24 Feb 2013

Perkembangan Kritikan Sastera Malaysia (Bah 2)


 Perkembangan Kritikan Sastera Malaysia (Bahagian 2)

Tahap Sebelum Kemerdekaan

Menurut Hashim Awang (1988:104) tradisi kritikan sastera yang lebih moden dan tepat bermula pada tahun-tahun 1950-an iaitu bersama kemunculan ASAS 50. Kritikan sastera tersebut telah dirintis oleh Aminuddin Baki yang membuat kritikan terhadap novel Korban Kesuciannya (1949) karya Keris Mas. Kritikan Aminuddin Baki yang berjodol “Pandangan Seorang Penuntut Tinggi tentang Sebuah Buku Melayu” telah disiarkan dalam Utusan Zaman 12 Jun 1949. Menurut Othman Puteh (1999) kritikan Aminuddin Baki itu telah memanfaatkan pendekatan formalisitik dengan memerlihatkan unsur-unsur ilmiah, kritis, dan menarik walaupun kritikan itu tidak begitu mendalam.

Kritikan Aminuddin Baki menjurus kepada penilaiannya terhadap dua aspek penting karya sastera iaitu isi dan teknik (bentuk). Walaupun huraiannya tidak mendalam namun terdapat daya kritis dan analisis dilakukan oleh Aminuddin untuk menghasilkan sebuah kritikan sastera yang lebih bererti dan bermanfaat. Selain kejayaan kritikan itu menimbulkan beberapa persoalan berkaitan dengan isi atau tema novel tersebut ia juga turut mengupas mengenai permasalahan bagaimana isi itu wajar disampaikan dalam suatu teknik atau bentuk yang berkesan. Dengan itu aspek gaya bahasa, plot dan perwatakan turut diberi tumpuan dalam analisis yang dikemukakan. Kritikan Aminuddin jelas menunjukkan bahawa beliau telah memiliki suatu dasar atau pendekatan tertentu iaitu pendekatan formalistik. Ini menjadikan kritikan Aminuddin menarik dan unik pada masa tersebut. Di dalam kritikan tersebut Aminuddin Baki menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis teknik perwatakan iaitu pengarang sendiri bercerita, percakapan sesama pelakon, dan tutur kata pelakon itu sendiri.

Pada awal dekad 1950-an dan lahirnya ASAS 50, tercetus polemik sastera yang agak panjang di antara Asraf dengan Hamzah. Tulisan kedua-dua tokoh ASAS 50 itu agak teoritis sifatnya. Polemik kedua-dua penulis ini menjadikan mereka berdua sebagai penulis kritikan yang berjaya melahirkan kritikan yang lebih bererti. Keseluruhan tulisan Asraf berkisar pada permasalahan keunggulan karya sastera. Bagi Asraf. Karya sastera yang paling unggul ialah karya sastera yang secara total dapat memihak dan membangunkan rakyat. Asraf begitu banyak mengemukakan idea sastera yang berkonsepkan “Seni Untuk Masyarakat” yang menjadi slogan perjuangan ASAS 50.

Dalam sebuah tulisan berjodol “Mencari Pembaharuan Dalam Kesusasteraan Melayu” (Mastika, Mei 1950) Asraf telah menyatakan bahawa hanya falsafah yang berurat tunjang atas dasar rakyat yang dapat diakui sebagai falsafah yang membangun. Falsafah inilah yang harus ada pada sasterawan kita dalam mengadakan pembaharuan dalam seni sastera Melayu. Bagi Asraf kegagalan sesebuah karya adalah kerana ia tidak mampu menggambarkan realiti masyarakat, dan tidak memberi simpati terhadap golongan majoriti yang miskin dan tertindas. Perasaan melulu dan penuh angan-angan ditolak sama sekali kerana karya sedemikian bukan sahaja tidak membangunkan masyarakat tetapi membunuh jiwa pembaca dan masyarakat.

Hamzah pula berpegang kepada konsep Seni Untuk Seni sebagai dasar tunjangan perbicaraan beliau. Dalam pandangannya terhadap idea sastera Hamzah amat mementingkan bentuk atau teknik di samping isi. Bentuk amat penting kerana bentuk itulah yang menentukan corak isi dan ciri-ciri keindahan tersendiri bagi ciptaan sesebuah karya sastera. Menurut Hamzah, sastera mempunyai bentuk, bentuk itu mengambil rupa sajak, cerita pendek, rencana dan lain-lainnya. Apabila mempunyai bentuk, bentuk itu berkehendakkan atau berhajat ada irama. Umpama irama sajak karangan romantis berlainan pada irama cerita-cerita realisme dan lain-lain lagi. Hamzah dalam tulisannya “Kenyataan di Dalam Sastera Baru” (Hiburan 2 September 1950) tidak mempercayai pegangan pengarang sebagai alat untuk membawa slogan tertentu. Pengarang-pengarang romantis dari barat terdorong ke kancah kehancuran kerana impian dan propaganda. Pengarang mengarang bukan untuk masyarakat tetapi di desak oleh kecenderungan jiwa.

Kritikan pada zaman ASAS 50 tertumpu terhadap persoalan isi cerita dan seterusnya dilihat dari aspek fungsi karya iaitu sejauhmana karya-karya berkenaan berfaedah untuk kegunaan masyarakat. Mereka masih tidak menyentuh aspek-aspek struktur atau teknik secara mendalam. Kritikan yang dikemukakan sealiran dengan slogan Seni Untuk Masyarakat yang dianuti oleh ASAS 50 iaitu sentiasa mementingkan karya sebagai kegunaan untuk menyedarkan masyarakat. Namun begitu timbul konsep Seni Untuk Seni yang dibawa oleh Hamzah. Namun begitu konsep ini gagal dipraktikkan. Kebanyakan sasterawan pada zaman ini menolak pembicaraan seni sebagai seni. Mereka tidak menggalakkan malah tidak menerima pembicaraan yang menyentuh aspek seni kesusasteraan atau teknik penulisan.


Tulisan Hamzah berjaya melahirkan polemik yang boleh menggalakkan apresiasi masyarakat terhadap karya-karya sastera. Kemunculan polemik ini membezakan kritikan sastera dekad 50-an dengan sebelumnya. Polemik Hamzah dengan Asraf tidaklah berpanjangan dan kelihatan agak berat sebelah. Ramai penulis yang mempertahankan Seni Untuk Masyarakat daripada Seni Untuk Seni. Walaupun Hamzah berpegang teguh dengan pandangannya dan menyelar Asraf dalam tulisan-tulisan yang provokatif sifatnya namun perincian pandangan Hamzah tidak disokong oleh senarai bacaan atau pandangan sarjana barat atau luar negeri. Hamzah lebih banyak mengemukakan buah fikiran dan pandangan peribadi semata-mata sedangkan Asraf merujuk kepada buku dan bahan bacaan lain.

Penulis-penulis esei dan kritikan sastera dekad 50-an selain Asraf dan Hamzah termasuklah A Samad Said, Tongkat Warrant, Masuri S.N. dan lain-lain. Namun begitu, mereka sebenarnya lebih dilihat sebagai penulis kreatif daripada sebagai pengkritik. Pada dekad 50an juga berlaku peristiwa penting iaitu penubuhan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Singapura (1953). Setahun kemudian muncul kegiatan kupasan sastera yang dilakukan oleh beberapa orang mahasiswa. Majalah Bahasa yang diterbitkan oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya berjaya melahirkan tulisan-tulisan pengkritik muda seperti Syed Husin Ali, Ali Ahmad, Ismail Hussein, Kassim Ahmad, Norzah, Hassan Ahmad, dan Baharuddin Zainal.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena