Isu-Isu Dalam Kritikan Sastera

ISU-ISU DALAM KRITIKAN SASTERA



SEPANJANG perkembangan kritikan yang bermula dari tahun 1935 hingga ke penghujung abad ke-20 telah memperlihatkan beberapa isu yang ketara menjadi begitu menarik dan amat signifikan dalam perkembangan kritikan di Malaysia. Kehadiran isu-isu itu menjadikan siatuasi kesusasteraan bangsa kita menjadi semakin rancak dan menyerlahkan petanda-petanda yang baik dan matang. Bertitik tolak dari dekad 1950-an hingga ke penghujung dekad 1990-an dunia kritikan sastera di Malaysia telah terlibat dengan lima isu penting dan signifikan. Kelima-lima isu itu ialah Isu konsep pertentangan fungsi seni, Isu idealisme formalistik, Isu hubungan sastera dengan masyarakat, Isu konsep sastera Islam, dan Isu penggunaan pendekatan Barat dengan pendekatan Melayu.

Isu Konsep Pertentangan Fungsi Seni

Konsep pertentangan fungsi seni sekaligus menjurus kepada perjuangan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang ditubuhkan pada tahun 1950-an dan hubungkaitnya dengan tindakan beberapa orang pengarang muda di Singapura pada ketika itu.

Pada tahap awal penubuhan ASAS 50 pengarang-pengarang lebih cenderung menghasilkan karya kreatif berbanding dengan esei kritikan. Dengan adanya penglibatan pengarang seperti Asraf, Keris Mas, A. Samad Ismail, Tongkat Warrant, Masuri S.N., Awam il-Sirkam, Bachtiar Djamily dan Hamzah menjadikan bidang kritikan sastera bertambah mantap setelah ia dirintis oleh Keris Melayu.

Dalam ASAS 50 sendiri telah wujud kelompok yang memperjuangkan konsep seni yang bertentangtan falsafahnya. Satu pihak yakin dengan konsep Seni Untuk Masyarakat dan satu lagi Seni Untuk Seni. Pertentangan konsep berkarya ini menjadikan pertumbuhan kritikan sastera menjadi begitu rancak pada era tersebut.

Konsep Seni Untuk Masyarakat didukungi oleh majoriti anggota ASAS 50 seperti Asraf, Keris Mas, A. Samad Ismail, Tongkat Warrant, Awam il-Sirkam, dan Bachtiar Djamily. Golongan ini berkarya secara terarah, berfalsafah dan dengan sasaran matlamatnya agar khalayak pembaca memperolehi manfaat hasil dari menghayati sesebuah karya sastera. Keberhasilan karya diukur dari sudut fungsi sosialnya dan jika ia tidak menyerlah atau diabaikan maka karya itu dianggap tidak signifikan. Aspek yang diberi penekanan dalam karya sastera ialah persoalan, perutusan, dan unsur didaktik yang berupaya menyedarkan pembaca.

Hamzah dan segelintir rakan-rakannya tidak menerima dengan pandangan dan hujah golongan ini. Hamzah lebih mengutamakan konsep Seni Untuk Seni dengan mengangkat karya sastera sebagai wahana atau berfungsi untuk mendidik dan keperluan hiburan. Pengarang yang mengutamakan fungsi sosial semata-mata adalah menafikan faktor estetik atau keindahan akan menjadikan karya sastera sebagai propaganda, alat politik, kepupusan estetika dan kepuasan dalaman pembaca aabila menghayati sesebuah karya sastera.

Asraf yang mengemukakan slogan Seni Untuk Masyarakat disanggah oleh Hamzah dengan slogannya Seni Untuk Seni. Asraf banyak memberi tumpuan kritikannya terhadap puisi. Tulisan Asraf dimuatkan dalam Utusan Zaman dan majalah Mastika. Pandangan golongan ini adalah mahu setiap pengarang berusaha mengubah corak dan arah pendirian masyarakat khususnya golongan marhaen seperti petani dan nelayan. Kritikan Hamzah pula banyak disiarkan dalam majalah Hiboran. Dalam kritikannya Hamzah secara tegas menjelaskan bahawa beliau tidak percaya kepada pengarang sebagai wahana sosial untuk membawa slogan tertentu seperti propaganda dan alat politik.

Polemik konsep seni di antara Asraf dengan Hamzah tidaklah meleret-leret tetapi agak tidak seimbang kerana lebih banyak anggota ASAS 50 yang mempertahankan konsep Seni Untuk Masyarakat. Asraf pula lebih berwibawa dalam berhujah dengan menggunakan petikan sarjana Barat. Hamzah pula hanya berpegang teguh dengan keyakinan sendiri dan bertolak dari pemikiran sendiri.

Bachtiar Djamily turut mengemukakan pandangan berkaitan konsep seni di mana beliau dengan lantang dan keras menyatakan bahawa kesusasteraan untuk rakyat harus realistik dan sosialis sifatnya, serta mengajak pengarang dan peminat sastera menentang pemodal dan majikan yang menindas golongan pekerja atau rakyat. Nada ini sejajar dengan perjuangan LEKRA (Lembaga Kebudayaan Rakyat) di Indonesia pada awal tahun 1950 yang mencanangkan slogan betapa sastera merupakan alat propaganda ke arah suatu kepercayaanatau ideologi politik.

Awam il-Sirkam lebih lembut dan penuh diplomasi dalam tindakannya menyokong konsep Seni Untuk Masyarakat dengan harapan agar pengguna dan pengarang bersama-sama memperolehmanfaat dan kebaikan. Oleh itu masyarakat perlu disajikan dengan karya baru, menarik dan memikat. Keris Mas pula lebih rasional, beralasan dan memberi impak positif sewaktu membincangkan konsep Seni Untuk Masyarakat. Bagi Keris Mas ASAS 50 berupaya memberikan aliran baru, bentuk baru gaya mengarang dan bahasa baru dalam karya mereka.

Hamzah menjadi terpencil dan kemudiannya tersingkir dari ASAS 50 serta tidak kesampaian memperjuangankan konsep Seni Untuk Seni. Apa yang berlaku dalam kritikan pada zaman ASAS 50 ialah terdapat semacam penafian terhadap kritikan teoritis yang cuba mengangkat fenomena estetika dalam karya sastera. Ia menunjukkan wujudkan kekurangan dalam perkembangan kritikan zaman ASAS 50. Yang ketara ialah isu kesusasteraan telah dicampur adukkan dengan persoalan-persoalan peribadi sehingga kritikan yang terhasil tidak murni lagi.

Isu konsep seni sastera yang memperlihatkan pertentangan di antara Asraf dengan Hamzah serta pengikut masing-masing menyerlahkan suatu signifikan dalam dunia kritikan sastera Melayu. Isu ini sama pentingnya dengan penubuhan ASAS 50 itu sendiri dan memberi petunjuk bahawa kritikan sastera Melayu mula memperolehi kedudukan yang sesuai dengan zamannya.

Isu Idealisme Formalistik

Hashim Awang menamakan pendekatan formalistik sebagai pendekatan struktur kerana pendekatan ini menelusuri unsur dalaman atau sktruktur yang membina karya seperti tema, plot, wataagama dan sosiologi. Apa yang dibicarakan adalah hanya teks atau karya sastera itu sendiri.
Aminuddin Baki merupakan perintis kritikan formalistik yang agak sistematik apabila beliau mengkritik novel Korban Kesucian karya Keris Mas pada tahun 1949. Yahya Ismail turut memberi tumpuan terhadap pendekatan formalistik pada sekitar tahun 1960-an. Tulisan kritikan Yahya Ismail banyak ditemui pada era tersebut dan dihimpunkan ke dalam dua buah buku teori yang berjodol Kesusasteraan Moden Dalam Esei dan Kritik I & II (1967). Kritikan praktis yang dikemukakan oleh Yahya Ismail masih dianggap berbaur dengan unsur luaran seperti biografi dan sosiologi.

Baharuddin Zainal menganggap Yahya Ismail sebagai pendukung New Criticism yang amat cenderung dengan pendekatan formalistik dalam kritikannya. Yahya Ismail dalam tulisannya memberi tumpuan terhadap aspek yang membina sesuatu karya sastera. Meskipun pada peringkat awalnya Yahya Ismail mengakui bahawa memadukan di antara unsur ekstrinsik dan intrinsik dalam kritikan adalah baik tetapi Yahya Ismail akhirnya menyerlahkan kritikan berdasarkan pendekatan formalistik. Hasil-hasil kritikan tersebut dapat dilihat pada kritikan terhadap novel Rentung karya Shahnon Ahmad, Tak Ada Jalan Keluar oleh Suratman Markasan, Lingkaran oleh Arena Wati, dan Retak oleh M. Balfas.

Selain dari Yahya Ismail terdapat pengkritik lain yang melibatkan diri dalam pendekatan formalistik seperti Hashim Awang, Ramli Isin, dan Mohd Yusoff Hassan. Hashim Awang membicarakan novel Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer dengan terperinci terhadap plot novel berkenaan. Aspek plot yang dibicarakan oleh Hashim Awang meliputi aspek permulaan, perumitan, perkembangan, ketegangan, memuncak dan peleraian. Hashim Awang menggunakan pendekatan formalistik yang jelas dan seterusnya menggunakan pendekatan yang sama bagi menulis kajiannya yang berjodol Cerpen-Cerpen Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua : Satu Kajian Tentang Tema dan Struktur.

Mohd Affandi Hassan merupakan pengkritik yang dianggap kurang bertolak ansur dalam menilai karya-karya yang dibicarakannya. Mohd Affandi Hassan menganggap novel Seroja Masih Di Kolam karya Adibah Amin dari perspektif wataknya dianggap lemah. Sewaktu membicarakan novel Pertentangan karya S Othman Kelantan, Mohd Affandi Hassan plot novel ini mengandungi pemaparan peristiwa yang melompat-lompat, dan tidak ada perpaduan yang rapat di antara satu sama lain.

Ramli Isin merupakan pengkritik yang banuak memanfaatkan pendekatan formalistik semenjak dekad 1970-an lagi. Pembicraan Ramli Isin berkisar pada genre novel, cerpen, dan puisi dalam aspek plot, watak perwatakan, gaya bahasa, latar, tema, persoalan, dan perubahan dalam bentuk puisi. Pendekatan formalistik Ramli Isin seringkali disinonimkan dengan pendekatan struktur dan begitu terserlah dalam buku tulisannya Riak dan Gelombang Sastera Melayu (1984). Novel-novel yang dikupas oleh Ramli Isin menggunakan pendekatan formalistik termasuklah Lingkaran oleh Arena Wati, Ombak Bukan Biru oleh Fatimah Busu, Seluang Menodak Baung oleh Shahnon Ahmad, Khutbah Di Atas Bukit oleh Kuntowidjoyo, Pabrik oleh Putri Widya, dan Jangan Ambil Nyawaku oleh Titie Said

Di tangan Ramli Isin kritikannya banyak menyentuh aspek isi dan bentuk serta dibicarakan dengan terperinci bagi memperlihatkan kekuatan dan kelemahan karya berkenaan. Kegemaran Ramli Isin dalam kritikannya adalah untuk memperlihatkan keistimewaan sebuah karya sama ada cereka atau puisi berdasarkan keupayaan pengarang menerapkan unsur teknik tertentu.

Kemunculan pendekatan formalistik di Malaysia melahirkan kajian-kajian yang memusatkan penelitian pengkritik terhadap teks atau karya semata-mata. Apa yang wujud pada konteks di luar karya tidak akan dibicarakan dalam kritikan sastera. Pendekatan formalistik cuba berlaku adil, saksama, dan objektif terhadap karya sebagai bahan yang dikaji tanpa membaurkannya dengan emosi. Nilai karya sastera itu sendiri yang menjadi penentu keberhasilan dan bukan hal yang emosional. Pendekatan formalistik mendapat tempat yang baik dalam masyarakat dan sehingga ini ia diterapkan dengan baik di sekolah-sekolah. Institusi pengajian tinggi juga menerima pendekatan formalisik dengan baik.

Isu Hubungan Sastera dengan Masyarakat

Hubungan di antara sastera dengan masyarakat adalah melihat perkaitan di antara karya sastera dengan masyarakat tempat karya itu dilahirkan atau masyarakat yang menghasilkan karya berkenaan. Hubungan ini memperlihatkan bahawa sastera merupakan cerminan masyarakat pada zamannya.

Dalam sejarah kesusasteraan tanahair hubungan sastera dengan masyarakat itu berlaku pada dekad 1950-an lagi dengan kemunculan ASAS 50 di Singapura. Para pengarang pada zaman ASAS 50 berusaha menentukan landas perjuangan mereka dengan moto Seni Untuk Masyarakat. Mereka berjuang untuk membina nasib golongan tertindas dan ketinggalan dalam arus pembangunan pada zaman penjajahan. Mereka begitu komited membela rakyat kelas bawahan melalui ciptaan pelbagai genre karya sastera.

Pengarang pada era ASAS 50 mengalami peristiwa hidup tertekan akibat daripada dasar pemerintahan Jepun dan Inggeris. Mereka juga merupakan golongan bawahan yang terbelenggu dan tertekan serta amat memahami nasib golongan rakyat terbanyak. Antara sasterawan ASAS 50 yang yakin dengan prinsip sastera sebagai alat untuk menyedarkan rakyat tertindas ialah Asraf, Tongkat Warannt, Keris Mas, Hamzah, Masuri S.N., Mas, dan Jimmy Asmara. Asraf sendiri dalam tulisannya menegaskan bahawa “kesusasteraan ialah lebih dari hanya bayangan sesuatu masyarakat; kesusasteraan tidak terpencil sendiri dalam suatu menara gading yang indah. Kesusasteraan dan masyarakat, kedua-duanya mempunyai pertalian yang rapat dan tidak terpisah antara satu sama lain” (Mastika Julai-Ogos 1950).

Asraf kuat memperjuangkan isu seni untuk masyarakat. Tulisan-tulisan Asraf tetap tidak memisahkan masyarakat dengan karyanya dan karya sastera terhasil untuk masyarakat. Namun begitu isu itu tidak lama mendaat dukungan setiap sasterawan ASAS 50. Ada yang menyedari bahawa wujud semacam propaganda dan nilai sastera atau estetika menjadi terabai oleh ketaksuban itu. Pembelaan terhadap nasib rakyat kelas bawahan sebagai subjek cerita dan terlalu memetingkan perutusan menyebabkan keindahan seni karya terpinggir. Hamzah kemudiannya muncul menyuarakan slogan yang berlainan iaitu Seni Untuk Seni. Bagaimanapun Hamzah dan pengikutnya tidak bertahan lama disebabkan golongan penganut Seni Untuk Masyarakat menguasai wadah media seperti Mastika dan Utusan Zaman.

Di sekitar tahun 1960-an isu sastera dengan masyarakat menjadi mantap dan serius terutama di tangan Kassim Ahmad. Tulisan-tulisan Kassim Ahmad ini sebenarnya telah pun muncul pada akhir dekad 50-an. Tulisan-tulisan Kassim memperlihatkan kemantapan dalam pengemukaan isi dan istilah dari aliran realisme sosialis. Ketika mengkritik novel Musafir karya Hassan Ali, Kassim Ahmad banyak menggunakan istilah sosiologi seperti kelas, radikal, kapitalis, borjuis, progresif, dan proletaris. Bagi Rahman Shaari terdapat kelemahan tulisan Kassim Ahmad apabila dikaitkan dengan subjek yang dibicarakan. Kassim Ahmad dilihat mempunyai sikap berlebihan sewaktu membicarakan novel Musafir kerana novel itu relevan dengan pendekatan sosiologi tetapi tidak relevan jika ditinjau dari pendekatan realisme sosialis. Bagaimanapun kritikan Kassim Ahmad terhadap novel Ranjau Sepanjang Jalan, Salina dan Jalan Pulang dianggap lebih relevan. Kassim Ahmad dilihat dapat mengimbangi subjek dan nilai keindahan. Kassim tidak menyingkirkan nilai estetika ketika membicarakan karya novel yang dikaitkan dengan isu sosiologi. Kassim Ahmad berjaya mengangkat mutu karya dari aspek keindahan seperti yang terdapat dalam karya Tongkat Warrrant, Keris Mas, dan Masuri S.N..

Terdapat beberapa orang pengkritik lain yang turut membincangkan isu kaitan sastera dengan masyarakat pada 1960-an seperti A. Samad Said, Ismail Hussein, S Othman Kelantan, dan M Noor Azam. Ismail Hussein seringkali mengaitkan kerja tulisannya dengan masyarakat. Ismail lebih cenderung ke arah mengaikatkan sastera Melayu dengan warisan tradisi bangsa Melayu. M. Moor Azam pula seringkali menyentuh aspek tema dan persoalan karya sastera dan hubungkaitnya dengan masyarakat yang menghasilkan karya berkenaan.

Isu Konsep Aliran Islam

Isu konsep sastera Islam hangat dibincangkan sejak 1970-an dan ia menjadi rancak dan hebat apabila Shahnon Ahmad menulis sebuah artikel dalam Dewan Masyarakat (Julai 1977) yang membincangkan konsep dan ciri-ciri sastera Islam. Shahnon turut membentangkan kertas kerjanya “Kesusasteraan : Antara yang Hak dan yang Batil” dalam Simposium Kesusasteraan di Universiti Sains Malaysia (15 Disember 1979) serta menerbitkan buku Kesusasteraan dan Etika Islam (1981). Kertas kerja dan buku tersebut telah mencetuskan polemik dengan Kassim Ahmad yang bermula dalam Dewan Sastera (November 1982).

