28 Mar 2013

Tamsil Keruing dan Lontar



Tamsil Keruing dan Lontar
Sasterawan Negara Arena Wati

Belum ada jenis kata yang kufahami, yang mampu mendukung makna gejolak suara hati terima kasihku kepada; GAPENA, DBP, Penerbit UKM, dan Utusan Publications (Malaysia) Berhad, atas jasa bakti dan niat ikhlas yang mulia dari empat institusi itu bergabung dalam usaha murni ini, mengadakan majlis rasmi hari ulang tahunku yang ke-80.

Secara peribadi dari saya bersama seluruh keluarga saya, kami munajad kepada Allah s.w.t. semoga jasa begini menjadi pahala dan dikurniakan kepada Ketua Satu GAPENA – Tan Sri Datuk Prof. Emiritus Dr. Ismail Hussein, dan semua Ahli Jawatankuasa Kerja GAPENA, serta semua badan penulis gabungannya, kepada Tan Sri Kamarul Arifin – Pengerusi DBP, kepada Datuk Prof. Dr. Firdaus Abdullah – Ketua Pengarah DBP, kepada Datuk Haji Abu Bakar Bin Haji Mohamed, Timbalan Ketua Pengarah DBP, kepada Dr. Hj. Abd. Rahman Mohd. Yusuf – Pengarah Jabatan Sastera DBP, kepada Datuk Dr. Haji Anwar Ridhwan – Pengarah Penerbitan DBP, kepada yang berusaha Encik Zulkifli – Ketua Jabatan Penerbitan DBP, kepada semua editor buku DBP, terutama anakanda Kamaria Ali, anakanda Azmi Abd. Rahim, anakanda Noremah Haji Bajuri dari penerbitan buku, serta anakanda Padilah Haji Ali dan anakanda Rozninah Abd. Azib dari penerbitan majalah. Kepada Yang Berbahagia Encik Hasrom Haron – Ketua Penerbit UKM, terutamanya kepada yang berusaha anakanda Roosfa Hashim – Editor Kanan Penerbit UKM, bersama pembantunya dan semua kakitangan Penerbit UKM, kepada Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu Publications (Malaysia) Berhad, bersama semua editornya terutama kepada yang berusaha anakanda Azah Abd. Aziz. Saya ulang di sini kedaifanku dalam penguasaan bahasa manusia, maka saya tidak mampu menggambarkan hakikat suara hati nurani saya, sebagai tutur terima kasih dari saya, dan dari keluarga saya.

Dalam hal ini, saya mohon diizinkan mengungkapkan satu rangkap kelong Mangkasarak atau pantun Makasar, sebagai nukilan setipis dan sedangkal sehujung kuku jika dibanding dengan jasa dan budi mereka,
Sitamparang pangngainnu – Selebar lautan kasih sayangmu
Sidolangang pengngukrangingku – Sedalam samudera kenanganku
Kubolik mintu – Kusimpanlah itu
Majannang ri bolotingku – Abadi di hulu hatiku.

Kepada para penganjur majlis ini, dan seluruh hadirin, saya memohon, izinkan dan relakanlah kasih sayang itu, untuk menemaniku ke akhirat.

Dalam usia tua begini, saya gemar mengumpamakan jasmaniku bagai punggur reput. Apabila dilihat hanya di pihak luar mungkin ditanggapi masih utuh. Tapi ketika diperiksa di pihak dalam, doktor tahu sudah berlubang di sana sini. Yang utuh hanya pada terasnya. Itu teras pada pohon kayu, terutama pohon keruwing. Teras tidak dimakan bubuk! Apakah teras pada diri manusia? Jawabnya; kalbu, hati nurani. Di situlah semangat, dan di situlah azam, di sitilah cita-cita, di situlah keyakinan, di situ juga sarangnya iman, jikalau sebagai insan! Dalam hal yang begitu, jelas terungkap pujian dalam bidalan Melayu, Tua-tua kelapa – makin tua makin berminyak!

Tetapi kalau punggur pohon mahang, itu tidak berteras. Sebelum akarnya mati, sebelum daunnya gugur, batangnya sudah melopong di dalam. Andai dibakar pun, cuma nyala, asap, tanpa bara! Andai itu ditamsilkan akhlak orang, bidalan Melayu mengejek: Tua-tua keladi – makin tua semakin gatal!
Setiap ibu bapa mengharapkan zuriatnya, semoga jadi manusia yang berbakti, dan berjasa kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama! Maka begitu juga ibu bapaku. Sejak kanak-kanak, ibu bapa saya bernazar atas diri saya semoga saya bukan pohon mahang. Ibubapaku ingin, jika saya bukan keruwing, jadi nyatoh pun, syukurlah.

Ibuku mengasuh saya dalam ehwal hubungan sesama manusia. Mak Longku dari pihak ayah - Daeng Ranni, mendidik aku dalam hal akhlak dan adat-istiadat. Ayahku itu guruku pada agama dan kaji Quran. Beliau guruku pada kiat niaga, dan kaifiat pelayaran, yang dilengkapi dengan magis I Lolo Bayo untuk saya gunakan menghadapi segala jenis kondisi alam di samudera. Beliau ajarkan falak, dan kaifiat rambu-rambu pelangkah, bagi kegunaan pelayaran. Beliau ajarkan hakikat pedoman dalam diri sebagai nakhoda. Beliau ajarkan pertautan ujud bahtera dan kelasi dalam diri nakhoda. Itu kuterima dan kusyukuri.

Begitu harapan setiap ibu bapa. Tetapi harapan begitu banyak ditelan arus dalam pergaulan. Banyak tenggelam punca ke dalam ombak perubahan zaman yang merempuh lingkungan masyarakat. Tiada ibu bapa pada negara dan bangsa apa pun yang rela anak-anaknya gagal dalam kehidupan. Maksud begitu memang munasabah. Namun itu hanya pada maksud. Soalannya, bagaimana dalam amali?
Saya masih teringat patunruk kana Mangkasarak yang berbunyi; balanga salah dekdek, maknanya belanga salah canai. Itu ditujukan kepada salah laku kanak-kanak, salah laku remaja, salah laku jejaka, salah laku teruna dara sebagai belanga salah canai. Siapakah yang mencanai akhlak perangai anak-anak itu? Kita sendirilah, sebagai ibu bapa. Maka dalam konteks ini, baik patunruk kana Mangkasarak mahu pun bidalan Melayu kedua-duanya bahu-membahu menggalas maksud didaktik bahawa mencanai zuriat sendiri adalah mutlak tanggungjawab ibu bapa. Peranan negara hanyalah complimentary. Peranan sekolah, kampus, guru dan pensyarah, sekadar suplimentary. Saya puji, sanjung, hormati dan memuliakan jasa bakti guru. Saya puji, banggakan dan sanjung kerajaan kita menyediakan sekolah, kampus, tenaga pengajar dan alat pembelajaran.

Tetapi berapa persen sahajakah belanga yang tidak salah canai dalam tangan ibu bapa? Jawapannya, saya rujuk kepada fenomena di negara kita kini; jenayah bunuh, dadah, zina, curi, salah guna kuasa perjawatan, jenayah kewangan dan jenayah perdagangan.

Tujuh bidang jenayah itu di Malaysia kini, bukan dilakukan oleh lembu, dan tidak dilakukan oleh monyet. Itu perbuatan orang yang telah diajar guru dalam sekolah, dan pensyarah di universiti, yang kemudahannya disediakan, dan dibiayai negara kita.

Saya tidak berani mengaku bahawa diriku ini, andai kayu, itu jenis keruwing atau pun jenis nyatoh. Pepatah Melayu mengungkapkan tiada gading yang tak retak. Oleh sebab itu, maka sebagai jantan saya ini juga melalui tiga peringkat masa. Pertama; era kanak-kanak, mana ada kanak-kanak tidak nakal. Mahu tahu nakal saya? Baca cerpen Tujuh Hari Sekali (dalam antologi Johor Baru). Kedua; era remaja-jejaka, mana ada teruna yang tidak pernah berkenyit mata kepada anakdara orang? Dulu, saya mata keranjang. Ketiga; era usia tua, mujurlah saya belum jadi tua-tua keladi - makin tua makin gatal.
Sekali lagi mujur, kerana perangai nakal-nakal zaman muda, iaitu mata keranjang tidak menular ke dalam era berumah tangga! Saya berdoa, semoga saya tidak jadi begitu. Saya pernah baca novel sasterawan Rusia, berjudul Apabila Jagoh Tua Berkokok. Saya sudah baca dan masih simpan novel sasterawan Jepun, bernama Tatsuzo Ishikawa berjudul Yonju Hossai no Teiko, tapi sudah berubah judulnya jadi Resistance at Fourty-Eight. Dua novel itu, membantu saya menginsafi bahaya dalam berahi jantan tak terkawal. Dalam usia tua, saya semakin sayang kepada isteriku.

