23 Apr 2013

Cerita Penglipur Lara

Cerita Penglipur Lara

Definisi

Cerita-cerita yang mengandungi unsur pengembaraan (adventure) anak-anak raja. Ia mengisahkan cerita-cerita mengenai Raja-raja atau golongan istana dengan segala gambaran keindahan, kemewahan, kesaktian serta kejadian-kejadian yang luar biasa (supernatural). Cerita penglipura disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang memiliki keistimewaan dan kelebihan menyampaikan isi cerita. Tukang cerita menggunakan berbagai-bagai cara bagi menarik hati pendengar mengikut cerita dari awal hingga akhir. Tukang cerita menggunakan atau memainkan alat-alat bunyian sambil bercerita seperti menggesek selampit, memukul gendang , bermain rebab, bercerita mengikut irama bunyian yang dimainkan. Pendengar tertarik bukan sahaja kerana suara tukang cerita yang merdu, tetapi berbagai gaya dan lagu, cerita bagi menggambarkan suasana ada riang, sedih, marah, pujuk rayu dan sebagainya. Tukang cerita penglipura berbeza peranan mengikut daerah atau negeri.
Negeri Kelatan – Tok Selampit bermain alat bunyian rebab
Kedah – Awang Batil.
Perak – Penglipura.
Selangor – Awang Belanga.
Minangkabau (Indonesia) – Tukan Kaba.
Brunei – Diandangan (alat bunyian – Dombak)

Cerita-cerita ini kebanyakannya diceritakan oleh Pawang Ana dan menantunya Mir Hassan dan dibukukan oleh R.O. Wilkinson. Sebelum cerita-cerita ini dibukukan dalam bentuk tulisan, cerita-cerita ini adalah menjadi hak monopoli dan keistimewaan tukang-tukang cerita dan tok dalang. Cerita-cerita ini disampaikan pada ketika-ketika tertentu oleh dalang-dalang, ahli-ahli penglipur lara dalam majlis-majlis perkahwinan, memuja umur Sultan atau pada masa menyambut sesuatu perayaan. Cerita-cerita penglipur lara ini mempunyai bentuk yang tersendiri yang mementingkan pendengaran dan bila dibukukan hilanglah setengah daripada keindahannya. Juga cerita-cerita ini dapat memberi imbasan mengenai masyarakat lama dalam pandangan, gambaran dan tujuan-tujuannya.

Antara cerita-cerita Penglipur Lara yang terkenal ialah:
Hikayat Malim Deman
Hikayat Awang Sulung Merah Muda
Hikayat Anggun Cik Tunggal
Hikayat Malim Dewa
Hikayat Raja Budiman II
Hikayat Raja Muda
Hikayat Raja Ambung, Raja Dunan,
Hikayat Seri Rama, Hikayat Indera Putera dan Selampit.

Di lndonesia pula terdapat cerita-cerita Si Umbut Muda, Sebai Nan Aloeh, Si Pahit Lidah dan Nan Tunggal Si Magek Jabang.\


Semua cerita Penglipur Lara yang terkenal di alam Melayu menggunakan nama hikayat. Memang bentuk, sifat dan aliran cerita-cerita ini dalam menggambarkan kisah-kisah hero dan heroin memakai bentuk hikayat.
Cerita-cerita ini kapada masyarakat sekarang dipandang sebagai cerita-cerita tahyul dan fantasi, kerana isinya tidak masuk akal dan coraknya terlalu romantik.

Nama Teks atau Karya Penglipura yang telah dibukukan.

Cerita-cerita penglipura berasal dari sastera lisan, nama cerita-cerita penglipura atau hikayat telah dibukukan. Usaha membukukan oleh Pawang Ana dan menantunya Mir Hassan. Di antaranya: Hikayat Malim Deman, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Dewa / Anggun Cik Tunggal, Hikayat Raja Budiman, Hikayat Seri Rama.
Cerita penglipura dalam bentuk hikayat terdapat juga dari Minangkabau ialah : Cerita Sabai Nan Alutih, Cerita Si Umbut Mudo, Cerita Nan Tunggak Magik Jabang.
Cerita-cerita penglipura terkenal dalam masyarakat Melayu yang telah dibukukan: Hikayat Raja Budiman, Hikyat Selampit, Raja Dewa Dari Kelantan, Cerita Awang Gembang, Cerita Mahadong Bingsu (Terengganu) dan Cerita Raja Muda Setangkai Ali

Ciri-Ciri Umum Cerita Penglipurlara
Umumnya struktur cerita penglipurlara terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

Bahagian Pengenalan. Cerita penglipura akan mengisahkan sebelum belaku pengembaraan. Mengenai Kelahiraan putera-puteri raja dan kehidupan puteri-piteri raja zaman kecil / kanak-kanak, dipenuhi dengan kejadian yang luar biasa, terutama mengenai kelahiran disertai dengan hujan rebut, kilat, petir serta suasana alam yang luar biasa. Contoh: Hikayat Malim Deman.

Kisah awal menceritakan asal-usul Malim Deman. Baginda putera kepada Raja Malim Dewa yang memerintah Bandar Muar. Ketika bonda Malim Deman akan melahirkan Malim Deman ke dunia, suasana alam dengan serta-merta berubah, air pasha penuh, berbunyi genta, rebut dan taufan turut serta menandakan akan lahir seorang yang perkasa.

Bahagian Pengembaraan. Dalam bahagian ini, cerita penglipura mengisahkan mengenai sebab-sebab anak raja mengembara serta kisah-kisah yang berlaku sewaktu berbagai-nagai rintangan, berlakunya peperangan dengan musuh-musuh, perkahwinan, cabaran dan kesusahan yang dideritai oleh anak raja, sebelum berjaya mencapai yang dihajaiti.

Contohnya: Hikayat Halim Deman.

Menceritakan sebab-sebab Malim Deman keluar dari Istana, kerana ingin mencari isteri yang dinyatakan dalam mimpi baginda. Malim Deman bermimpi seorang tua yang berjanggut putih menyuruh baginda keluar mengembara ke hulu Sungai Muar. Di sana baginda akan bertemu denga puteri kayangan bernam Puteri Bong yang akan menjadi isterinya nanti.

Bahagian selepas pengembaraan (bahagian akhir cerita). Kisah-kisah selepas menghadapi rintangan dalam masa pengembaraan. Membawa kejayaan watak utama dalam mencapai hajat atau tujuan pengembaraan. Watak utama berjaya memperolehi hidup bahagia dan gembira dengan kerajaan yang besar dan penih dengan kemegahan.

Contoh: Hikayat Malim Deman.
Watak utama Malim Deman Berjaya mendapatkan isterinya Puteri Bongsu, sebelum pulang ke istan di Negeri Bandar Muar. Malim Deman berkahwin dengan anak Raja Jin Islam bernama Tuan Puteri Turus Mata. Mereka kembali ke istana dan memerintah kerjaan yang besar.
Sebahagian besar daripada cerita penglipura bertemakan percintaan antara wira dengan wirawati dan peperangan. Wira sangatlah ditonjolkan. Jelasnya percintaan kesaktian wira dan pengagungan wira adalah tema cerita-cerita penglipura.

Fungsi Cerita Penglipurlara

Fungsi utama cerita penglipura dalam masyarakat Melayu tradisional ialah sebagai ‘alat’ hiburan.
Melalui cerita penglipurlara masyarakat dapat menikmati hiburan yang dapat melupakan mereka dari kesukaran, dan kepayahan hidup.

Ia dapat memberikan kelapangan fikiran kegembiraan. Fungsi ini jelas di mana tukang-tukang cerita dengan diiringi irama dan lagu yang menarik, gaya bercerita, cara berpakaian.

Isi cerita. Cerita penglipurlara mengisahkan mengenai kecantikan, kemewahan, kelebihan anak-anak raja, sifat gagah berani, kebijaksaan menentang musuh serta alam kayangan di luar daripada kehidupan manusia biasa.

Mendengar cerita-cerita ini dapat meringkan penat lelah setelah sehari berkerja di siang hari. Keistimewassn tukang-tukang cerita berperanan penting menarik perhatian pendengar serta berupaya member kesan hiburan yang menarik dan indah.

Ia juga bergungsi sebagai alat pengajaran dan pendidikan moral. Antara nilai-nilai moral dan etika yang ditonjolkan ialah: Sifat hormat kepada Ibubapa dan orang tua; Sifat tanggungjawab pemimpin (raja); Sifat-sifat patriotik dan cintakan tanahair; Hubungan harmoni dan mesra antara golongan raja dan rakyat; Berbuat baik kepada ibubapa dan kepada mereka yang tidak bernasib baik; serta Sifat berdikari dan mencari untung.

Latar ceritanya bukan sahaja bermain di dunia kita, bahkan ada kalanya beredar di permukaan air laut dan meninggi hingga ke kayangan. Perkara yang harus disedari dalam mengkaji cerita ini ialah: cerita-cerita ini mestilah dikaji berdasarkan zamannya, zaman yang tidak mengenal ilmu sains, zaman di mana datuk nenek kita berdamping rapat dengan fenomena alam. Jikalau dikaji dengan mendampingkan masyarakat zamannya, baharulah kita dapat memahami selok-belok kepercayaan mereka, faham sosial dan masyarakat mereka. Berasaskan masyarakat zamannya, cerita-cerita ini berupa kebenaran, boleh berlaku, dan lantaran itulah maka cerita-cerita ini disukai oleh setiap ahli masyarakat.


Ciri-Ciri Umum Cerita Penglipurlara

Inti cerita adalah mengenai cinta dan peperangan atau dugaan. Cerita-cerita ini tidak mempunyai plot yang terjalin. Sebahagian besar daripadanya hanya menyambung-nyambungkan satu peristiwa dengan yang lain. Dengan itu sudah tepatlah nama bila hikayatnya diletakkan di hadapannya.

Watak utama (wira) dan pasangannya (wirawati) biasanya dari kalangan di raja.

Tema dalam cerita-cerita ini tidak banyak perbezaannya antara satu sama lain.
Hikayat ini biasanya boleh dibahagikan ke dalam tiga peringkat.
a. Pengenalan terhadap watak wira dan kesusahan atau kezaliman yang menyebabkan wira atau wirawati dibuang atau dihalau. Kemudian bermulalah pengembaraannya.
b. Dalam pengembaraan dan perantauannya, wira dan kadang-kadang wirawati dengan pengikutnya menemui berbagai-bagai halangan dan peristiwa membela yang baik dan memusnah yang buruk dan jahat. Cerita sampai ke puncaknya.
c. Wira dan wirawati biasanya mendapat kebahagiaan dan hidup aman damai semula.

Cerita penglipurlara ini kerapkali dimulakan dengan keadaan ibu bapa wira, yang berkehendakkan seorang anak, misalnya: Mereka mencari ubat mandul atau sesuatu keinginan yang sukar didapati.
Wira dari masa diperanakkan menunjukkan sifat-sifat yang ngeri masa wira dilahirkan, keadaan suasana alam sangat mengerikan dan menakutkan saperti guruh petir, angin ribut, hujan panas.

Sejak kecil lagi sang wira atau wirawati terpaksa mengembara disebabkan mimpi raja atau telahan nujum — wira dibuang atau dihanyutkan atau terpaksa mengembara mengadu nasib.

Wira dan juga wirawati mempunyai sesuatu kuasa semulajadi atau sesuatu kesaktian saperti sifat gagah perkasa, kecantikan yang dapat menawan puteri-puteri, dengan menggunakan sesuatu alat atau perkakas saperti cincin, pedang atau pakaian yang mempunyai kuasa untuk menolongnya. Wira juga dibantu oleh seorang penolong Bujang Selamat, nenek kebayan atau orang tua.

Dalam pengembaraannya wira bertemu dengan puteri-puteri jelita dan dapat menawan mereka. Kerapkali puteri-puteri itu adalah tunang orang dan terpaksa dirampas. Setelah beradu kekuatan wiralah yang selalunya menang. Dalam pengembaraan juga hero berlawan dengan musuh-musuh seperti gergasi, naga, raja-raja yang bengis dan selepas perlawanan yang berat sebelah, wiraah yang menang. Wira berupa pengharapan kapada pihak yang lemah dan yang teraniaya, membela yang baik dan menghapus yang buruk.

Pengembaraan wira disebabkan oleh beberapa perkara:
a. Wira dibuang kerana telahan nujum dan sebagainya.
b. Untuk membela yang baik dan memusnah yang buruk.
c. Kerana soal-soal persendirian.

Wira kerapkali pula menukar rupa atau menjelma kerana kepentingan diri sendiri atau untuk menduga kekasihnya.

Semasa peninggalan wira, ibu bapanya menderita akibat niat buruk dari pembesar atau nujum; dan herolah yang kembali membela mereka.

Hampir semua cerita penglipurlara ini disulami dengan bentuk-bentuk puisi yang penuh berirama dan yang digubah dengan bijak untuk menceritakan kisah-kisah putera puteri, kemakmuran negeri, pakaian, kebesaran raja-raja dan lain-lain.

Cerita-cerita penglipur lara juga kaya dengan gambaran kepercayaan masyarakat lama saperti sabung-menyabung, adat dan perayaan perkahwinan, adat istiadat saperti melenggang perut dan juga bermacam-macam adat raja-raja. Inilah yang menjadi bahan penyelidikan kita dalam hendak mengenal dan memahami masyarakat lama.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena