Pantun Empat Kerat : Cindai


Pantun Empat Kerat - Cindai

Naik bukit membeli inai,
Inai tidak berbunga lagi;
Kain songket bertepi cindai,
Cindai tidak berbunga lagi.

Kapal belayar menimbang arus,
Patah kemudi menyusur pantai;
Tuan laksana cindai yang halus,
Sama padan maka dipakai.

Kapal belayar menimbang arus,
Patah kemudi menyusur pantai;
Sudah jumpa songket yang bagus,
Kalah membeli menang memakai.

Dari Makasar pergi Palembang,
Lalu di Ambon ke Majapahit;
Sungguh kasar kainnya jarang,
Kalau ditenun menjadi baik.

Orang belayar ke Majapahit,
Sayang sekoci kapal Melayu;
Kalau sudah kain tak baik,
Kalau ditenun menjadi baik.

Orang belayar ke Majapahit;
Sayang sekoci kapal Melayu;
Kalau sudah kain tak baik,
Sebab sehelai rosak sekayu.

Buah pinang kulit bergabus,
Bawa ke pantai berbilang ratus;
Kalau terkenang songket yang bagus,
Masuk gadai rasa nak tebus.

Maksud

Rangkap 1
jika ada kain songket yang bertepi cindai, maka cindai sudah tidak berguna lagi jika diletakkan di tempat yang tidak sesuai.

Rangkap 2
Sesuatu yang baik,indah,bermutu, bernilai tinggi akan disukai oleh orang. Cindai dipakai oleh orang yang berkedudukan tinggi

Rangkap 3
Cindai yang bermutu,tahan lama dan mahal akan dibeli dan diguna oleh orang. Walaupun mahal, kain songket yang bagus itu amat berbaloi untuk dibeli.

Rangkap 4
Walaupun kainnya kasar,tidak elok,tidak sempurna tetapi jika diperbaik dengan teliti akan menjadi cantik dan bernilai.

Rangkap 5
Jika seorang yang melakukan kejahatan, maka kesusahan akan dirasai oleh semua orang yang berkaitan dengannya turut dipandang tidak baik. Begitu juga jika kain yang tidak baik buatannya akan merosakkan kualiti keseluruhan kain.

Rangkap 6
Sesuatu yang baik, bermutu akan menjadi buruan orang ramai walaupun terpaksa berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkannya.

Tema
Bertemakan menghargai sesuatu yang bernilai /bermutu / indah.
Sifat cindai iaitu lambang kain yang perlu sentiasa dijaga mutunya. Pantun ini juga menyebut bahawa mutu atau maruah diri perlu dijaga agar terus dipandang mulia dan berharga.
Contoh :
Tuan laksana cindai yang halus

Persoalan

Persoalan menghargai sesuatu yang berguna
Nilai sesuatu barang tidak akan terserlah mutunya jika diletak di tempat yang tidak sesuai.

Persoalan menghargai mutu
Sesuatu barang yang elok, mahal dan bermutu akan tetap dicari serta dibeli walaupun harganya mahal.

Persoalan kesan perbuatan buruk/ jahat
Seorang yang melakukan kejahatan akan mengakibatkan semua orang yang berkaitan dengannya akan turut sama dipandang tidak baik.

Persoalan menghargai kebolehan dan kemampuan
Sesuatu benda yang tidak elok dipandang namun jika diperbaik akan kelihatan cantik dan bernilai.


Bentuk

Puisi ini mengandungi enam rangkap

Bilangan baris yang sama
Puisi ini mengandungi empat baris serangkap

Jumlah perkataan yang terikat atau sekata
Puisi ini mempunyai bilangan perkataan antara 4 – 5 patah kata dalam sebaris

Suku kata yang sekata
Terdapat antara 9 – 11 suku kata dalam setiap baris


Rima akhir terikat
Puisi ini mempunyai rima akhir a,b,a,b

Mempunyai pembayang dan maksud
Dalam puisi ini, terdapat dua baris pembayang dan dua baris maksud dalam setiap rangkap

Mempunyai jeda di tengah-tengah baris
Puisi ini mempunyai jeda dalam bacaan di tengah baris
Orang belayar// ke Majapahit;

Kesimpulannya, puisi ini berbentuk terikat

Gaya Bahasa

Penggunaan Bahasa Klasik
Contoh: cindai, sekoci

Personifikasi
Contoh: kapal belayar menimbang arus

Simile
Contoh: tuan laksana cindai yang halus

Sinkof
Contoh: tak, nak

Peribahasa
Contoh: kalah membeli menang memakai

Repetisi/ pengulangan perkataan
Contoh: cindai

Pengulangan baris
Contoh: patah kemudi menyusur pantai
kapal belayar menimbang arus

Asonansi
pengulangan bunyi vokal
Contoh: sama padan maka dipakai (vokal a)

Aliterasi
pengulangan bunyi konsonan
Contoh: kalau sudah kain tak baik (konsonan k)


Nilai

Prihatin
Contoh :
Sesuatu yang dianggap baik akan menjadi perhatian orang lain.
Kalau terkenang songket yang bagus,
Masuk gadai rasa nak tebus.

Kebijaksanaan
Bertindak bijak dalam memilih sesuatu yang berguna
Sudah jumpa songket yang bagus,
Kalah membeli menang memakai.

Rasional
Bertindak bijak ke arah kebaikan dan bermanfaat.
Sungguh kasar kainnya jarang,
Kalau ditenun menjadi baik.

Keinsafan
Seseorang perlu berusaha membaiki sahsiah diri agar menjadi manusia yang baik dan sempurna.

Mengenang Budi
Budi yang baik akan menjadi sanjungan orang ramai.

Pengajaran

Kita hendaklah meletakkan sesuatu yang baik atau bernilai pada tempat yang sesuai agar keindahannya lebih terserlah.

Kita hendaklah sentiasa bersopan santun agar diri disukai oleh oleh orang ramai.

Kita seharusnya menjaga penampilan diri dan berbudi bahasa agar disanjung oleh orang ramai.

Kita seharusnya berusaha membaiki ketrampilan diri agar menjadi manusia yang semakin baik dan berguna.

Kita janganlah berbuat jahat kerana kejahatan kita akan turut terpalit pada orang yang dekat dengan diri kita.

Kita perlulah mempunyai peribadi yang baik kerana orang yang baik akan menjadi rebutan dan disukai oleh orang ramai.

Comments