Pendekatan-Pendekatan Kritikan Bahagian 1



PENDEKATAN-PENDEKATAN KRITIKAN (BAHAGIAN 1)

Pendekatan kritikan bermaksud cara atau persediaan dalam mendekati dan menganalisis sesuatu karya sastera. Meskipun tanpa menggunakan sebarang pendekatan sesebuah karya masih dapat dihuraikan tetai penggunaan pendekatan tertentu membolehkan pengkritik membuat tinjauan yang terperinci terhadap karya yang dikritik. Namun begitu sesuatu pendekatan yang digunakan hanya membolehkan pengkritik memperincikan karya berdasarkan konsep pendekatan berkenaan semata-mata. Dengan itu sebuah karya dapat diteliti dengan menggunakan pelbagai pendekatan.

Pendekatan Moral/Agama

Konsep

Karya yang baik harus mengutamakan moral dan karya yang tidak mementingkan moral dianggap tidak bernilai. Karya sastera sebagai hasil seni perlu mendapat sanjungan. Kemuliaan sesebuah karya sastera terletak pada unsur-unsur faklsafah, pemikiran atau idea yang dibawa dalam karya berkenaan.. Ketinggian moral yang diungkapkan dalam karya menunjukkan ketinggian mutu karya berkenaan.

Pendekatan moral merupakan satu kaedah mencari nilai-nilai moral dalam karya sastera. Kepentingan aspek moral sebagai teladan atau contoh terhadap pembaca. Pengukuran moral di dalam karya sastera berkait rapat dengan nilai-nilai moral yang diamalkan dalam masyarakat di mana karya itu dilahirkan. Jika aspek moral itu bertentangan dengan amalan moral masyarakat ia dianggap karya yang kurang bermutu.

Prinsip-prinsip Pendekatan Moral

Kepentingan terhadap isi melampaui bentuk. Isi merupakan aspek cerita dan persoalan yang dikemukakan dalam karya sastera. Isi karya ditentukan oleh aliran atau corak masyarakat pada masa tertentu. Dalam masyarakat yang mementingkan sains dan teknologi, karya sastera perlu mengandungi moral sains dan teknologi. Isi diutamakan melampaui bentuk kerana bentuk hanya menjadi alat menyampaikan moral atau isi karya berkenaan. Karya yang baik adalah karya yang dapat menjelaskan moral meskipun mempunyai kekurangan dari aspek bentuknya.

Menganalisis sastera dari sudut didaktis. Karya sastera berperanan untuk memperbaiki moral masyarakat. Karya perlu mengandungi unsur-unsur yang dapat mengajak pembaca berfikir mengikut landasan yang telah ditetapkan. Karya perlu menyatakan pengalaman benar dan fakta serta mengandungi kebijaksanaan dan kepintaran yang dapat dijadikan bahan pemikiran oleh pembaca. Karya sastera mempunyai tanggungjawab etika sebagai alat untuk memperbaiki moral masyarakat. Karya dapat membentuk peradaban bangsa. Karya sastera perlu mengandungi pengajaran yang dapat membina masyarakat. Karya sastera menjadi guru yang dapat diteladani oleh masyarakat.

Karya-karya bermoral diberikan penghargaan. Karya yang bermutu merupakan sebuah karya yang bermoral. Ketinggian mutu karya bergantung kepada ketinggian moral yang dipaparkan dalam karya berkenaan. Karya-karya sedemikian harus disanjung dan dihargai kerana mengandungi ketinggian mutunya. Karya sastera mempunyai peranan untuk memaparkan aspek moral yang dapat diterima oleh masyarakat, Karya-karya yang tidak mementingkan moral akan dianggap sebagai karya yang tidak bernilai. Jika sesebuah karya itu baik tetapi gagal untuk memaparkan aspek moralnya ia tidak akan diterima sebagai sebuah karya besar.

Karya sastera sebagai fungsi pensejarahan. Karya yang besar perlu mengandungi motif moral yang dapat membina manusia, tamadun dan sejarah. Karya sastera menampilkan lambang zaman dengan mengutamakan kecemerlangan pensejarahan bangsa. Karya sastera memberi sumbangan ke arah memartabatkan sesuatu bangsa dan karya itu sendiri mencipta suatu sejarah bangsa berkenaan. Ia mengandungi pemikiran yang universal sifatnya serta karya tersebut dapat diterima umum.

Proses Kritikan Pendekatan Moral

Membaca isi karya tanpa meninggalkan komponen yang lain dalam struktur penciptaan karya. Pengkritik akan mencari persoalan yang dipaparkan dalam karya sastera. Kesimpulan dibuat terhadap pemikiran yang mahu diketengahkan oleh pengarang melalui karyanya.

Mencari mesej yang dibawa dalam karya. Mesej menjadi amanat atau risalah dalam karya di samping mempunyai kaitan dengan motif atau tujuan penciptaan karya. Hasrat dan tujuan pengarang ini dapat dijelaskan dan dikupas melalui mesej dan perutusan yang mahu disampaikan.

Melihat falsafah, ideologi atau semangat yang dibawakan dalam karya sastera. Melihat apakah ideologi atau propaganda yang dipaparkan oleh pengarang melalui karya sastera dan bagaimana ideologi itu mahu diindoktrenasikan kepada pembaca.

Membincangkan secara kritis dan ilmiah aspek didaktis dalam karya. Huraian dibuat berdasarkan peristiwa, perwatakan, latar dan bahasa yang digunakan. Pengkritik menjelaskan moralnya satu persatu dan membuat kesimpulan moral penting yang dibawa dalam karya berkenaan. Aspek seni dan kreativiti karya tidak harus diabaikan di samping menyatakan penilaian moral yang dikemukakan dalam karya berkenaan. Moral tidak semestinya ditumpukan kepada sesuatu yang baik semata-mata malah aspek negatif itu sendiri memiliki moral yang dapat dijadikan renungan.

Pendekatan Formalisitik

Konsep

Penelitian terhadap pembinaan komponen dalam karya sastera. Karya sastera mempunyai bentuk tersendiri. Karya sastera terdiri dari pelbagai komponen atau bahagian yang membina karya berkenaan. Komponen tersebut terdiri dari plot, tema, perwatakan, bahasa, latar dan sudut pandangan. Tumpuan diberikan terhadap unsur yang membina sesebuah karya berkenaan. Penelitian dibuat terhadap bagaimana komponen itu diolah, diadun dan dibina dalam karya sastera. Ia melihat bagaimana pengarang merangka dan menyusun komponen berkenaan sehingga menjadikan karya sastera itu bermutu dan mempunyai estetika yang tinggi. Aspek teknik pengkaryaan menjadi penelitian penting dalam pendekatan formalisitik. Pendekatan formalistik lebih bersifat objektif dengan melihat aspek-aspek yang membina karya sastera tanpa memberi penekanan terhadap aspek ekstrinsik karya berkenaan.

Pendekatan formalisitik merupakan penelitian terhadap karya sastera berdasarlkan aspek intrinsik semata-mata Penelitian terhadap aspek intrinsik bertujuan untuk melahirkan objektiviti dalam penelitian karya. Sesebuah karya sastera tidak dinilai berdasarkan aspek-aspek diri pengarang, latar belakang pengarang, pendidikan dan fungsi karya sastera berkenaan. Pendekatan ini melihat aspek mutu karya berdasarkan penelitian terhadap karya sastera semata-mata.

Prinsip-Prinsip Pendekatan Formalisitik

Kesesuaian karya dalam paduan bentuk dan isi. Melihat persesuaian, perseimbangan, dan kerjasama di antara isi dan bentuk dalam karya sastera. Jika isinya baik tetapi bentuk tidak tersusun dengan kemas ia bukanlah sebuah karya yang berjaya. Jika bentuknya padat dan baik sedangkan isinya tidak penting karya itu masih tidak dapat digolongkan sebagai karya bermutu. Isi dan bentuk perlu diolah menggunakan teknik yang baik dan memperlihatkan kesepaduan itu wujud dalam karya sastera.

Penilaian karya sastera berdasarkan komponen yang membina karya agar wujudnya objektiviti dalam penilaian. Unsur-unsur dan aspek-aspek yang membangunkan karya diperhatikan untuk mengelakkan berlakunya subjektviti dengan sesuatu yang tidak berkaitan dengan karya sastera. Ia bertujuan untuk melihat sesuatu karya itu bermutu atau kurang bermutu. Penelitian hendaklah secara adil dan objektif dengan meninggalkan aspek ekstrinsik dalam karya tetapi memberi tumpuan kepada karya itu semata-mata. Aspek latar belakang pengarang dan siapa pengarang tidak menjadi keutamaan selain dari meneliti ciptaan karya itu semata-mata. Justeru itu karya yang dibincangkan terputus daripada pengarangnya, pendidikan, fungsi kesusasteraan dan keperluan masa.

Melihat unsur-unsur formal yang membangunkan sesebuah karya sastera. Dalam mengkritik novel misalnya, pengkritik akan membicarakan aspek tema, persoalan, plot, perwatakan, gaya bahasa dan sudut pandangan daripada novel berkenaan. Kritikan ini mudah dilakukan kerana adanya unsur formal dalam karya berkenaan sebagai titik tolak pengkritik membuat kritikan. Manakala setiap unsur formal berkenaan mempunyai nilai tara atau aturan yang menjadi ukuran sesuatu kritikan.

Tujuan Pendekatan Formalisitik

Melahirkan karya sastera yang menjadi kebangaan bangsa. Pendekatan ini dapat membezakan sebuah karya yang baik dan kurang bermutu. Ia dapat melahirkan daya kreatif yang tinggi di kalangan pengarang untuk menghasilkan sebuah karya bermutu.

Memberi panduan kepada penulis bagaimana menghasilkan karya yang baik. Penganalisisan aspek teknik dan mekanisme penciptaan akan memberi manfaat besar kepada pengarang. Pengarang dapat mengetahui kelemahan dan kesilapan dalam karyanya dan seterusnya memperbaiki mutu ciptaan. Apresiasi dan daya kefahaman pembaca dapat ditingkatkan. Analisis terhadap komponen karya sastera memberi peluang kepada para pembaca memahami sesuatu yang kelihatan abstrak atau sukar difahami dalam karya yang dibaca.

Proses Pendekatan Formalistik

Membincangkan aspek tema. Tema menjelaskan hal yang bersangkutan dengan persoalan yang dikemukakan dalam karya sastera. Para pengkritik perlu mengemukakan tema yang penting dalam karya. Ia perlu disertakan dengan hujah mengapa tema berkenaan dikemukakan dalam karya berkenaan. Perbincangan turut melibatkan bagaimana tema itu dipaparkan dalam karya sastera. Dalam usaha mentafsir tema ini mungkin wujud perbezaan di antara seorang penganalisis dengan yang lain. Namun begitu tafsiran itu hendaklah tidak jauh menyimpang kerana ia bertolak pada premis atau hujah yang sama. Huraian atau analisis tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya kerana setiap perbincangan memerlukan alasan yang konkrit, hujah yang munsabah serta ketajaman dan kebijaksanaan menaakulnya.

Membincangkan aspek plot. Menghuraikan jenis plot sama ada mudah, kompleks atau kompaun. Plot mudah tidak menggunakan unsur imbas kembali dan berkembang mengikut urutan masa secara kronologi. Plot kompleks melibatkan unsur juxtoposisi iaitu penyelewengan dari urutan masa dan tidak kronologi. Ia mengandungi konflik dan ketegangan. Plot kompaun iaitu mempunyai beberapa plot seperti ada plot besar dan ada plot kecil. Ia tidak kronologi serta mempunyai banyak persoalan. Jenis-jenis plot ditentukan oleh penggunaan unsur-unsur dramatik seperti suspen, kejutan, ironi, dilema, imbas kembali, imbas muka, ketegangan dan sebagainya. Kupasan dibuat terhadap plot sama ada ia mudah, kompleks atau kompauan. Ia diikuti dengan hujah mengapa plot tersebut dianggap sedemikian. Kemudian dijelaskan pula adakah plot tersebut bersifat kronologi atau tidak. Fakta-fakta yang dikemukakan memerlukan hujah dan alasan yang kukuh. Perbincangan juga melibatkan tahap perkembangan plot selepas menghuraikan jenis dan sifat plot. Tahap-tahap perkembangan plot melibatkan permulaan, perumitan, klimaks, dan penyelesaian. Tahap perkembangan ini dilihat sama ada ia berkembang dengan kemas, licin dan mengalami ketegangan atau tidak. Pengkritik perlu mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga kategori plot iaitu plot mudah atau berkembang secara polos tanpa ada sebarang penyimpangan teknik atau berkembang mengikut urutan waktu. Kedua, plot yang kompleks iaitu ada unsur penyimpangan dari kelaziman, dan ada unsur ketegangan. Plot kompaun pula adalah plot yang berbaur dengan kewujudan beberapa subplot. Serta komplikated sifatnya.

Membincangkan aspek perwatakan. Watak menjadi penggerak yang mengembangkan plot, idea dan tema cerita. Dalam mengupas perwatakan pengkritik harus melihat bagaimana cara pengarang mendedahkan, memperkenalkan dan mengindentifikasikan sesuatu watak. Pengarang menjelaskan watak sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Watak juga dianalisis dari sudut fungsi dan peranan dalam karya yang dibincangkan. Watak mana yang menjadi protagonis dan siapa yang menjadi antagonisnya, watak sampingan, watak statik, watak dinamik dan sebagainya. Kemudian dibincangkan sifat-sifat watak untuk memperlihatkan peranan watak berkaitan. Sifat-sifat watak dilihat dari aspek sifat fizikal, mental atau kejiwaan. Huraian juga perlu dibuat terhadap hubungan watak dengan komponen lain seperti tema, plot, dan bahasa. Watak yang menarik harus sesuai dengan tema, plot dan bahasa.

Membincangkan aspek bahasa. Kajian aspek ini untuk melihat sejauh mana kejayaan atau kegagalan pengarang menggunakan bahasa. Tanpa bahasa yang terkawal dan baik sesebuah karya itu tidak akan berjaya. Kejayaan karya banyak bergantung pada kekuatan dan keindahan bahasa. Penggunaan bahasa daat dianalisis dari aspek pemilihan kata, penyusunan ayat, penyungguhan makna, unsur-unsur estetika dan dramatik bahasa. Analisis juga dilakukan untuk melihat sama ada pengarang berjaya mencipta stail bahasa yang tersendiri. Bahasa juga dilihat dari sudut bagaimana pengarang berupaya melahirkan keindahan bahasa seperti membuat perulangan di tempat tertentu, menggunakan perbandingan yang asli dan penyusunan ayat yang indah. Bahasa juga dianalisis dari aspek unsur-unsur dramatik bahasa seperti menggunakan aliterasi, asonansi, personifikasi, metafora dan sebagainya. Keindahan dan kekuatan bahasa dibantu oleh pencernaan kekayaan unsur-unsur bahasa tersebut. Bahasa juga dilihat kesesuaian dengan plot, tema dan perwatakan. Wujudnya perseimbangan dan kesejajaran antara bahasa dengan plot, tema dan perwatakan menjadi komponen penting kejayaan sesebuah karya berkenaan.

Membincangkan sudut pandangan. Kajian sudut pandangan adalah untuk melihat jenis dan tujuan sesuatu sudut pandangan itu digunakan. Ia adalah untuk memastikan bahawa pemilihan sudut pandangan dapat menjamin kejayaan karya berkenaan. Analisis dibuat terhadap kesesuaian, kebenaran, dan kesungguhan sudut pandangan digunakan oleh pengarang. Sudut pandangan juga harus dilihat perkaitannya dengan komponen plot, tema dan perwatakan. Ia melihat bagaimana sudut pandangan dapat mengendali dan menyebarkan percantuman plot, tema dan perwatakan dalam karya. Sudut pandangan bukan semata-mata untuk memudahkan pengarang berkarya tetapi memberi gambaran visi kepengarangan dan cita-cita karyanya.

Membincangkan sudut latar. Pengkritik harus melihat aspek latar yang digunakan serta di mana peristiwa itu berlaku. Data harus dikumpulkan mengenai tempat yang digunakan oleh pengarang dan melihat latar manakah yang dominan dan mempengaruhi keseluruhan karyanya. Analisis juga dilakukan untuk melihat latar masa iaitu bila peristiwa itu terjadi. Latar masa dapat membantu latar tempat dan memberi penjelasan terhadap perkembangan plot dan perwatakan dalam karya. Perbincangan pula harus dilakukan untuk melihat latar sosial, agama, adat istiadat, moral, mental dan sebagainya. Kajian ini akan memperlihatkan hubungan di antara perwatakan dan peristiwa. Analisis penting adalah untuk melihat bagaimana latar dapat memainkan peranan dan memberi impak kepada karya.


Pendekatan Kemasyarakatan (Sosiologi)

Konsep

Pendekatan kemasyarakatan melihat sastera sebagai cermin masyarakat. Karya sastera mengandungi pemaparan sejarah berkaitan ekonomi, teknologi, perhubungan kelas dan sebagainya. Sastera bertindak sebagai suatu manifestasi yang memperlihatkan semula peristiwa-peristiwa penting dalam masyarakat yang begitu luas bidangnya. Apa yang digambarkan dalam karya sastera merupakan suatu yang dirakamkan kembali dari peristiwa dalam masyarakat. Karya sastera merupakan suatu yang melahirkan pancaran masyarakat seperti mengemukakan kisah suka duka masyarakat. Oleh itu pendekatan kemasyarakatan seringkali mengaitkan sastera masyarakat yang menjadi wadah kepada penulis dan karya sastera itu sendiri. Pengkritik akan melihat bagaimana hubungan timbal balik di antara karya sastera dan masyarakat.

Pendekatan kemasyarakatan merupakan satu cara melihat karya sastera dengan mengaitkannya dengan masyarakat sama ada dengan masyarakat tempat karya itu dihasilkan atau masyarakat yang melahirkan karya berkenaan. Pengkritik mementingkan masyarakat kerana karya sastera merupakan cermin masyarakat dan segala kebaikan amat diharapkan sebagai kesan langsung daripadanya.

Prinsip Pendekatan Kemasyarakatan

Pendekatan kemasyarakatan melihat karya sastera sebagai dokumen sosial. Karya sastera dapat memberi penjelasan mengenai fakta sosial. Ia dapat memberi gambaran realiliti masyarakat. Karya sastera daat dijadikan sebagai dokumentasi sosial dan melahirkan sumber pengetahuan mengenai budaya, adat dan amalan masyarakat. Sastera dapat bertindak untuk memberi kesedaran, teladan atau contoh serta melahirkan kesan tertentu terhadap masyarakat. Peranan sastera adalah ia dapat memberi sumbangan yang bernilai terhadap masyarakat.

Pendekatan kemasyarakatan memerlihatkan perkaitan di antara karya sastera dengan tempat karya itu dilahirkan. Kelahiran sesebuah karya tidak dapat dipisahkan dari mileunya. Sastera seharusnya dapat memberi sumbangan besar untuk memperjelaskan situasi masyarakat seperti keadaan ekonomi politik dan sebagainya. Perhatian pengarang dalam melahirkan karya adalah untuk menggambarkan situasi sebenar masyarakat. Sesebuah karya yang dihasilkan tidak dapat lari dari pengaruh mileunya iaitu ia banyak dipengaruhi oleh sikap pengarang terhadap masyarakat serta latar belakang pengarang itu sendiri. Karya sastera mengemukakan pemaparan hasil dari apa yang terhasil dalam masyarakatnya. Sastera berfungsi untuk membantu masyarakat untuk berkembang atau berubah dari suatu keadaan yang mundur kepada keadaan yang mundur kepada keadaan yang lebih progresif.

Proses Pendekatan Kemasyarakatan

Latar belakang penulis. Sebelum membincangkan sesebuah karya secara intrinsik, riwayat hidup engarang termasuk tempat lahir, sosialisasi, pendidikan, alam sekitar, status sosial, nilai kehiduan dan sebagainya perlu ditinjau terlebih dahulu. Ia merupakan keterangan yang berharga terhada karya yang dinilai. Seseorang pengarang akan dipengaruhi oleh kepercayaan yang dianutinya, falsafah, ideologi, politik dan sebagainya. Keterangan mengenai latar belakang pengarang dapat membantu pengkritik meneliti karya sastera secara adil.

Aspek dalaman karya dilihat dari sudut kepentingan masyarakat. Karya dilihat dari sudut tema sama ada ia dapat dikaitkan dengan kepentingan masyarakat. Tema yang baik adalah tema yang dapat mengajak pembaca lebih sensitif terhadap kehidupan masyarakat. Watak-watak yang dipaparkan menggambarkan manusia yang berjuang untuk kepentingan semua manusia. Bahasanya ringkas, padat serta tepat menuju matlamat. Plot yang tidak terlalu kompleks sehingga menyukarkan pembaca untuk mengikuti ceritanya.

Kesan karya sastera terhadap masyarakat. Sebuah karya yang mudah dilupakan tidak mendapat pertimbangan untuk dianggap sebagai karya terbaik. Karya-karya perlulah diterima oleh masyarakat dan dapat dijadikan sebagai landasan masyarakat. Unsur-unsur moral di dalam karya tidak didedahkan secara didaktik tetapi secara perlahan-lahan karya tersebut mampu mengajak pembaca berfikir.

Melihat falsafah masyarakat dalam karya sastera. Bahan-bahan sastera dapat dirujuk untuk mendapatkan data dan fakta sosial. Aspek kemasyarakatan lebih diutamakan dari aspek sastera itu sendiri. Apakah karya sastera terdorong sebagai propaganda, dogmatik, protes sosial atau doktriner. Unsur-unsur kemasyarakatan dapat dijelmakan dengan jelas hasil dari pergolakan dan pertentangan yang berlaku dalam karya.

Comments