Sikap mata keranjang saya, boleh dijumpai dalam Enda Gulingku. Main tu! Tujuh belas mata air sebelum jumpa perigi yang serasi. Jika mahu lihat yang terperinci bacalah Warna Sukma Usia Muda. Di situ saudara akan lihat diri saya dari Mei 1942 hingga ke Januari 1948. Zaman itu, saya bertarung otot, dan saya bergelut maut, dalam wilayah perang. Saya bertarung otak di dalam pelajaran tanpa guru yang rasmi. Tetapi pada waktu yang sama, sebagai teruna mata keranjang aku mencuri hati tujuh kekasih berturut-turut, dan mereka juga mencuri hatiku. Namun semua itu, luruh satu demi satu, selagi dalam keadaan murni, sesama suci. Di situ saudara akan lihat Arena Wati yang tampan, Arena Wati yang kacak, Arena Wati yang ranggi, dan Arena Wati yang gagah di laut, jantan bertarung maut, hadapi ancaman periuk api, yang bertabur di laut, torpedo dari kapal selam, bom api dan peluru machinegun dari kapal terbang.

Zaman itu, Arena Wati memang lincah, dan ranggi. Tetapi belum pernah tunduk kepada godaan tari-menari dan tidak pernah sentuh alkohol. Maksiat, pantang utama dalam I Lolo Bayo. (di Jakarta: digoda Lenong 1943 di Tanah Abang dan dicumbu Jali-jali 1944 dan dirangsang tuak di Menteng Kawi – Melayu Besar, 1944).

Kini Arena Wati sudah lain, dalam erti ranggi, kacak. dan pemberani. Andai itu mahu dibanding yang dulu dan yang kini, itu menepati maksud kelong Mangkasarak tentang pohon dan daun lontar. Liriknya berbunyi:
Kucinik bella na bombong – Dari jauh kulihat daun muda
Kuseppek na marawanting – Bila kudekati itu hanya daun tua
Battuwak mange – Ketika tiba ke sana
Garoppok towana mami – Yang ada hanya daun kering.
Itu kelong teruna lajak usia, merasa putus asa melihat dari jauh wanita ranggi, dia sangka masih muda.

Apabila dia dekati, dia lihat sudah tua, ketika dia tiba, dia maklum, hanya janda berhias yang sudah jadi nenek. Saya ubah liriknya begini:
Nicinik bella na bombang – Dilihat dari jauh dia gelombang
Niseppek na galluruk cakdi – Bila didekati hanya alun kecil
Battuki mange – Ketika tiba ke sana
Riak-riak na mi bawang – Cuma alur riak halusnya saja.

Begitulah diriku. Dulu, gelombang; kini, cuma riak dalam kolam. Demikianlah saya. Dulu; ranggi, kacak, berani, basah, dan segar. Kini; kering, lusuh, dan tua renta. Aku cuma daun kering, pada pohon lontar tua. Tapi daun lontar, tidak sama harkat dengan daun kelapa. Pohon lontar tidak sama taraf nilai dengan pohon nyiur.Daun kelapa pelepahnya mudah tanggal pangkal dari batang, walau daun itu, masih basah. Daun lontar sebati dengan pelepahnya, kering sama kering, longlai ke bawah! Tapi terus berpaut pada leher batang walau pun hanya bergantung pada seurat serat. Terkapai-kapai menghempas batang apabila dimainkan angin, hingga daunnya koyak, cabik halus-halus, namun seurat serat itulah pergantungannya dan tak akan putus sebelum tiba masanya. Jangan diranggak paksa dengan tangan sendiri menjatuhkan daun lontar kerana pelepahnya bergerigi. Itulah senjatanya, dan mengandung bisa, jadi racun pada darah.

Dalam kekinianku sebagai daun lontar kering bergantung pada leher batang lontar tua! Alhamdulillah, masih berbunyi hempasan daunnya yang sudah cabik halus-halus itu apabila ditiup bayu dari arah mana pun datangnya. Bolehkah ditamsilkan dengan diri aku dan karyaku dalam usia tua, dengan daun kering pada batang lontar itu?

Selama ini, saya hanya berkarya, lalu berdoa, dan kemudian tawakal. Karya berat saya yang terakhir ialah TrilogI Armageddon, di situ kunukil harapan: Semoga mampu kujadikan - dan orang terima, sebagai epitaph aku sendiri. Itu sekadar harapan seorang penulis. Tetapi keinginanku masih membuak semoga Allah lanjutkan kurnia umur panjang, fikiran waras, perasaan halus, jasmani cergas, semangat gigih dari nyala bara harapan, yang didasari keimanan yang teguh! Amin!
Saya pun mengharapkan, semoga penuturan saya di hadapan saudara-saudara di majlis yang mulia, ikhlas, kunikmati dan junjung syahdu, semoga tutur ini bukan wida’ dari saya kepada saudara-saudara sebab saya insaf sedalam-dalamnya masih amat banyak yang terkandung dalam dada dan kepalaku yang terlalu ingin kututurkan melalui tulisan. Saya tidak berganjak daripada apa yang saya ungkapkan pada tahun 1966 yang berbunyi:
Aku dari masyarakat tani yang diperas.
Lahir dari keluarga pelaut dan pedagang kecil yang tertindas.
Diasuh oleh ibu bapa dalam negara yang dijajah.
Dan dalam usia hijau dalam segala hal,
terlempar ke tengah dunia yang dibakar perang.
Aku rebut hidup dari ombak ke ombak kesengsaraan.
Kuisi dada dari badai ke badai penderitaan.
Terbang dengan sayap kepercayaan diri sendiri,
dengan bulu kemiskinan,
dalam lindungan Tuhanku Pengasih!

Aku sudah mendengar, melihat, mengalami,
merasakan, dan memikirkan.
Maka dengan segala kerendahan dan keikhlasan hati,
aku ungkapkan kata pencerminan diri sendiri
dengan dada terbuka,
berhadapan dengan seluruh yang kukatakan,
berdialog dengan hidup,
yang setiap saat mencabar kehadiranku!

Manifest diri peribadi itu, saya belai. Saya pupuk dengan baja semangat. Itu saya pelihara melalui anjakan motivasi kepenulisan dari tahun ke tahun. Berbekal dari hangatnya yala pada bara harapan itulah, saya teruskan penulisan ke arah hujung hayatku. Itu didasari keyakinan peribadi, bahawa sastera Melayu tidak akan mati di dunia selagi sepasang Trioka masih wujud dan berfungsi. Apakah Trioka itu? Trioka itu, bukan tiga ekor kuda menarik sebuah chariot. Istilah troika itu, suatu hikmat dan sakti dalam pembinaan budaya fakir termasuk pentamaddunan sastera dan akademik! Trioka itu tegak sistem tungku tiga sebagai komponen tiga tenaga padu dan kukuh. Iaitu:
Tenaga pertama – karyawan penulisan sastera dan akademik
Tenaga kedua – teknokrat sastera dan akademik.
Tenaga ketiga – birokrat sastera dan akademik.

Trioka itu, kini berkumpul dalam dewan ini, iaitu: Penulis - Terknokrat sastera dan akademik diwakili GAPENA dengan guru sekolah dan pensyarah dari universiti. Birokrat sastera dan akademik, diwakili Dewan Bahasa dan Pustaka, Penerbit UKM, dan Utusaan Melayu Publications (Malaysia) Bhd., sebagai penerbit dan penganjur bersama majlis ini. Trioka ini yang menjadi jisim, semangat, jiwa, roh, nyawa pembudayaan fakir dan pentamadunan sastera Melayu di Malaysia.

Alhamdulillah!!! Trioka itu sudah ujud secara natural berdasarkan kesedaran dan keinginan yang sama, untuk membina negara yang bertamaddun mulia. Trioka itulah yang mendengungkan suara desakan sebelum merdeka supaya diwujudkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Trioka inilah, sebelum merdeka yang mendesak didirikan sekolah menengah dan Universiti Kebangsaan, di negara kita! Trioka inilah, tulang belakang pengasas Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Dasar Bahasa Kebangsaan. Trioka ini, yang menjadi pengembang dan taming tamadun Melayu. Bangsa kita, tanpa memperhitungkan perbezaan fahaman, aliran dan parti politik, bulat padu dalam perjuangan. Itulah kami dalam era kami. Aku renung apa yang kita capai, dan itu aku syukuri. Aku sentiasa berdoa semoga generasi era kini bersama generasi akan datang, mencapai yang lebih baik ke arah, Baldatun, Tayyibatun, Rabbun ghafuur!

Sekali lagi Alhamdulullah! Troika ini mendukung maksud murni kerajaan kita.
Syukur Alhamdulillah! Selama ini Kementerian Pelajaran sentiasa menghulur tangan, memberi bantuan, malah memberikan galakan yang tak terperi banyaknya, agar troika berfungsi sempurna, melaksanakan peranan masing-masing, jujur dan ikhlas.

Malangnya ialah, masih ramai rakyat Malaysia yang belum sedari hakikat ini. Saya banggakan kombinasi trioka yang padu ini di Malaysia. Oleh sebab itu, saya ungkapkan di Amerika, Eropah, Jepun, dan Indonesia, bahawa pertumbuhan sastera Melayu di Malaysia, atas jasa karyawan, teknokrat, dan birokrat di negara kami.

Ramai yang merasa putus asa, kerana karya sastera dan karya akademik, di Malaysia kini diabaikan pembaca. Namun saya tidak pernah patah hati kerana saya tahu rakyat apatis pada budaya fakir itu golongan orang berjiwa mati, bersikap negatif, apatis, tuna rasa kebangsaan. Golongan itu, tak akan mampu lumpuhkan karya sastera bermutu dan karya akademik dalam Bahasa Melayu. Malah sebaliknya, sastera bermutu dan karya akademik itulah yang jadikan manusia progresif, setelah menghayati pemikiran positif.
Pada hari saya mencapai umur 80 tahun ini, saya bersyukur yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t atas kurnia daripada-NYA yang saya nikmati.

Alhamdulillah! Hari ini dilancarkan 6 buah buku karyaku yang terbit tahun 2005, dua dari DBP, Tujuh Tegak Bersama dan Antara Dua Deru; satu dari Penerbit UKM, Warna Sukma dan tiga dari Utusan Publications (M) Bhd., Samira, Antara Manusia dan Kepala Bapak Itu. Saya memohon kepada Allah, semoga itu, bukan karyaku yang terakhir. Semoga saya masih dikurniai tenaga, fikiran waras, perasaan halus, hati tenang, untuk berkarya.

Tadi saya sudah bilang, dan itulah yang saya harapkan bahawa ucapan saya dalam majlis yang dimuliakan ini, semoga ucapan ini belum menjadi wida’ atau selamat tinggal dari saya. Walaupun demikian, sebagai penutup ucapan dari orang tua renta, saya mohon izin diberi perluang mengungkapkan satu rangkap lagi kelong Mangkasarak. Saya harap semoga itu jadi kenangan dari saya, dan di bawa pulang dari majlis ini. Bunyinya begini:


Tena ja sallang kuppalak – Aku tak akan meminta nanti
Bunga Tonjong ri tarruwe – Saroja mekar dari pelangi
Kunanro bawang – Kumohon hanya
Fatihah ri kuburukku – Fatihah di pusaraku!

Saya sentiasa berdoa, dengan harapan, semoga Allah kabulkan atas diriku, Allahummakhtim lanaabi husnil khaatimah, Walaa takhtim ‘alainaa bisuuu`Il khaatimah.

Semoga Allah berkati kita semua dari majlis ini dan segala pahalanya dikurniakan Allah kepada penganjur, hadirin, dan semua yang berperanan melaksanakannya. Amin!
Wabillahit taufiq, wal hidayah. Assalamualaikum w.b.t.

Baca bersama :

Biografi Arena Wati
Sukma Angin : Sasterawan Negara Arena Wati

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena