28 Feb 2013

Percakapan Tentang Puisi


Percakapan Tentang Puisi

Puisi memiliki kata terbaik dan susun terbaik. Ia muzik bahasa bersulam kebijakan dan bingkai tradisi penyairnya. Ia terkandung ghairah yang imaginatif. Berkerat-kerat atau berurutan dalam baris sejajar. Barangkali ia berpola atau bebas. Dalamnya tersaring lagu dan muzik. Sering bertingkah rentak dan irama. Darinya tertebar bunyi dan terjaring harmoni. Kata-kata yang melekat pada lantai emosi dan membiak dalam laman pengalaman

Puisi itu bahasa terindah. Bahasanya ekspresi jiwa. Mengalir cairan perasaan. Bahasanya citra. Tepak bahasa bersulam lambang, berhias kias dan berukir perbandingan. Ia menyedarkan pengalaman membangkitkan tanggapan dalam bunyi, irama dan makna. Kata-kata yang sedikit tetapi mengajarkan makna yang berbukit. Ia ekspresi artisitik dari fikiran manusia terlontar dalam bahasa dan irama penuh emosi.

Puisi adalah kekuatan bahasa yang dikerah untuk memperkukuh ekspresi. Bahasanya alur emotif, sungai afektif, dan ruang simbolik. Bunyi terlahir dari tingkah bahasa melahirkan rasa dan menerbitkan bayang. Konsonan dan vokal bersahutan menimbulkan kemerduan. Mengalirlah muzik yang indah. Muzik yang memukau jiwa membangkitkan fahaman dalam fikir.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena