Sastera Dan Pembangunan


SASTERA DAN PEMBANGUNAN

Kesusasteraan Melayu merupakan satu bidang ilmu. Ia berada segaris dengan bidang keilmuan lain sama ada sejarah, bahasa, sains, teknologi dan sebagainya. Sebagai suatu bidang ilmu Kesusasteraan Melayu akan menyingkap segenap perkara berkaitan dengan corak penciptaan karya sastera, bentuk pengucapan, sejarah perkembangan bangsa, reaksi kritis terhadap karya, dan hubungan karya sastera dengan penulis dan masyarakat. Termuat sama dalam lingkungan ilmu sastera ialah alam fikiran pengarang yang memungkinkan memberi kesan terhadap pembentukan sifat karya itu sendiri.

Sifat karya sastera pula dibentur oleh pelbagai inovasi dan faktor luaran yang menjelmakan sifat karya itu sendiri. Zaman tradisi ditandai oleh karya-karya seperti pantun, syair, seloka, nazam, gurindam dan sebagainya. Manakala dalam bentuk prosa pula ia melibatkan sastera sejarah, sastera hikayat, epik, cerita berbingkai dan lainnya. Begitu pula karya-karya yang muncul pada era pemodenan yang terdiri dari cerpen, novel, sajak dan drama. Sifat-sifat karya ini pula perlu diteliti dengan menggunakan kayu ukur yang sesuai dengan zaman dan era penghasilannya. Ia tidak harus dibuat secara sewenang-wenangnya kerana penelitian karya sastera perlu berpegang kepada objektifannya. Ia bukan penelitian berpandukan perasaan dan rasa hati.

Sejarah perkembangan kajian sastera telah mengalami perubahan apabila diperkenalkan pengkhususan kajian yang melibatkan teori kesusasteraan, sejarah kesusasteraan, dan kritikan kesusasteraan. Semuanya bertujuan untuk menjadikan penelitian karya sastera lebih objektif dan bukan berpandu kepada emosi dan perasaan semata-mata. Teori kesusasteraan berpegang kepada pengajian prinsip-prinsip kesusasteraan dan pengkelasannya. Sastera perlu dilihat sebagai memiliki struktur atau susunan tertentu. Peraturan digubal bagaimana melihat karya sastera berpandukan hukum umum, khusus, dan tersendiri. Namun begitu tidak terlepas dari penelitian teori sastera adalah hubungan anasir-anasir di luar sastera iaitu penulis, masyarakat, dan peminat atau audien. Sebuah karya sastera akan diteliti dari unsur khusus yang membangunkan karya itu serta unsur luaran karya seperti biografi, penulis dan psikologinya.

Jika teori sastera melihat kaya sastera secara am tetapi kritikan sastera berfokus secara khusus untuk melihat kekuatan atau kelemahan sesebuah karya sastera yang terhasil. Pengkritrik akan memperincian pemerhatian berdasarkan kepada pendekatan yang dipilih. Antaranya melihat karya itu secara khusus berdasarkan karya sastera semata-mata. Pendekatan penelitian karya sastera juga mungkin berfokus kepada hubungan karya sastera dengan elemen luarannya seperti masyarakat, pengarang dan sejarah. Kajian sejarah kesusasteraan pula melihat karya sastera dari sudut kronologi perkembangannya dari semasa ke semasa. Penelitian ditumpukan kepada bagaimana proses perubahan, adaptasi, rombakan, dan kontroversi yang terdapat dalam sesebuah karya sastera. Aspek kronologi digunakan untuk menyaksikan bagaimana hubungan karya sastera dengan perubahan zaman dan kemajuan di sekitarnya.

Kesusasteraan Melayu Komunikatif

Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif Kertas 2 (922/2) Sastera dan Pembangunan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah memfokuskan kepada tiga tajuk utama iaitu : Pembangunan Insan, Pembangunan Masyarakat, dan Pembangunan Negara

Dua buah teks kajian telah diperuntukkan bagi kertas ini iaitu: Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Edisi Pelajar yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2003. Teks kedua ialah novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur oleh
Keris Mas, dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka 2003. Berdasarkan dua buah teks ini jelas bahawa Kertas 2 Sastera dan Pembangunanini mahu mengupas secara mendalam aspek Sastera dan Pembangunan dari dua sisi utama. Pertama, apa yang berlaku dalam tradisi Melayu yang melibatkan era tradisional melalui teks Karya Agung Melayu Sulalatus Salatin. Kedua, melihat pada zaman pembaharuan yakni zaman moden yang diwakili oleh teks Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Kedua-dua teks ini akan digauli dari dua tiga aspek utama iaitu pembangunan insan, pembangunan masyarakat, dan pembangunan negara. Jika dilihat kepada subtema yang ditetapkan penelitian akan berkisar kepada aspek budaya, pemikiran, psikologi, sosiologi, sosial, politik, ekonomi, intelek, nilai, serta sikap masyarakat yang melingkari aspek keinsanan, kemasyatakatan, dan kemajuan negara.

Jika diteliti dari aspek pemilihan teks didapati bahawa dua buah teks ini lahir pada zaman yang jauh berbeza dari sudut adat, budaya, sosial, tradisi dan pentadbiran negara. Calon pula telah ditetapkan untuk memfokuskan kajian terhadap tiga teras utama iaitu pembangunan insan, pembangunan masyarakat dan pembangunan negara. Tugas utama calon adalah untuk memahami kedua-dua teks ini secara rencam melalui pembacaan dan penelitian yang terperinci. Kepentingan kedua-dua teks ini adalah untuk memberi pengalaman kepada calon meneliti bagaimana kedua-dua teks ini berupaya merakamkan perisitiwa zaman masing-masing dari sudut pembangunan insan, pembangunan masyarakat dan pembangunan negara.

Setiap teks pastinya memiliki keistimewaan dalam menyusun penceritaan yang berkaitan sejarah dan zamannya. Kita harus sedar Sulalatus Salatin lahir dari tradisi yang berbeza dengan Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Sulalatus Salatin lahir pada zaman kelisanan menjadi wahana komunikasi masyarakat dengan kekuatan pengaruh istana dan raja. Zaman yang dipenuhi metos, lagenda, dan asal usul yang tebal serta pengaruh kukuh dari budaya penceritaan yang berpaksi kepada keluarbiasaan, cerita berbingkai dan epik. Berbanding dengan Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur yang lahir dari zaman pasca perang setelah negara menikmati kemerdekaan. Unsur-unsur kemasyarakatannya berubah yang bukan lagi dipengaruhi tradisi lisan tetapi kemunculan percetakan dan tulisan. Masyarakatnya pula terdukung dari kepelbagaian ras, agama dan budaya serta kemajuan pendidikan, ekonomi, dan politik sudah jauh berbeza dengan zaman istana dan raja. Rasionalnya pada setiap zaman itu berkembang pengaruh dan aliran tertentu yang membina budaya manusia, kerencaman masyarakat, dan lingkungan kenegaraannya. Inilah yang akan diteliti secara rinci oleh pelajar dalam melihat bagaiamana ketiga-tiga aspek itu berkembang, menular dan bercambah sebagaimana termuat dalam teks yang dibincangkan.

Sebenarnya apa yang dilakukan oleh calon merupakan suatu rintis ke dalam perkembangan kajian ilmu sastera. Ilmu sastera memperlihatkan bahawa sesebuah karya akan dilihat dari dua aspek penting iaitu aspek intrinsik, dan aspek ekstrinsiknya. Aspek intrinsik ialah bagaiamana karya itu dibangunkan dengan strukutur dan unsur tertentu. Pendekatan intrinsik dalam kajian sastera adalah melihat hasil sastera secara objektif iaitu dengan hanya meneliti apa yang membangunkan sesebuah karya sastera itu sendiri. Ia meliputi analisis terhadap plot, watak, bahasa, latar, tema dan persoalan, serta bentuk. Aspek kedua adalah kajian ekstrinsik yang melihat kepada fokus pertalian antara karya sastera dengan khayalak atau masyarakat, pengarang dan sejarah.


Karya yang dikaji dari sudut sejarah memberi fokus terhadap latar belakang karya itu sendiri. Ia melihat kepada unsur nilai, budaya, dan tradisi yang membangunkan karya itu. Melihat bagaimana berlakunya pekaitan antara karya sastera dengan sudut pandangan hidup masyarakatnya. Dalam Sulalatus Salatin tentunya kita akan melihat bagaimana keterikatan pengarang dengan lingkungan suasana masyarakatnya. Suasana penciptaan akan berubah dalam Saudagar Besar dari Kuala Lumpur yang mula dipengaruhi kerencaman budaya era pemodenan, kewujudan fenomena baru dalam masyarakat, dan kesan kemerdekaan. Bagaimana faktor perubahan zaman ini merubah persepsi dan perspektif pengarang dan kaitannya dengan karya tersebut. Jika Dasar Ekonomi Baru menjadi penanda perubahan sosial dalam masyarakat sudah tentu ia akan terkesan dalam karya dan bagaimana pengarang merakamkan segenenap perubahan dan dimensi kehidupan selepas merdeka dan munculnya DEB.

Manakala karya yang dikaji berdasarkan aspek pengarang akan melihat bagaimana hubungan pengarang dan karyanya. Karya sastera adalah daya pemikiran dan imaginasi penulis. Segala aspek diri penulis seperti latar belakang, riwayat hidupnya, kecenderungan, minat, dan keinginan penghasilan karya akan menentukan kecenderungan dalam karya berkaitan. Pastinya antara Tun Seri Lanang dan Keris Mas memiliki latar, tradisi dan sejarah hidup yang berbeza. Kajian terhadap pengarang akan menemukan kita dengan kerahsiaan pengarang dan karyanya. Apakah tujuan sebenar pengarang menghasilkan karya sastera dan apakah pula pengaruh dan idea yang mahu disampaikan. Yang penting adalah pelajar dapat memahami latar belakang pengarangnya akan memudahkan melakukan perkaitan antara tujuan karya, kecenderungan dan saranan yang termuat dalam karya berkaitan. Dalam kita mencari bagaimana sesebuah karya merakamkan unsur pembangunan insan, masyarakat dan negara, kita harus seketika menjenguk kepada latar pengarangnya. Tun Seri Lanang sebagai Bendahara sudah tentu akan berusaha untuk mengangkat martabat raja. Barangkali Keris Mas sebagai orang yang baru melihat kemerdekaan dan keluar dari cengkaman penjajah ingin melihat keupayaan bangsanya menimba nikmat kemerdekaan. Semuanya akan dapat digali dan diterokai dalam karya masing-masing.

Kajian terakhir ialah melihat hubungan karya sastera dengan masyarakat atau khayalak pembaca. Kejayaan sesebuah karya sastera dilihat atas penerimaan masyarakat terhadap karya berkenaan. Ia berkait dengan kesan terhadap pembaca sama ada karya itu memberi impak dari aspek kesedaran, nilai, dan budaya dan pemikiran. Pada tahap ini sesebuah karya dinilai secara kritis oleh pengkaji. Aspek khalayak dan masyarakat inilah pula yang membawa kepada hubungan sastera dan masyarakat. Implikasi penting dalam hubungan ini ialah sastera dikatakan sebagai cermin masyarakat. Ini bermakna sesebuah karya sastera yang dihasilkan oleh penulis sebenarnya datang dari kesan perhubungan, implikasi, dan renungan penulis terhadap masyarakat. Apa yang terkandung dalam denyut nadi masyarakat akhirnya menjadi rangka dan bahan karya yang dihasilkan pengarang.

Ia pastinya suatu pengalaman sastera yang amat berguna kepada calon STPM bagi mata pelajaran ini. Selama ini kajian sastera hanya berfokus kepada unsur-unsur intrinsik dalam sastera seperti plot, tema, watak, latar, gaya bahasa, dan pengajaran sebagaimana dilakukan dalam Kertas 1. Tapi dalam Kertas 2 Kesusasteraan Melayu Komunikatif ini calon akan merenung dan membuat refleksi terhadap aspek-aspek ekstrinsik dalam karya sastera iaitu pengarang, masyarakat dan karya.

Subtema yang ditetapkan itu memberi fokus kepada beberapa elemen yang penting difahami oleh calon dalam kedua-dua buah teks kajian. Kajian Pembangunan Insan memberi fokus kepada keagamaan iaitu melihat bagaimana nilai-nilai Islam dan kehidupan beragama sebagai tonggak pembangunan sahsiah. Sejauh mana Sulalatus Salatin membongkar nilai-nilai Islam sebagai tonggak pembinaan insan. Daripada perkembangan Islam muncul di Melaka hinggalah Melaka menjadi sebuah negara bangsa yang berjaya tertanam di dalam masyarakatnya pengaruh dan kepercayaan agama Islam yang kental. Begitu juga bagaimana Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur berjaya menerapkan aspek pembangunan insan yang tidak terpisah dari nilai Islam yang tulen.

Seterusnya pembangunan insan dilihat dari sudut ilmu iaitu bagaimana kepentingan ilmu dalam memartabatkan diri setiap insan. Bagaimana disiplin ilmu berupaya membina rupa masyatakat yang dapat mengagungkan Melaka sebagai sebuah kerajaan ternama dalam Sulalatus Salatin, dan bagaimana pula tradisi ilmu yang melingkungi segenap ciri budaya, adab, dan isitiadat Melayu. Malah banyak lagi bahagian kepentingan ilmu yang terkait dengan penceritaan seperti keilmuan yang memperkasakan ketaatan dan kesetiaan rakyat terhadap kerajaan dan Melaka. Jika dilihat kepada unsur ilmu yang terangkum dalam Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur ia memberi fokus kepada kemajuan pendidikan dan perubahan sosial darinya. Bagaimana ilmu yang semakin berkembang pada zaman selepas merdeka dapat dikuasai dan menjadikan orang Melayu berkembang dari tradisi pertanian ke alam perdagangan.
Seterusnya dalam meneliti pembangunan insan ia tidak lepas dari melihat kepada jati diri dipancarkan dalam karya yang dikaji. Bagaimana unsur jati diri seperti daulat, derhaka, ketaatan, keberanian, kepahlawanan, kecintaanakan tanahair, ketinggian pekerti, kemuliaan sifat dan kepimpinan terpancar dalam Sulalatus Salatin. Perkara yang sama tersirat dalam Saudaggar Besar Dari Kuala Lumpur. Ilmu bantu seperti sejarah, kebudayaan, perundangan dan sosiologi akan dapat memberi banyak bahan batu untuk calon meneliti aspek jati diri ini dalam karya berkenaan. Ia penting kerana karya moden ini sudah berhadapan dengan kerencaman pengaruh ilmu dan cabaran lain dalam masyarakat. Apa yang menjadi keutamaan adalah bagaimana unsur jati diri dapat membina kekuatan dan keupayaan bagi masyarakat untuk berkembang dan berjaya menghadapi liku zamannya.

Kajian pembangunan manusia tidak terlepas dari melihat unsur kemanusiaan yang terdapat dalam masyarakat. Di sini akan bertumbuhnya pengalaman untuk memahami nilai dan kejiwaan yang berkait dengan kemanusiaan yang dipaparkan dalam kedua-dua buah teks. Bagaimana perkaitan daulat dan derhaka dari sudut kemanusiaan yang membawa kepada kedaulatan istana dan sultan. Sebenarnya banyak lagi aspek lain yang dapat diperhati yang berkaitan dengan kemanusiaan. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur pula sudah pasti memaparkan suasana yang lebih rencam berkaitan dengan kemajmukan masyarakat, kepelbagaian budaya, keilmuan yang dapat membentuk budaya dan pemikiran manusia pada zamannnya.


Aspek Pembangunan Masyarakat memerlukan calon membuat kupasan terhadap pendidikan. Bagaimana elemen pendidikan memberi kesan terhadap pembangunan masyatakat. Meskipun pada zaman tradisi keilmuan tetap berkembang bersesuaian dengan zamannya seperti ilmu keagamaan, adat dan budaya, hinggalah kepada aspek pendidikan dan nilai yang membina keperibadian masyarakat. Bagaimana Melaka dapat berkembang sebagai sebuah negara bangsa dengan kehebatan pentadbiran, kecekapan kepimpinan dan sebagainya. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur pula membawa refleksi masyarakat yang sedang dilanda gelombang Dasar Ekonomi Baru. Golongan berilmu akan mampu menjadi golongan pemikir dan perancang kepada sesuatu program dan tugas. Rahim, anak encik Muhammad telah dihantar belajar ke luar negeri kerana dia adalah modal insan yang penting pada masa hadapan. Akhirnya dia telah berjaya dalam pelajaran dan pulang untuk memberi sumbangan yang baik kepada perniagaan ayahnya.


Dalam aspek pembangunan masyarakat ia turut dikaitkan dengan kemajuan sosial dengan fokus kepada budaya, perpaduan, mobiliti dan susunlapis masyarakat. Aspek budaya melihat kepada hubungkait budaya setempat dengan kehidupan seharian. Sosial juga melihat kepada elemen pemantapan perpaduan dalam masyakat majmuk. Kemajuan sosial juga berhubungan dengan mobiliti sosial yang terjadi dalam masyarakat. Bagaimana Tun Perak dari rakyat biasa menjadi Bendahara ternama di Melaka. Inilah mobiliti yang berlaku dalam masyarakat. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada Encik Muhammad sebagai saudagar ternama semuanya melalui kesan mobiliti yang ketara. Elemen perubahan masyarakat inilah yang mahu difokuskan dalam kedua-dua buah teks. Seterusnya melihat ke dalam akar masyarakat dan realiti di dalamnya. Bagaimana terciptanya masyarakat pelbagai kaum dan rasa yang hidup bersama dan berpadu dikupasa melalui kedua-dua buah teks. Pada zaman Melaka perpaduan dikaitkan dengan hubungan antara negara seperti Majapahit dan China. Manakala dalam latar masyakat Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur digambarkan jelas soal hubungan antara kaum, perpaduan, dan kerjasama yang terjalin.


Aspek terakhir diberi penekanan adalah Pembangunan Negara. Elemen-elemen politik seperti kepimpinan, nasionalisme serta peraturan dan perundangan menjadi penting terhadap pembangunan negara. Dalam Sulalatus Salatin bagaimana elemen politik terpancar dalam ketokohan dan kewibawaan kepimpinan yang membawa Melaka ke tahap kegemilangan. Politik juga dikaitkan dengan keupayaan pemimpin menggerakkan kemajuan dan perubahan negara sebagaimana dilakukan oleh Sultan Mansur Syah Melaka termasuklah nilai kepimpinan yang ada pada Bendahara Paduka Raja dan Tun Mutahir. Konsep daulat dan derhaka, wasiat, ketaatan dan kesetiaan juga lahir sebagai elemen politik yang kuat. Saudagar Besar dari Kuala Lumpur melihat kepada aspek kedinamisan kepimpinan dalam menggerakkan perubahan dalam dunia dagang. Ia ditambah dengan unsur hubungan awam, stail kepimpinan dan sebagainya. Tidak terlapas dari saringan politik adalah bagaimana nasionalisme tercetus dalam masyarakat. Melaka berhadapan dengan cabaran dan penentangan dari Siam, Majapahit, dan sebuah negara jauh China. Semangat cinta akan negara yang dipancarkan secara bijaksana oleh pengarang melalui hubungan China Melaka, Majapahit Melaka dan seterusnya keupayaan bangsa Melayu melawan serangan penjajah. Semangat cinta akan negara juga dilakarkan dalam Saudagar Besar dari Kuala Lmpur. Elemen terakhir dari pengaruh pembangunan negara adalah peraturan dan undang-undang. Bagaimana peraturan dan undang-undang menjadi unsur penting pembentukan pembangunan negara. Jika dilihat ke dalam Sulalatus Salatin kita akan bertemu dengan pelbagai peraturan dan perundangan seperti Susun Tertib dan Adat Istiadat Diraja, akibat derhaka, waad dan sebagainya. Kita dapat melihat bagaimana peraturan dan perundangan membina kekuatan Melaka untuk menjadi negara besar yang berkembang dan disegani. Dalam masyarakat moden pula Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur mencerminkan kehidupan masyarakat mengecap nikmat merdeka dan pertumbuhan pembangunan negara. Elemen peraturan dan perundangan diterapkan yang berkait dengan rasuah, kuasa dan perlembagaan.

Aspek terakhir di bawah subtema Pembangunan Negara ialah perkembangan ekonomi yang memberi sumbangan terhadap kemajuan negara dari sektor pertanian, usahawan dan perdagangan. Melaka muncul sebagai pusat dagang yang meletakkan kehebatan Melaka dalam jalur dagang alam Melayu yang maju dan berkembang. Dunia dagang dalam Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur menampilkan watak Encik Muhammad sebagai seorang saudagar yang berjaya dengan terlibat dalam usaha dagang yang jarang diceburi oleh orang Melayu.

Demikian secara ringkas bagaimana ilmu sastera yang cuba diterapkan ke dalam Kertas 2 ini untuk dikuasai oleh calon dalam mendekati dan meneliti teks Sulalatus Salatin dan Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Yang penting adalah pengisian sastera sebagai alat komunikasi yang dapat memberi impak dan kesedaran terhadap masyarakat dapat dikaji dengan jelas. Kajian yang dilakukan bertujuan untuk membuktikan bahawa karya sastera bukan sekadar berdiri sebagai elemen hiburan semata-mata tetapi mampu membina kekuatan pengaruh terhadap rupa budaya dam kemajuan insan, masyarakat dan budaya.

Comments

  1. sastera sebenarnya merangkumi semua perkara cuma sastera di letakkan sebagai seni keindahan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih atas respon.
      dan terima kasih kunjungi blog ini
      harap usah serik begitu.

      Delete

Post a Comment