Dalam tulisannya Shahnon Ahmad menjelaskan bahawa “sastera Islam dapat kita simpulkan sebagai sastera kerana Allah berhikmah untuk manusia sejagat”. Dalam tulisan yang sama Shahnon Ahmad mengkritik sebahagian daripada pengarang ASAS 50 sebagai tidak mengabdikan diri kepada Allah dan hanyut dalam fahaman arus barat seperti humanisme, sosialisme, idealisme dan realisme. Pandangan ini mendapat reaksi daripada Kassim Ahmad yang menjelaskan “ pandangan Shahnon terhadap ideologi-ideologi seperti nasionalisme, liberalisme, dan sosialisme sempit… bahawa semua falsafah yang terkandung di dalam ideologi yang tersebut juga terdapat di dalam Islam”.

Dalam polemik di antara Shahnon Ahmad dengan Kassim Ahmad, Ismail Hamid menyimpulkan bahawa Shahnon Ahmad melihat sastera Islam dari sisi lahiriah batiniah yang mencakupi fenomena dalam karya, latar belakang, aspirasi dan nawaitu pengarangnya serta berpaksikan ketauhidan dan keimanan pengarang. Kassim Ahmad pula lebih memberatkan logik dan berpendapat Islam sebagai suatu yang universal dan boleh menerima nilai-nilai universal. Justeru itu sastera Islam boleh dihasilkan oleh pengarang bukan Islam.

Isu konsep sastera Islam terus diperkatakan oleh para sarjana dan sasterawan hingga ke ahir abad ke 20 oleh Shafie Abu Bakar, Azizi Haji Abdullah, Nahmar Jamil, dan Mana Sikana. Fenomena ini mencetuskan wujudnya kepelbagaian aliran dalam penulisan kesusasteraan Melayu dan muncul karya-karya yang berpaksikan nilai-nilai Islam.

Isu Penggunaan Pendekatan Barat Dengan Pendekatan Melayu

Wujud beberapa faktor mengapa teori dan pendekatan Barat digunakan untuk menganalisis kesusasteraan
Melayu. Antaranya ialah ada kaitannya dengan dasar pendidikan di negara ini iaitu masih mengguna pakai beberapa nilai atau falsafah dari barat. Hal ini adalah wajar dalam usaha pencarian dan kemudian mencari pendekatan sendiri. Namun begitu telah timbul kesedaran bahawa peri pentingnya teori dan pendekatan Melayu setelah kesusasteraan moden berusia lebih dari satu abad.

Kesedaran itu timbul pada dekad 1950-an atau sezaman dengan penubuhan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Pada era sebelum merdeka ini perbincangan tentang teori dan pendekatan kesusasteraan Melayu mulai menjadi rancak. Beberapa orang pengarang dalam ASAS 50 seperti Asraf dan Hamzah kerap membicarakan tentang konsep-konsep seni. Pada tahap ini perbincangan masih cair, mencari-cari, agak emosional dan pengaruh pemikiran dan budaya Barat begitu menyerlah dan dominan.

Peranan institusi pengajian tinggi seperti Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya sejak dari Singapura lagi turut memberikan sumbangan ke arah pengaruh dan pemantapan kesusasteraan Melayu. Hal ini ketara menerusi pengaliran teori dan pendekatan serta kritikan Barat dalam kursus kesusasteraan yang ditawarkan. Bertolak dari sinilah munculnya teori-teori dan pendekatan-pendekatan seperti realisme, romantisme, formalisme, moral, sosialisme, dan psikologi mengalir ke dalam ujana sastera Melayu. Kehadiran teori dan pendekatan barat menjadi begitu dominan untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam dunia sastera Melayu. Muncul beberapa orang tokoh pengkritik yang menggunakan teori dan pendekatan barat sejak akhir era 1950-an hingga 1970-an seperti Kassim Ahmad dan Pena Patriot dengan teori realisme-sosialis. Dengan menggunakan teori berkenaan Kassim Ahmad telah mengkritik novel Musafir karya Hassan Ali, Jalan Pulang karya Anas K. Hadimadja, Salina karya A Samad Said, Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad dan kumpulan sajak Warna Suasana oleh Masuri S.N.

Comments