17 May 2013

Puisi-Puisi Usman Awang




 PUISI-PUISI USMAN AWANG

MEMBUNUH MIMPI
(sebuah pesan untuk Mayawati)

Usiamu menghampiri sunti dara
mengibarkan rasa di selendang sutera
menyembunyikan malu di bilik terkunci
diselubungi rindu lagu dan tari
seribu bayang seribu mimpi
yang manis indah kerana itulah mimpi.

Mimpi itu adalah keajaiban anugerah
tapi dialah nanti menyebabkan kau gundah
terasing di cermin kenyataan
kehidupan yang ganas dan kejam.

Sunti daraku,
jangan kau pinjam lamunanku, hati seorang ayah
yang kini kubenci sebab begitu lemah
selamanya mimpiku hidup itu serba indah.

Bunuhlah mimpi itu, anakku
kau membunuh segala palsu
lagu dan rindu
yang selalu menipumu.

Dapatkan keberanian hidup baru
dari kekuatan hati dan ketinggian ilmu

Usman Awang
Puisi-puisi Pilihan Usman Awang, 1987
Dewan Bahasa dan Pustaka


GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979



 MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
~ Usman Awang 


Kekasih

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu
akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu

akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang
menudungi rambutmu

akan kujahit bayu gunung
menjadi baju
pakaian malammu

akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang
menyinari dadamu

akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu
menyuluhi rindu

akan kurebahkan matari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu

Kekasih, hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.

~Usman Awang

  



SASTERAWAN Negara Dato’ (Dr) Usman Awang @ Tongkat Warrant @ Adi Jaya @ Atma Jiwa @ Pengarang Muda @ Amir @ Manis @ Rose Murni @ Setiabudi @ Zaini @ UA adalah di antara nama-nama pena/samaran beliau.

Dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Bapanya seorang nelayan dan ibunya meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) sehingga lulus ke Darjah VI. Ketika penjajahan Jepun di Malaya, Usman menjadi petani di Segamat dan kemudiannya menjadi buruh paksa Jepun di Singapura selama enam bulan.

Pendidikan secara formal beliau terima adalah seadanya akibat zaman dan situasi kehidupan miskin di tanah air yang masih dijajah. Walaubagaimanapun beliau memperolehi pengetahuan dan ilmu melalui pendidikan tidak formal – alam kehidupan semulajadi – memungkinkan kematangan dan kebijaksanaannya menyerlah bersama berkembangnya alam penghidupan, sesuai dengan tuntutan zamannya. Seterusnya beliau berkerja sebagai pembantu pejabat, kemudian mengikuti latihan Botai (Polis Jepun). Pada akhir Perang Dunia Kedua, berkhidmat sebagai anggota polis dan Jungle Squad di Melaka (1946-1951) sewaktu mulanya Zaman Darurat di Malaya.



Oleh kerana Usman lebih selesa dengan mata pena daripada senjata berpeluru dalam membela peperangan, maka beliau kemudian berhijrah ke Singapura untuk memulakan kerjayanya sebagai seorang penulis. Bermula sebagai pembaca pruf, pemberita dan kemudian menjadi anggota sidang pengarang Utusan Kanak-Kanak, Utusan Zaman dan Mastika (1952-1961) di mana beliau mula bersuara dengan lantangnya. Kemudian beliau berpindah ke Kuala Lumpur mengikut akhbar Utusan Melayu. Selepas beliau meninggalkan kerjayanya di Utusan Melayu kerana isu mogok mempertahankan Bahasa Melayu, beliau menganggur seketika sebelum mendapat pekerjaan di Federal Publication dan Fajar Bakti. Akhir sekali beliau diberi peluang untuk bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau telah mengangkat dan mengharumkan nama institusi bahasa dan sastera tersebut hingga ke tahap antarabangsa selama jangka masa beliau berkhidmat di DBP. Usman bersara dari DBP pada pertengahan 1980-an.

Walaupun sudah bersara pada waktu itu tetapi sebagai seorang sasterawan yang prihatin, beliau masih aktif dan sibuk berkarya dan memartabatkan sastera melalui aktiviti-aktiviti, projek-projek dan acara-acara sastera didalam dan luar negara seperti di Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Jepun, Korea, China, Filipina, Indonesia dan lain-lain. Karya-karya beliau juga telah diterjemah kepada bahasa negara-negara tersebut.

Ketokohan Usman menonjol melalui karya-karya beliau kerana perwatakan peribadinya yang berani dan tegas tetapi lemah-lembut, mesra, sensitif dan simpati terhadap golongan bawahan yang miskin, tertindas dan manusia yang malang sehingga Usman ditafsirkan sebagai seorang seniman/sasterawan yang berjiwa besar, jiwa rakyat. Usman adalah seorang penyair yang tidak luntur dan dapat menyesuaikan dirinya dengan pelbagai zaman dan situasi. Beliau juga bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat yang beliau membantu tubuh seperti : Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia, Persatuan Malaysia-Palestin dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China. Beliau juga pernah menjadi AJK Akademi Seni Kebangsaan, Ahli Jemaah Kolej Selatan – sebuah kolej swasta aliran Cina, Penasihat Sastera Maybank Berhad dan Turnaround Managers Inc. Pada tahun 1991, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Baginda Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’.

Usman mula menulis dalam bentuk puisi/sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan unsur berperikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya telah menjadi bahan yang amat menarik bukan sahaja dikalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan pelajar-pelajar sekolah dan universiti dalam sebarang acara mendeklamasi sajak, semasa karya-karya beliau berada di dalam korikulum sekolah .


Antara sajaknya yang cukup popular ialah : ‘Bunga Popi’, ‘Pak Utih’, ‘Ke Makam Bonda’, Nasib Buruh’, Gadis di Kuburan’, ‘Kekasih’, ‘Duri dan Api’, ‘Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini’ dan ‘Salam Benua’. 

Drama juga telah mengharumkan nama Usman. Bidang ini telah diterokainya sejak awal 1960-an dengan menulis banyak drama untuk radio dan pentas. Beberapa buah dramanya yang sukar dilupakan ialah : ‘Serunai Malam’, ‘Malam Kemerdekaan’, ‘Tamu di Bukit Kenny’, ‘Matinya Seorang Pahlawan’ dan ‘Degup Jantung’. Dramanya yang banyak di perkatakan ialah ‘Muzika Uda dan Dara’. Ini adalah drama musikal pertama di Malaysia dan telah di pentaskan oleh Gemaseni pada 1972. Antara cerpen-cerpen beliau adalah: ‘Degup Jantung’, ‘Turunya Sebuah Bendera’, ‘Kami Yang Terlibat’, ‘Untuk Malaya Merdeka’, ‘Dari Johor Bahru ke Kota Tinggi’, ‘Surat Dari Seorang Mata-mata’ dan ‘Tugas/Ini Saya Punya Kerja’.

Satu-satunya novel yang beliau sempat menulis ialah ‘Tulang-Tulang Berserakan’ yang juga telah di terjemah ke Bahasa Inggeris bertajuk ‘Scattered Bones’.

Dalam kegiatan dan organisasi penulis tanahair, sumbangan dan penyertaan Usman amat dirasakan. Beliau bukan sahaja pencipta karya yang asli dan halus tetapi juga adalah penggerak yang berani memberi penuh inspirasi dan semangat kepada ramai penulis muda. Sejak tahun 50-an beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM); Setiausaha ASAS 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-65). Beliau juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan : Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Genta Rasa di Panggung Anniverseri, Lake Garden, Kuala Lumpur. Acara seni yang bermakna seperti Manifestasi Dua Seni, Kumpulan Puisi Keranda 152 dan Teluk Gong adalah daya usaha Usman bersama penyair seangkatannya.


Sebagai insan yang prihatin, peka, bertanggungjawab dan tidak jemu-jemu memperkayakan budaya negara, pasti sahaja sumbangannya dan pengorbanannya pada jagat sastera bukan sedikit. Oleh itu pelbagai anugerah dan penghormatan diberikan kepada beliau, antaranya: Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1982) dan Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) daripada Universiti Malaya (1983), Zamalah Sastera dari akhbar Berita Harian (1985) dan Anugerah Penyair Johor (1995) membuktikan pembabitan dan kewibawaannya cukup bermakna.

Usman meninggal dunia pada bulan Ramadhan, 29 November, 2001, setelah lama menghidap penyakit jantung. Beliau di kebumikan di Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Negara kehilangan sebutir bintang yang sangat berharga dan belum ada penggantinya lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena