SN S Othman Kelantan

S. OTHMAN KELANTAN
(Syed Othman bin Syed Omar, Haji, Ibnu Omar)
Lahir : 31 Disember 1938 di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.


BERMULA daripada Utusan Kanak-kanak dan Tunas, kemudian Hiboran dan Muatiara, S. Othman Kelantan mula menapak sebagai penulis. Beliau menulis puisi dan cerpen untuk majalah Hiboran dan Mutiara. Dengan majalah yang bercorak hiburan itulah, beliau dapat menguji bakat dan meyakinkan dirinya untuk terus berkarya dan bercita-cita menjadi penulis yang terkenal. Berkat ketabahan dan kegigihan serta minatnya yang besar terhadap dunia penulisan kreatif, S. Othman Kelantan hari ini terkenal sebagai seorang novelis dan cerpenis penting tanah air.

Penulis yang berasal dari Kelantan ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sabak hingga lulus darjah V pada tahun 1950. Selepas itu bersekolah pula, di Sekolah Melayu Rambutan Rendang hingga lulus darjah VI dan kemudiannya menjadi guru terlatih dengan kelulusan Sijil Perguruan TUOS pada tahun 1957.

Dengan belajar sendiri, S. Othman lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dalam tahun 1964 dan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan pada tahun 1971. Pada tahun 1979, S. Othman berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera sebagai mahasiswa luar kampus Universiti Sains Malaysia dan mendapat ijazah Sarjana Sastera dalam tahun 1982 dari universiti yang sama dan Ph. D. Dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1995). Sebagai guru, S. Othman telah mengajar di beberapa buah sekolah (semuanya di Kelantan), bermula di Sekolah Rendah Gaal dan sekolah terakhirnya Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Baharu. Setelah lulus ijazah Sarjana, S. Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah penyelidik di Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) hingga beliau bersara.

S. Othman Kelantan menulis puisi, cerpen, novel, serta esei/kritikan. Dalam bidang cerpen, S. Othman Kelantan telah berhasil membentuk namanya sebagai cerpenis yang berjaya sesudah melahirkan sebuah cerpen bertajuk “Pahlawan Lembu” yang hingga kini cukup popular di kalangan peminat cerpen tanah air. Sehingga kini. S. Othman telah menghasilkan lebih 170 buah cerpen.

S. Othman telah beberapa kali memenangi hadiah RM100.00 untuk cerpen pilihan akhbar Berita Harian dan majalah Mastika. Panel Hadiah Karya Sastera juga telah memilih beberapa buah cerpen S. Othman sebagai antara cerpen yang terbaik untuk tahun 1972, 1973 dan 1975. Sebagai penulis cerpen, bakatnya memperlihatkan perkembangan yang meyakinkan. Tidak terduga oleh kita bahawa S. Othman Kelantan yang pada satu ketika dahulu amat gemar mengutarakan kisah-kisah detektif dan ala cowboy itu, akhirnya meneroka ke daerah persoalan yang lebih besar mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah.

Beliau mempunyai bahan-bahan bacaan yang banyak di rumahnya, dan hal ini menggambarkan bahawa S. Othman Kelantan adalah seorang penulis yang luas pembacaannya.

Sejauh ini tidak kurang daripada sepuluh buah novel dan lima buah antologi cerpen telah dihasilkannya. Beliau pernah memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962 dengan novelnya “Pelangi”. Kejayaan ini memberikan keyakinan kepadanya untuk menulis novel dan dengan itu terbitlah novel sulungnya pada tahun 1966 bertajuk Pengertian. Walau bagaimanapun, hanya sesudah beliau menghasilkan novel ketiganya berjudul Angin Timur Laut, baharulah kebolehannya dalam bidang ini mendapat perhatian masyarakat pembaca. Novel ini kemudiannya banyak diperkatakan dan dianggap sebagai hasil yang berjaya dalam kegiatannya menulis novel pada tahun 1960-an. Sesudah itu terbit pula novel-novelnya yang lain. Novel-novelnya ini membawakan persoalan politik di samping menggambarkan sikap dan pandangan hidup pengarangnya. Beberapa buah karyanya yang berbentuk cerpen dan novel telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis, Rusia, Jepun, dan Sinhale.

Selain menulis cerpen dan novel, S. Othman Kelantan juga menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Dalam beberapa tulisannya dalam akhbar dan majalah, S. Othman memberikan pendapatnya berhubung dengan soal kesusasteraan dan keagamaan secara yang meyakinkan. Koleksi sebahagian daripada esei kesusasteraannya terkumpul di dalam Novel: Tanggapan dan Kritikan. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 326 esei/kritikan.

Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau juga ikut serta terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976) dan kemudiannya meletakkan jawatan itu kerana melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia. Dalam banyak kajian yang telah dilakukannya, beliau bukan sahaja meneroka pemikiran dan permasalahan dalam kesusasteraan Melayu dalam konteks pembangunan negara semasa, atau melihat kegiatan persuratan Melayu di pantai timur, malah juga menumpukan minatnya memperkenal dan menerbitkan semula karya-karya Melayu sebelum perang. Di samping itu, S. Othman turut juga memperlihatkan kemampuannya berbicara tentang sastera Islam, malah kepada soal-soal dan pergolakan politik semasa yang berlaku di tanah air.

Atas sumbangan beliau yang bererti dalam bidang kesusasteraan, S. Othman Kelantan telah terpilih untuk menerima Anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok dalam tahun 1990. Kini S. Othman Kelantan atau Syed Omar Syed Othman berkhidmat di jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, sebagai Karyawan Tamu setelah bersara dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Beliau juga telah dianugerahi Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973) dan Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974)

S. Othman Kelantan yang turut dijemput pulang oleh Allah SWT pada 30 Julai 2008.



KARYA

Novel
Pengertian, Machang: Penerbitan Pustaka Murni, 1966, 140 hlm. Edisi baru dengan judul Norbani, 1980; Pertentangan, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1967, 187 hlm.; Angin Timur Laut, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1969, 138 hlm.; Perjudian, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 161 hlm.; Juara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, 159 hlm.; Perwira, Pulau Pinang: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1980, 219 hlm.; Ruang Perjalanan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, 276 hlm.; Wajah Seorang Wanita, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 353 hlm.; Ustaz, Bangi: Citra Publishing, 1991, 252 hlm.; Nagogho Astana, Taman Melawati: Pustaka Nusa, 1997, 279 hlm.

Cerpen
10 Cerpen Masyarakat III (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1963, 138 hlm.; Gelisah (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1967, 165 hlm.; 13 Cerpen, Kota Bharu: Syarikat Dian Sdn. Bhd., 1970, 120 hlm.; Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1977, 446 hlm.; Surat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 142 hlm.; Ibu, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., 1980, 158 hlm.; Minden, Senjamu Adalah Perubahan (antologi bersama), Pulau Pinang: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1981, 136 hlm.; Menjunjung Titah Perintah (antologi bersama), Subang Jaya: Tra-Tra Publishing & Trading CO., 1984, 246 hlm.; Menunggu Ratu Adil (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984, 218 hlm.; Mimpi Paduka (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 172 hlm.; Perkahwinan Rama-rama, Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1984, 276 hlm.; Angin Pulau (antologi bersama), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985, 433 hlm., Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 339 hlm.; Alun Menggulung Perlahan (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 286 hlm.; Beberapa Pembetulan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 242 hlm.

Kajian
Filsafat Ala, Kota Baharu: Pustaka Aman Press, 1963, 168 hlm.; Novel: Tanggapan dan Kritikan, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1986, 210 hlm.; Teknik Mengkaji Novel (Dalaman dan Luaran), Kuala Lumpur: Karya Bistari Sdn. Bhd., 1986, 106 hlm.; Arah Pemikiran Sastera Malaysia, Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, 1987, 207 hlm.; Kecenderungan Baru dalam Novel Melayu: Satu Kajian Struktur, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, 239 hlm.; Pemikiran Satira dalam Novel Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 329 hlm.

Esei/Kritikan
Sastera dan Agama (antologi bersama), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 103 hlm.; Kelantan dalam Perspektif Sosiobudaya: Satu Kumpulan Esei (antologi bersama), Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1985, 348 hlm.

BAHAGIAN KEDUA

Catatan Kenangan
Selamat Berangkat Pendidik dan Penglipur Lara!

Tinggal kira-kira tiga bulan sahaja lagi sebelum almanak tahun 2008 dilengkapkan. Dari awal tahun hingga kini, sudah banyak peristiwa suka dan duka sama ada yang bersangkutan dengan diri dan lingkungan ataupun negara yang datang silih berganti.
Apabila saya menyelak dan membaca semula satu per satu catatan yang dibuat di dalam diari tahun 2008 sehingga kini, di sebalik peristiwa suka dan utama, tanpa saya sedar catatan saya sarat dengan peristiwa duka tentang “kehilangan”. Kehilangan seorang demi seorang dalam kalangan kaum keluarga, sahabat, rakan sekerja, serta tokoh kawakan tanah air.

Dalam kalangan sahabat dan rakan sekerja di Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur tempat saya bertugas, antara yang sudah tiada termasuklah Allahyarhamah Rohaya Mohd. Yusof, Penolong Editor Dewan Sastera; mantan Allahyarhamah Norraya Mohd. Yusof, Pegawai Tadbir (N22) yang pada 9 Ogos 2008 yang lalu genap setahun berpulang), dan penulis yang sering singgah ke Bahagian Majalah dan DBP, yang juga Sasterawan Negara yang terakhir, Allahyarham S. Othman Kelantan yang turut dijemput pulang oleh Allah SWT pada 30 Julai 2008 yang lalu.

Sewaktu zaman persekolahan, nama dan tampang S. Othman Kelantan saya kenal hanya melalui buku teks, akhbar dan majalah.. Namun, setelah menjadi sebahagian daripada karyawan DBP, nama dan tampang S. Othman Kelantan tidak lagi saya kenal dari jauh. Allahyarham S. Othman Kelantan yang menjadi sebahagian daripada isi dan wajah DBP menjadi dekat dengan saya kerana beliau mudah dan sering saya temui dalam majlis yang dianjurkan oleh DBP dan di Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), DBP.

Sewaktu itu, saya bertugas sebagai Pegawai Perpustakaan di Unit Khidmat Pengguna, PDM tempat Allahyarham sering berkunjung untuk membuat rujukan dan mencari bahan. Saya bukan sahaja melihat beliau, malah dapat berbual serta bergurau dengan beliau. Saya mula “kenal baik” dengan Allahyarham S. Othman Kelantan walaupun tidaklah begitu akrab sewaktu saya, saudara Azmi Ibrahim (kini, Ketua Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam, DBP) dan Allahyarham dilantik sebagai panel juri Sayembara Cerpen Timur yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Timur pada tahun 2000.

Sebagai ketua juri, Allahyarham yang sememangnya jauhari dalam genre penulisan cerpen dan novel cukup teliti dan serius membedah setiap karya peserta, menjawab setiap soalan dan kemusykilan yang saya dan saudara Azmi kemukakan selain berdebat antara kami untuk mempertahankan atau menolak fakta yang tepat atau yang mengelirukan yang kami terjumpa dalam karya. Ulasan beliau yang mewakili panel juri tentang cerpen yang memenangi sayembara itu telah dimuatkan dalam Aura: antologi cerpen terpilih sayembara cerpen Timur 2000 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2004.

Istilah “kenal baik” yang saya maksudkan ialah saya boleh bergurau dan mengusik Allahyarham. Begitu juga dengan tabiat Allahyarham yang suka bergurau dan mengusik saya, dan ramai yang lain juga. Allahyarham juga suka berbual dan bercerita. Tabiat biasa mantan seorang guru. Kadang-kadang, dalam gurauan beliau itu, saya “terkena” juga tempias sindiran beliau. Namun, saya tidak pernah mengambil hati kerana menganggapnya gurauan yang membuka minda. Demikian watak dan cara mantan seorang guru dan pendidik yang berseni biarpun kerjaya itu sudah lama beliau tinggalkan.

Cerita-cerita Allahyarham biasanya cerita lucu, cerita pengalaman pahit manis beliau sewaktu menjadi guru dan tidak kurang juga cerita serius dan yang melukakan hati beliau. Cerita beliau sama ada lucu ataupun serius, pasti akan mengundang ketawa. Dengan wajah beliau yang serius, dia akan menyampaikan cerita lucu dengan wajah yang selamba dan nada yang bersahaja. Tahu-tahu sahaja, pecah ketawa setiap yang mendengarnya. Yang menambahkan lucu, beliau juga turut ketawa dengan kuat. Namun, di sebalik cerita lucu beliau itu, sentiasa terselit nasihat, falsafah dan teladan yang sarat. Begitulah yang dipamerkan oleh beliau lewat karya dan penulisan beliau. Inilah yang membuktikan bahawa beliau memiliki jiwa seorang guru yang juga pendidik yang sejati dan berseni.

Pernah dalam suatu perbualan antara saya dengan beliau yang berkisarkan kisah demi kisah guru yang mendera murid-murid dan pelajar seperti yang dipaparkan di akhbar, beliau menyelar dan meluahkan kekecewaan beliau terhadap sikap dan tindakan segelintir guru pada hari ini.
Beliau mengimbau kenangan dan pengalaman beliau sewaktu menjadi guru. Menurut beliau, untuk menjadi seorang guru perjanjiannya bukan sahaja termeterai pada kerjaya keguruan semata-mata, malah dalam perjanjian itu juga terkandung niat dan ikrar untuk mendidik dan memanusiakan anak orang lain seperti anak sendiri dengan sepenuh jiwa, iltizam dan kasih sayang.
Oleh hal demikian, seorang guru yang memiliki jiwa pendidik tidak sampai hati untuk “menyakiti” murid-murid dan pelajarnya yang melakukan kesalahan, sebaliknya guru dan pendidik yang baik akan menggunakan perkataan dan bahasa yang baik-baik untuk menegur dan mendidik. Hal ini demikian kerana kata-kata itu juga merupakan doa. Beliau pernah memarahi seorang murid beliau kerana berambut panjang. Kemarahan beliau itu diluahkan kepada murid tersebut dengan alasan yang logik dan nasihat yang halus atas kesalahan yang dilakukan sambil beliau memotong rambut murid tersebut.

Dalam berseloroh, beliau membuka rahsia bahawa beliau sebenarnya bimbang juga dengan tindakan beliau itu yang semestinyalah membenihkan sakit hati dan benci murid tersebut kepada beliau. Menurut beliau, peristiwa yang sudah lama berlalu itu berulang semula apabila pada suatu hari seorang lelaki menegur beliau.

“Cikgu, cikgu ingat tak saya? Saya murid cikgu,” ujar lelaki itu.
Beliau menjawab, “Manalah saya nak ingat. Murid saya terlalu ramai. Semuanya pula dah dewasa, dah berubah wajah. Susah saya nak cam dan ingat.”

“Cikgu ingat tak, cikgulah yang potong rambut saya di dalam kelas ... . Sebenarnya, saya nak ucapkan terima kasih kepada cikgu. Kata-kata cikgu pada hari itu saya ingat sampai hari ini,” ujar lelaki yang sudah pun bergelar pegawai bank itu.

Cerita tersebut membuatkan saya dan seorang lagi rakan yang mendengarnya ketawa besar dan diikuti oleh Allahyarham dengan ketawa beliau yang lebih besar lagi. Demikian secebis kisah dan kenangan antara saya dengan Allahyarham. Banyak lagi kisah lain yang diceritakan oleh beliau kepada saya yang jika diceritakan pada orang lain, mungkin akan menganggapnya kecil dan biasa-biasa sahaja. Namun, bagi saya setiap cerita beliau mempunyai nilai yang besar.

Tampang, kelibat, cerita dan ketawa beliau itu tidak akan dapat saya lihat dan dengar lagi kini. Terima kasih Dr. dan Cikgu Syed Othman Syed Omar atas hiburan, didikan dan teladan.
Al-Fatihah Sasterawan Negara! Semoga kau menemui kedamaian di sisi Tuhanmu.

Sumber : Ritah Yahaya

Comments

Post a Comment