Pengenalan Kritikan Sastera Bahagian 1


PENGENALAN KRITIKAN SASTERA

Istilah Kritikan

Perkataan kritik berasal dari perkataan Yunani Kuno krites yang bermaksud hakim. Oleh itu mengkritik merupakan usaha menghakim, memutuskan nilai baik atau buruknya sesebuah karya sastera. Akar kata krites dikembangkan kepada frasa nama kriterion atau disebuat kriteria yang bermaksud penghakiman. Orang yang membuat kritikan digelar kritikos di mana ia kini ditulis sebagai kritikus.

Kata criticus dalam bahasa Latin bermaksud orang yang mentafsir dan menilai hasil karya sastera. Terdapat kata lain yang mempunyai persamaan makna iaitu grammaticus dan philosopicus. Kedua-dua kata ini mempunyai pertalian dengan penghakiman sastera

Definisi Kritikan Sastera

Menurut Hashim Awang (1985 : 80) kritikan sastera merupakan suatu usaha mempertimbang dan menilai karya sastera secara jujur dan sistematik. Kritikan sastera merupakan cabang ilmu yang mempunyai fungsi-fungsi yang tersendiri.

Berdasarkan Glosari Istilah Kesusasteraan (1988:163) penjelasan terhadap krtitik sebagai esei atau artikel yang menyorot secara kritis sesebuah hasil seni, biasanya sastera, dengan tujuan menentukan sifat yang dimiliki dan menuntut mutunya menurut suatu ukuran tertentu yang telah ditetapkan atau sering digunakan. Kritik jauh lebih seirus, adil, dan bijaksana daripada ulasan. Sementara kritikan pula merupakan cabang pengajian yang berhubungan dengan hal-hal mendefinisi, mengelaskan, menghurai, dan menilai karya kesusasteraan.

Kritikan sastera merupakan suatu disiplin ilmu yang saintifik kerana ia ditumpukan kepada penghayatan, penganalisisan dan penilaian sesebuah karya sastera. Kritikan sastera dikatakan sebagai suatu ilmu yang saintifik kerana ia menggunakan pendekatan atau metadologi tertentu dalam membuat kritikan.

Kritikan sastera melibatkan penghayatan. Proses penghayatan merangkumi apresiasi, pengamatan, pemahaman, tanggapan, perasaan, serta pemikiran yang terjelma sebagai reaksi terhadap sesuatu bacaan.

Analisis dalam konteks kritikan sastera bersifat menghurai, membincang, membedah, dan mendalami aspek penghayatan. Pengalaman-pengalaman apresiasi dijelaskan dengan mengemukakan bukti, contoh serta hujah yang konkrit dan munasabah.

Kritikan sastera turut melibatkan proses penilaian. Berdasarkan penghayatan dan penganalisisan, seseorang itu dapat memberikan pandangan, bahasan, dan keputusan sama ada karya itu berjaya dan bermutu atau sebaliknya. Sesebuah penilaian dilakukan hasil daripada pengamatan, pentafsiran, penganalisisan, pertimbangan serta penghakiman yang rasional, tepat, adil dan menyakinkan.

Dapatlah dirumuskan kritikan sastera sebagai cabang ilmu saintifik dan merupakan satu kegiatan menghayati secara total, menganalisis secara interpretif serta melakukan penilaian secara rasional. Proses kritikan melibatkan pengaliran semula reaksi terhadap pembacaan sesebuah karya sastera atau menonton sebuah pementasan drama. Kritikan sastera meruakan penelitian yang kritis, jitu dan memberi pertimbangan yang adil terhadap baik atau buruk sesuatu karya sastera dengan memanfaatkan pendekatan tertentu ataupun tidak. Kritikan sastera merupakan suatu yang memberi manfaat kepada khalayak pembaca, pengkaji yang lain dan pengarang itu sendiri.

Dasar Kritikan Sastera

Tiga dasar utama dalam kritikan sastera ialah penghayatan, penganalisisan dan penilaian. Dengan demikian kritikan sastera dapat dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu kritikan pada tahap penghayatan, kritikan pada tahap penganalisisan, dan kritikan pada tahap penilaian. Kritikan pada tahap penghayatan melibatkan apresiasi, pengamatan, pemahaman, tanggapan, perasaan dan pemikiran. Kritikan pada tahap ini menekankan aspek penikmatan sebagaimana dirasa, difikir dan difahami oleh pengkritik. Penafsiran dilakukan dengan melihat keseluruhan isi karya serta menampilkan pandangan dan pemikiran secara impresionistik. Kritikan pada tahap penghayatan dan penganalisisan memberi perhatian terhadap persoalan yang dikemukakan oleh pengarang dan perkaitannya dengan sosiobudaya. Pengkritik akan membuat sorotan terhadap pelbagai dimensi hidup seperti masalah sosial atau ekonomi tanpa membuat sebarang penilaian. Pengkritik tidak melakukan penghakiman terhadap karya tetapi menganalisis dan menghuraikan pengertian-pengertian dalam karya tersebut berlandaskan persoalan dan komposisi karya berkenaan.

Penghakiman ini dilakukan berdasarkan pencapaian sesebuah karya menurut prinsip-prinsip, norma-norma, dan kriteria-kriteria sebuah karya sastera. Aspek-aspek kebenaran dan kejujuran yang terkandung di dalam karya turut diberi penilaian.

Menurut Othman Puteh (1998) kritikan sastera merangkumi tiga aktiviti penting. Pertama, berkaitan dengan tulisan kritikan deskriptif yang menilai genre karya sastera yang diterbitkan. Kedua, berhubung dengan tulisan kritikan yang menekankan peraturan, kaedah, dan langgam penulisan yang baik dan bermutu. Ketiga, segala bentuk tulisan kritikan teori dalam memperolehi suatu teori baru. Kritikan sastera menjadi cabang disiplin sastera yang mewujudkan analisis, pentafsiran dan penilaian terhadap sesuatu karya sastera. Kritikan sastera merupakan satu usaha murni untuk mempertimbangkan dan memberi penilaian terhadap sesebuah karya sastera secara jujur. Ia perlu dilaksanakan dengan menerapkan kaedah tertentu yang bersistematik. Berdasarkan hakikat kritikan sastera sebagai menganalisis, mentafsir dan menilai karya sastera oleh itu sesebuah karya sastera perlu mempertimbangkan baik buruk, kuat lemah, keistimewaan dan kekurangan karya berkenaan berlandaskan alasan yang kukuh dan munasabah.

Kritikan sastera merupakan sesuatu yang bersifat subjektif manakala pengkritik bersifat objektif. Situasi ini menjadikan kritikan sastera bukanlah kerja yang mudah. Sebuah karya sastera untuk diperakui baik atau buruk haruslah berlandaskan suatu kriteria yang objektif dan dapat menjelaskan bagaimana nilai-nilai estetik itu ditelaah dalam karya. Kritikan sastera akan dapat membantu khalayak pembaca memahami sesuatu karya sastera serta dapat memberi tafsiran dan penilaian terhadap karya berkenaan. Kritikan dianggap akan dapat menghindarkan wujudnya jurang pemisah antara teks sastera dengan pembaca atau mereka yang menikmati karya berkenaan.

Ciri-ciri atau Sifat Kritikan

Kritikan sebagai teguran. Kritikan mengandungi teguran yang mengemukakan pandangan yang membina terhadap karya yang dikritik. Pengkritik harus meneliti karya secara analitikal dan kritis untuk mengemukakan teguran yang dapat membina dan membantu peningkatan mutu karya sastera. Kritikan bukanlah teguran yang memburuk-burukkan sesuatu karya semata-mata tetapi suatu penelitian yang menggunakan kewajaran dan dan penuh rasional.

Kritikan sebagai saranan. Kritikan mengandungi pelbagai saranan yang ditujukan kepada pengarang dalam memperbaiki atau meningkatkan mutu sesebuah karya sastera. Saranan yang dikemukakan dapat dijadikan garis panduan kepada pengarang dalam menghasilkan sebuah karya yang bermutu dan menarik. Saranan melibatkan penilaian pengkritik yang analitikal dan kritis terhadap karya yang dikritik tanpa rasa berat sebelah, berpihak dan emosional.

Kritikan menggunakan pelbagai pendekatan. Sesebuah karya dikritik dengan menggunakan pelbagai pendekatan kritikan. Penggunaan pendekatan bertujuan untuk melahirkan objektiviti dalam penganalisisan dan penilaian yang dilakukan oleh pengkritik. Pengkritik harus memiliki persediaan yang rapi untuk memahami konsep-konse dalam setiap pendekatan dan bagaimana pendekatakan itu diaplikasikan ke atas karya sastera.

Kritikan sebagai penganalisisan. Analisis yang dilakukan dalam kritikan adalah melibatkan proses penghuraian, membincang dan mendalami aspek penghayatan. Pengkritik akan mengemukakan bukti-bukti yang jelas serta hujah yang konkrit dalam penganalisisan yang dilakukan.

Kritikan sebagai penilaian. Kritikan melibatkan prsoes penilaian iaitu pandangan, kupasan, dan keputusan terhadap sesebuah karya sama ada karya berkenaan bermutu atau tidak. Penilaian dilakukan dengan menggunakan pendekatan tertentu dan disertakan analisis dan bukti yang jelas.


Fungsi Kritikan Sastera

Menurut Hashim Awang (1988 : 5) terdapat sembilan fungsi kritikan sastera iaitu :

1. Menyumbangkan pengetahuan dan seterusnya menyebarkan pengetahuan itu
2. Mempunyai tugas untuk menolong pembaca lain menghayati hasil kesusasteraan, iaitu menerangkan tentang karya sastera dan pengarang yang dikritik dengan jelas
3. Menolong membezakan karya yang baik dan yang tidak baik
4. Menolong pengarang mendidik orang ramai setelah pengarang mengetahui kegemaran dan kemahuan pembaca.
5. Memberi keterangan kepada pengarang bagaimana menyesuaikan diri dengan pembacanya
6. Memberi perangsang dan mendidik orang ramai agar minat membaca
7. Menolong menghapuskan prasangka buruk terhadap karya sastera
8. Memperkenalkan karya sastera yang baru kepada orang yang tidak sempat membacanya
9. Membaiki kesalahfahaman yang timbul di antara pengarang dengan pembaca

Comments