Cerpen Dan Masyarakat

  Cerpen Dan Masyarakat

Perkembangan Cerpen 1920 - 1941


Perkembangan alat cetak telah memberi kesan terhadap perkebangan penulisan cerpen. Pemodenan dalam alat cetak membuka ruang kepada perkembangan akhbar dan majalah yang merupakan wadah utama bagi genre cerpen pada era sebelum perang. Sepanjang tempoh 1920 hingga 1941 sebanyak 734 buah cerpen mengisi ruang sastera dalam akhbar dan majalah Melayu pada era tersebut.

Penglibatan Institusi penerbitan akhbar dan majalah. Syarikat-syarikat penerbitan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan akibat daripada perkembangan alat cetak menjadi cukup signifikan dengan perkembangan genre cerpen. Sepanjang tempoh 1896 hingga 1940 sebanyak 153 buah akhbar dan majalah diterbitkan dan 147 daripadanya berbahasa Melayu dan 64 buah daripadanya menyiarkan cerpen. Antara surat khabar dan majalah yang terpenting yang menyiarkan cerpen ialah Majalah Guru, Warta Jenaka, Warta Ahad, Utusan Zaman dan Mastika.

Perkembangan Sistem Pendidikan Agama dan Sekular. Perkembangan sistem pendidikan menerusi sekolah-sekolah Melayu  atau  agama memberi lebih ruang kepada orang Melayu belajar menulis dan membaca. Penubuhan Sultan Idris Training College (SITC) di Tanjung Malim, Perak menjadi pemangkin dalam perkembangan genre sastera. Ini berikutan terbentuknya Pejabat Karang Mengarang (PKM) yang memberi tunjuk ajar dan latihan menulis kepada guru-guru Melayu dalam penulisan karya-karya kreatif termasuklah genre cerpen. Hasilnya ramai kalangan lepasan SITC terlibat secara langsung dalam perkembangan genre cerpen antara mereka ialah, Yusof Adil, Pungguk, Kasmani Hj. Arif, Harun Muhammad Amin, Abdullah Yahya, Yusof Arshad dan Abdullah Sidek.

Pertembungan Kebudayaan Timur dengan Kebudayaan Barat. Pengarang-pengarang yang lahir pada era ini melihat pengaruh buruk dan gejala negatif boleh membawa keburukan bagi survival orang Melayu. Senario ini telah mendorong mereka berkarya bagi memberi kesedaran kepada orang Melayu hasilnya terhasillah cerpen-cerpen yang membawa persoalan tentang Persoalan moral yang turut menyentuh soal-soal keruntuhan akhlak kesan pengaruh budaya barat

Dasar penjajah atau modenisme barat dengan membawa masuk imigran dari China dan India. Kemasukan mereka ke tanah Melayu yang dibawa oleh orang Inggeris telah mencetuskan banyak permasalahan bagi orang Melayu khususnya dari aspek ekonomi.Fenomena sosial ini telah mendorong kalangan pemuda-pemuda Melayu yang juga terdiri daripada penulis-penulis cerpen memperkatakan isu ini dalam karya-karya mereka sebagai memberontak terhadap cara hidup mereka yang menyebabkan orang Melayu menjadi mundur.

Pertambahan bilangan penulis (Kesan langsung pertambahan bilangan akhbar dan majalah) Peningkatan ini berlaku kerana akhbar dan majalah yang menyediakan ruangan khas bagi cerpen memerlukan ramai penulis bagi mengisi ruangan tersebut.Sepanjang tahun 1920-an seramai 42 orang penulis muncul namun pada tahun 1930-an seramai 216 orang penulis cerpen telah dapat dikesan.

Perubahan Gaya Hidup Moden. Pengaruh urbanisasi (bandar). Kalangan penulis guru dan wartawan yang berhijrah ke kota-kota , mereka prihatin terhadap segala perubahan yang menjelikkan akibat urbanisasi.Perubahan-perubahan yang berlaku menyebabkan mereka pancarkan melalui genre cerpen antaranya cerpen “Menyelam di Lautan Percintaan” dan “Gelombang Hidup” Yusof Adil, “Salah Sendiri” oleh Penulis Khas Tanjong Malim (Harun Aminurashid) “Hantu Judi atau Isteri Yang Berbakti”-(tanpa nama pengarang)

Perubahan Gaya Hidup Yang Bertentangan dengan ajaran Islam Gaya hidup barat yang mulai menular di kalangan muda-mudi bandar serta pengaruh pendakwah-pendakwah kristian amat mengusarkan penulis-penulis cerpen. Kebimbangan ini mereka salurkan melalui cerpen-cerpen berikut antaranya,”Siapa Salah” oleh Melati Sarawak, “Bertukar Agama Kerana Cinta” oleh Abdul Rahman Hj.Ahmad dan “Tercabut Iman Kerana Cinta” oleh Penulis Khas Tanjong Malim.

Perkembangan Politik dan kebangkitan semangat nasionalisme. Tertubuhnya pertubuhan-pertubuhan politik Melayu dan kesedaran kebangsaan juga turut mempengaruhi perkembangan genre cerpen.Secara seriusnya persoalan ini diperkatakan lewat tahun 1930-an,antara penulis cerpen yang prolifik ialah Ishak Hj. Muhammad antara cerpennya ialah “Anak Dibuat Denak”, “Amin! Kepada Encik Amin dan Cik Aminah” dan “Istana Berembun”.


Kebebasan Sosial Dalam Cerpen-Cerpen 1920an dan 1940an

Kebebasan untuk memilih pasangan hidup sendiri. Pengarang cerpen pada era tersebut cuba membawa isu tentang golongan muda seharusnya diberi peluang untuk berkenal-kenalan dan menjalinkan hubungan percintaan barulah membina ikatan perkahwinan supaya hidup mereka lebih bahagia. Antara contoh cerpen yang membawa persoalan ini ialah cerpen Jamil dan Jamilah karya Abd. Rahim Kajai siaran Bil. 5, 19 Okt. 1936, Warta Jenaka.

Persoalan Perkahwinan Paksa. Masyarakat Melayu pada era ini masih berpegang teguh dengan adat resam, termasuklah soal jodoh anak-anak yang ditentukan oleh ibubapa. Anak-anak terutama anak gadis akan dipaksa berkahwin untuk tujuan-tujuan seperti mendapat kekayaan dan pangkat. Cerpen Kesedihan Perkahwinan Paksa dan cerpen ”Kerana Ringgit Bercerai Kasih”oleh Pungguk atau Muhammad Yassin Makmur.

Percintaan muda-mudi yang berlainan agama. Kehadiran para imigran ke Tanah Melayu telah menjadikan negara ini terdiri dari pelbagai kaum. Situasi ini memberi idea kepada penulis untuk memaparkan persoalan percintaan golongan muda-mudi yang berlainan agama. Cerpen ”Mencari Isteri” (Majalah Guru, 1 Ogos 1928-1 Mei 1932) oleh Muhammad Yusof Ahmad yang mengisahkan percintaan antara Ramli dengan gadis Tionghua iaitu Yap Ah Moi.

Kehidupan kota yang menjijikkan. Kehidupan kota yang moden, yang dipengaruhi oleh barat dengan pelbagai masalah sosial yang negatif, seperti pergaulan bebas, perjudian, perempuan kabaret, arak dan sebagainya. Memberi kesedaran golongan penulis untuk memperkatakan isu ini, cerpen Gelombang Hidup (Bulan Melayu, Mei 1931) oleh Yusof Adil. ”Hantu Judi atau Isteri Yang Berbakti (Warta Kinta, 24 Disember 1937) oleh Muhammad Yusof Arshad. Cerpen Hantu Arak (Majalah Cerita, Januari 1939) oleh Yahya Yusof.

Pengaruh agama kristian di kalangan orang Melayu. Kecenderungan mubaligh kristian untuk mempengaruhi orang Melayu untuk memeluk kristian menyedarkan golongan penulis cerpen untuk memperkatakan isu ini antara cerpen yang memperkatakan persoalan ini ialah ”Salah Siapa?” (Warta Malaya, 28 Feb – 3 Mac 1938) oleh Melati Sarawak. ”Bertukar Agama Kerana Cinta”(Warta Malaya 14 Mac 1938) oleh Abd. Rahman Hj. Ahmad- yang mengisahkan tentang Abd. Fatah yang bercinta dengan Miss Emilia dan akhirnya bertukar agama menjadi penganut kristian dengan menggunakan nama Mr.Mad.

Peristiwa kehidupan rumahtangga, Kerukunan rumahtangga tidak mungkin tercapai tanpa perasaan kasih sayang antara suami isteri. Tanpa persefahaman dan timbang rasa mungkin perkahwinan akan bermasalah sama ada akibat perbuatan suami yang tidak jujur atau isteri yang terlalu cemburu dan akhirnya ia membawa kepada penceraian. Antara cerpen yang membawa persoalan rumahtangga ialah cerpen” Isteri” (Bulan Melayu, Mac –April 1931) oleh Yusof Adil. ”Apa Boleh Buat Talak Sudah Gugur (Warta Jenaka, 25 Nov 1937) oleh Abd. Rahim Kajai.


Kesedaran Sosial Dalam Cerpen

Peranan akhbar dan Majalah. Akhbar dan majalah yang muncul pada era ini seperti cendawan selepas hujan yang menyediakan ruangan khas untuk cerpen memberi peluang kepada para penulis menulis dan memperkatakan persoalan yang berkaitan dengan kebebasan sosial. Antara akhbar dan majalah yang prolifik menyiarkan cerpen ialah Warta Jenaka, Warta Ahad , Majalah Guru dan lain-lain.

Kesedaran tentang perubahan sosio-ekonomi orang Melayu. Perubahan sosio ekonomi orang Melayu kesan pengaruh modenisasi barat telah membawa gejala negatif yang bertentangan dengan adat dan ajaran Islam, telah menyedarkan golongan penulis untuk memperkatakan persoalan kebebasan sosial. Antaranya Muhammad Yusof Arsad dan lain-lain.

Perlunya kebebasan untuk memilih jodoh. Kehidupan orang Melayu yang dikongkong oleh adat dan peraturan-peraturan yang dirasakan lapuk dan tidak sesuai dengan keadaan semasa, khususnya soal jodoh anak-anak dimana ibubapa menentukan jodoh anak-anak mereka. Kesannya golongan penulis cerpen turut memperkatakan isu in seperti dalam cerpen Kesedihan Perkahwinan Paksa.

Kebimbangan terhadap kehidupan kota yang bebas dan gejala negatif. Kemodenan yang dibawa oleh barat turut membawa bersama pengaruh dan gejala yang negatif seperti pergaulan bebas, judi , arak dan sebagainya yang meninggalkan kebimbangan di kalangan penulis pada masa itu.


Pengaruh agama kristian yang semakin menular di kalangan orang Melayu. Kegiatan para mubaligh kristian yang semakin aktif menyebarkan ajaran kristian membimbangkan golongan penulis yang juga terdiri dari kalangan guru, mendorong mereka memperkatakan persoalan kebebasan sosial dalam karya-karya mereka.

Comments

  1. terima kaseh mimbar letak blog saya di mimbar..sy pon letak nama blog mimbar di sidebar saya..

    ReplyDelete

Post a Comment