Sejarah Drama Malaysia Bahagian 3




Perkembangan dalam Tahun-Tahun Lima Puluhan

Latar Belakang
Gagalnya gagasan Inggeris ke arah pembentukan "Malayan Union" di awal tahun 1946, tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) tidak lama selepas itu dan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 telah menyemarakkan semangat nasionalisme orang-orang Me¬Iayu hingga ke tahap yang paling tinggi. Cita-cita dan perjuangan ke arah kemerdekaan yang telah ditahan sejak sekian lama diperhebatkan di bawah teraju pemimpin-pemimpin Melayu terawal terutamanya Dato' Onn Jaafar. Kesedaran terhadap kuasa kepimpinan Melayu dan hak kebebasan mutlak di tanah air sendiri mendorong orang-orang Melayu ke arah pencarian akar-umbi dan maruah diri bangsa itu. Introspeksi ini adalah di atas dasar dan keyakinan yang jelas serta kukuh bahawa bangsa Melayu clan kerajaan Melayulah yang telah memulakan tamadun di negara ini. Hal yang sama jugalah yang telah mendorong pengarang-pengarang drama Melayu khususnya untuk menggali dan menimbulkan kembali peristiwa-peristiwa daripada lipatan sejarah bangsa serta kerajaan Melayu yang silam.

Pada awal dekad 50-an inilah bermulanya kesedaran di kalangan pengarang Melayu untuk melahirkan drama-drama yang ditimba daripada sejarah atau berdasarkan sejarah tanah air. Kecenderungan ini berterusan hingga ke tahun-tahun awal dekad 60-an, malah masih lagi dihasilkan setelah aliran realisme mula menjadi pegangan di sekitar tahun 1963. Dengan menghasilkan apa yang disebut sebagai drama sejarah atau drama berunsur sejarah itu, pengarang-pengarang Melayu seolah-olah menyatakan penolakan mereka terhadap cerita-cerita bercorak fantasi yang banyak dipersembahkan oleh bangsawan sejak sekian lama. Ini bukan pula bermakna bang-sawan tidak pernah menghidangkan cerita-cerita berdasarkan sejarah tempatan, tetapi bentuk pendekatan bangsawan itu sendiri sedemikian rupa sifatnya sehingga unsur-unsur sejarah atau pengertian di sebaliknya itu sering dikaburi oleh unsur-unsur fantasi atau sebagainya yang sengaja diada-adakan. Sudah pastilah unsur-unsur seperti itu tidak sesuai lagi dengan sema¬ngat kebangsaan dan suasana ke arah mencapai kemerdekaan yang sedang meluap-luap ketika itu. Seperti pengarang-pe-ngarang genre kesusasteraan yang lain, jelas bahawa pengarang drama juga ing-in menjadikan karya mereka sebagai salah satu wadah pengucapan dan perjuangan bangsa ke arah mencapai cita-cita yang satu - kemerdekaan. Dengan mengemukakan peristiwa-peristiwa serta watak daripada sejarah, mereka bukan sekadar mengangkat kembali martabat bangsa sebagai satu keturunan yang bertamadun dan punya harga diri, tetapi di sebalik itu juga turut meniupkan dan membakar semangat nasionalisme di kalangan rakyat. Pengarang-pengarang ini sekali lagi ingin menuntut masyarakatnya supaya mengingati semula sejarah yang telah berlaku itu dan mengambil iktibar atau tekadan di sebalik peristiwa-peristiwa tersebut.


Zaman awal sejarah perkembangan penulisan puisi dan perkembangan ini sering dikaitkan dengan kota Singapura. Perkembangan yang menggalakkan dalam bidang penulisan dan kemajuan kegiatan penerbitan di tahun-tahun 50-an terutamanya menjadi daya penarik yang memanggil sejumlah besar para pengarang dari Semenanjung Tanah Melayu berkumpul di kota itu. Selain daripada menjadi kota pelabuhan dan perdagangan yang penting di rantau ini, Singapura juga dengan sendirinya menjadi pusat perkembangan kesenian serta kesusasteraan Melayu pada waktu itu. Penubuhan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) pada 6 Ogos 1950 seterusnya dapat dianggap sebagai satu titik peralihan yang penting dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Me¬layu selepas Perang Dunia Kedua. Dengan menegaskan gagasan "Seni untuk Masyarakat", anggota ASAS 50 yang kebanyakannya sudah berkarya terdahulu daripada itu memantapkan lagi ciptaan mereka sebagai wadah menyalurkan hasrat ke arah "mempertinggi bahasa dan kesusasteraan Melayu khasnya dan kebudayaan Melayu seluruhnya sebagai alat perjuangan rakyat ke arah keamanan, kemakmuran, keadilan dan perdamaian" (Usman Awang, "Sajak dan Penyair", dalam Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden, Kuala Lumpur: Federal Publications, 1980, hal. 57).

Kemudahan yang disediakan oleh media cetak dalam bentuk majalah dan akhbar pada masa itu turut membe¬rangsangkan lagi kalangan penulis ini menghasilkan karya. Tambahan pula, kebanyakan daripada pengarang yang menganggotai ASAS 50 itu sendiri adalah terdiri daripada golongan wartawan yang bertugas di syarikat-syarikat yang menerbitkan akhhar atau majalah. Walau bagaimanapun, kegiatan para pengarang ASAS 50 nampaknya lebih banyak tertumpu pada penulisan cerpen dan puisi semata-mata. Bidang drama hampir-hampir tidak men¬dapat perhatian langsung daripada kalangan ini, kecuali Jymy Asmara yang pernah menghasilkan sebuah drama berjudul Sapu Tangan Berdarah (1952) manakala Usman Awang hanya aktif menulis drama selepas tahun-tahun 60-an.


Pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua hingga tahun-tahun 1950-an itu, istilah sandiwara telah digunakan dengan meluas. Sama ada radio atau drama-drama yang dipentaskan baik bertemakan sejarah atau cuba menggarap masalah kehidupan dewasa itu, istilah sandiwaralah yang digunakan. Dari penelitian yang dilakukan istilah drama ini diambil dari Indonesia melalui kumpulan-kumpulan sandiwara yang datang ke Tanah Melayu. Dalam zaman sandiwara itu terdapat satu istilah umum yang digunakan kemudiannya untuk menamakan drama-drama yang diciptakan iaitu drama purba atau purbawara. Tetapi istilah ini dianggap tidak begitu tepat. Seperti sandiwara di Indonesia yang mengungkapkan mengungkapkan masalah harian, di Malaysia juga pada masa ini mengungkapkan hal yang sama. Walaupun sandiwara sudah dimasuki oleh unsur-unsur modenisme tetapi tidaklah ia dapat dianggap sebagai drama moden yang diistilahkan dengan drama realisme.

Menurut Mana Sikana (1987) zaman sandiwara di Malaysia memiliki tiga bentuk drama. Pertama, drama sejarah; kedua drama purba dan ketiga drama prarealisme. Drama sejarah merupakan drama yang banyak dihasilkan sesuai dengan hasrat dan cita-cita semangat kebangsaan yang meluap-luap dewasa itu. Purbawara merupakan drama seakan-akan drama sejarah tetapi ceritanya tidak berpijak di atas kebenaran sejarah. Ia hanya mengambil konsep sejarah dengan latare dan situasinya sedangkan ceritanya hanyalah rekaan semata-mata.

Meskipun pengarang-pengarang ASAS 50 tidak banyak memberikan sumbangan terhadap perkembangan genre drama di tahun 50-an, kegiatan pementasan drama tidak kurang ran¬caknya berlaku di Singapura, terutama di tahun-tahun akhir dekad tersebut dan awal dekad 60-an. Sejumlah buku drama yang terawal juga didapati dicetak oleh penerbit-penerbit yang berpusat di Singapura, seperti Pustaka Melayu dan Malaya Publishing House. Bagaimanapun, agak aneh juga apabila kita mendapati, naskhah drama Melayu yang pertama diterbitkan ditulis oleh seorang pengarang yang 'tidak dikenali' sebelum itu, berasal dari Perak dan buku itu pula dicetak di London. Drama tersebut, Megat Terawis (1951) dikarang oleh Teh Fatimah binti Abdul Wahab dan dipentaskan buat pertama kali pada tahun 1950 di dewan Bandaran Ipoh, di bawah arahan Cikgu Buyong Adil. Selain daripada Megat Terawis, Teh Fatimah juga ada menghasilkan sebuah lagi drama yang disebut sebagai "Cerita Khayal Zaman Dulu" (tidak diterbitkan). Bagaimanapun, pengarang ini banyak menulis syair "Surat Serah", iaitu syair yang dibacakan oleh pihak pengantin lelaki semasa membawa hantaran perkahwinan untuk memuji pihak pengantin perempuan.

Buyong Adil
Sehingga kini, Megat Terawis diterima umum sebagai naskhah drama Melayu yang pertama diterbitkan. Selain daripada nama Teh Fatimah, nama-nama Buyong bin Adil, Mohd. Nordin bin Yeop Bakar dan Mohd. Salleh bin Ahmad juga dicatatkan sebagai orang-orang yang terlibat menyusun cerita tersebut sehingga menjadi lakonan. (Latar belakang proses penulisan drama ini yang melibatkan tiga nama lain itu ada dihuraikan dengan jelas dalam tulisan Dinsman, "Megat Terawis: Buku Drama Melayu Pertama", Dewan Bahasa, Mac 1978). Megat Terawis diangkat daripada kisah sejarah negeri Perak di zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, sultan Perak yang kedua. Dengan maksud untuk mengagung-agungkan aspek kekuatan dan kegagahan Megat Terawis, drama ini mengemukakan persoala-persoalan yang berkisar di sekitar diri pah¬lawan itu sendiri. Kisah bermula apabila Puteri Limau Purut, Puteri kepada Sultan Mansur Syah dilarikan oleh raja Acheh ke ncgerinya selepas Acheh menyerang Perak (kira-kira tahun 1579). Sultan Perak amat berdukacita di atas kehilangan puteri itu. Sewaktu beradu, sultan telah bermimpi didatangi oleh serorang tua yang menyuruh baginda mencari seorang pemuda bernama Megat Terawis. Menurut orang tua tersebut, hanya Megat Terawis dapat membawa balik Puteri Limau Purut daripada tawanan raja Acheh.


Kunjungan Megat Terawis ke Acheh diiringi oleh tiga orang pahlawan lain - Tuk Merah, Tuk Bidara dan Sembana. Di Acheh, mereka telah dihina dan diduga oleh raja Acheh supaya mengambil buah durian di sebatang pohon yang "tinggi pokoknya sayup di mata". Dengan ilmu dan kesaktian yang ada pada diri Megat Terawis, segala cubaan itu dapat dilakukannya dengan sempurna. bagaimanapun, Sembana telah melakukan beberapa hal yang tidak sepatutnya, ekoran daripada rasa iri hatinya kerana Megat Terawis dijanjikan dengan jawatan bendahara jika berjaya membawa pulang Puteri Limau Purut. Apabila Megat Terawis kembali ke Perak, Sembana tidak ikut serta, sebaliknya berpaling tadah kepada raja Acheh serta sanggup menghambakan dirinya untuk merampas kembali Puteri Limau Purut serta membunuh Megat Terawis. Megat Terawis kemudiannya diberikan persalinan oleh Sultan Mansur Syah dan dilantik sebagai bendahara Perak. Tidak berapa lama kemudian Sembana muncul untuk membunuh Megat Terawis, tetapi lembing bendahara itu terlebih dahulu menembusi perutnya. Kisah kepahlawanan Megat Terawis ini tidak dapat tidak akan mengingatkan kita kepada kisah Hang Tuah pergi ke Majapahit ketika mengiringi sultan Melaka (juga Sultan Mansur Shah) mengahwini Raden Mas Ayu. Seperti Megat Terawis, Hang Tuah juga telah diuji dengan berbagai-bagai cara, ter¬masuk berlawan dengan pendekar Majapahit, Taming Sari. segala dugaan itu dapat diatasi oleh Hang Tuah, malah beliau berjaya membunuh Taming Sari serta dianugerahkan pula de¬ngan Keris Taming Sari yang masyhur itu. Pengisahan-pe¬ngisahan seperti ini pastilah membayangkan penyuguhan kepahlawanan wira Melayu.

Megat Terawis juga merupakan naskhah drama terawal yang mengimbaskan gambaran penentangan orang-orang Melayu terhadap penjajahan. Pencerobohan Acheh ke atas negeri Perak dan perbuatan merampas Puteri Limau Purut itu dapat dianggap sebagai unsur penjajahan oleh kuasa luar. Hal ini memperlihatkan adanya keinginan mempertahankan maruah bangsa melayu sebagai bangsa yang patut dihormati, terutama di tanah airnya sendiri. Tidak dapat dinafikan bahawa ciri-ciri sastera Melayu lama yang berunsur sejarah ialah menonjolkan perutusan mengagung-agungkan negara, raja atau kepahla¬wanan bangsa Melayu itu (yang diwakili oleh watak wira).


Meskipun terdapat usaha-usaha penulis untuk memper¬sembahkan drama tersebut dalam bentuk baru, namun ciri-ciri drama tradisional Melayu seperti yang disebutkan sebelum ini ketara dalam Megat Terawis. Selain daripada itu, drama tersebut juga menekankan pengajaran didaktik: kebaikan atau kejahatan akan menerima balasan yang setimpal. Dari segi strukturnya pula, Megat Terawis juga banyak dipengaruhi oleh bentuk per¬sembahan bangsawan. Antara ciri-ciri bangsawan yang terdapat pada drama itu ialah olahan ceritanya kepada banyak babak, iaitu sebelas babak. Binaan plotnya juga ketara dipengaruhi oleh plot drama bangsawan. Sementara dialog-dialog yang stereotaip, nyanyian-nyanyian (dengan lagu "Raja Beradu", misalnya), tarian dan unsur mimpi seperti yang biasa terdapat dalam bangsawan juga dapat dilihat dalam Megat Ternwis. Pengarang juga cenderung untuk memaparkan aspek adat istiadat di istana, termasuk cara berpakaian, di samping penggunaan bahasa yang tidak dapat dielakkan lagi berlirik indah. Walau apa pun gambaran yang diberikan terhadap Megat Terawis, karya Teh Fatimah ini akan tetap tercatat sebagai naskhah drama Melayu yang pertama hadir dalam bentuk bertulis (bercetak), memulakan sifat moden dalam sejarah perkembangan drama tanah air.
                                                                                ........ bersambung Bahagian Keempat

Comments