1 Jan 2013

Sastera dan Istilah





KONSEP ISTILAH

Istilah ialah perkataan atau rangkai kata yang menyatakan sesuatu dengan betul, tepat dan sesuai dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan. Istilah sastera ialah perkataan atau rangkai kata yang betul, tepat dan sesuai dalam penghasilan dan pengkajian karya kreatif sama ada dalam bentuk prosa atau puisi.

Alat utama yang digunakan dalam kajian sastera adalah istilah. Istilah Sastera atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai literary device merupakan komponen utama yang diperlukan dalam kajian sastera.  Bagi kalangan pelajar sama ada di peringkat SPM atau STPM perlulah menguasai sebanyak mungkin istilah sastera ini. Penguasaan istilah merupakan satu langkah ke hadapan dalam penguasaan ilmu sastera. 

Melalui istilah sastera, terminologi atau kata yang digunakan dalam kajian sastera dapat difahami dengan jelas. Untuk membiasakan diri dengan penggunaan istilah ini pelajar hendaklah sentiasa menggunakannya dalam konteks istilah yang betul. 

Di bawah ini dikemukakan antara istilah penting yang digunakan dalam Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM dan STPM


ADEGAN
Bahagian kecil daripada sesuatu babak dalam drama

AFORISME/KATA-KATA PUJANGGA/HIKMAT
Pernyataan ringkas tetapi padat tentang sesuatu kenyataan atau kebenaran sejagat. Banyak terdapat dalam peribahasa
Contoh: Bulat air kerana pembentung
              Bulat manusia kerana muafakat

AKSI
Tindakan, gerakan, tindak balas watak dalam sesuatu karya sastera.

ALEGORI
Ada sindiran atau makna tersirat di sebalik yang tersurat

ALITERASI
Pengulangan bunyi konsonan yang sama pada perkataan-perkataan dalam satu baris puisi
Contoh:  Menyusur pinggir kemanusiaan dalam timbang terima

ALUSI
Gaya perbandingan yang memujuk secara tidak langsung kepada peristiwa, tokoh-tokoh, tempat-tempat atau karya-karya yang terkenal dalam sejarah, kitab-kitab suci, dongeng atau lagenda.
Contoh:  Kesetiaan Tuah
               Keberanian Jebat
               Kemuliaan Muhammad
               Keteguhan Kinabalu

AMBIGUITI
Kepelbagaian kemungkinan tafsiran, iaitu lebih daripada satu makna atau tafsiran. Ambiguiti disebut juga ketaksaan.

ANAFORA
Pengulangan kata pada awal baris secara berturutan dalam rangkap.
Contoh: Di tamanmu ada sesungai budi
              Di tamanmu ada fauna dan flora bahagia
              Di tamanmu ada sawah dan denai damai
              Di tamanmu ada bebungan rona cinta
              Di tamanmu ada leladang sejahtera

ANTAGONIS
Watak yang menjadi penentang kepada watak utama
Contoh:  Rozali ialah watak antagonis dalam Restu

ANTOLOGI
Himpunan karya yang dihasilkan oleh sekumpulan penulis. Biasanya terdiri daripada satu jenis sastera atau sama tema atau sama persoalannya.

ASONANSI
Pengulangan bunyi vokal yang sama pada perkataan-perkataan dalam satu baris puisi
Contoh:  Turunlah turun burung-burung tercinta (sajak Burung-burung di Puncak Gunung)
           
BABAK
Bahagian drama yang menggunakan satu latar
Bahagian-bahagian utama dalam drama

BLURB
Bahagian kulit belakang sesebuah karya yang mengandungi keterangan bertulis

BOMBASTIK
Satu kenyataan atau pengucapan yang mempunyai makna secara berlebih-lebih berbanding dengan kenyataan yang diberikan. Tandanya yang utama ialah susunan kata-kata yang muluk-muluk atau panjang-panjang sedangkan ia dapat diucapkan secara ringkas atau pendek

CAESURA/JEDA
Hentian sementara dalam baris puisi
Contoh:           Pulau Pandan // jauh ke tengah
                         Gunung Daik  //  bercabang tiga                            // = Caesura

 CEREKA
Cerita rekaan/fiksyen atau karya prosa naratif yang dihasilkan daripada daya imaginasi, bukan daripada sejarah atau fakta


CERPEN
Kisah rekaan yang relative pendek yang dihasilkan dalam bentuk prosa. Biasanya membentuk satu persoalan bagi menghasilkan satu kesan tertentu. Ia memusatkan diri pada satu watak dalam suatu situasi di suatu tempat dan ketika.

