Dialog Sastera : Novel Dari Lembah Ke Puncak

Dialog Sastera : Novel Dari Lembah Ke Puncak

Novel Dari Lembah Ke Puncak merupakan novel yang memaparkan kehidupan anak remaja yang tekun berusaha menghadapi rintangan hidup hingga berjaya. Dalam dialog sastera kali ini beberapa intipati dari novel berkaitan cuba dikupas. Ikuti dialog sastera ini seterusnya.


Tema dan Persoalan

Soalan : Pada pandangan tuan, apakah tema novel Dari Lembah Ke Puncak

Jawapan : Novel Dari Lembah ke Puncak karya Ghazali Lateh bertemakan kegigihan seorang anak muda dari kampung yang menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup, tetapi akhirnya berjaya.

Kegigihan ini diperlihatkan menerusi watak Jalil. Jalil gigih mengharungi kehidupan yang miskin dan susah di kampung Bukit Nibung. Watak ini digambarkan pergi ke sekolah tanpa membawa wang saku. Jalil tidak mampu dari segi kewangan untuk membayar yuran peperiksaan SPM. Berkat ketekunan, kesabaran dan kegigihan belajar dalam keadaan serba kekurangan, beliau berjaya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan berjaya pula memasuki Universiti Putera Malaysia dalam bidang seni taman dan landskap.

Soalan : Boleh tuan jelaskan apakah persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam novel Dari Lembah Ke Puncak?

Jawapan : Antara persoalan yang dipaparkan dalam novel Dari Lembah Ke Puncak ialah Persoalan kesunguhan dan kerajinan bekerja untuk kelangsungan hidup. Novel ini memaparkan bagaimana watak Jalil yang rajin bekerja di sawah bendang arwah ayahnya, Pak Teh. Apa yang Jalil lakukan adalah untuk menyara kehidupan keluarganya bersama ibunya, Mak Teh yang tinggal di kampung Bukit Nibung

Persoalan masyarakat yang melakukan fitnah-memfitnah untuk kepentingan diri sendiri. Pak Ngah Kadir telah membuat tuduhan yang Muhsin, abang Jalil melarikan Sabariah atau Biah, iaitu anak gadisnya ke Kuala Lumpur. Biah bunting kerana perbuatan Muhsin

Persoalan Dengki atau dendam kepada seseorang. Novel ini menggambarkan Kudin dengki terhadap Jalil sehingga sanggup membuang serpihan kaca ke dalam tapak semaian Jalil. Ia menyebabkan kaki Jalil luka kerana terpijak kaca buangan tersebut.

Persoalan tolong-menolong atau membantu seseorang. Arwah Pak Teh tolong menyelamatkan mendiang Ah Yau iaitu ayah Ah Bee semasa darurat dengan membawanya berlindung di dalam parit.

Persoalan masyarakat yang suka mengambil kesempatan di atas kesusahan hidup seseorang atau perbuatan menangguk di air keruh. Pak Lang Ali mengambil untung sebanyak RM5,000.00 hasil penjualan tanah arwah Pak Teh kepada Pak Amat dengan harga RM10,000.00.

Persoalan mungkir janji atau tidak menepati janji. Pak Amat yang membeli tanah dari Mak Teh dengan harga RM10,000.00 telah berjanji dengan Jalil untuk memulangkan tanah tersebut dalam masa di antara lima hingga sepuluh tahun. Tetapi sewaktu Jalil pulang dari Kuala Lumpur untuk membayar balik harga tanah tersebut tidak disetujui oleh Pak Amat. Dia telah menaikkan harga tanah kepada RM50 ribu.

Persoalan rajin belajar atau mementingkan pelajaran untuk masa hadapan Jalil, walaupun miskin dan susah rajin belajar sehingga dia lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan berjaya memasuki Universiti Putera Malaysia dalam bidang taman dan landskap.

Persoalan bertanggungjawab kepada orang tua. Jalil seorang anak yang bertanggungjawab kepada ibunya, Mak The. Jalil mengirim wang setiap bulan kepada ibunya di kampung setelah dia berjaya menjadi usahawan di Kuala Lumpur.

Persoalan bertanggungjawab menunaikan amanah dan wasiat arwah orang tua. Jalil berjanji di hadapan kubur arwah ayahnya,Pak Teh untuk melaksanakan wasiat arwah ayahnya supaya menjaga dan mengusahakan tanah peninggalannya. Jalil telah melaksanakan wasiat itu

Persoalan masyarakat yang bercita-cita tinggi. Jalil merupakan seorang yang mempunyai perancangan yang besar dalam hidupnya iaitu ingin menebus balik tanah arwah ayahnya dan membeli keseluruhan tanah penduduk kampung Bukit Nibung dan Bukit Jenun untuk membangun projek Taman Tema Air.

Persoalan bersimpati kepada seseorang yang dalam kesusahan hidup. Latifah digambarkan amat bersimpati kepada Jalil yang hidup bersendirian di dangaunya. Latifah telah menghantar makanan kepada Jalil. Latifah juga membalut kaki Jalil yang luka terkena kaca di bendang.

Persoalan bertindak terburu-buru tanpa berfikir panjang atau terlalu mengikut perasaan. Mak Teh telah menjual tanah arwah Pak Teh kepada Pak Amat melalui Pak Lang Ali tanpa memberi tahu atau berbincang dengan Jalil terlebih dahulu.

Persoaalan kepercayaan masyarakat kepada bomoh atau dukun. Mak Teh telah beberapa kali pergi ke rumah bomoh Tok Su Dolah untuk menengok sama ada betul atau tidak Muhsin yang dituduh oleh Pak Ngah Kadir membawa lari Sabariah ke Kuala Lumpur.


Kejayaan Watak Jalil

Soalan : Tadi tuan ada menyebut bahawa novel Dari Lembah Ke Puncak merupakan novel yang berpusat pada watak Jalil sebagai watak utama yang begitu gigih menghadapi pelbagai tekanan hidup. Kegigihan itu menghasilkan kejayaan kejayaan buat Jalil. Bolehlkah tuan jelaskan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Jalil sebagaimana dipaparkan dalam novel ini?

Jawapan : Jalil sebagai watak utama berhadapan dengan pelbagai cabaran, konflik dan rintangan yang dihadapi dengan tabah dan sabar. Kejayaan Jalil yang pertama ialah kejayaan dalam pelajaran atau pendidikan. Jalil lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM sewaktu belajar di Sekolah Menengah Guar Cempedak. Jalil kemudiannya berjaya melanjutkan pelajarannya ke Universiti Pertanian Malaysia dalam bidang lanskap dan seni taman.

Kejayaan dalam perniagaan. Jalil telah berjaya dalam cadangan projek gunting rambut pelajar sekolah ke seluruh negara yang dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau kemudiannya berjaya menubuhkan Syarikat Alam Hijau bersama dengan abang Joe untuk mengendalikan komisyen hak cipta atas cadangan mereka dalam projek gunting rambut.

Berjaya dalam projek seni taman. Jalil telah berjaya mendapat lesen kontrak daripada kerajaan dalam bidang seni taman dan landskap.

Kejayaan dalam cadangan projek berkos besar. Jalil berjaya membentangkan kertas kerja Projek Taman Tema Air Bukit Nibung dalam mesyuarat lembaga pengarah Syarikat Alam Hijau. Lembaga pengarah syarikat telah bersetuju dengan cadangan projeknya yang menelan kos sebanyak RM50 juta.

Berjaya mempengaruhi dan mendapat persetujuan daripada penduduk kampung. Jalil telah berusaha mendapatkan persetujuan penduduk kampung Bukit Nibung dan Bukit Jenun menjualkan tanah mereka kepada Syarikat Alam Hijau untuk tapak cadangan membangunkan Taman Tema Nibung Park. Penduduk kampung telah dibayar pampasan yang lumayan iaitu RM100,ooo.oo sehektar. Dengan pampasan tinggi itu Jalil berjaya membeli kesemua tanah penduduk kampung Bukit Nibung dan Bukit Jenun.

Jalil berjaya mendapat balik tanah arwah ayahnya yang dijual oleh ibunya kepad Pak Amat. Jalil juga dapat memujuk dan membawa ibunya berpindah dari kampung Banggol Lalang ke rumah baru yang dibinanya di bekas tapak rumahnya dahulu di kampung Bukit Nibung.

Berjaya melaksanakan projek Taman Tema Nibung Park. Kejayaan ini merupakan usaha gigih Jalil dari memberikan cadangan kepada Syarikat Alam Hijau hinggalah kepada pembinaan taman tema ini dapat disempurnakan. Projek ini telah mempertemukan semula Jalil dengan Latifah selepas berbelas-belas tahun berpisah. Jalil juga berjaya memujuk Latifah untuk menerima tawaran sebagai pegawai akaun Syarikat Alam Hijau kepunyaannya itu. Kemuncak kejayaan ini adalah Jalil dapat menjemput Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan bagi merasmikan pembukaan Taman Tema Nibung Park dengan meriahnya.

Kejayaan mendapat anugerah. Jalil berjaya mendapat trofi CEO of the year daripada menteri perdagangan dalam negeri. Ia merupakan rangkaian kejayaan Jalil terutama sebagai seorang usahawan yang berjaya.


Kegigihan watak Jalil

Soalan : Jalil juga digambarkan sebagai seorang yang gigih dan tabah. Bagaimana novel ini memperlihatkan kegigihan watak Jalil menerusi pelbagai peristiwa di dalamnya. Boleh tuan jelaskan?

Jawapan : Pertama, kegigihan menghadapi kemisikinan atau kesusahan hidup di kampung. Jalil gigih mengharungi kehidupan yang miskin dan susah di kampung Bukit Nibung. Jalil pergi ke sekolah tanpa membawa wang saku. Bila balik dari sekolah makan nasi dengan ikan tambang bakar. Hinggalah pada suatu ketika Jalil tidak mampu dari segi kewangan untuk membayar yuran peperiksaan SPM.

Kegigihan untuk belajar atau menuntut ilmu. Jalil merupakan seorang yang gigih belajar walau pun hidup dalam keadaan serba kekurangan. Kemiskinan bukan penghalang untuk dirinya berjaya. , tetapi dengan kegigihan itu, beliau berjaya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan berjaya pula memasuki Universiti Putera Malaysia dalam bidang seni taman dan landskap.

Kegigihan bekerja. Jalil gigih bekerja misalnya, mengerjakan bendang peninggalan arwah ayahnya di kampung Bukit Nibung. Jalil bekerja sebagai pembantu pelukis bersama abang Joe di bandar Kuala Lumpur untuk mengumpul wang bagi membayar balik harga tanah arwah ayahnya yang telah dijual oleh ibunya kepada Pak Amat di Gurun.

Kegigihan menghadapi tindakan negatif masyarakat. Jalil terpaksa menghadapi sikap orang kampung yang memulaukannya hingga ada usaha untuk menghalaunya keluar dari kampung tumpah darahnya sendiri. Jalil tidak dijemput ke majlis kenduri Sabariah atau Biah, anak Pak Ngah Kadir di kampung. Ia menandakan begitu kuat tindakan penduduk kampung memulaukan Jalil dan keluarganya.

Kegigihan berusaha untuk mendapat balik tanah arwah ayahnya. Jalil gigih melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan balik tanah arwah ayahnya yang telah dijual oleh ibunya kepada Pak Amat seperti mengajak Pak Lang Ali pergi bersama ke rumah Pak Amat. Jalil kemudian bekerja di Kuala Lumpur untuk mengumpul wang bagi mendapatkan semula tanah arwah ayahnya itu.

Kegigihan berhadapan dengan sebahagian penduduk kampung Bukit Nibung dan Bukit Jenun yang menentang projek Taman Tema Nibung Park. Jalil terpaksa berhadapan dengan Tuk Ketua Kampung Bukit Nibung dan Kudin yang pada awalnya tidak mahu menyerahkan tanah kepada Syarikat Alam Hijau untuk dibangunkan projek Taman Tema Nibung Park di kampung mereka. Jalil berusaha gigih untuk menyakinkan mereka berkaitan dengan projek taman tema itu.

Kegigihan membuat kajian bagi menyiapkan kertas kerja projek. Jalil gigih membuat kajian dengan pergi ke Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pertahanan untuk mendapat data lengkap bagi menyiapkan kertas kerja Projek Gunting Rambut Seluruh Negara. Projek itu akhirnya mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Soalan : Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian tuan dalam sesi dialog ini. Semoga dapat bersama lagi di lain waktu.

Jawapan : Terima kasih kembali.

Comments

Post a Comment