yang alpa terhadap kekuasaan Tuhan yang menggugah masyarakat Islam hari ini dengan memiliki kelebihan dari sudut nilai-nilai murni dan pengungkapan positif yang ketara. Bahkan novel ini menguak jendela fikir pembaca dengan menjadikan medan ilmu pengetahuan yang jarang dipedulikan sebagai sandaran kekuatan membangun ummah sejagat.

Novel ini mampu menyuakan iktibaran bukan sekadar terhadap generasi muda, malahan menggerakkan pemikiran golongan dewasa agar sentiasa bermuhasabah tentang kepentingan mempertahankan makhluk Tuhan yang kerdil. Bauran emosi yang silih berganti yang dihadirkan dalam novel ini dapat memberi kesan dari sudut cambahan inovasi dan kreativiti. Hal ini menjadikan golongan remaja khususnya bertendensi memperkukuh jati diri dalam mengharung cabaran kehidupan yang berona.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, novel yang dihasilkan pada tahun 2010 – 2012 memperlihatkan jumlah yang besar, dengan persoalan yang diketengahkan agak pelbagai. Jumlah penghasilan yang besar ini ialah kesan daripada penglibatan syarikat-syarikat penerbitan baharu yang meneroka bidang penerbitan karya kreatif, khususnya novel. Namun begitu, karya yang benar-benar memiliki kekuatan dan memenuhi kriteria penilaian agak terhad. Selain, berlaku kecelaruan kategori iaitu yang tidak memenuhi kriteria sebuah novel remaja.

KATEGORI KUMPULAN CERPEN REMAJA

PENDAHULUAN

Cerpen remaja ialah karya yang disasarkan pada remaja dalam lingkungan 13 – 18 tahun. Antara ciri utama cerpen remaja ialah pemaparan watak dalam lingkungan usia yang berkenaan. Bersesuaian dengan usia remaja tersebut, hal-hal yang diungkapkan dalam cerpen juga perlulah mengambil kira remaja sebagai watak dan remaja sebagai pembaca sasaran. Dengan itu, tema yang diketengahkan hendaklah bersesuaian dengan dunia remaja.

KRITERIA PENILAIAN

Kriteria pemilihan kategori cerpen remaja juga selari dengan genre-genre yang lain. Antaranya termasuklah unsur kesesuaian dan kewajaran karya dari aspek tema dan persoalan yang diketengahkan, gaya bahasa yang digunakan, penerapan nilai dan ilmu yang diketengahkan, kesatuan organik karya dan keindahan moral, kreativiti dan keaslian dalam karya. Perkara-perkara inilah yang menjadi asas penghasilan sebuah cerpen yang baik.

PENILAIAN KESELURUHAN

Panel penilai telah menilai dua kumpulan cerpen yang layak untuk dipertimbangkan iaitu Kimono Ungu Bersulam Bunga karya Rebecca Ilham (Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd), 2010 dan Senyumlah Hidup ini Indah karya Kusyi Hirdan (PTS One Sdn Bhd, 2011). Namun, setelah penelitian dibuat terhadap kedua-dua kumpulan cerpen yang diberikan, didapati bahawa karya tersebut belum mencapai tahap untuk diberikan anugerah.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, tidak ada kumpulan cerpen remaja yang mampu mencapai tahap yang diperlukan untuk dianugerahi hadiah. Kumpulan cerpen yang dinilai masih terdapat kelemahan-kelemahan yang ketara dan menjejaskan mutu karya.

KATEGORI KUMPULAN PUISI REMAJA

PENDAHULUAN

Puisi remaja boleh terdiri daripada genre puisi tradisional dan moden. Puisi remaja ialah karya yang disasarkan kepada pembaca atau khalayak remaja yang mengetengahkan persoalan seputar dunia remaja.

KRITERIA PENILAIAN

Asas pertimbangan penilaian dilihat berdasarkan kekuatan karya yang dikesan melalui kesesuaian dan kewajaran karya dari aspek tema dan persoalan yang diketengahkan, gaya bahasa yang digunakan, penerapan nilai dan ilmu yang diketengahkan, kesatuan organik karya dan keindahan moral, kreativiti dan keaslian dalam karya.

PENILAIAN KESELURUHAN

Panel penilai menerima lima buah kumpulan puisi untuk dinilai. Hasil penelitian dan penilaian yang dibuat dua buah kumpulan puisi telah disenarai pendek iaitu Gurindam Budi Bahasa dan Cinta Alam oleh Nawawee Mohammad dan Kumpulan Puisi Tiga Mata Serangga oleh Hilmi Rindu. Kedua-dua kumpulan puisi tersebut berusaha untuk mengetengahkan persoalan dan isu-isu tentang remaja namun persoalan yang diketengahkan terlalu stereotaip atau klise dengan olahan yang mengabaikan estetika puisi sama ada melalui garapan bahasa yang digunakan mahupun pemikiran yang diketengahkan. Hasil penelitian dan penilaian terhadap kedua-dua kumpulan puisi tersebut dan hasil perbincangan secara rinci, panel memutuskan tiada pemenang untuk kategori ini berdasarkan justifikasi yang diberikan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, walaupun puisi dianggap sebagai karya yang popular, namun berdasarkan jumlah karya yang diterima untuk dinilai masih kecil bilangannya. Usaha untuk memperbanyak karya yang bermutu dalam genre ini wajar diberikan perhatian oleh penulis dan penerbit.

KATEGORI DRAMA REMAJA

PENDAHULUAN

Panel penilai telah menerima empat kumpulan drama untuk dinilai. Drama remaja ialah karya yang berasaskan remaja dalam lingkungan 13 – 18 tahun sama ada watak mahupun pembaca sasarannya.

KRITERIA PENILAIAN

Kriteria yang sama digunakan untuk menilai kategori drama remaja. Antaranya termasuklah kekuatan kesatuan organik karya. Drama-drama yang termuat dalam kumpulan drama terbina dengan unsur struktural yang mantap tanpa mengabaikan kesesuaian dan kewajaran karya, nilai dan ilmu yang diterapkan, keindahan moral serta kreativiti. Selain itu kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, di samping keaslian persoalan berkait dengan keupayaan pengarang mengetengahkan sesuatu pemikiran baharu dan terkini. Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan diketengahkan secara intrinsik dan ekstrinsik. Gaya bahasa yang mantap menjadikan drama itu indah dan berseni dilengkapi pula dengan unsur dramatik yang menarik. Karya juga mementingkan keindahan moral melibatkan pengajaran yang berguna kepada kumpulan sasaran itu remaja. Setiap drama disisipkan nilai moral tentang kepentingan ilmu, menghargai ibu bapa, menyayangi binatang dan sayang menyayangi sesama manusia. Inovasi dalam kreativiti memberatkan aspek pembaharuan dalam karya di samping mendorong remaja berfikiran kreatif inovatif.

PENILAIAN KESELURUHAN

Hanya tiga kumpulan drama yang diterima untuk dinilai. Walau bagaimanapun penal mendapati karya tersebut tidak mencapai tahap untuk diberikan anugerah.

KESIMPULAN

Karya drama remaja juga merupakan genre yang sangat sedikit dihasilkan dan diterbitkan dalam 2010 dan 2011. Hal ini menyebabkan pemilihan karya untuk diberikan anugerah tidak dapat dilakukan.

PANEL PENILAI
Prof. Madya Dr Arba’ie bin Sujud
Dr Ghazali bin Lateh
Dr. Kamariah Kamaruddin

Comments