29 May 2013

Sasterawan Negara Baha Zain

Sasterawan Negara  Datuk Baha Zain

 KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain malam ini menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut kepada Baharuddin. Beliau menerima wang tunai RM60,000, watikah Sasterawan Negara Ke-12 selain kemudahan berkarya.  Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-12.


Muhyiddin dalam ucapannya menyifatkan Baha Zain sebagai seorang penulis yang amat prolifik dalam genre puisi dan kritikan sastera.
"Semoga anugerah yang diberikan ini akan menyuntik semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan menyumbangkan buah fikiran ke arah pembangunan bangsa dan sastera kebangsaan," katanya.

Pada 15 Mac lepas, Muhyiddin mengumumkan Baharuddin sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan serta sumbangan berterusan beliau dalam seni kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Antara karya Baha Zain, 74, ialah puisi Topeng-Topeng (2003), Dari Kertas Catatan Tengah Malam (DBP, 1978) dan Tiga Catatan Perjalanan (DBP, 1980).

Puisi-puisi beliau antaranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Russia dan Sepanyol.
Baharuddin juga pernah menerima Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan Gapena (2008), dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM (2010), dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011).

Anugerah Sastera Negara merupakan anugerah tertinggi negara kepada sasterawan.-BERNAMA

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Sasterawan Negara Datuk Baharudin Zainal

 Antara puisi terkenal karya Baha Zain ialah Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian. Puisi ini menjadi teks kajian Kesusasteraan Melayu Komunikatif Kertas 1 - Penghayatan Sastera di peringkat STPM bermula pada tahun 2012.



PERNAHKAH ENGKAU MENTAFSIR KEDAMAIAN



i
Aku terbangun pada waktu tengah malam
membuka jendela melihat seluas alam
pernahkah engkau terbangun seperti ini
Diganggu mimpi buruk atau gelisah rindu.

Lihatlah gelap pekat di mana-mana
nampakkah engkau di sana ada pelita?
Pada setiap jalur cahaya ada bayang-bayang
tidak pekat hitam, tetapi remang-remang.

ii
Sepi malam melindungi engkau dari bisikan
orang
kecuali di kiri kanan ada syaitan-syaitan
putuskanlah ke mana matamu memandang
pernahkah engkau secara sedar membuat pilihan?
masuk rongga-rongga hati nurani, sukma kalbu
dan akal budi
atau tergoda bisikan halus syaitan-syaitan itu.

Kita sering melihat cahaya benderang
jauh ke depan
meskipun berdiri dalam gelap pekat atas
tanah perkuburan
di situ kita injak keamanan dengan mencerca
keganasan
kita laungkan suara-suara keramat seolah-olah
kita malaikat
agama jadi alasan, jadi boneka permainan

kita benci perang, kita cinta kedamaian
jadi slogan perjuangan
kita yaringkan suara supaya orang tidak
mendengar:
mendengar bisikan hati nuraninya sendiri,
syaitan lebih nyaring bersuara tentang erti
keamanan
‘Engkau harus kuasai mereka dengan harga
setinggi mana pun
atas nama kemenangan, apa ertinya kedamaian
sebuah kota yang telah menjadi perebutan’.

iii
Perang akan memusnahkan kubu, bangunan,
muzium, galeri dan universiti
perang telah mengoyakkan halaman-halaman
sejarah
perang akan mencipta sejarah baru
di halaman-halaman yang baru
sejarah baru itu hanya derap kaki askar-askar
yang dahulu.

Seorang pemimpin menumpaskan bekas-bekas
keagungan pemimpin lama
jadi tirani apabila mencium bau wang
pernahkah engkau jadi haloba apabila mencium
bau keuntungan?
Perang akan memusnahkan bahasa dan kesenian
yang merumahkan kemanusiaan.

Orang lupa bahawa Islam itu agama kehidupan
untuk semua bangsa yang membenci
persengketaan.
Pernahkah engkau terfikir bahawa engkau telah
dipermainkan?

Baha Zain


(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012,
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka)


  




 

1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena