Pengenalan Kritikan Sastera Bahagian 2


Pengenalan Kritikan Sastera Bahagian 2

Sejarah Kritikan Sastera

Kritikan sastera dikatakan muncul di Greek atau Yunani sekitar tahun 500 S.M. Plato merupakan orang pertama yang menjadi tokoh pengkritik Yunani. Di dalam bukunya Republic Plato menjelaskan tentang nilai-nilai sastera yang baik yang dapat memperbaiki jiwa orang Yunani. Bagi Plato karya sastera seharusnya mengandungi:
1. Moral sebagai prinsip pendekatan kritikan. Penulis bermoral akan menjadi rakyat berguna.
2. Tema harus memenangkan yang baik dan mengalahkan sesuatu yang buruk
3. Konsep peniruan iaitu penulis perlu menggambarkan sesuatu secara tepat
4. Karya yang baik dapat meningkatkan penikmatan.

Aristotle dalam bukunya Poetics menjelaskan tentang dasar kritikan :
1. Mengemukakan prinsip kritikan mendekati struktur dengan melihat plot, tema, perwatakan, bahasa, pemikiran, kekaguman, pendramaan dan sebagainya
2. Kajian genealogi dalam puisi yang melibatkan puisi epik, lirik dan dramatik. Drama ditumpukan kepada tragedi dan komedi.
3. Kritikan melihat sastera sebagai bahan yang menyenangkan bukan berisi ajaran-ajaran moral yakni mementingkan estetika daripada moral
4. Mementingkan kreativiti penulis. Sensitiviti dan ketajaman pengarang menggarap persoalan dan melahirkan dalam karya yang tinggi daya kreatif merupakan sebuah karya yang bermutu.

Seorang lagi tokoh pengkritik Greek Dionysus Cassius Longinus mengemukakan dasar penilaian dalam kritikan sebagai :

1. Sesebuah karya harus mempunyai falsafah, pemikiran, dan persoalan yang agung dan penting
2. Gaya bahasa baik dan sesuai
3. Emosi yang terkawal
4. Dalam bukunya On the Sublime beliau mengemukakan dasar yang lengkap dan kemas berkaitan dengan penciptaan karya sastera. Beliau menjelaskan bahawa karya yang bermutu, menarik, dan berkesan adalah karya yang dapat bertahan menghadapi ujian zaman.

Tokoh pengkritik Rom iaitu Quintus Horatius Placcus dan Marcus Fabius Quintilianus turut mengemukakan dasar-dasar kritikan. Bagi Horatius kritikan memberi penekanan terhadap :

1. Kebijaksanaan memilih tema yang baik, pemikiran yang rasional, kata-kata yang hidup, dan adunan yang kaya dengan teknik menjadikan sesebuah karya itu bermutu tinggi.
2. Unsur moral dan keindahan perlu diolah secara licin dan fungsi utama ialah mengajar dan memberikan hiburan
3. Seorang pengkritik harus berakal sihat, jujur dan tidak melakukan penilaian dengan tidak cukup sihat dan jujur.

Quintilianus mengemukakan prinsip kritikan sebagai :

1. Setiap karya dapat dibaca dan dinikmati, jika karya sukar dibaca bermakna karya itu kurang bermutu
2. Gaya bahasa yanag seringkali digunakan dalam masyarakat bukan yang susah dan mengelirukan
3. Penulis perlu belajar dari tulisan orang lain cara-cara berkreatif tetapi tidak terpengaruh sepenuhnya dengan penulis tersebut

Horace meskipun tidak meletakkan dasar kritikan yang tetap tetapi mengemukakan beberapa teori sastera yang dapat membantu dalam bidang kritikan menerusi bukunya Ars Poetica. Horace memberi penekanan terhadap pentingnya unsure-unsure didaktik dan hiburan dalam karya sastera.


Pembahagian Jenis Kritikan

Kritikan sastera dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu kritikan bercorak teoritis yang disebut sebagai kritikan teoritikal dan kritikan bercorak praktis yang dikenali sebagai kritikan praktikal. Kritikan teoritikal merupakan kritikan yang berhubung dengan teori kritikan seperti perbincangan di sekitar definisi, prinsip, konsep, kriteria, pendekatan atau metodologi.

(a) Kritikan Teoritikal

Kritikan teoritikal dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu :
1. Kritikan yang membincangkan rukun-rukun dan dasar kritikan. Perbincangan atau penentuan terhadap sesuatu pendekatan
2. Perbincangan untuk membina dan mencipta teori kritikan. Pengkritik akan membuat penilaian yang akhirnya menghasilkan satu teori nilai. Teori nilai akan menghasilkan teori pendekatan kritikan.
3. Teori sastera sebagai kritikan teoritikal. Teori sastera dicipta hasil daripada penilaian, tanggapan dan kesimpulan daripada peristiwa, data, fakta dan sifat umum sastera. Teori sastera yang menjadi sebahagian daripada kritikan teoritikal dibina hasil penelitian terhadap karya sastera.

Kritikan toeritikal merupakan kritikan yang menyentuh dasar-dasar karya berdasarkan teori. Kassim Ahmad misalnya cenderung kepada penggunaan teori realisme sosialis dalam kritikan yang dilakukannya. Kassim Ahmad menyokong ideologi sosialisme.

(b) Kritikan Praktikal

Kritikan praktikal berhubung dengan usaha melakukan kritikan. Setelah membaca karya sastera seseorang itu akan menulis satu kritik yang menerangkan penghayatannya, membuat analisis, dan penilaian. Dasar-dasar penting yang diberi pertimbangan dalam kritikan praktikal ialah :
1. Menggunakan teks karya sastera dan mendalami aspek tertentu seperti struktur, gambaran masyarakat, unsur moral dan sebagainya dengan tujuan melihat keistimewaan karya berkenaan.
2. Mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Kritikan bertujuan untuk membuktikan sama ada benar atau tidak sesuatu andaian.
3. Menjelaskan makna sastera dan cara meningkatkan mutu sastera. Tujuan kritikan adalah untuk meningkatkan mutu hasil sastera
4. Memerlukan latihan, percubaan serta kesungguhan. Memerlukan sifat yang ojektif, adil dengan menggunakan pendekatan serta penghasilan suatu teori baru.


Jenis-jenis Kritikan Sastera

Hasil dari kajian sejarah sastera, kritikan sastera dapat dibahagikan kepada empat jenis atau kategori. Pembahagian ini berdasarkan kepada hubungan karya dengan alam, pembaca, pengarang dan dengan karya itu sendiri. Jenis-jenis tersebut ialah kritikan mitetik, kritikan pragmatis, kritikan ekspresif dan kritikan ekspresif.

Menurut M.H. Abrams ada empat unsur utama dalam meneliti karya seni. Pertama ialah karya seperti puisi yang dicipta oleh penyair atau lukisan oleh pelukis. Kedua ialah unsur alam kejadian ciptaan Tuhan sama ada dunia yang nyata atau ideal yang ditiru sebagai penghasilan karya sastera. Ketiga, unsur pengarang yang menghasilkan karya sastera. Keempat ialah khalayak seni di mana karya itu ditujukan. Sekiranya prengkritik melihat dari perspektif alam ia menggunakan teori mimetik. Jika di pandangan dari kesan karya terhadap peminat ia menggunakan teori pragmatis. Manakala karya yang dilihat dari sudut penciptanya ia menggunakan teori ekspresif dan jika dilihat dari aspek bentuk karya ia menggunakan teori objektif. Penggunaan-penggunaan teori ini akan membentuk jenis-jenis kritikan itu sendiri.

(a) Kritikan Mimetik

Kritikan mimetik melihat karya sebagai suatu peniruan atau cerminan (reflection). Alam dan kehidupan manusia diceritakan dalam karya sastera. Kritikan ini melihat sejauh mana tepatnya karya sastera itu menceritakan kembali tentang alam dan kehidupan manusia. Tugas pengarang adalah untuk menggambarkan kejadian dan peristiwa apa sahaja yang terjadi di dunia ini. Pengarang hanya meniru atau menyalin semula segala riwayat alamiah. Kebenaran dilihat dari sudut bagaimana pengarang dapat mengemukakan dengan tepat setiap apa yang berlaku dalam karyanya. Kritikan ini bertolak dari teori peniruan yang dikemukakan oleh Aristotle.

Objek peniruan dalam kritikan mimetik ialah manusia, fikiran, emosi dengan alam yang menjadi bahan dan pusat perbincangan. Kritikan mimetik menganalisis mengapa bentuk dan corak hidup manusia berubah-ubah. Kritikan mimetik mengharapkan karya sastera sebagai suatu yang bermanfaat dan berfungsi ia bukanlah sepenuhnya peniruan alam tetapi suatu peniruan kehidupan supaya pembaca dapat mengetahui baik buruknya gejala masyarakat.

(b) Kritikan Pragmatis

Kritikan pragmatis melihat sebuah karya sastera sebagai suatu yang dicipta dengan tujuan memberi kesan tertentu terhadap pembacanya. Kesan-kesan yang diperlukan seperti kepuasan estetika, pengajaran atau emosi tertentu. Kritikan ini melihat keberkesanan karya melalui kejayaan mencapai matlamat kesan tersebut. Kritikan ini juga mahu membuktikan kejayaan atau kegagalan pengarang dalam mencapai motif penciptaan karyanya. Karya yang baik adalah karya yang memberikan kesan yang mendalam, melahirkan pemikiran dan falsafah berguna serta membangkitkan keseronokan pembaca. Kritikan pragmatis menolak karya yang tidak bermutu atau tidak bermoral.

Kritikan pragmatis akan meneliti bahagian-bahagian eksplisit atau implisit dalam karya yang menjadikan pembaca terpukau atau terpikat. Ia melihat segala usaha pengarang untuk menjadikan karyanya berkesan serta dihargai pembaca. Respon pembaca secara tidak langsung memberi kesan terhadap sesebuah karya sastera. Oleh itu pembaca menjadi penentu bagaimana sesebuah karya itu perlu dihasilkan untuk memenuhi kehendak dan keperluan mereka.

c) Kritikan Ekspresif

Kritikan ekspresif menghubungkan karya sastera dengan pengarang. Kritikan ekspresif melihat karya sastera sebagai alat pengarang menyatakan emosi dan fikiran. Karya dilihat sebagai suatu ekspresi atau pembanjiran pengucapan perasaan atau hasil imaginasi pengarang terhadap pengamatan, fikiran dan emosi. Ia bertujuan menilai kejujuran, ketulenan atau kesempurnaan visi pengarang dalam karyanya. Kritikan ini akan melihat emosi dan pengalaman pengarang secara sedar atau tanpa sedar mendedahkan dirinya dalam karya sastera.

Sastera menjadi alat seni pengucapan, pernyataan dan pencurahan idea, emosi, pemikiran dan falsafah. Aspek-aspek yang abstrak seperti imaginasi, sensitiviti, bakat dan kesungguhan pengarang dihurai untuk melihat unsur keunikan dan keistimewaan karya berkenaan. Kritikan ekspresif mengutamakan keaslian, kejujuran serta kebenaran dalam berkarya. Kritikan memberi perhatian terhadap pengarang bagi menjamin lahirnya karya sastera yang bermutu. Karya yang unggul mempunyai tema yang berkaitan dengan ketamadunan bangsa yang bersumberkan aspirasi rakyat atau negara. Fikiran dan falsafah harus tersembunyi di sebalik karya yang dihasilkan di samping menunjukkan kepintaran dan kebijaksanaan pengarangnya.

Dasar utama pengkaryaan ialah keasilan, kejujuran dan kebenaran. Keasilan dilihat dari sudut hasil perahan fikiran pengarang bukannya suatu yang disadur atau ditiru. Kejujuran bermaksud keikhlasan membawa unsur didaktik dan moral serta kebaikan dan bertepatan dengan hasrat pengarang. Kebenaran pula ialah meletakkan sesuatu di tempat yang tepat, lurus, bertanggungjawab dan tidak menyatakan kebatilan.

(d) Kritikan Objektif

Kritikan objektif melihat karya sastera sebagai sesuatu yang bebas dari pengarang, pembaca dan alam. Karya sastera merupakan suatu yang istimewa dan boleh berdiri sendiri. Karya sastera mempunyai dunia tersendiri yang perlu dianalisis dan diniali secara intrinsik. Ia mengandungi sifat kompleksiti, hubungan dan kesatuan antara unsur-unsur dalaman, perseimbangan dan gaya bahasa. Kritikan objektif memberi tumpuan terhadap aspek struktur sebuah karya sastera.

Tumpuan diberikan kepada komposisi karya dan memusatkan penilaian terhadap isi dan bentuk. Isi merupakan perbincangan di sekitar tema, persoalan, pemikiran, falsafah, mesej, motif, dan ceritanya. Bentuk pula merupakan komponen-komponen yang membina karya seperti plot, perwatakan, bahasa, latar, sudut pandangan, nada dan lambang. Pengarang perlu mempunyai sensitiviti untuk mencipta isi dan bentuk supaya ia sebati dalam satu teknik yang kemas, padu dan kukuh.

Karya sastera mempunyai kompleksitinya dan kritikan objektif melihat bagaimana proses kompleksiti itu dibangunkan dalam karya sastera. Kompleksiti dilihat daripada susunan plot yang penuh suspen, dilema, atau ironi. Ia juga dapat ditimbulkan dalam pelukisan watak yang penuh aksi, dramatik dan komplikasi, serta penggunaan bahasa yang padat dan berkesan. Pengarang tidak memilih jalan mudah untuk menyatakan sesuatu tetapi mengeksploitasi segala daya kreatifnya supaya karya sastera itu mampu melahirkan estetikanya tersendiri. Unsur ekstrinsik ditinggalkan dalam penilaian karya agar ia benar-benar dapat memberi pertimbangan yang saksama kepada pengarang.


Ciri-Ciri Kritikan di Malaysia

Menurut Othman Puteh terdapat enam ciri kritikan yang menjadi pegangan para pengkritik. Keenam-enam ciri itu ialah sanjungan, teguran, saranan, pendekatan, penganalisisan, dan penilaian.

(a) Kritikan Sanjungan

Sanjungan bermaksud pernyataan rasa kagum atau senang terhadap orang lain. Kritikan ini bersifat memuji karya dan pengarangnya yang berupaya menghasilkan pemikiran bernas, serta dapat menampilkan elemen karya yang menarik. Kritikan sanjungan ini muncul ada era pascaperang dunia kedua dan pra ASAS 50. Pengkritik pada era ini terdiri daripada pengarang kreatif seperti Keris Melayu (Muhammad Yassin Maamor), dan Anak Negeri (Mohd Yusof Ahmad). Kritikan pada masa itu tertumpu pada Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang dan Hikayat Abdullah karya Abdullah Munsyi. Kritikan sanjungan ditujukan juga kepada pengarang kerana memiliki daya intelektual, ketajaman dan kebernasan fikiran. Abdullah Munsyi diiktiraf sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden terutama dari perspektif gaya bahasa yang menggunakan pendekatan autobiografi bersifat kewartawanan dalam karyanya.

(b) Kritikan Teguran

Kritikan teguran merupakan kritikan yang bersifat memberi teguran dan peringatan secara ikhlas. Ia lebih praktikal kerana pengkritik melaksanakan kajiannya dengan lebih berimbang dengan menyatakan keistimewaan, kekuatan teks berkenaan dan menunjukkan kekurangan. Tokoh terawal dalam kritikan teguran ialah Aminuddin Baki yang menulis artikel “Pandangan Seorang Penuntut Tinggi Kita Tentang Sebuah Buku Melayu” di Utusan Zaman 12 Jun 1949. Aminuddin dalam artikel tersebut mengkritik novel Korban Kesucian karya Keris Mas. Aminuddin lebih intelektual dan tidak dipengaruhi emosi dan sentimen dan tidak mengecam pengarang.

(c) Kritikan Saranan

Kritikan saranan adalah kritikan yang menganjurkan sesuatu untuk memperbaiki kekurangan serta memantapkan unsur-unsur yang membina dalam karya. Kritikan saranan juga bersifat memberi alternatif untuk membaiki kekurangan. Kritikan ini mengalirkan nilai yang positif dan amat signifikan kepada khalayak pembaca, pengarang dan pengkritik sendiri.

(d) Kritikan Pendekatan

Pendekatan meruakan suatu proses mendekati sesuatu. Ia merupakan usaha untuk mencapai pengertian terhadap sesuatu penelitian. Dalam bidang kritikan pertimbangan atau penilaian pengkritik berlandaskan suatu aspek atau tinjauan tertentu. Landasan ini merujuk kepada penggunaan teori atau ilmu tertentu. Pendekatan kritikan yang berkembang di tanah air ialah pendekatan intrinsik, pendekatan ekstrinsik, pendekatan moral, pendekatan psikologi, pendekatan sosiologi dan pendekatan arkitaip.

Pendekatan intrinsik adalah pendekatan terhadap karya sastera menerusi premis bahawa perlu melihat karya itu sendiri, terutama terhadap unsur-unsur dalaman yang membina karya sastera seperti plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan, dan gaya bahasa. Pendekatan ekstrinsik ialah pendekatan yang memberi fokus terhadap memanfaatkan ilmu bantu bukan sastera iaitu sejarah, agama, psikologi, politik dan sosiologi. Pendekatan intrinsik dan ekstrinsik ini seringkali dikaitkan dengan pendekatan struktural yang menilai aspek formal dalam karya sastera.

Pendekatan moral pula berkaitan dengan penelitian terhadap nilai-nilai moral dan agama. Kajian ini difokuskan terhadap perilaku watak yang ditampilkan oleh pengarang.

Pendekatan psikologi atau dikenali sebagai pendekatan kemanusiaan lebih ditumpukan kepada empat aspek yang saling berkaitan dan melibatkan pengarang, watak dan pembaca. Pertama, pengalaman hidu peribadi pengarang serta aspek kejiwaannya yang mempunyai kaitan dengan sejarah hidup pengarang. Kedua, proses penulisan teks karya sastera yang melalui proses mencari idea, pengeraman, iluminasi, dan verifikasi. Proses penciptaan ini berkaitan dengan proses dalaman dan luaran. Ketiga, sifat atau perilaku zahir dan batin watak. Kritikan ini akan melihat kedudukan watak protagonis dan antagonis dalam menghadapi pelbagai persoalan, konflik dan sebagainya. Keempat, melihat kesan karya terhadap pembaca. Ia dikaitkan dengan aspek emosi hasil dari tanggapan dan pengalaman pembaca.

Pendekatan sosiologi pula memberi tumpuan terhadap tiga aspek utama iaitu pengarang, karya, dan masyarakat. Manakala pendekatan arkitaip atau tipa induk menjurus kepada perbincangan berkaitan dengan kepercayaan dan pegangan hidup sesebuah masyarakat. Ia sering dikaitkan dengan adat istiadat, kepercayaan, dan mitos yang dipaparkan dalam karya sastera.

(e) Kritikan Penganalisisan

Kritikan penganalisisan merupakan kritikan bersifat penyelidikan untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya termasuk untuk menentukan kedudukan, prestasi atau pencapaian sesebuah karya sastera. Pengkaji melakukan penelitian dengan menghurai dan menganalisis karya tersebut. Dalam analisis tersebut pengarang membuat huraian terperinci terhadap bahasa, permulaan dan pengakhiran cerita, motif, citra, watak, pemikiran, perlambangan, nilai, sudut pandangan, aliran dan ideologi dalam karya berkaitan. Pendekatan ini juga melihat bagaimana teknik penulisan sesebuah karya sastera dari genre tertentu. Ia bermatlamat untuk mengesan kecenderungan pengarang sama ada menulis sebuah karya berbentuk kovensional atau ekspiremental. Kerja-kerja mengkritik menggunakan ilmu dan teori tertentu untuk mencapai tujuan analisis berkenaan.

(f) Kritikan Penilaian

Pengkritik yang melakukan kritikan penilaian melihat adakah sesebuah karya sastera itu bermutu atau sebaliknya. Pengkritik haruslah bijaksana, adil, saksama dan dapat mengemukakan hujah yang konkrit sebelum membuat justifikasi. Pengkritik perlu mengetahui banyak aspek iaitu pengarang yang menghasilkan karya, subjek yang dibincangkan, persekitaran, ras dan waktu karya dipaparkan. Pengkritik tidak boleh berat sebelah, emosional dan memihak..

Comments

  1. lyeen baru je study benda ni semalam...hari ni buat presentation psl ni..tp lecturer xda..so boleh tmbh ilmu sbelmu bentang..:D

    ReplyDelete

Post a Comment