Pantas Drama

Pantas Drama merupakan perbincangan soalan dan jawapan sebagai garis panduan menjawab soalan peperiksaan. Semoga Siri Pantas Drama ini dapat memberi manfaat buat semua.

 Soalan Struktur

1. SERI NARA : Boleh jadi betul. Jangan lupa, tubuh badan tak ada kekuatan, tetapi semangat masih kukuh dan bertanggungjawab. Aku kenal Datuk Bendahara tua itu, nampak uzur tapi semangatnya terus berkobar-kobar. Tak kenal takut, tak gentar menentang lawan, membujur lalu melintang patah
(Dipetik dari drama Bendahara Tepok )
Kemukakan empat watak dan perwatakan Datuk Bendahara (4 markah)

Skema Jawapan
Watak dan perwatakan Datuk Bendahara :
- Tua
- Uzur
- Bersemangat menentang musuh/ semangat berkobar-kobar
- Berani/ tidak kenal takut/ tidak gentar menentang lawan
- Bertanggungjawab
- Sanggup menghadapi apa saja rintangan/ cabaran
- Cinta akan tanahair/ negara


2. HULUBALANG : Ampun, tuanku. Lekas berundur, tuanku. Askar-askar Feringgi mencari tuanku di keliling Kota Melaka. Mereka sangat zalim dan kejam. Ramai orang kita ditawan dan dibunuhnya. Semua masjid dan madrasah dibakar. Lekas berundur dari sini, tuanku. (SULTAN MAHMUD terdiam sejurus dan tunduk termenung sambil memandang permaisuri dan sekaliannya) Kita semua terpaksa berundur, tuanku. Tapi…, Datuk Bendahara dengan orang-orangnya masih berdegil menentang di luar kota…
(dipetik dari drama Bendahara Tepok)
(a) Jelaskan latar masyarakat dalam petikan di atas (2 markah)
(b) Nyatakan nilai dalam petikan di atas (2 markah)

Skema Jawapan

(a) Latar masyarakat :

- Masyarakat berada dalam ketakutan
- Masyarakat menjadi mangsa kezaliman Feringgi
- Masyarakat kehilangan harta benda
- Masyarakat gigih berjuang
- Masyarakat taat kepada ketua/ raja
- Masyarakat menjadi tawanan perang
- Masyarakat dalam keadaan huru hara menyelamatkan diri

(b) Nilai :

- Berani
- Bertanggungjawab
- Prihatin
- Bersemangat waja
- Penyayang/ Prihatin

3. NAHKODA ANTAH BERANTAH : Apa ? kamu semua lebih suka mati dipenggal-penggal dan kemudian dicampakkan ke dalam laut menjadi makanan ikan?
HANG TUAH: Ya, bagi kami itu lebih mulia lagi daripada menjadi orang yang ingkar kepada undang-undang negeri dan perintah raja
(dipetik daripada drama Lima Perwira)

(a) Jelaskan dua nilai yang dikemukakan dalam petikan di atas (2 markah)
(b) Nyatakan dua perwatakan Hang Tuah (2 markah)

Skema Jawapan

(a) Nilai :
- Ketaatan
- Keberanian
- Rasional
 
(b) Perwatakan Hang Tuah :
- Taat setia kepada raja
- Mematuhi undang-undang
- Seorang hulubalang negeri Melaka.
- Mempunyai empat orang sahabat, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi dan Hang Lekiu.
- Saudara yang paling tua antara sahabatnya.
- Pahlawan yang gagah dan berani.
- Seorang yang penyabar.
- Seorang tabah menghadapi cabaran
- Berbudi pekerti yang baik


4 GULAM RUSSEL: Saya anak jati Kampung Baru, lahir dan besar di sini. Tapi
saya tak meringkuk di sini sepanjang hayat saya. Saya
merantau mencari ilmu, mengenali dunia dan sempadan
baru, kenal orang lain, kenal cara dan gaya mereka. Yang
elok saya belajar, yang tak elok saya tak tiru.

(Dipetik daripada Drama Muzikal Kampung Baru, karya Hatta Azad Khan)

Kemukakan empat watak Gulam Russel yang terdapat dalam petikan di atas (4 markah)

Skema Jawapan

Perwatakan Gulam Russel :

- Berpandangan jauh
- Gigih dalam melakukan sesuatu pekerjaan
- Seorang yang prihatin
- Bijak menilai baik dan buruk


5. NAKHODA ANTAH BERANTAH : Ya, kami juga ada undang – undang yang kuat dan kukuh. Bagi seorang anak kami yang mati, tiga mesti menjadi balasnya. (Anak-anak kapal semua menjerit “bunuh!” “bunuh!”) Tapi kita juga ada undang-undang yang menyebut : Kalau orang yang kita tawan itu mahu menggadaikan badan dan nyawanya pada kita dan kita mahu diterima, dia tidak dibunuh. Betul atau tidak? (Semua anak kapal diam) Kau Lela Tanjung, betul atau tidak?
(Dipetik daripada drama Lima Perwira)

(a) Nyatakan dua latar masyarakat terdapat dalam petikan di atas (2 markah)
(b) Jelaskan dua perwatakan Nahkoda Antah Berantah (2 markah)

Skema Jawapan :

(a) Latar masyarakat dalam petikan :
- Masyarakat mematuhi undang-undang
- Masyarakat yang pendendam
- Masyarakat mementingkan diri sendiri
- Masyarakat mengutamakan keputusan bersama/ muafakat

(b) Perwatakan Nahkoda Antah Berantah
- Seorang ketua lanun
- Nakhoda kapal Samudera Buas
- Ketua yang bijak
- Seorang yang tidak taat kepada raja dan peraturan negeri.
- Membenci pendatang asing yang sombong.
- Berani menyahut cabaran dan tegas.
- Ketua yang adil dan menepati janjinya.
- Seorang nakhoda yang sangat kuat dan mashyur.

6. PUTERI : Meminta-minta itu, minta sedekah tidak baik Mamat!. Seperti yang pernah Puteri dengar, sesiapa yang meminta sedekah, padahal mempunyai kadar yang mencukupi untuk keperluan pagi dan petangnya, maka dia hanya memperbanyak para ahli neraka kepada dirinya. Meminta-minta tak baik nek!
(dipetik daripada drama Dongeng Sang Puteri)
(a) Apakah dua nilai yang dikemukakan dalam petikan di atas? (2 markah)
(b) Nyatakan dua gaya bahasa dalam petikan di atas?

Skema Jawapan

(a) Nilai :

- Kegigihan
- Kejujuran
- Berdikari

(b) Gaya bahasa :

- Sinkof contohnya nek
- Kata ganda contohnya meminta-minta
- Pengulangan contohnya sedekah/ meminta-minta


Soalan Esei

1. Berdasarkan drama Lima Perwira, jawab soalan di bawah ini:
(a) Bincangkan lima latar masyarakat dalam drama (10 markah)
(b) Jelaskan lima persoalan dalam drama (10 markah)

Skema Jawapan Soalan 1

(a) Latar masyarakat dalam drama :

1. Masyarakat yang patuh dan setia kepada raja.
Contoh: Kesetiaan Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya mewakili masyarakat yang sentiasa taat kepada raja dan menghormati kedaulatan sesebuah negara.


2. Masyarakat yang berani menegakkan keadilan dalam hidup.
Contoh: Hang Tuah serta semua sahabatnya memperlihatkan masyarakat yang berani menegakkan keadilan walaupun menghadapi tentangan musuh yang mencabar.


3. Masyarakat yang mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi.
Contoh: Nilai tanggungjawab yang tinggi untuk menentang musuh dapat dilihat pada watak Hang Tuah serta semua sahabatnya yang bertanggungjawab
membantu negeri Melaka menghapuskan lanun-lanun yang berleluasa di lautan tanpa mengikut undang-undang.


4. Masyarakat yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Contoh: Juragan Kilat Bersiung mewakili masyarakat yang kejam dan tidak
berperikemanusiaan apabila dia sanggup menyeksa Hang Tuah sert semua
sahabatnya dengan kejam dan zalim.


5. Masyarakat yang berpendirian teguh.
Contoh: Hang Tuah mewakili masyarakat yang berpendirian teguh. Biarpin ditawarkan untuk menjadi hamba dan terus hidup, tetapi mereka tidak menerima
pelawaan Nakhoda Antah Berantah.

(b) Persoalan dalam drama :

1. Persoalan ketaatan kepada raja
Contoh : Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya telah mempamerkan ketaatan kepada raja yang tidak berbelah bahagi biarpun nyawa mereka dalam keadaan yang berbahaya.

2. Persoalan berani menegakkan keadilan
Contoh : Hang Tuah serta semua sahabatnya sanggup untuk mempertaruhkan nyawa demi menegakkan keadilan melawan lanun-lanun yang tidak mengikut undang-undang dan peraturan memperlihatkan keberanian mereka menegakkan keadilan.

3. Persoalan kepatuhan kepada undang-undang dan peraturan
Contoh : keinsafan Nakhoda Antah Berantah telah menukar pendiriannya untuk tunduk menghadap raja dan sedia mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

4. Persoalan bersatu padu / bekerjasama
Contoh : Hasrat Nakhoda Antah Berantah sanggup bekerjasama dengan Hang Tuah untuk mentaati raja.


2. Berdasarkan drama Muzikal Kampung Baru karya Hatta Azad Khan :
(a) Nyatakan pemikiran drama (4 markah)
(b) Jelaskan tiga persoalan dalam drama (6 markah)
(c) Huraikan lima latar masyarakat (10 markah)

Skema Jawapan Soalan 2

(a) Pemikiran drama berkaitan dengan pertentangan nilai antara golongan tua dengan golongan muda

Haji Palawan yang datang dari golongan tua tidak mahu menerima golongan muda yang berpendidikan tinggi seperti Gulam Russel yang mahu memajukan Kampung Baru

(b) Persoalan dalam drama :

1. Mementingkan kepentingan peribadi
- Jalad dan Nesan hanya memikirkan keuntungan daripada menjaga kebajikan penduduk Kampung Baru

2. Tidak mementingkan kebersihan
- Komuniti tikus tambah membiak dan semakin sihat, segar dan semakin besar. - Banjir kilat dengan air hitam pekat dengan bau yang meloyakan tekak
terus menyelinap masuk ke bawah rumah dan lantai dapur.

3. Perkahwinan campur
- Gulam Russel merupakan anak darah kacukan pelbagai keturunan. Neneknya Melayu dan datuknya Pakistan. Ibunya berkahwin dengan lelaki Inggeris, dan dia pula berkahwin dengan gadis keturunan campuran Cina dan India.

4. Kepentingan ICT
- Kampung Baru yang bakal dibangunkan akan dilengkapi dengan kemajuan ICT

5. Masalah sosial kesan pembangunan
- Haji Palawan menyatakan bahawa masalah sosial seperti penagihan dadah, rokok dan arak, serta pencuri dan penipu harus dihindar oleh masyarakat.

6. Perpaduan dalam masyarakat
- Walaupun berlainan bangsa dan agama, Joshua Ong, Natal dan Gulam Russel bersama-sama berganding bahu untuk memajukan Kampung Baru.

(b) Latar masyarakat :

1. Masyarakat bandar
- Masyarakat menetap di Kampung Baru Kuala Lumpur

2. Masyarakat berbilang bangsa/ majmuk
- Penduduk Kampung Baru berbilang keturunan dan agama

3. Masyarakat berpendirian tegas
- Haji Palawan mempertahankan pendiriannya berkaitan dengan pembangunan Kampung Baru

4. Masyarakat pendedam
- Haji Palawan dendam terhadap Gulam Russel yang pernah menjentik punggungnya ketika beliau sedang berwudhu

5. Masyarakat yang pemarah
- Haji Palawan marah kepada Gulam Russel yang mahu memajukan Kampung Baru

6. Masyarakat berpendidikan tinggi
- Gulam Russel memiliki kelulusan undang-undang

7. Masyarakat berfikiran terbuka/ matang/ mudah menerima pandangan orang lain
- Mak Renong mudah menerima pandangan/ pendapat orang lain

8. Masyarakat yang mudah mesra
- Cik Pa mesra dengan masyarakat di sekitarnya

3. Berdasarkan drama Bendahara Tepok karya Shaharom Hussain
(a) Huraikan lima perwatakan Bendahara Tepok (10 markah)
(b) Bincangkan tiga kelemahan masyarakat yang menyebabkan kejatuhan Melaka (6 markah)
(c) Jelaskan dua nilai murni dalam drama (4 markah)

Jawapan Soalan 3

(a) Perwatakan Bendahara Tepok :

1. Merupakan Bendahara Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud

2. Nama “Tepok” diperoleh kerana Datuk Bendahara menghidap sakit tepok atau sakit lumpuh.

3. Sangat sangat sayangkan negeri Melaka
Bendahara Tepok mahu Selamat Gagah membawanya kembali ke Melaka untuk melawan Feringgi

4. Seorang yang berani dalam berjuang
Bendahara Tepok merasa marah dengan tindakan orang muda yang meninggalkan

5. Mempunyai semangat juang yang tinggi
Bendahara Tepok tidak mahu meninggalkan Melaka kerana mahu berjuang untuk mempertahankan Melaka.

6. Seorang yang penyayang / prihatin
Sentiasa bertanya khabar keadaan sultan/ para pejuang di Melaka

(b) Kelemahan masyarakat :

1. Masyarakat yang tidak adil dan kejam
Contoh: Sultan Mahmud mewakili lambing masyarakat yang kejam dan tidak adil dengan melakukan kezaliman sewaktu pemerintahannya.

2. Masyarakat mementingkan diri sendiri
Sultan Mahmud telah membunuh ramai orang semata-mata untuk kepentingan diri sendiri antaranya Raja Zainal, Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan ramai lagi.

3. Masyarakat tidak bersatu padu/ berpecah belah
Seri Nara kesal dengan ketewasan Melaka akibat perpecahan masyarakat

4. Masyarakat tidak bersemangat dalam mempertahankan negara
Bendahara Tepok marah dengan tindakan orang muda yang mengambil tindakan berundur dari Melaka/ Ramai pejuang berundur dari Melaka untuk berjuang di Bentayan dan Pagoh

5. Masyarakat kurang kelengkapan perang
Orang-orang Melaka berjuang menggunakan lembing dan keris manakala Feringgi menggunakan meriam dan senjata api.

(c) Nilai murni dalam drama :

i. Bertanggungjawab
Contoh: Terlihat dengan jelas pada watak Datuk Bendahara Tepok yang tidak mahu Melaka runtuh dan jatuh ke tangan musuh.

ii. Keberanian
Contoh: Keberaniaan Datuk Bendahara Tepok harus dicontohi walaupun keadaan fizikalnya tidak berupaya, namun semangat juangnya begitu tinggi untuk melawan musuh.

iii. Kesetiaan
Contoh: Kesetiaan kepada sultan jelas terlihat pada watak Seri Nara dan Hang Kadim walaupun Sultan Mahmud telah banyak melakukan ketidakadilan dan kekejaman sewaktu pemerintannya.

4. Berdasarkan drama Dongeng Sang Puteri karya Wan Ahmad Ismail :
(a) Jelaskan tiga watak Puteri Lelawati Ayu (6 markah)
(b) Bincangkan tiga pengajaran dalam drama (6 markah)
(c) Huraikan empat persoalan dalam drama (8 markah)

Skema Jawapan Soalan 4

(a) Watak Puteri Lelawati Ayu :

i. Penyayang
Contoh : dia amat menyayangi Nenek Kebayan

ii. Seorang yang suka merendah diri
Contoh : Puteri selalu merendah diri dengan menyatakan dirinya hodoh,walhal dia seorang yang cantik. Hal ini diakui oleh Nenek Kebayan dan Mamat.

iii. Seorang yang setia
Contoh : Puteri tetap setia bersama neneknya untuk tinggal di kawasan setinggan, walaupun ayah kandungnya iaitu keturunan istana mempelawa untuk tinggal di istana.

iv. Seorang yang tidak suka meminta-minta
Contoh : Puteri berpendapat bahawa orang yang suka meminta-minta merupakan ahli neraka.

v. Seorang yang tabah
Contoh : Puteri tabah menghadapi kehidupan yang miskin di kawasan setinggan yang busuk dan kotor.

vi. Seorang yang tidak mudah mempercayai orang lain.
Contoh : Puteri tidak cepat mempercayai kata-kata Tengku Mahmud bahawa baginda merupakan ayahanda Puteri. Puteri menyiasat terlebih dahulu akan kebenaran kata-kata Tengku Mahmud tersebut

(b) Pengajaran dalam drama :

i. Kita hendaklah menghindari sikap mementingkan darjat atau kelas dalam kehidupan
Contohnya : Pihak istana tidak bersetuju apabila Tengku Mahmud Baginda telah mengahwini anak Kebayan Kembang Kasturi yang merupakan seorang penari joget.

ii. Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepada kita.
Contohnya : Nenek Kebayan Kembang Kasturi telah memelihara Puteri Lelawati Ayu selama 16 tahun setelah kematian bondanya.

iii. Kita hendaklah berpegang teguh kepada ajaran agama.
Contohnya : Nenek Kebayan tidak pernah meninggalkan sembahyang dan selalu membaca Al-Quran.

iv. Kita hendaklah sentiasa mengawal anak-anak agar mereka tidak melakukan perkara yang tidak sihat.
Contohnya : Watak ibu kepada Puteri Lelawati Ayu telah menjadi penari joget tanpa pengetahuan Kebayan Kembang Kasturi disebabkan kelalaiannya dalam mengawasi pergerakan anaknya itu.

v. Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan yang menimpa diri kita.
Contohnya : Kebayan Kembang Kasturi tabah menghadapi penderitaan hidup sewaktu zaman penjajahan Jepun suatu ketika dahulu.

(c) Persoalan dalam drama :

i. Persoalan kemiskinan hidup masyarakat.
Contoh: Nenek Kebayan dan Puteri hidup di dalam keadaan daif di kawasan setinggan.

ii. Persoalan penguasaan ekonomi oleh pendatang.
Contoh:Nenek Kebayan hidup merempat di tanah air sendiri berbanding dengan golongan penjajah.

iii. Persoalan isu pemerdagangan manusia.
Contoh: Mamat berasa risau apabila mendapati puteri hilang. Dia risau jika puteri di culik atau diperdagangkan .

iv. Persoalan kasih sayang dalam keluarga.
Contoh:Tengku Mahmud amat menyayangi anaknya dan berusaha mencari anaknya walaupun sudah 17 tahun tidak berjumpa.

v. Persoalan mementingkan darjat, status.
Contoh: Ibu Puteri dihalau keluar oleh keluarga Tengku Mahmud yg berketurunan istana setelah dia adalah penari kelab malam.


Comments