Gurindam Dua Belas – Fasal Yang Kesembilan


Gurindam Dua Belas – Fasal Yang Kesembilan

Tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan,
bukannya manusia iaitulah syaitan.

Kejahatan seorang perempuan tua,
itulah iblis punya penggawa.

Kepada segala hamba-hamba raja,
di situlah syaitan tempatnya manja.

Kebanyakan orang yang muda-muda,
di situlah syaitan tempat berkuda.

Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
di situlah syaitan punya jamuan.

Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat.

Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru

Maksud Keseluruhan

Gurindam ini menjelaskan peringatan tentang bagaiman tipu helah syaitan menggoda manusia terutama mereka yang lalai dalam agama meningati Tuhan. Walaupun sedar bahawa ia sentiasa berbuat jahat, tetapi masih terus melakukannya. Orang yang lemah dan lalai itu danggap bukan manusia, tetapi syaitan atau kawan syaitan.

Golongan pertama ialah perempuan yang telah dewasa (ibu atau nenek), yang masih melakukan perbuatan yang tidak elok dan tidak boleh dicontohi. Mereka dianggap sebagai ketua kepada iblis dan syaitan. Golongan kedua ialah orang yang kurang berkemampuan (hamba raja, pekerja bawahan, orang miskin). Mereka sentiasa terdesak untuk memenuhi tuntuntan keperluan hidup sendiri. Syaitan mudah menggoda golongan ini untuk menggunakan kelebihan mereka, terutama orang yang dekat dengan orang berkuasa/ ketua (raja, majikan) bagi. Mereka akan menyalahgunakan kedudukan mereka. Golongan ketiga ialah orang-orang muda yang hanyut dalam keseronokan dunia muda-mudi. Mereka akan digoda oleh syaitan agar terus lalai dalam agama dan lalai meningati Allah. Syaitan menggoda agar mereka berpanjangan melakukan maksiat yang akhirnya merosakkan diri mereka sendiri. Golongan keempat ialah golongan manusia yang suka pada pesta, terutama hiburan yang menghimpunkan lelaki dan perempuan. Syaitan menggoda mereka melakukan maksiat (misalnya zina) yang dilaknat oleh Allah. Sebaliknya, ada beberapa golongan manusia yang tidak disukai oleh syaitan. Antaranya, orang tua yang berjimat cermat dan bersederhana dalam perbelanjaan dan gaya hidupnya. Juga orang muda yang tidak putus-putus menuntut ilmu yang berguna di dunia dan akhirat. Orang seperti ini sukar digoda untuk berbuat kejahatan kerana mereka mengetahui pelbagai perkara yang menjadi tipu helah syaitan yang mahu menyesatkan manusia.

Maksud Rangkap

Rangkap 1
Mengetahui keburukan sesuatu perkara namun masih tetap ingin melakukannya persis sifat syaitan.

Rangkap 2
Perempuan yang sudah tua atau dewasa tetapi masih berbuat kejahatan umpama ketua iblis

Rangkap 3
Syaitan suka kepada orang-orang yang sering menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri mereka.

Rangkap 4
Ramai orang muda yang leka dan melakukan maksiat akan selalu menjadi tunggangan (alat) syaitan.

Rangkap 5
Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dalam sesuatu majlis adalah tempat yang menjadi kesukaan syaitan. Syaitan akan menggoda mereka melakukan kejahatan/ maksiat.

Rangkap 6
Syaitan tidak menyukai golongan orang tua yang berjimat dan bersederhana dalam sesuatu pekerjaan.

Rangkap 7
Sekiranya orang muda mengutamakan ilmu, syaitan akan mengelak untuk menghampirinya.

Tema

Puisi ini bertemakan pedoman hidup yang dapat membezakan antara perkara baik atau buruk. Puisi ini menjelaskan peringatan tentang bagaimana tipu helah syaitan menggoda golongan-golongan manusia yang lalai untuk mengingati Tuhan
Contoh : Tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan,
Bukannya manusia iaitulah syaitan

Persoalan

Persoalan kepentingan ilmu sebagai penyelamat.
Orang muda yang berilmu akan selamat dari godaan syaitan
Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru.

Persoalan kelalaian golongan muda
Golongan muda disesatkan oleh syaitan untuk melakukan maksiat melalui pergaulan bebas.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
di situlah syaitan punya jamuan

Persoalan golongan perempuan tua dikeji akibat perbuatan maksiat.
Terdapat golongan perempuan tua yang masih melakukan maksiat dan mereka dianggap sebagai ketua iblis dan syaitan
Kejahatan seorang perempuan tua,
itulah iblis punya penggawa

Persoalan amalan berjimat cermat dan bersederhana
Amalan jimat cermat dan bersederhana boleh menyelamatkan manusia dari godaan syaitan.
Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat.

Bentuk

Puisi ini mempunyai jumlah baris yang sama iaitu dua baris serangkap.

Puisi ini terdiri daripada 7 rangkap

Puisi ini mempunyai jumlah perkataan yang sekata dalam sebaris
Terdapat empat hingga enam patah perkataan sebaris.
Contoh: bukannya manusia iaitulah syaitan (4 patah kata)
Tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan, (6 patah kata)

Puisi ini mempunyai jumlah suku kata yang sekata dalam sebaris
Terdapat di antara 10 hingga 16 suku kata sebaris

Puisi ini mempunyai rima akhir yang terikat
Rima akhir puisi pada setiap rangkap adalah aa

Puisi ini berbentuk terikat

Gaya Bahasa

Perulangan kata (Repitisi):
Contoh: syaitan, di situlah

Sinkof
Contoh: Tak

Perlambangan:
Contoh: Syaitan / Iblis / Penggawa/Berkuda

Kata ganda
Contoh: laki-laki,hamba-hamba

Pengajaran

Sebagai orang yang amanah terhadap ilmu , sewajarnya mengamalkan ilmu ke arah kebaikan.
Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru.

Kita patut menghargai masa muda agar bermanfaat pada masa tua.
Kejahatan seorang perempuan tua,
itulah iblis punya penggawa.

Hendaklah menjaga kesopanan dan tingkahlaku dalam sesuatu majlis
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
di situlah syaitan punya jamuan.

Hendakah hidup sederhana
Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat.

Hedaklah mengelakkan diri dari menyalahgunakan kuasa
Kepada segala hamba-hamba raja,
di situlah syaitan tempatnya manja.

Hendaklah menyedari usia dan tidak melakukan perbuatan jahat
Kejahatan seorang perempuan tua,
itulah iblis punya penggawa

Comments