Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

STPM

NOVEL INI secara keseluruhannya cuba membincangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah digubal oleh kerajaan pada tahun 1970 setelah berlakunya tragedi hitam negara pada 13 Mei 1969.

Selepas sahaja peristiwa berdarah itu, pihak kerajaan tersedar dan insaf bahawa betapa perlunya mereka merangka beberapa dasar untuk dijadikan panduan dalam memelihara kedaulatan negara dan membangunkan sumber-sumber yang dimiliki demi untuk pembangunan rakyatnya yang berbilang kaum. DEB dengan strategi pentingnya untuk memupuk semula perpaduan dan membina semula negara selepas 13 Mei 1969.

Sebagai pengarang yang berpegang teguh kepada konsep ASAS 50, iaitu Seni untuk Masyarakat, Keris Mas juga dapat dilihat menggerakkan novel itu daripada ideologi tersebut. Selain itu, novel ini juga ditulis berkemungkinan kesan daripada buku Revolusi Mental tulisan Datuk Senu Abdul Rahman (1970) yang membincangkan tentang ehwal sejarah bangsa Melayu.

Keris Mas menggunakan buku Revolusi Mental dalam penulisan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur kerana semangat Melayu yang cuba dimotivasikan oleh buku ini jelas dapat dilihat pada seorang tokoh utama yang menjadi pusat naratif novel ini, iaitu Muhammad. Hampir keseluruhan sikap yang cuba dimotivasikan itu terimej pada watak tersebut.

Namun begitu, perbincangan ini hanya akan menumpukan kepada inti pati penting daripada DEB untuk melihat sejauh mana pandangan Keris Mas terhadap pelaksanaan dasar di Malaysia.

DEB telah dibahagikan kepada tujuh perkara sebagai garis panduan kerajaan mencapai dasar tersebut dan Keris Mas telah menerapkan beberapa dasar yang penting dan seterusnya menjadi pokok perbincangan dalam novelnya.

Perkara pertama, dalam DEB ialah pengurangan ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum secara muktamad dari segi pendapatan, pekerjaan dan kekayaan. Seperti yang dicatatkan dalam Buku Dasar Ekonomi Baru: Inti pati, matlamatnya adalah untuk membawa perubahan dalam sistem ekonomi terutamanya dalam kalangan orang Melayu kerana kerajaan percaya bahawa sistem 'aparteid' telah digunakan oleh kolonial Inggeris dalam agihan ekonomi di Tanah Melayu demi keselamatan mereka.

Demi mengubah status orang-orang Melayu yang telah ketinggalan jauh itu, kerajaan telah menyarankan agar orang-orang Melayu bekerja keras dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Mereka perlu melibatkan diri secara aktif dalam ekonomi negara. Cadangan kerajaan ini adalah untuk melihat kebolehan dan memberi pengalaman kepada orang Melayu dalam pembahagian dan pembangunan sumber ekonomi.

Dalam novel ini, Keris Mas telah memberi peranan penting kepada Muhammad, iaitu seorang saudagar yang menguruskan sebuah anak syarikat milik saudagar Cina, Datuk Tan Chong Seng. Syarikat ini menguruskan import eksport lada hitam. Namun kebijaksanaan dan sikap hemah Muhammad telah melawan arus sikap orang Melayu lama. Kebenaran ini diperlihatkan apabila Datuk Tan kagum pada kebolehan dan keberanian Muhammad dalam membuat sesuatu rundingan perniagaan. Kekaguman Datuk Tan kepada Muhammad dalam mentadbir dan mengurus anak syarikatnya menyebabkan beliau menjadikan Muhammad sebagai rakan kongsi perniagaan dalam syarikat import eksport lada hitam.

Berdasarkan contoh di atas, Keris Mas cuba membentuk personaliti watak Melayu yang dikehendaki oleh DEB. Dalam dasar kerajaan tersebut orang Melayu harus diberi peluang saksama membentuk kekayaan baru dalam proses pembangunan negara. Selain itu orang Melayu juga harus berani merebut peluang, seperti Muhammad yang mencuba menerima cabaran dan risiko dalam bidang perniagaan.

Dalam perkara pertama DEB itu juga dimaklumkan bahawa untuk memperkembangkan kebolehan orang Melayu, langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan dalam mempertingkatkan kebolehan orang-orang Melayu ialah memberikan pendidikan dan latihan kemahiran terutama kepada generasi muda. Pendidikan penting dalam pembangunan sesebuah negara kerana generasi mudalah nanti yang akan mewarisi kepimpinan negara seterusnya.

Selain untuk membangunkan negara melalui pendidikan, kerajaan juga melihat faktor pendidikan sebagai tonggak penting membentuk satu sistem nilai baru kepada generasi muda terutamanya dari segi perpaduan negara dan penyatuan kaum. Seruan kerajaan ini telah dilukiskan oleh Keris Mas pada watak Rahim, iaitu anak kepada Muhammad dan Robert, anak kepada Datuk Tan. Kedua-dua mereka sedang menuntut di England, berumur 23 tahun, rakan karib dan mengambil pengkhususan dalam bidang yang sama, iaitu kejuruteraan lombong.

Kedua-dua watak ini sebenarnya ialah wakil generasi muda yang menjadi harapan kerajaan untuk sama-sama menggerakkan pembangunan negara seperti dalam pernyataan DEB tentang pentingnya pendidikan dalam negara membangun.

Sehubungan dengan itu, jika kita melihat bidang pengkhususan yang diambil oleh kedua-dua anak muda itu juga selaras dengan galakan kerajaan yang mahu bidang kemahiran tinggi. Pengkhususan yang diambil oleh kedua-dua anak muda itu juga secara tersirat digambarkan oleh Keris Mas betapa bidang kejuruteraan yang sinonim dengan pembangunan adalah penting dan simbol kepada pembangunan negara.

Selain itu, imej Rahim yang mewakili orang Melayu dan Robert yang mewakili orang Cina dan merupakan rakan karib sejak bersekolah lagi adalah imej perpaduan antara kaum yang cuba diutuskan oleh Keris Mas dalam novel ini.

Dalam perkara pertama DEB juga disentuh tentang rancangan pembangunan wilayah baru atau dikenali sebagai tanah rancangan seperti Felda. Melalui program tanah rancangan ini, kerajaan menempatkan orang Melayu dan seterusnya menyediakan sumber pekerjaan kepada mereka. Tujuan tanah rancangan ini adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi orang Melayu yang keseluruhan masih tinggal di desa-desa yang telah kekurangan sumber dan mengalami kejumudan sikap menyebabkan mereka berada dalam kemiskinan. Program tanah rancangan ini juga berkaitan dengan perkara kedua DEB yang penting, iaitu membasmi kemiskinan terutama orang-orang Melayu. Mengikut pemerhatian kerajaan yang serius, pada tahun selepas merdeka kadar kemiskinan sangat tinggi di kawasan luar bandar dan juga orang-orang Melayu di bandar.

Justeru, dalam Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Keris Mas menggambarkan imej orang Melayu di Lembah Tualang dan Jeram Medang, iaitu kampung Muhammad yang rata-rata masih bergantung hidup pada sawah dan getah yang pada waktu itu tidak lagi menjadi sumber pendapatan penting. Faktor ini menyebabkan penduduk Melayu di situ berada dalam kemiskinan. Untuk menyelesaikan kemelut kemiskinan yang dialami oleh kebanyakan penduduk Lembah Tualang dan Jeram Medang, Muhammad, telah mengusahakan perpindahan orang Lembah Tualang dan Jeram Medang ke tanah rancangan Felda.

Dalam perkara ketiga DEB pula, kerajaan mahu melibatkan orang-orang Melayu ke dalam sektor-sektor moden. Penglibatan orang Melayu ini penting demi menjamin kesamarataan agihan sumber hasil bumi negara dengan bangsa asing.

Oleh itu melalui Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Keris Mas telah meneroka satu bidang yang baru walaupun bidang ini sebenarnya telah diceburi oleh pembesar Melayu di zaman kolonial British dahulu. Bidang yang dimaksudkan itu ialah bidang perlombongan bijih timah. Lembah Tualang ini menurut pendapat pakar kaji bumi masih lagi kaya dengan hasil bijih timah. Hal ini menarik minat Datuk Tan dan rakan kongsinya Muhammad yang mempunyai pengaruh keturunan di Lembah Tualang untuk menjalankan kembali projek cari gali bijih timah di sana.

Hasrat ini secara tidak langsung menggambarkan bagaimana proses kemasukan orang Melayu, Muhammad ke dalam satu bidang perniagaan yang moden, iaitu dalam sektor perlombongan. Di samping itu, kerjasama yang digambarkan antara Datuk Tan dan Muhammad melambangkan bagaimana bentuk agihan itu boleh terjadi.

Dalam perkara keempat DEB pula kerajaan mahu menggiatkan penggunaan sumber tenaga sepenuhnya dalam sektor moden. Dalam erti kata lain kerajaan mahu mengurangkan masalah pengangguran terutama dalam kalangan orang Melayu.

Perkara kelima DEB pula menggariskan bentuk peranan kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan serta agensi yang berkaitan dalam membentuk ekonomi negara. Dalam novel ini, watak YB Muhammad Yusuf adalah sebagai wakil kerajaan negeri. Beliau menjadi rujukan Muhammad dalam menyelesaikan isu tanah penduduk Lembah Tualang dan Jeram Medang. Dengan kuasa kerajaan yang miliki oleh YB Muhammad Yusuf, beliau telah menguruskan perpindahan penduduk Lembah Tualang ke tanah rancangan Felda.

Sebagai seorang pengarang Islam, Keris Mas telah memberi penilaian kepada DEB yang secara keseluruhan masih mempunyai kelemahan. Kelemahan yang dikesani oleh Keris Mas ialah tentang aspek pembangunan rohaniah Islam. Atas kesedaran ini juga, Keris Mas telah melontarkan pemikirannya tentang perlunya pembangunan agama seiringan dengan pembangunan fizikal agar pembangunan yang ingin dicapai dan dicita-citakan oleh kerajaan itu lengkap dan sempurna.

Justeru melalui tokoh generasi muda Rahim yang mendapat pendidikan di luar negara dan Lebai Maarup yang hanya mendapat pendidikan setakat SPM melontarkan pesan kepada Muhammad dan juga kerajaan bahawa dalam mengejar kekayaan asas-asas keagamaan jangan dipinggirkan.

Selain itu, Muhammad, iaitu seorang saudagar dari Kuala Lumpur yang menjadi judul novel secara simboliknya ialah imejan kepada DEB. Rahim secara simbolis mewakili golongan intelektual-akademik yang akhirnya berjaya mengingatkan ayahnya tentang nilai-nilai budaya bangsa yang harus dipelihara dalam mengejar kekayaan material.

Lebai Maarup pula lambang kepada golongan agama-ulama yang mahu pembangunan rohani tidak dipinggirkan juga akhirnya berjaya mengingatkan Muhammad tentang kepentingan agama dalam mengejar pembangunan fizikal. Manakala YB Muhammad Yusuf lambang kepada kuasa kerajaan. Begitulah Keris Mas membuat penilaiannya terhadap DEB yang dirangka oleh kerajaan untuk memacukan pembangunan negara Malaysia.

Comments