Benar Kata Ayah

 BENAR KATA AYAH
(RIA ASMIRA)

TEMA

Cerpen ini bertemakan perjuangan seorang ayah melaksanakan tanggungjawab dalam mengubah sikap dan pendirian anaknya.
Contoh: Ayahnya mahu anaknya Karim menjadi insan yang memiliki jati diri Melayu yang kuat, cinta akan negaranya, menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan dan menjadi tuan di tanah air sendiri.

PERSOALAN

Persoalan kasih sayang seorang ayah kepada anaknya.
Contoh: Kasih sayang ayah Karim terbukti menerusi pendekatannya dalam menasihati Karim dengan lembut tanpa menggunakan kekerasan agar Karim dapat mengubah cara kehidupannya yang tidak mahu bekerja dan hidup berpeleseran tanpa tujuan.

Persoalan perjuangan bangsa Melayu yang jauh keciciran.
Contoh: Kegagalan bangsa Melayu untuk bersaing dengan bangsa asing akibat sikap bangsa Melayu itu sendiri yang tidak lagi berpegang kepada tuntutan agama, sikap malas serta tidak mahu berusaha dan bersaing dengan warga asing.

Persoalan kegigihan seorang usahawan memartabatkan bangsa.
Contoh: Ayah Karim berusaha dengan gigih hingga menjadi usahawan yang berjaya dan mampu bersaing dengan usahawan asing. Dia juga berupaya menerajui syarikat-syarikat besar yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara seperti berjaya membangunkan mercu tanda kebanggaan negara iaitu Menara Berkembar Petronas.

Persoalan kesediaan generasi muda berubah ke arah kebaikan.
Contoh: Generasi muda seperti Karim perlu memantapkan jati diri dengan menimba ilmu pengetahuan selain daripada mencontohi akhlak Rasulullah SAW serta berpegang kepada budaya dan tatasusila bangsa Melayu yang mementingkan adab dan kesopanan.

Persoalan menghormati pandangan orang yang lebih tua.
Contoh: Karim menerima teguran ayahnya tentang sikap malasnya yang boleh membawa kesan buruk kepada masa depannya.

WATAK DAN PERWATAKAN

KARIM
Watak utama

Seorang yang pemalas.
Contoh: tidak bekerja dan selalu berpeleseran tanpa tujuan.

Seorang yang insaf.
Contoh: Karim awalnya tidak mempunyai wawasan hidup, namun berubah dan insaf setelah dinasihati ayahnya.

Seorang yang berjaya dalam kehidupan.
Contoh: Karim muncul sebagai seorang usahawan yang berjaya dalam perniagaannya.

Seorang anak yang mengenang jasa.
Contoh: Karim selalu mengenang jasa ayahnya dan mengabadikan nama ayahnya pada bangunan perusahaannya.

AYAH
Ayah kepada Karim.
Mempunyai seorang isteri.
Seorang pemimpin masyarakat.

Seorang yang bertanggungjawab.
Contoh: ayah bertanggungjawab terhadap keluarga terutama menasihati Karim supaya berubah dalam kehidupan.

Seorang yang penyayang.
Contoh: tidak berputus asa menegur anaknya Karim supaya bersikap lebih positif dalam hidupnya.

Seorang yang tegas.
Contoh: Ayah tegas mendisiplinkan anak-anak seperti Karim agar berjaya dalam kehidupan.

Seorang yang mempunyai pegangan agama yang kuat.
Contoh: Ayah selalu mengingatkan Karim supaya bersolat subuh.

IBU
Seorang wanita yang sangat menyayangi keluarganya.
Ibu kepada Karim.
Wanita ini meletakkan harapan yang tinggi terhadap Karim agar mencontohi keperibadian suaminya dalam memartabatkan bangsa Melayu.

JONED
Sahabat Karim yang sering mengajaknya mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Encik Khalid berkaitan tanggungjawab para belia di negara ini.

PEMANDU KARIM
Seorang lelaki yang ditugaskan untuk membawa Karim menguruskan perjalanannya.
Dia juga seorang yang setia mendengar cerita daripada Karim tentang kehebatan ayah.


TEKNIK PLOT

Dialog.
Contoh: Perbualan antara ayah dengan Karim tentang kelewatannya bangun pagi (hlm. 81)

Monolog.
Contoh: Karim bermonolog dengan dirinya tentang kebijaksanaan Encik Khalid (hlm 88)

Imbas kembali (sorotan kembali).
Contoh: Karim mengingati semula pesanan ustaz Hanafi tentang kepentingan bekerja yang dituntut dalam Islam. (hlm 87)

Kejutan.
Contoh: Kemunculan ayah Karim di biliknya untuk mengejutkannya bangkit dari tidur. (hlm 80).

Pemerian.
Contoh: Penceritaan tentang sikap ayah mengikut pendapat Karim.

STRUKTUR PLOT

Permulaan.
Ayah Karim memarahinya kerana sikapnya yang tidak mahu berubah. Karim digambarkan seorang yang suka membuang masa di rumah dan berpeleseran di rumah.

Perkembangan.
Ayah Karim memanggilnya ke pejabat dan menasihati agar Karim mengubah sikap dan membina wawasan hidup. Ayah Karim mahu menjadikan Karim sebagai seorang yang berguna kepada keluarga, bangsa, agama dan negara.

Karim teringat sewaktu ayahnya menitiskan air mata kerana ramai generasi kini yang lupa diri dan lalai terhadap kesenangan yang bersifat sementara. Selain itu, ramai remaja yang terpesong akidahnya kerana terpengaruh dengan budaya negatif.

Klimaks
Karim berjaya menjadi seorang usahawan perniagaan yang berjaya atas dorongan ayahnya. Karim juga berjaya membina bangunan yang dinamakan sebagai Bangunan Karim dan Keluarga demi cintanya kepada bangsa Melayu. Dia juga berazam mengembangkan perniagaannya ke serata dunia.

Peleraian
Karim berusaha untuk meneruskan perjuangan ayahnya membangunkan semangat anak watan.


LATAR

Latar Masa

Sekitar abad ke 21.
Contohnya: Kewujudan Menara Berkembar Petronas (KLCC) (hlm 87)

Waktu Subuh.
Contoh: Karim bangun untuk mengerjkan solat subuh (hlm 80)

Waktu Pagi.
Contoh: Karim dikejutkan oleh ayahnya pada suatu pagi (hlm 80).

Waktu Malam.
Contoh: Pemandu Karim datang menjemputnya untuk pulang setelah mendapati hari sudah lewat.

Latar Tempat

Bilik Karim.
Contoh: Karim disergah oleh ayahnya ketika sedang tidur di biliknya.

Di pejabat ayah.
Contoh: Karim diminta oleh ayahnya untuk datang ke pejabatnya bagi membincangkan masa depan Karim yang tidak mahu berdikari.

Di Padang Belia Daerah Pokok Sena.
Contoh: Perhimpunan belia telah diadakan di Padang Belia Daeran Pokok Sena untuk mendengar ceramah Encik Khalid.

Latar Masyarakat

Masyarakat kota yang mempunyai kesedaran yang tinggi.
Contoh: Karim dan ayahnya berusaha memajukan ekonomi negara demi kepentingan bangsa.

Masyarakat usahawan yang berjuang demi kemajuan bangsa, agama dan negara.
Contoh: Karim berusaha meneruskan perjuangan ayahnya, untuk memajukan ekonomi dan berusaha melebarkan empayar perniagaannya ke pelosok dunia.

Masyarakat yang lalai dengan kemewahan dunia.
Contoh: Karim pada zaman remajanya yang lalai dengan kemewahan yang dimiliki keluarganya dan tidak mahu berusaha untuk memajukan diri.

Masyarakat remaja yang tiada wawasan hidup.
Contoh: Ayah Karim menyatakan kekecewaannya terhadap golongan remaja kini yang tidak menimba ilmu pengetahuan dan mudah terpengaruh dengan anasir negatif yang dibawa dari barat sehingga merugikan bangsa itu sendiri.

Masyarakat kota yang hidup selesa akibat kemajuan ekonomi.
Contoh: Kesungguhan Karim untuk meneruskan kejayaan yang dimulakan oleh bapanya sehingga membawa kepada kecemerlangan syarikat perniagaannya.

GAYA BAHASA

Diksi.Bahasa ringkas, padat dan mudah difahami. Pemilihan kosa kata yang ringkas memudahkan pembaca memahami jalan cerita.
Contoh: Ayah bukan omong kosong..

Ayat Pendek.
Contoh: Ibu tiada.

Metafora.
Contoh: Kolam pengorbanan, Bunga kehancuran.

Hiperbola.
Contohnya, halilintar membelah bumi.

Simile.
Contoh: bagaikan halilintar membelah bumi.

Repetisi.
Contoh: unsur pengulangan kata digunakan pada baris halaman 84, baris 6. Misalnya pengulangan kata dah. Contoh yang kedua, frasa harapan ayah pada halaman 3.

Sinkof.
Contoh: Penyingkatan perkataan dalam kalangan watak. Contohnya, penggunaan kata dah pada halaman 84.

Peribahasa.
Contoh: Penggunaan peribahasa iaitu macam pahat dengan penukul. (hal 84)

NILAI

Nilai kerajinan.
Contohnya: kerajinan seorang remaja telah membuatkannya berjaya mencapai kejayaan.

Nilai berdikari.
Contohnya: Ayah menasihatkan Karim agar sentiasa berusaha dengan sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain.

Nilai pengorbanan.
Contohnya: Karim sanggup berkorban demi mencapai kejayaan yang disasarkan kepadanya.

Nilai bertanggungjawab.
Contohnya: setiap individu harus bertanggungjawab terhadap bangsa, agama dan negara.

Nilai bersatu padu.
Contohnya: Manusia yang bersatu padu akan mempunyai kelebihan untuk berjaya pada masa hadapan.


PENGAJARAN

Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk memperoleh sesuatu dengan usaha sendiri.
Contoh: ayah gigih berusaha sehingga jutawan.

Kita hendaklah menjadikan individu yang berjaya sebagai model untuk dicontohi.
Contoh: Karim menjadikan ayahnya model untuk melakar kejayaannya.

Kita hendaklah berfikiran terbuka dan bersedia menerima sebarang perubahan.
Contoh: ayah menasihati Karim agar berfikiran terbuka dan mengikut perubahan zaman.

Kita hendaklah menghormati pandangan orang yang lebih tua daripada kita.
Contoh: Karim akur dengan nasihat ayahnya.

Kita hendaklah berpegang teguh kepada ajaran agama dalam menjalani kehidupan seharian.
Contoh: ayah selalu mengejutkan Karim agar mengerjakan solat subuh.

SUDUT PANDANGAN
Mengunakan sudut pandangan orang pertama.
Pengarang bercerita sendiri atau terlibat dalam cerita sebagai watak utama atau watak sampingan. Sudut pandangan ini disebut sebagai gaya aku, iaitu cerita itu dibawakan seluruhnya oleh watak aku, orang pertama, secara subjektif. Maknanya pengarang terlibat secara aktif. Teknik ini digunakan untuk menjadikan cerita lebih realistik.

Comments