CERPENIS
Penulis cerpen

CITRA
Gambaran/imej
Contoh: Citra masyarakat, citra wanita, citra budaya, citra politik

CITRA BUDAYA
Gambaran cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat merangkumi pendidikan, kepercayaan, hidup beragama, kehidupan social, adapt istiadat perkahwinan, gotong-royong dan cara bertindak masyarakat sesuai dengan watak.

CITRA MASYARAKAT / LATAR MASYARAKAT
Gambaran kehidupan masyarakat yang merangkumi amalan, nilai, pekerjaan, kaum,sikap, bangsa, tempat tinggal, agama dan lain-lain.


DUES EX MACHINA
Secara literal bermaksud ‘dewa dari mesin’. Maksudnya ialah muslihat yang berupa orang atau barang dalam cereka yang muncul secara tiba-tiba dan kemunculannya itu menjadi penyelesaian atau jalan keluar bagi sesuatu masalah  yang sukar diatasi.

DIALOG
Pengucapan yang dilafazkan dua atau lebih watak
Contoh:  “Selamat pagi. Saya ingin berjumpa dengan Encik Yaakob,” kataku.

DIKSI
Pemilihan dan susunan perkataan yang tepat dan sesuai dengan perkataan yang ingin dinyatakan.

DISTIKHON
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada dua baris serangkap

DRAMA
Karya yang ditulis untuk dilakonkan

DRAMA ABSURD
Drama yang mustahil / aneh / bertentangan dengan fikiran yang waras


DRAMA BANGSAWAN
Drama yang menceritakan kisah raja atau golongan bangsawan zaman dahulu

DRAMA REALISME
Drama yang menggambarkan masyarakat sebenar

ENJAMBEMEN
Sejenis teknik dalam penulisan puisi. Teknik ini ialah pematahan baris-baris dan disambung pada baris berikutnya. Biasanya ada noktah di tengah baris.
Contohnya:     Di bawah pelangi dunia
                        Anak pertama berdiri. Bercanda
                        Sebuah nada tertikam belati tua

EKSPOSISI
Bahagian pengenalan/ awal dalam urutan cerita yang biasanya memberi keterangan tentang watak , latar, dan lain-lain

EPIFORA
Pengulangan kata pada akhir baris secara berturutan dalam rangkap
Contoh:           bila tebingmu menunda-nunda
                        bila desamu menunda-nunda

EPILOG
Bahagian penutup karya untuk kesimpulan. Ucapan pelakon pada bahagian akhir yang meminta pandangan audien

EPISOD
Peristiwa atau kejadian yang terdapat dalam prosa atau puisi naratif yang panjang

GENRE
Jenis atau bidang atau cabang atau kategori karya sastera
Contoh:           Novel, cerpen, drama dan puisi

HIPERBOLA
Gaya bahasa yang mengandungi pernyataan yang melampau untuk tujuan penegasan
Contoh:           dan di bawahnya bumi bernanah

HYBRID
Perkataan yang dibentuk hasil dua kata yang digabungkan
Contoh:           lautlara , kotateguh

IMBAS KEMBALI
Kenangan atau ingatan sesuatu kejadian atau peristiwa yang telah berlaku

IMBAS MUKA
Gambaran terhadap peristiwa yang berlaku seterusnya

INVERSI
Gaya bahasa yang menggunakan pembalikan susunan kata dalam kalimat / rangkai kata / frasa
Contoh: terbit bunga, hina besi, mesra kasih

KATA ABSTRAK
Kata atau frasa yang berlawanan dengan konkrik , menggambarkan sesuatu yang tidak konkrik

KEJUTAN
Peristiwa/suasana berlaku dengan tidak disangka-sangka oleh pembaca/ dimunculkan dengan tiba-tiba
Contoh: Dalam cerpen Detik Yang Tergugat jentera penuai yang tiba-tiba terhenti kerana terbenam ialah satu unsur kejutan

KLIMAKS
Bahagian dalam cerita yang menampilkan keadaan yang kritikal, cemas dan mendebarkan yang dialami oleh watak-watak tertentu dalam cerita
Pncak cerita,iaitu bahagian berakhir konflik.

KONFLIK
Pertentangan dalam watak atau dalam diri watak.

KONOTATIF
Bahasa yang mempunyai makna yang lebih luas daripada makna yang khusus
Bahasa yang membawa wakna tambahan

KOSTUM
Pakaian yang dipakai oleh pelakon sandiwara, drama dan filem

KRONOLOGI
Peristiwa-peristiwa disusun mengikut urutan masa

KUATREN
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada empat baris serangkap

LATAR
Pernyataan tentang masa,tempat,  suasana dan masyarakat dalam sesebuah karya

MELANKOLIK
Menggambarkan suasana hati yang murung, merayu-rayu / berhiba-hiba.
Nada puisi ini mengemukakan isi , pemikiran atau persoalan tentang penderitaan , kehampaan dankerinduaan.


MESEJ
Perkara yang berupa nasihat/ iktibar /didaktik
Seerti dengan pengajaran  / amanat

METAFORA
Satu gaya bahasa perbandingan yang mengabungkan perkataan bersifat konkrit dan abstrak
Contoh:           meruntuhkan tembok keamanan
                        sebelum hadirnya detik waktu
                        memindahkan musim
                        siapkan baja keinsafan
                        menabur di lading kehidupan
                        siapkan dangau kesabaran
                        menepis rebut godaan
                        siapkan batas kesucian
                        menapak ke laman impian   (sajak Khutbah II)

MONOLOG
Percakapan seorang diri atau sendirian. Semua perasaan atau fikiran dilahirkan dalam kata-kata yang diucapkan.
Contoh            :           “Aku rupa-rupanya tidak keseorangan…,” bisiknya seolah-olah percaya betapa seorang teman yang begitu gagah sedang berkelana di hutan itu.

MONOLOG DALAMAN
Tuturan yang diucapkan oleh seorang watak. Butirang yang dituturkan itu tidak kedengaran pada watak atau watak-watak lain, cuma terbatas kepada diri/ hati watak itu sendiri.
Berbicara dalam hati sendiri
Contoh:           Ah, alangkah hebatnya runtunan kasih saying! Fikirnya.

NADA
Bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu sikap
Contoh     melankolik, sinis, patriotik, protes dan romantis

NILAI KEMANUSIAAN
Sifat-sifat postif/ mulia/ bermoral/ nilai-nilai murni/ baik
Contoh:    kasih saying, tolong-menolong, kebijaksanaan, hormat-menghormati dan sebagainya

NILAI KEMASYARAKATAN
Amalan-amalan baik dalam masyarakat
Contoh    hormat- menghormati, tolong- menolong

NOVEL
Prosa cereka yang panjang yang menceritakan hidup manusia pada suatu tempat dalam suatu masa tertentu untuk memaparkan satu-satu persoalan kehidupan yang menarik

OKTAF
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada lapan baris serangkap

PARADOKS
Gaya bahasa yang memperlihat pertentangan isi dengan kenyataan, tetapi sebenarnya betul / benar
Contoh:           Benci tetapi rindu
                        Tanam lenggun tumbuh kelapa
                        Terbit bunga pucuk mati

PATRIOTIK
Menggambarkan suasana hati yang penuh bersemangat.
Nada puisi ini mengemukakan isi atau persoalan tentang perjuangan, cita-cita yang tinggi dan penuh keberanian

PELERAIAN
Bahagian akhir plot yang memperlihatkan segala persoalan terlerai/ terjawab

PEMERIAN(DISKRIPTIF)
Satu teknik penceritaan iaitu pengarang sendiri menggambarkan atau menerangkan sesuatu perkara
Contoh: Matahari sudah condong dan langit kemerah-merahan di sebelah barat. Mahmud pulang ke rumah lekas sedikit daripada biasa.

PEMIKIRAN
Tema di dalam drama

PENGGANDAAN/KATA GANDA
Kata akar/ perkataan yang digandakan
Contoh:    Tenang-tenang, menunda-nunda/ bukit-bukit dan sebagainya

PENGULANGAN
Kata / perkataan / ungkapan / baris / rangkap /ayat yang diulang lebih daripada satu kali dalam satu baris atau dalam satu ayat atau dalam satu rangkap

PERBANDINGAN TERUS
Membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain secara langsung

PERIBAHASA
Ayat atau kalimah yang mempunyai maksud tertentu
Contoh        perumpamaan, bidalan dan sebagainya

PERBANDINGAN TERUS
Gaya bahasa perbandingan yang membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain secara langsung
Contoh           buku adalah laut ilmu
                        kau tikus

PERSOALAN
Hal-hal atau perkara-perkara yang diutarakan dalam sesebuah karya sastera untuk menyokong tema yang menjadi dasar karya tersebut

PERSONIFIKASI
Pemberian sifat manusia kepada objek atau konsep tertentu
Contoh:           Teratak menggamit mesra
                        Kebahagiaan bersemayam

PERWATAKAN
Sifat dalaman atau keperibadian watak

PLOT
Jalan cerita atau urutan peristiwa-peristiwa yang berlaku berdasarkan sebab dan akibat

POETIC JUSTICE/ KEADILAN IMPIAN
Kebenaran/ keadilan/ kebaikan mengatasi kejahilan/ kebatilan/ kejahatan
Perbuatan yang baik dibalas baik/ perbuatan jahat dibalas jahat

PROLOG
Pengenalan atau pembukaan yang memulakan karya sastera terutamanya drama
Contoh:           Tersebutlah kisah dilemma Tun Teja,
                        Dipikat Hang Tuah untuk baginda
                        Kepada jejaka ingin bermanja
                        Terbelah hatinya terima sahaja


PROSA
Karya berperenggan

PROTAGONIS
Watak dalam karya sastera cereka atau drama yang berperanan sebagai watak utama. Protagonis tidak semestinya hero tetapi sering menjadi watak penting atau watak pimpinan

PROTES
Menggambarkan suasana hati yang penuh dengan pemberontakan atau penentangan.
Nada puisi ini mengemukan isi atau persoalan keidakadilan dan kekejaman yang menimbulkan kemarahan serta kebencian.

PUISI
Karya berangkap
QUINTAIN
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada lima baris serangkap

RANGKAP
Bait atau stanza
Baris atau baris-baris puisi yang menceritakan suatu cerita atau idea

RESPONSI
Perulangan perkataan di tengah baris yang berurutan
Contoh:           Ada ternakan tidak dibela
                        Ada kebun tidak ditanam

                        Penghulu banyak yang sakti
                        Tuanku banyak yang bertuah
                        Alim ulama banyak yang keramat

RIMA
Bunyi dalam baris puisi atau pada akhir baris puisi
Contoh:           Bagai engkau hai burung-burung  (a)
                        bersarang hidup di puncak gunung  (a)
                        berlegar bebas bersiul riang  (b)
                        bagai engkau kucintai ini kehidupan  (b)

RIMA AKHIR
Bunyi pada akhir baris / puisi

ROMANTIK
Menggambarkan suasana hati yang tenang dan menyenangkan.
Nada puisi ini mengemukakan isi atau persoalan yang berhubung dengan peristiwa indah dan menggembirakan seperti kasih saying, harapan dan impian bahagia

SATIRA
Karya , iaitu prosa atau puisi yang mempersendakan / menyindir orang dan lain-lain

SARKASME
Bahasa kiasan atau ironi yang mengandungi unsure-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakiti hati seseorang

SEPTET
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada tujuh baris serangkap

SEXTET
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada enam baris serangkap

SIMBOLIK
Perlambangan
Contoh    bunga lambing wanita / gadis
                 Kumbang lambing jejaka

SIMILE
Gaya bahasa perbandingan yang membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Menggunakan kata-kata bandingan iaitu seperti, bagai, umpama, bak, macam dan ibarat
Contoh:           kepantasan dayamu tangkas dan liar bagai kilat senja memecah sinar

SINIS
Nada puisi yang menggambarkan suasana hati yang kurang senang
Nada puisi ini menggambarkan isi atau persoalan yang tidak disukai atau tidak dipersetujui

SINKOF
Singkatan kata
Contoh:           ku(aku), nak(hendak), tak(tidak), dah(sudah), tu(itu), ni (ini)

SINOPSIS
Ringkasan keseluruhan isi sesebuah hasil sastera

SKRIP
Teks drama atau filem

SOLILOQUY
Percakapan yang dilahirkan oleh sesorang watak dalam lakonan drama atau bentuk sastera lainnya ketika watak itu keseorangan. Percakapan tersebut ditujukan kepada dirinya sendiri atau pendengar. Ia dapat mengungkapkan perasaan, firasat, dan konflik batin yang dihadapi oleh watak, juga dapat menyediakan keterangan atau informasi kepada pendengar

STANZA
Rangkap dalam puisi

SUDUT PANDANGAN
Kedudukan pengarang dalam cerita, sama ada terlibat secara langsung atau tidak dalam menyampaikan ceritanya, sama ada berada di luar atau di dalam cerita. Ada dua sudut pandangan iaitu sudut pandangan orang pertama dan sudut pandangan orang ketiga

SUSPENS
Satu keadaan tertanya-tanya dan ingin tahu pembaca apa yang akan berlaku seterusnya dalam cerita

TEKNIK PENCERITAAN
Cara bagaimana sesuatu isi cerita itu disampaikan. Ia merangkumi teknik imbas kembali, imbas muka, pemerian, suspens, klimaks dan konflik

TEMA
Idea atau persoalan pokok, idea yang mengawal sesuatu karya sastera

TERZINA
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada tiga baris serangkap

WATAK
Pelaku atau tokoh yang memegang oeranan dalam cerita


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena