28 Feb 2013

Perkembangan Kritikan Sastera Malaysia (Bah 3)


Perkembangan Kritikan Sastera Malaysia (Bahagian 3)

Tahap Zaman Kemerdekaan

Penulisan kritikan semakin menunjukkan kemajuan pada zaman kemerdekaan iaitu zaman yang merangkumi tahun-tahun 1960-an dan 1970-an sehingga sekarang. Ia berlaku dari segi pertambahan pengkritik, keragaman pendekatan, dan ketelitian penulisan. Ketiga-tiganya terlaksana dalam keadaan yang agak sederhana tetapi memperlihatkan petanda baik ke arah peningkatan kritikan di Malaysia.

Perkembangan kritikan sastera tanahair turut didorong oleh faktor-faktor sejarah. Antara foktor-faktor tersebut ialah perpindahan Universiti Malaya dari Singapura ke Kuala Lumpur, dan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka. Penghijarahan beramai-ramai penulis Melayu dari Singapura ke Kuala Lumpur dan kelahiran Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur telah melahirkan beberapa tokoh akademik dan pengkritik muda.

Pertambahan penulis yang terlibat dalam bidang kritikan memperlihatkan bukan sahaja penglibatan penulis-penulis kreatif atau satu-satu pertubuhan sastera sahaja. Para pengkritik datang dari pelbagai latar belakang pendidikan, profesion, ilmu dan pengalaman. Hashim Awang (1988:107) telah membahagikan golongan pengkritik ini kepada dua golongan. Pertama, golongan yang mendapat pendidikan kesusasteraan dan termasuklah bidang kritikan secara formal hingga ke peringkat universiti. Kedua, golongan peminat kesusasteraan dan kritikan. Mereka merupakan penulis lepasan sekolah menengah yang mempelajari kritikan sastera menerusi pembacaan atau pengalaman sewaktu melaksanakan tugas harian seperti pendidik, wartawan, editor akhbar atau majalah dan sebagainya.

Menurut Hashim Awang (1988:107) kedua-dua golongan ini memperlihatkan kelainan dalam sikap, nada pengucapan fikiran atau pandangan, serta corak kritikan yang dihasilkan. Hasil kritikan golongan pertama kebiasaanya lebih bersifat ilmiah. Kebanyakannya merupakan kajian atau penelitian yang mendalam yang terhasil sama ada dalam bentuk buku, tesis, disertasi, monograf, dan makalah-makalah yang dimuatkan dalam jurnal tempatan dan luar negeri. Kritikan mereka melibatkan banyak genre sastera. Mereka menggunakan pendekatan yang pelbagai meskipun penekan lebih diberatkan kepada pendekatan struktural dan formalisitik, iaitu pendekatan yang menekankan unsur-unsur yang membina sesebuah karya sastera. Namun begitu banyak hasil kritikan yang begitu ilmiah sifatnya itu, tidak begitu tersebar luas kepada pembaca.

Golongan kedua menghasilkan esei-esei atau pandangan pendek terhadap sastera. Sifatnya begitu pendek dan kekurangan daya analitis. Ini menjadikan kerja-kerja kritikan tersebut sukar untuk digolongkan sebagai kritikan sastera yang sebenar. Hasil-hasil kritikan tersebut banyak disiarkan melalui akhbar-akhbar mingguan tempatan seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, dan Mingguan Timur. Manakala majalahnya pula terdiri dari Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Mastika dan Widya. Kritikan sastera golongan ini lebih mudah dibaca dan pembaca tidak memerlukan masa yang lama dan perahan fikiran yang banyak untuk memahami sesebuah kritikan.

Kritikan yang termuat dalam akhbar dan majalah menggunakan pendekatan yang subjektif dan tidak impresionis. Kencenderungan untuk berbicara tentang sesebuah karya sastera atau topik sastera lebih banyak didorong oleh rasa kekawanan atau sebaliknya. Sifat kritikan sedemikian menghasilkan kerja-kerja kritikan yang banyak memberi tumpuan terhadap penghasilan karya itu semata-mata dan bukannya satu penelitian yang meluas terhadap karya sastera. Pengkritik terpengaruh dengan kedudukan pengarang serta pandangan yang pernah dikemukakan pengkritik lain. Pandangan yang dikemukakan tidak memberi pertimbangan sewajarnya terhadap nilai yang terdapat dalam karya berkenaan. Kritikan menjadi tidak teratur dan mendalam, bersifat sentimen dan mengabaikan prinsip dan pendekatan. Menurut Hashim Awang (1988:109) sifat-sifat kritikan yang disiarkan dalam akhbar dan majalah wajar berkembang dengan sifatnya yang sedemikian bersesuaian dengan sasarannya untuk pembacaan masyarakat umum. Dengan itu kritikan itu dapat difahami oleh pembaca serta bersesuaian dengan akhbar dan majalah yang memerlukan tulisan-tulisan pendek dan tidak terlalu berat. Kritikan ini lebih dikenali sebagai kritikan jurnalistik yang berperanan sebagai pembimbing kepada pembaca umum dan penulis kreatif untuk memahami karya-karya sastera.


(a) Tahap Zaman 1960-an

Menurut Mana Sikana (1998:71) terdapat dua golongan pengkritik di Malaysia sekitar tahun 1960-an. Pertama golongan pengkritik mahasiswa dan siswazah dari Jabatan Pengajian Melayu yang diwakili oleh Kassim Ahmad, Alis Murni, S. Husin Ali, dan Hassan Ahmad. Golonngan kedua ialah golongan di luar universiti seperti Yahya Ismail, Shahnon Ahmad, S. Othman Kelantan, dan Abdullah Tahir.

Kassim Ahmad berjaya dalam kritikan sastera berteraskan pendekatan sosiologi. Kassim Ahmad merupakan orang pertama yang sedar untuk membicarakan kritikan teoritikal di mana kritikannya lebih berorientasikan masyarakat dengan penggunaan teori realisme sosialis. Bagi Kassim Ahmad kesusasteraan merupakan senjata api ideologi yang sangat penting dalam perjuangan manusia untuk menegakkan kebenaran dalam masyarakat. Pemilihan pendekatan realisme sosialis ini bersesuaian dengan aliran politik sosialisme yang diperjuangkannya. Tulisan Kassim Ahmad lebih berdisiplin dan berkesan terutama dari aspek ketelitian analisisnya. Dalam bukunya Dialog Dengan Sasterawan (1979) Kassim Ahmad melakukan kritikan terhadap sajak-sajak Usman Awang, A. Latiff Mohidin, Masuri S.N., A. Samad Said dan Shahnon Ahmad. Kassim Ahmad telah mengkritik novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, novel Salina karya A Samad Said, Jalan Pulang karya Anas K Hadimaja, antologi sajak Suasana karya Masuri S.N.

Dekad 1960-an juga menyaksikan kemunculan Yahya Ismail sebagai pengkritik yang dianggap mengemukakan tradisi New Critics yang tertumpu kepada pendekatan formalisitik di Malaysia. Yahya Ismail dalam bukunya Kesusasteraan Moden Dalam Esei dan Kritik I (1967) memuatkan idea-idea dan pengetahuan tentang pelbagai jenis ukuran dalam kritikan sastera. Hasil-hasil kritikan Yahya Ismail termasuklah mengupas novel Rentung karya Shahnon Ahmad, Sisa Laut karya Wijaya Mala, Lingkaran karya Arena Wati, Punah karya Awang Had Salleh, dan Getaran karya A. Shukor Harun. Namun begitu Yahya Ismail tidaklah begitu jitu menggunakan pendekatan formalisitik. Sebaliknya kritikan yang dikemukakan masih banyak membicarakan aspek ekstrinsik daripada intrinsiknya.

Menurut Hashim Awang (1984:19) Yahya Ismail merupakan tokoh penting dalam kritikan kerana beliau bukan sahaja menguasai ruangan-ruangan kritikan sastera di akhbar dan majalah tetapi beliau berjaya menghasilkan tiga buah buku kritikan. Buku-buku tersebut ialah Mengkaji Fiksyen (Pustaka Nasional, Singapura, 1967), Kesusasteraan Moden Dalam Esei dan Kritik I dan II (Pustaka Nasional, Singapura, 1967 dan 1968). Buku-buku berkaitan menjelaskan tentang teori cereka, kritikan terhadap penciptaan cereka, permasalahan kritikan sastera, pengarang, dan kesusasteraan umum.

Seorang lagi tokoh pengkritik sosiologis dekad 1960-an ialah M Noor Azam. M Noor Azam banyak melahirkan kritikan terhadap cerpen-cerpen yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa. Kecenderungan M Noor Azam adalah memperkatakan tema dan persoalan serta mengupas karya sastera dalam hubungannya dengan kehidupan dan masyarakat yang melahirkan karya berkenaan. Di samping itu M Noor Azam memperkenalkan tokoh-tokoh barat dalam majalah Dewan Bahasa seperti Goethe, Flaubert, Balzac, Thomas Mann, dan lain-lain. Sumbangan berkenaan memberi peluang para sasterawan tanahair memperluas pengetahuan mereka di samping melahirkan sikap terbuka demi perkembangan sastera tanahair.

Dekad 1960-an menyaksikan bahawa para pengkritik telah mula menjurus kepada kerja-kerja kritikan yang mengkhusus kepada landasan teori dan ukurtara. Pengkritik mengambil jalan tengah dengan tidak tertutup terhadap ilmu, ideologi dan tatacara melakukan kritikan. Pendekatan formalistik menjadi pendekatan yang popular di samping pendekatan sosiologi.


(b) Tahap Zaman 1970-an

Kritikan sastera pada dekad 1970-an merupakan kegiatan yang cukup berdisiplin, dikerjakan dengan teliti, penuh hati-hati, dan objektif. Akhbar harian dan mingguan menyediakan ruang untuk memuatkan segala perbincangan, ulasan, resensi dan saranan. Majalah-majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Mastika, Penulis, Sarina, Al-Islam, Dian dan Widya memainkan peranan menampung bahan-bahan untuk diikuti para pembaca. Hasil-hasil kritikan ilmiah di institusi pengajian tinggi pula dapat dimuatkan dalam penerbitan-penerbitan seperti Jurnal Jebat dan Budaya Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Tenggara dan Nusantara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Bahasa terbitan Persatuan Bahasa Melayu, Universiti Malaya. Karya-karya ilmiah hasil dari penyelidikan, tesis dan desertasi diterbitkan.

Tahun 1970-an menyaksikan penerusan kritikan yang dilakukan oleh Yahya Ismail, Ismail Hussein dan Kassim Ahmad. Di samping itu muncul pengkritik-pengkritik yang mula memperkukuhkan kedudukan dalam kritikan sastera seperti Ramli Isin, Shahnon Ahmad, Sahlan Mohd Saman, Mohd Yusof Hassan, Moh Thani Ahmad, dan beberapa nama lain.

Ramli Isin banyak memberi tumpuan untuk mengkritik cerpen dan novel. Ramli Isin gemar menggunakan pendekatan formalistik dalam kritikannya. Kritikan yang dikemukakan banyak menyentuh aspek-aspek plot, perwatakan dan bahasa dalam ceren atau novel. Dalam membicarakan puisi Ramli Isin banyak menyentuh apek teknik termasuk gaya bahasa, perubahan-perubahan visual di samping tema dan persoalan-persoalan dalam karya. Ramli Isnin mengkritik novel Lingkaran karya Arena Wati, Ombak Bukan Biru oleh Fatimah Busu, Seluang Menodak Baung oleh Shahnon Ahmad, dan antologi puisi Warna Maya oleh Dharmawijaya.

Ramli Isin juga merupakan pengkritik yang banyak memberi perhatian terhadap karya-karya experimental. Menurut Mana Sikana (1998:79) Ramlis Isin merupakan pengkritik yang memberikan lampu hijau terhadap penulis sastera abstrak dan absurd di Malaysia. Pada waktu itu kebanyakan pengkritik merasa ragu-ragu dengan karya-karya abstrak dan absurd tetapi Ramli Isin melihatnya sebagai gejala yang sihat dan boleh menyuburkan sastera kreatif di Malaysia. Antara pandangan yang dikemukakan oleh Ramli Isin adalah menerusi eseinya Puisi-Puisi Eksperimen Dalam Kesusasteraan Kita. Ramli mengkritik Puisi Silang Kata karya A Ghaffar Ibrahim, Batu oleh Juma’noh A Bunga, dan ? karya Mohammad Awang.

Umar Junus pula gemar menggunakan pendekatan struktural dalam kritikannya. Pada awal tahun 1960an dan 70an Umar Junus memberi perhatian terhadap pendekatan formalisitik sebagaimana termuat dalam bukunya Perkembangan Puisi Melayu Moden (1970). Dalam buku tersebut Umar Junus mengemukakan gagasan terhadap perkembangan struktur persajakan Melayu di Malaysia dan Indonesia dari sudut lingusitik. Sajak-sajak yang dibicarakan oleh Umar Junus terdiri dari sajak-sajak karya Masuri S.N., Usman Awang, A Samad Said, Noor S.I., A.S. Amin, Suhaimi Haji Muhammad dan sebagainya. Unmur Junus juga turut mengkritik karya prosa seperti Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Dalam kritikan tersebut Umar Junus memberi perhatian terhadap aspek-aspek plot, sisi, tema, dan watak. Penggunaan pendekatan formalistik yang digunakan oleh Umar Junus menjadi lebih jelas apabila mengkritik novel-novel dari Indonesia. Umar Junus dikatakan mengaplikasikan pendekatan struktur dengan makna yang tidak sama dengan pendekatan formalistik. Pada tahap mutakhir ini, Umar Junus lebih berkecenderungan untuk menggunakan pendekatan struktural. Kejayaan besar Umar Junus dalam penggunaan pendekatan struktural ialah mengkritik Sejarah Melayu yang termuat dalam bukunya Sejarah Melayu : Menemukan Diri Kembali.

Hashim Awang menggunakan pendekatan formalistik untuk mengkritik novel Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer. Penekanan diberikan terhadap aspek plot dalam novel berkenaan. Hashim Awang turut memperkatakan tentang Aspek Struktur Novel Melayu di mana beliau menjelaskan keistimewaan novel Melayu dari aspek penceritaan novel terutama struktur penceritaan novel Melayu sebelum perang dunia kedua, keistimewaan dari segi penyimpangan daripada tradisi terutama pada novel tahun-tahun 40-an, dan keistimewaan novel Melayu yang menggabungkan unsur tradisional dengan unsur baru terutama pada novel sejarah.

Sumbangan Hashim Awang dalam menggunakan pendekatan formalistik ini memberikan pengaruh besar terhadap perkembangan kritikan sastera Melayu. Namun begitu Hashim Awang kemudiannya beralih kepada pendekatan kemanusiaan. Kritikan Hashim Awang yang dianggap memenuhi syarat pendekatan kemanusiaan ialah kritikan terhadap novel Juara karya S Othman Kelantan. Juara dilihat oleh Hashim Awang sebagai karya yang penuh dengan keinginan. Dalam kritikannya terhadap novel Saga karya Abdul Talib Mohd Hassan, Hashim Awang melihat novel ini kaya dengan unsur penduaan yang memperlihatkan pertentangan sesama sendiri. Hasil-hasil kritikan lain yang dilakukan oleh Hashim Awang termasuklah mengkritik Hikayat Raja-Raja Pasai, cerpen Jalan Lain Ke Syurga karya Yahaya Ismail, novel Rentung karya Shahnon Ahmad, dan sebagainya.

Ismail Husein dan Kassim Ahmad merupakan dua tokoh pengkritik yang meneruskan kegiatan kritikan sejak dari 1960-an hingga ke 1970-an. Ismail Hussein banyak menumpukan kritikan teoritikal dalam esei dan ucapan beliau dengan menganalisis corak kesusasteraan di Malaysia. Kassim Ahmad pula mengaplikasikan kritikan praktikal terhadap novel Salina karya A Samad Said dan Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Kassim Ahmad yang mengutamakan pendekatan sosiologi melihat bagaimana penderitaan masyarakat yang ditampilkan dalam karya sastera dengan sejarah politik dan sistem peninggalan penjajah.

Mohd Affandi Hassan dikenali sebagai pengkritik yang keras, tidak bertolak ansur, tidak bersimpati kepada pengarang, dan gemar menghukum. Sikap tidak tolak ansur ini dianggapnya penting untuk menilai karya-karya secara adil dan saksama. Mohd Affandi Hassan mengkritik karya-karya seperti Pertentangan oleh S Othman Kelantan, Seroja Masih di Kolam karya Adibah Amin, Patah Sayap Terbang Jua oleh A Samad Said, Kumpulan sajak Kembara Malam oleh A Latiff Mohidin, dan sajak-sajak Chairil Anwar (Berdiri Aku) serta Amir Hamzah (Senja di Pelabuhan Kecil). Dalam kritikan yang dikemukakan Mohd Affandi Hassan terlalu mengharapkan lahirnya karya-karya yang bermutu dengan tahap yang terlalu tinggi sehingga amat sukar untuk dicapai oleh para pengarang. Mohd Affandi Hassan juga sering mengemukakan idea-idea baru dan gagasan untuk memajukan sastera di Malaysia. Namun terdapat pandangan yang ganjil, aneh, dan tidak masuk akal. Kelahiran Mohd Affandi Hassan menjadi pengkritik yang cukup kontroversi di sekitar 1970-an.

Baharuddin Zainal merupakan pengkritik yang teliti dan berhati-hati. Sikapnya tidak terburu-buru, hujahan yang kuat dan tahan uji meletakkan Baharuddin Zainal sebagai pengkritik yang disegani. Baharuddin Zainal dilihat lebih teliti, baik dalam penggunaan pendekatan dan kaedah penghuraiannya. Pendekatan yang menjadi pilihan Baharuddin Zainal sering digunakan dalam cara yang bersesuaian dengan bentuk karya sastera yang mahu dikritik. Huraian dan analisisnya tersusun dengan jelas dan memiliki objektif sehingga menjadi sukar untuk disangkal atau dinafikan. Baharuddin Zainal tidak cenderung untuk memilih satu pendekatan sahaja dalam kritikan sebaliknya Baharuddin Zainal menggunakan pendekatan formalistik, kemanusiaan, sosiologi dan legislatif dalam kritikannya. Baharuddin Zainal menggunakan pendekatan kemanusiaan untuk mengkritik sajak Padamu Jua karya Amir Hamzah. Dalam mengupas sajak Sidang Roh dan Penyairmu karya Kassim Ahmad Baharuddin Zainal memilih pendekatan sosilogi untuk mengkritik sajak-sajak berkenaan. Selain itu Baharuddin Zainal juga turut mengemukakan kritikan terhadap karya-karya seperti cerpen Jambu Anak Sungai karya Anwar Ridhwan, Melencong karya Azizi Hj Abdullah dengan menggunakan pendekatan formalistik.

Shahnon Ahmad dilihat lebih cenderung untuk menggunakan pendekatan moral dalam kritikannya. Namun begitu buku kritikan yang ditulis oleh Shahnon Ahmad lebih banyak membicarakan aspek intrinsik dan esktrinsik dalam karya sastera. Buku yang berjodol Penglibatan Dalam Puisi memuatkan tulisan-tulisan Shahnon Ahmad sepanjang tahun 1970-an dalam dunia kritikan. Penggunaan pendekatan moral dalam kritikan Shahnon Ahmad lebih jelas dalam kritikannya terhadap novel Salina karya A Samad Said. Shahnon Ahmad turut mengkritik sajak Sidang Roh karya Kassim Ahmad.

Shahnon Ahmad kemudiannya menjadi tokoh sastera yang mula memperkatakan tentang sastera Islam. Tulisan-tulisan Shahnon Ahmad dapat diterima umum dan memberi sumbangan besar ke arah kelahiran sastera Islam. Pandangan Shahnon Ahmad mengenai sastera Islam turut mengundang penglibatan pengkritik lain seperti Muhammad Kamal Hassan, Ismail Ibrahim, Ismail Hamid, dan Kassim Ahmad. Tulisan-tulisan Shahnon Ahmad mendapat penilaian sehingga tercetusnya polemik sastera Islam di antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad pada 1980-an.

Menurut Mana Sikana (1998:77) zaman 1970-an menyaksikan aliran dan corak kritikan sastera di Malaysia mengalami perubahan yang drastik. Perubahan ini diperlihatkan oleh kemunculan Hashim Awang yang mengemukakan pendekatan formalistik yang menjadi ikutan kajian-kajian sastera di universiti telah beralih kepada pendekatan kemanusiaan. Kemunculan pendekatan stilistik selaras dengan perkembangan ilmu linguistik yang diajar di universiti. Tahun-tahun 1970-an menyaksikan kebangkitan sastera Islam di Malaysia. Kemunculan sastera Islam turut mendorong kepada para pengkritik mencari pendekatan kritikan yang berlunaskan Islam. Tokoh-tokoh seperti Uthman el-Muhammady, Yusof Zaki Yaakob, dan Shahnon Ahmad cuba mencari dimensi baru dalam pengkaryaan dan penilaian sastera Islam.


Pada tahun 1970-an berlakunya polemik di antara Yahya Ismail dan Shahnon Ahmad berkaitan dengan konsep kritikan dan penilaian. Yahya Ismail sebagai pengkritik yang aling berwibawa dan prolifik telah menggunakan pelbagai metode kritikan barat. Manakala Shahnon Ahmad mahukan wujudnya kritikan sastera yang mempunyai nilai, budaya, sejarah, dan ukuran tersendiri iaitu wujudnya kritikan yang memiliki suasana Malaysia. Pandangan Shahnon Ahmad mendapat tentangan daripada Yahya Ismail dalam polemik yang berlarutan. Polemik itu menjelaskan bahawa terdapat dua golongan pengkritik yang berbeza pandangan. Pertama, golongan yang mahu meminahkan kemahiran kritikan Barat ke Malaysia. Golongan kedua mahu kritikan yang berasaskan latarbelakang dan nasionalisme bumi sendiri.

1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena