19 Feb 2013

Kembali Ke Dalam Karya

Kembali Ke Dalam Karya


Setiap orang memiliki rangka pengalaman yang berbingkai dalam hidup masing-masing. Pengalaman membiak dalam diri dan menjadikan seseorang semakin tahu dan mengerti apa yng dialami. Pengalaman menjalinkan nilai, sikap, kesedaran, kemahiran, dan kefahaman terhadap apa yang dialami.

Pengalaman pertama terjatuh dari basikal atau motosikal akan mengajar kita rasa kesakitan, kekesalan, kesedaran, dan sebagainya. Untuk kali berikutnya kita akan berhati-hati untuk tidak terjatuh lagi sebagaimana yang pertama. Kita semakin tahu mengendali dan mengubah cara sekiranya terasa akan membuat kesilapan yang membuat kita terjatuh lagi. Begitu kesan pengalaman dalam hidup kita.

Menghayati sastera memerlukan ruang pengalaman yang banyak bagi membolehkan kita meneroka, memahami, menghayati, menyedari, dan dapat membuat tanggapan dan telahan terhadap apa yang sedang kita bacakan atau hayati. Memahami sastera dari pendekatan pengalaman akan memudahkan kita memasuki dunia karya sastera. Kita dapat berada dalam alam yang terbina menerusi bingkai cerita, puisi atau drama. Kita tidak merasa janggal dan asing dengan apa yang tertulis dalam karya berkaitan. Sebaliknya kita dapat memahami dengan lebih mudah dan jelas. Seorang yang berada di perkampungan akan merasa seronok membaca cerpen yang memberi latar desa, dan peristiwa yang berlaku dalam persekitaran desa berkaitan. Keseronokan ini kerana mereka merasa dekat dengan apa yang tertulis dan dinyatakan dalam cerita berkaitan. Apa lagi sekiranya apa yang termuat dalam penceritaan adalah kisah yang pernah dialami sendiri lama dulu. Peristiwa lalu mungkin berulang datang dalam ingatan sebagai reaksi terhadap baris-baris cerita dalam cerpen dibaca.

Tapi bagi seorang yang tak pernah merasa kehidupan desa seperti tinggal di Kuala Lumpur akan merasa agak janggal dengan cerita dibaca. Langsung dia tak dapat membayangkan apa sebenarnya yang terjadi dalam cerita itu. Pengalaman yang tiada membuatkan dirinya terasa jauh dan terpisah dari cerita. Ia tidak dapat melahirkan keseronokan dan kesan penghayatan menjadi longgar dan tumpul. Apa lagi dalam hidupnya belum pernah melihat sawah, banjaran bukit dan pohon-pohon desa. Begitu baru dalam pengalamannya dan pertama kali ditemui segala imej desa adalah menerusi cerpen dibacanya.

Bagi mereka yang sebati dengan alam desa dapat dikembangkan lagi daerah pengalaman itu dengan melihat kepada emosi dirinya. Interaksi dengan pengalaman adalah untuk mengcungkil sebanyak emosi yang terbit dari pengalaman lalu. Ada yang bercerita keseronokan bermain dalam petak sawah, mandi sungai, dan mengail ikan. Keseronokan adalah pencungkilan emosi yang dibangkitkan secara lebih meluas. Barangkali kawan yang begitu biasa dengan hidup sebagai petani dapat bercerita lebih jauh tentang sawah, sungai, ikan, dan sebagainya. Ia adalah penjelasan medan makna dan emosi yang lebih besar dan dikongsi orang lain. Penyuburan emosi ini penting untuk membangkitkan sikap, tanggapan, dan kesedaran terhadap apa yang dialaminya. Atau lebih menyeronokkan jika dapat dicari bersama pengalaman yang terbentang dalam karya yang sedang dibaca. Emosi yang dialami oleh wataknya adakah berkait atau berbeza dengan apa dialami oleh pembaca. Jika dapat dilebarkan pengalaman dan emosi itu bermakna jarak antara karya sastera dengan audien atau pembaca semakin dekat. Akan mudah pula baginya untuk memahami apa yang tertera dalam penceritaan cerpen berkaitan kerana ada yang bersama dialami dan dirasai sebagaimana wataknya.

Bagaimana dengan mereka yang asing dan terpisah tadi? Bagaimana untuk membawa mereka perlahan kembali ke dalam karya sastera yang sedang dihayati. Bahan-bahan bantu yang dapat membuka pengalaman mereka perlu diaturkan. Mereka harus kembali kepada karya sastera yang dibaca dengan lebih mesra, mudah, dan selesa. Keasingan perlu diranapkan kerana ia boleh menganggu keyakinan mereka memahami karya dibaca. Gambar-gambar pemandangan desa, kesan bunyi burung, muzik, lagu yang memberitahu tentang desa dan kehidupan, lakaran lukisan, mengakses internet untuk mencari maklumat desa adalah antara beberapa langkah untuk menyebatikan pengalaman terhadap desa dan kehidupannya. Keupayaan membawa mereka kembali pada desa dan menerusi penyuburan pengalaman ini akan membantu memudahkan mereka kembali ke dalam karya.


Karya Sastera dan Pengalaman

Pengalaman yang tertimba dari segenap bahan bantu yang digunakan mungkin sudah mendekatkan jarak antara karya dengan pembaca. Berikutnya adalah penerokaan yang lebih jauh ke dalam alam karya berkaitan. Peristiwa yang berlaku akan dilihat dari perspektif pengalaman pembaca. Bagaimana mereka memberi idea, fikiran, pandangan, dan tanggapan terhadap peristiwa dalam karya tersebut. Yang utama adalah penyungkilan emosi pembaca secara lapis demi lapis. Lapis pengalaman dalam karya dibaca dikongsi diperkaitkan dengan lapis pengalaman peribadi pembaca. Ruang gelap dalam karya disingkap perlahan-lahan agar pembaca mula menemui warna dan bentuk cerita dari segi masyarakat, emosi, layar, suasana, persekitaran, deria bunyi, deria bau, deria sentuh, dan fikir.

Membedah karya sastera adalah landas persepsi. Persepsi memerlukan pengalaman, ketajaman andaian, membina generalisasi, taakulan, sensitif, keyakinan, kemahiran fikir, keupayaan membina gagasan, kekayaan emosi, dan kebijakan akal. Ia memerlu daya pengaruh yang kuat untuk meneguhkan pengalaman. Penyebatian dengan karya sastera mestilah kukuh dan kejelekitan yang tinggi. Keterpisahan akan mengabai pembaca dari merasa segenap ragam, dimensi, dan pengalaman karya. Pengaruh yang kuat untuk membina persepsi ke arah penyebatian karya dan pembaca adalah penerimaan yang tak terpisah terhadap karya berkaitan.

Penerimaan akan membongkar sauh penghayatan seluas-luasnya. Karya menjadi dekat dan difahami secara lumrah sebagaimana alam biasa. Tak ada ruang kosong yang tertinggal menjadikan pembaca akan dapat bergelumang dengan karya dikaji. Denyut dan rentak karya dapat dirasakan secara dekat dan akrab. Pembongkaran sauh penghayatan dapat dibentuk melalui ragam apresiasi karya tersebut. Deklamasi bagi puisi, lakon bagi drama, baca bagi cerpen dan novel. Keupayaan untuk mendeklamasi sajak atau membaca pantun akan mendekatkan karya kepada pembaca. Ia menjadi lebih istimewa kerana karya disantap dalam bentuk yang lebih istimewa menerusi seni persembahan. Keupayaan mendekalamasi, membaca cerpen, membaca pantun atau berlakon akan membangkitkan tunas pengalaman yang berguna terhadap alam karya. Ia menjadikan kita begitu dekat dan saling mengenal dengan lebih akrab.

Apresiasi Karya

Alangkah menariknya jika episod dalam cerpen dapat dilakonkan dengan baik oleh pembaca. Pedulikan soal bakat dan kebolehan berlakon tetapi keupayaan untuk berada dalam alam karya dengan bentuk lakon akan memperkaya pengalaman dan meneguhkan penghayatan. Banyak unsur lain yang boleh diserapkan sebagai unsur apresiasi karya seperti teater pembaca, kerusi panas, main peranan, mestamu, dan sebagainya. Malah nyanyi puisi juga memberi impak yang menarik dan simpul keseronakan yang berbekas dalam penghayatan karya. Sekiranya ada yang berbakat seni visual yang baik tampilkan upaya memunggah karya ke kanvas atau kertas dalam bentuk catan dan lukisn. Lakaran, komik, dan arca semuanya adalah bahan penghasilan untuk mempertajam persepsi pembaca terhadap karya sastera.

Muzik antara media yang boleh diguna sebagai pembuka hijab atau pencetus inspirasi dalam berhadapan dengan sesebuah karya sastera. Kuasa magis muzik boleh memberi keyakinan, kepercayaan dan kebolehan bagi murid untuk berinteraksi dengan karya sastera.




Menambah kepada idea penghayatan ialah bahan-bahan yang telah tersedia dalam bentuk visual dan audio seperti video klip, foto, dan sebagainya. Alangkah membantunya sekiranya klip video filem Hang Jebat ditayangkan sebelum membaca episod Jebat dalam Sulalatus Salatin. Ketika membedah cerpen Di Bawah Langit Takut-Takut Google Map digunakan untuk mengesan di mana letaknya Takut-Takut.

Roh pengalaman dan penikmatan disuburkan menerusi Mengalami Menghayati. Karya sastera bukan lagi buku kaku dengan taburan aksara tetapi diwarnakan dengan elemen yang berbentuk visual, audio dan grafik serta lakon, persembahan, dan bakat yang kreatif. Apa yang penting adalah mengupayakan pelajar mendapatkan pengalaman dan menyalurkan pandangan  dari persepsi mereka tentang karya yang dihadapi. Kolb menamakan kaedah ini sebagai  Teori Experiental Learning . Ia berkait dengan  teori pengalaman pembelajaran  berasaskan pandangan John Dewey, Kurt Lewin, Jean Piaget, dan Paulo Freire. Kerangka teorinya berdasarkan kepada empat asas iaitu : melalui satu pengalaman, kedua,  memberi maklum balas secara kritis, ketiga,  membuat generalisasi daripada apa yang dipelajari, dan akhirnya menggunakan apa yang dipelajari kepada pembelajaran baru. Usaha yang terpenting adalah untuk membina dunia karya dalam pemikiran dan persepsi murid. Pengalaman itu pula disalurkan bersumberkan kreativiti, rekacipta, penghayatan, dan  penerimaan terbuka murid terhadap karya sastera. Tidak ada garis pemisah antara krya dan pembaca sebaliknya pengalaman ditimba menjadi pengalaman baru yang dapat disimpulkan  dan dirumus berpaksi upaya daya fikir dan daya kreativiti murid itu sendiri.

Sastera tidak harus kaku di bilik darjah. Itulah yang diharapkan dalam berhadapan dengan karya sastera.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena