Novel dan Patriotisme


 Pak Sako, Arenawati pancarkan semangat nasionalisme, antipenjajah dalam novel
Dr Anwar Ridhwan


Peristiwa tragis di Kampung Tanduo di Lahad Datu sebagai suatu realiti sejarah mutakhir, makin menyedarkan kita akan erti kedaulatan negara. Mempertahankan hak Malaysia dan kedaulatannya harus dilakukan dengan apa jua cara dan kosnya.

Kemerdekaan negara ini tidak dicapai dengan mudah, walaupun tidak sesukar di sesetengah negara yang menyaksikan lebih banyak pejuang kemerdekaan maut dalam proses memperjuangkan kemerdekaan. Sedikit atau banyak pejuang kemerdekaan yang tewas bukanlah ukuran. Yang lebih penting pribumi sudah berjuang untuk membebaskan serta memerdekakan diri daripada penjajahan.

Kemerdekaan dan erti kedaulatan sebuah negara merdeka hanya bayangan serta harapan dalam novel Melayu sebelum 1957. Pada zaman itu, penjajah dan manipulasi penjajahan masih halangan utama untuk menyaksikan sebuah negara merdeka, seperti yang banyak disebut dalam novel Melati Kota Bharu (1939) oleh A Kadir Adabi.


Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako, melalui novelnya Putera Gunung Tahan (1938), memancarkan pandangannya sebagai seorang sasterawan-patriot. Melalui novel tersebut, tergambar semangat nasionalismenya yang menggelegak dan rasa kekhuatirannya kepada pengaruh asing khususnya penjajah Inggeris.

Penceritaan melalui novel

Ketika tentera British berundur dari Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua, sesetengah anggota masyarakat kita pada masa itu menyangka bahawa Jepun mungkin membawa sinar baharu melalui slogan ‘Asia untuk Asia’. Tetapi dua novel Ahmad Murad Nasaruddin iaitu Nyawa di Hujung Pedang (1947) dan Zain Zawiyah (1957) menceritakan sisi hitam era tersebut.

Nyawa di Hujung Pedang dan Zain Zawiyah, melalui penceritaan yang menarik dan menyentuh emosi, melakar peristiwa kemelaratan dan azab sengsara yang dialami oleh penduduk Tanah Melayu ketika pemerintahan Jepun. Apabila pendudukan Jepun berakhir dan penjajah British datang semula, impian melihat kelahiran sebuah negara merdeka dan menjunjung kedaulatannya ditangguhkan lagi oleh sejarah.
Novel yang mendapat penghargaan dalam Peraduan Mengarang Novel Sempena 10 Tahun Merdeka’ semuanya secara langsung atau tidak langsung, memaparkan pergulatan sosial dan politik Malaysia, sejak sebelum merdeka, hingga kepada cabaran pasca merdeka. Satu daripada novel itu ialah Sandera (1971) oleh Arena Wati.

Dalam Sandera dinaratifkan bagaimana salah seorang pejuang kemerdekaan Tanah Melayu bernama Busad menempuh liku-liku perjuangan. Ia bergerak dalam zaman di mana pejuang di negara Iran juga sedang bergelut untuk membebaskan kedaulatan negara masing-masing daripada belenggu penjajahan. Pejuang ini menerima akibat langsung dari penjajah seperti Belanda, Inggeris, dan Jepun.

Novel Sandera tidak selesai ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Naratifnya membawa kepada isu dalaman dan serantau selepas merdeka. Ini bermakna novel ini memfiktifkan realiti sosial dan politik zamannya. Dengan menghadirkan isu konflik antara dua negara, novel ini menimbulkan kesedaran akan pentingnya kita mempertahankan kedaulatan tanah air ini.

Rundingan diplomatik

Dalam Sandera konflik dua negara diangkat membabitkan Malaysia dan Indonesia. Konflik tersebut diselesaikan melalui rundingan dan persetujuan diplomatik. Tetapi kes terbaharu di Lahad Datu membabitkan Malaysia dan Filipina, walaupun Filipina bukanlah pihak yang utama, kerana hanya membabitkan segelintir rakyatnya yang melakukan tindakan keganasan di bumi kita.

Bukti sejarah dan perlembagaan akan sentiasa menunjukkan bahawa Sabah adalah wilayah mutlak Malaysia. Pada 1946, keluarga Brooke menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Tanah Jajahan British, seperti Borneo Utara dan Labuan diserahkan, antara sebab besarnya kerana perbelanjaan pembinaan selepas Perang Dunia Kedua yang sukar ditanggung lagi oleh keluarga Brooke dan North Borneo Company.

Dalam pilihan raya kecil Municipal 1963, Perikatan Sabah (Borneo Utara) yang progagasan Malaysia dan Perikatan Sarawak menang dengan amat meyakinkan, memberi mereka mandat untuk merundingkan syarat kemasukan ke dalam Persekutuan Malaysia.
Kerajaan Tanah Melayu pada masa itu bersetuju memberi beberapa konsesi kepada Sabah dan Sarawak sebagai prasyarat pembentukan Persekutuan Malaysia. Antaranya termasuklah kuasa atas imigresen, rakyat Bumiputera kedua-dua negeri itu boleh menikmati hak istimewa sama seperti yang dinikmati oleh orang Melayu, peraturan kewangan yang menjamin dana Persekutuan untuk pembangunan ekonomi, serta satu rangkaian Perkhidmatan Awam Persekutuan bagi kedua-dua negeri itu.

Sumber : Berita Harian

Comments

  1. wahh macam menarik je neh..dulu time sekolah rasa rugi pulak sebab xminat sgt dgn sejarah, huhu, bukak2 buku sejarah je mesti rasa ngantok..hehe..tp sekarang baru laa dok pulun baca pasal sejarah2 malaysia yg xpernah tau dulu..huhu..nice sharing.. :)

    ReplyDelete

Post a Comment