Perubahan dan Tradisi Novel Malaysia

Perubahan dan Tradisi Pembentukan Novel dalam Kesusasteraan Malaysia
Oleh A. Wahab Ali


Pengertian Novel

DALAM kesusasteraan Malaysia moden perkataan novel itu dipinjam daripada perkataan Inggeris "Novel" dan perkataan ini digunakan bagi me¬namakan sejenis prosa naratif yang munasabah panjangnya yang ter-dapat dalam kesusasteraan tersebut yang muncul sekitar tahun-tahun dua puluhan abad ini. Sesungguhnya dalam kajian kesusasteraan Malaysia moden, perkataan novel ini pertama kali digunakan oleh Za'ba sekitar tahun empat puluhan dalam sebuah tulisannya berjudul, "Modern Developments". Tulisan ini berbahasa Inggeris yang membicarakan perkembangan baru dalam kesusasteraan Melayu moden. Da¬lam tulisan berbahasa Melayu penggunaan perkataan novel itu, masih terlalu baru. Ini berlaku sekitar akhir tahun 1940-an atau dalam tahun-tahun 50-an manakala pembicaraan mengenai genre novel dan kajian mengenainya mula mendapat tempat dalam penerbitan majalah, akhbar dan di universiti tempatan. Sebelum itu, berbagai-bagai sebutan digunakan bagi genre tersebut seperti hikayat, cerita, cetra, ceritera dan rencana.

Perlu ditegaskan di sini bahawa peminjaman perkataan novel dari bahasa Inggeris itu, tidak pula membawa pengertian pemindahan keseluruhan kansep novel seperti yang terdapat dalam kesusasteraan Inggeris atau sebagaimana yang difahami di Eropah itu sendiri. Sebaliknya dalam konteks kesusasteraan Malaysia moden, ia mempunyai pengertian dan konsepnya yang tersendiri, sesuai dengan iklim pembentukan genre novel dalam kesusasteraan negara ini. Untuk itu, perlulahah pula ditinjau sejarah pem-bentukannya.

Pembentukan Novel

Sebelum bentuk novel itu muncul, kesusasteraan Melayu (kini Malaysia) telah mempunyai tradisi, kaya dan kukuh dalam naratif panjang. Naratif itu dalam bentuk prosa berirama, syair dan prosa bebas. Yang berbentuk prosa, sama ada berirama atau bebas itu selalunya dikenal dengan panggilan hikayat. Prosa berirama itu pula selalunya dalam bentuk lisan yang dikenal juga dengan cerita-cerita penglipur lara dan yang bukan berirama itu pula dalam bentuk tulisan. Tetapi se¬karang boleh dikatakan sebahagian besarnya telah dipindahkan dalam tulisan. Biarpun begitu, dalam zaman tradisi, sebelum abad dua puluh, sebelum percetakan mengambil alih tradisi lisan bentuk prosa naratif itu disampaikan dengan lisan. Antara hikayat-hikayat yang terkenal ialah Hikayat Seri Rama, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Amir Hamzah, Hi¬kayat Ali Hanafiah dan berbagai cerita-cerita Panji seperti Hikayat Panji Semirang¬

Bentuk novel awal dalam ke¬susasteraan Malaysia moden itu dari satu segi mempunyai persamaan dengan hikayat dan cerita-cerita penglipurlara. Sekurang-kurangnya, kedua-dua bentuk itu merupakan prosa naratif yang panjang yang mempunyai unsur-unsur bentuk seperti plot, perwatakan dan latar. Yang membezakan di antara keduanya dari segi penekanan persoalan dan penyampaiannya. Dari segi penekanan persoalannya, novel pada amnya menghubungkaitkan dengan permasalahan semasa yang menyangkut kehidupan realiti dan penyampaiannya adalah tunduk kepada kesan realiti yang hendak dicapainya. Maka itu plot novel berkaitan dengan peristiwa-peristiwa kehidupan semasa, demikian pula dengan lukisan manusia yang men¬jadi watak-wataknya begitu dekat dengan kehidupan semasa. Begitu juga dengan latar dan bahasa yang digunakannya: menggunakan latar alam nyata dan style bahasanya menggunakan bahasa periodikal iaitu bahasa sehari-hari, berlainan sedikit dari bahasa istana, bahasa yang selalunya digunakan dalam penulisan hikayat. Maka itu dapat kita katakan bahawa bentuk novel yang muncul dalam kesusasteraan Malaysia itu adalah merupakan adunan dari bentuk-bentuk naratif Melayu tradisi dengan unsur-unsur penulisan yang bercorak realistik.


Proses pembentukan novel Melayu itu terjadi adalah disebabkan oleh kesan perjalanan sejarah budaya yang amat rumit akibat daripada kontak penduduk Malaysia ini dengan Barat, terutama Inggeris yang bermula pada awal abad ke-19. Dua gejala penting yang mencetuskan ke arah perubahan bentuk naratif tradisi ke novel itu ialah penyebaran alat cetak dan pengluasan sekolah jenis sekular dalam masyarakat peribumi di Malaysia yang diperkenalkan oleh Inggeris. Alat cetak melalui periodikal dan buku menyebarkan tulisan-tulisan jenis baru, yang sebahagian besarnya merupakan laporan, cerita dan kisah, yang sekali terbit dan bersiri yang berlandaskan kehidupan sehari-hari, yang biarpun pada permulaannya merupakan saduran, tetapi lama-kelamaan akhirnya menyiarkan karya-karya asli. Penyebaran itu, sekaligus percetakan berperanan pula membina citarasa baru dan membina pembaca baru. Melalui kegiatan penerbitan periodikal dan buku, percetakan menyediakan wa¬dah bagi menampung bakat-bakat barn bagi penulisan bentuk baru. Selari dengan itu, sekolah-sekolah yang bercorak sekular mencetuskan pula golongan pembaca dan penulis-penulis baru. Oleh hal yang demikian dengan penyebaran alat cetak dan persekolahan sekular, maka tradisi sastera Melayu itu mengalami perubahan-perubahan dari yang lama kepada yang baru, khususnya, bentuk naratif dart hikayat ke novel.

Tentu sahaja perubahan itu, tidaklah dengan mengejut. Hal ini perlu disedari, bahawa biarpun berjenis-jenis bentuk tulisan baru yang bercorak realistik yang diperkenalkan oleh percetakan melalui periodikal dan buku terbitannya itu, bentuk karya tradisi yang berbagai-bagai itu tidak pula menghilang dengan tiba-tiba, sebab karya-karya tradisi sudah lama berakar tunjang dalam masyarakat peribumi Melayu. Malah, perlu juga disebutkan dan ditekankan di sini, karya-karya tradisi antara lain, syair, hikayat dan penglipur lara, turut pula diterbitkan oleh badan-badan penerbitan selari dengan karya-karya jenis baru. Lebih jauh dari itu, bahan-bahan sastera tradisi ini turut sama menjadi bahan bacaan di sekolah sekular peribumi selari dengan bahan-bahan bacaan jenis baru yang bercorak realistik, terutama yang terdapat dalam periodikal, akhbar dan majalah.

Tentulah menjadi tanda tanya kepada kita di sini, dalam proses ini bahawa karya tradisi dan karya baru sama-sama diterbitkan dan dibaca, kenapa pula akhirnya karya jenis baru menjadi dominan dan karya tradisi menghilang? Tentu sahaja dapat kita fahami bahawa, ini ada kaitannya dengan konteks di luar sastera, bahawa perubahan yang didatangkan oleh Barat dalam berbagai bidang kehidupan yang me-nyentuh bidang ekonomi, pendidikan clan nilai hidup sekular yang lebih bercorak saintifik itu, perlahan-lahan mengambil tempat dalam cara berfikir dan cara hidup generasi baru. Dalam dunia kehidupan yang baru itu, yang lebih menonjol ialah sifat realismenya atau sifat kenyataannya. Hal ini pun terjadi dalam pembentukan novel Malaysia.

Sebelum dunia realisme itu menjadi satu kenyataan, maka dalam proses ke arahnya, terjadilah satu macam perubahan yang bersifat peralihan. Proses ini amat rumit dan ini dapat kita lihat dalam sebahagian prosa naratif peralihan dari tradisi ke moden itu, atau dari hikayat ke novel. Pada karya prosa naratif peralihan ini, misalnya Hikayat Khalik dan Malik, (1926) dan Hikayat Percintaan Asyik (1926) dapat kita lihat semacam adanya pergulatan bentuk dari unsur-unsur lama dengan yang baru, pergulatan unsur itu ada yang bersifat persenyawaan dan tidak kurang pula yang bersifat pemisahan.

Dalam proses peralihan ini juga terjadi berbagai peristiwa sastera iaitu terdapatnya karya-karya yang mengarah dan bercorak realistik, yang asli dan saduran. Peristiwa-peristiwa ini terjadi sekitar 1811-1920-an. Masa itu terdapat Hikayat Perintah Negeri Benggala (1811) ciptaan Ahmad Rijaluddin dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1838) dan Hikayat Abdullah (1843) karya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Karya-karya tersebut adalah prosa naratif ciptaan asli yang mempunyai unsur-unsur realisme yang boleh digolongkan dalam bentuk catatan perjalanan dan autobiografi atau memoir. Penciptaan karya-karya tersebut adalah lebih banyak didorong oleh kesan pergaulan antara pengarang-penga-rangnya dengan orang-orang Barat di rantau ini, khususnya orang-orang lnggeris. Bila sekolah-sekolah telah didirikan, baik sekolah Kristian atau sekolah Sekular, diiringi pula oleh penggunaan alat cetak, terdapat pula karya-karya saduran ke dalam bahasa Melayu seperti Hikayat Robinson Crusoe, The Pilgrim Progress, "Kecurian Lima Ribu Million Ringgit" (1920-an). Cerita-cerita ini disadur dari bahasa Inggeris dan mungkin pula dari bahasa Arab, seperti kecurian ‘Lima Ribu Million Ringgit’. Penyaduran dari bahasa Inggeris ini dapat kita fahami kerana ianya dilakukan oleh padri-padri yang sudah mempelajari bahasa Melayu atau oleh beberapa orang individu tempatan tertentu yang telah berkenalan mesra dengan bahasa dan orang Inggeris itu sendiri.

Bagaimana pula dengan saduran dari bahasa Arab? Padahal sekolah sekular yang terdapat di Malaysia untuk orang Melayu di peringkat awal itu dalam bahasa Melayu? Ini satu gejala yang menarik dalam peristiwa sejarah kemunculan novel-novel Malaysia. Malah yang lebih menarik lagi, adakalanya, sesebuah cerita yang disadur dari bahasa Arab itu, sebenarnya berpunca dari bahasa Perancis. Bagaimana semua fenomena ini terjadi? Fenomena ini terjadi adalah akibat daripada kesan dasar pendidikan Inggeris terhadap peribumi Melayu di peringkat permulaan pendidikan sekular Melayu diperkenalkan. Sekolah Sekular Melayu yang didirikan oleh Inggeris, rata-rata hanya sekadar tamat sekolah rendah. Cuma sedikit kekecualian, terlalu sedikit dari jumlah lulusan sekolah Melayu ini yang dapat melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Melayu. Dan Maktab Perguruan Melayu itu pula jumlahnya hanya sebuah atau dua. Selebihnya, lulusan sekolah Melayu meneruskan pengajiannya ke sekolah agama Islam dan Arab. Ibubapa Melayu menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah Arab ini juga ada sebab-sebabnya. Di samping kerana kepentingan agama mereka, adalah juga disebabkan pada masa itu mereka curiga terhadap sekolah Inggeris kerana sekolah lnggeris pada permulaannya diusahakan oleh pengembang-pengembang agama Kristian dan cenderung untuk mengkristiankan peribumi. Jadi pilihan yang ada, dan yang luas mereka menghantar anak-anak mereka me ngaji ialah ke sekolah Arab da agama Islam. Lagi pula sekolah jenis ini adalah lanjutan dari sekolah tradisi orang-orang Melayu yang beragama Islam itu. Lulusan dari sekolah Arab ini melanjutkan pe¬lajaran ke Timur Tengah, termasuk Mesir.

Di waktu yang sama dengan proses kemunculan novel di Malaysia, di dalam kesusasteraan Timur Tengah, di Mesir terutamanya, terjadi pula proses pemodenan kesusasteraan. Prosesnya itu bolehlah dikatakan seakan-akan sama dengan apa yang terjadi dalam kesusasteraan Malaysia. Percetakan, mengambil peranan menyebarkan kesusasteraan, berlakunya penjajahan Barat, Perancis dan Inggeris, berkembang¬nya pendidikan sekular dan berlakunya peristiwa penyaduran karya sastera Eropah, terutama dari ba¬hasa Perancis dan bahasa Inggeris ke dalam bahasa Arab. Pada tahap permulaannya pula saduran itu merupakan penyesuaian antara unsur-unsur Barat yang bercorak realisme dan unsur-unsur tradisi Arab dan Islam. Proses pembentukan sastera moden Timur Tengah itu sesuai sekali dengan iklim kesu¬sasteraan Melayu Malaysia itu sen¬diri buat masa itu. Oleh itu, orang Melayu di Malaysia yang bersekolah Arab membaca bahan-bahan tulisan dari Arab dan mereka pula turut sama tertarik menterjemahkan karya Barat dalam bahasa Arab itu ke dalam bahasa Melayu.

Kemunculan Novel di Malaysia

Dari segi bentuk, tahap-tahap kemunculnya novel sebagai cereka naratif panjang yang bercorak rea¬listi itu bukanlah merupakan satu perkembangan lurus, sebaliknya melalui tahap yang terputus-putus. Ini dapat dilihat dari peristiwa berikut. Proses naratif yang bercorak realistik yang boleh dijeniskan sebagai laporan perjalanan dan memoir itu sudah kelihatan mulai tahun 1811. Ini sudah boleh dikatakan sebagai tahap pertama tetapi perkembangannya terbantut selepas itu tidak kelihatan lagi karya yang bercorak realisti sebaliknya kembali kepada tradisi. Bila percetakan menerbitkan periodikal (akhbar dan majalah) barulah kelihatan penulisan cara realistik itu berkembang. Perkembangan ini berlaku sekitar awal abad kedua puluhan iaitu makalah perio¬dikal-periodikal itu menerbitkan cerita-cerita sama ada yong disiarkan sekali pengeluaran atau bersiri. Cerita bersiri itu kemudian sebahagiannya boleh dijeniskan sebagai novelet dan sejenis lagi sebagai novel, menurut panjang dan kompleksnya struktur cerita-cerita tersebut. Dalam waktu yang sama juga terdapat pula karya-karya prosa naratif panjang yang bercorak realistik yang diterbitkan dalam bentuk buku.

Novel awal dalam kesusasteraan moden Malaysia muncul pada masa permulaan dekad kedua abad ini. Masih menjadi perbincangan yang manakah karya yang boleh dianggap sebagai novel Malaysia yang pertama. Kajian awal menunjukkan bahawa Hikayat Setia Asyik kepada Maksyuknya : atau lebih dikenali semudiannya dengan Hikayat Faridah Hanum (1925-1926) karya Syed Syeikh Al-Hadi seorang reformis Islam sebagau novel yang pertama. Selalunya kenyataan itu diikuti pula dengan kenyataan bahawa novel itu adalah saduran dari novel Mesir kerana ceritanya berkisar di Mesir. Seterusnya, ada yang berpendapat, Kawan Benar (1927) oleh Ahmad Rashid Talu sebagai novel pertama. Pendapat lain pula mengketengahkan Kelebihan Bersahahat (1925) tanpa nama pengarang berkemungkinan sebagai novel Malaysia (Melayu) yang pertama. Biar bagaimanapun saya kira Hikayat Faridah Hanum, tetap mempunyai kedudukannya sebagai peneroka kerana novel-novel yang terbit setahun kemudian daripadanya, seperti Kawan Benar(1927) oleh Ahmad Rashid Talu, Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (1927&1928) oleh Ahmad Kotot, malah Rahsia Kemudaan(1929) oleh Zamin Aruf, memperlihatkan kesan pengaruh dari Hikayat Faridah Hanum itu.

Pengarang novel yang produktif dan paling berjaya daripada tahun 1920-an ini ialah Ahmad Rashid Talu. Novelnya yang terpenting ialah Iakah Salmah?(1928). Sebelum disentuh Iakah Salmah? (1928), di sini diberikan sepintas lalu tentang novel-novel tahun dua puluhan. Novel-novel tahun-tahun dua puluhan ini pada umumnya mempersembahkan tema cinta, kesetiaan, persahabatan, imansipasi wanita dan di dalamnya diungkapkan persoalan-persoalan yang berkaitan dengan pengaruh Barat, kepentingan pendidikan, dan melukiskan gambaran semasa yang dialami oleh masyarakat khususnya masyarakat Melayu.

Seperti yang telah disebutkan bahawa pengaruh naratif tradisi masih begitu kuat teradun di dalam novel-novel dua puluhan. Pengaruh ini bukan sahaja terlihat pada tajuk novel yang menggunakan perkataan hikayat di awalnya, seperti Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (1927&1928), malah lebih jauh dari itu, pengaruh naratif tradisi itu kelihatan dalam pengolahan bentuk novel-novel itu sendiri. Ini jelas misalnya pada penjalinan plotnya yang menggunakan unsur-unsur pengembaraan, unsur kebetulan dalam pembentukan peristiwa-peristiwa, unsur happy ending, dan unsur .flash foward. Begitu juga terdapat penggunaan Literary devices seperti pantun dan syair, serta pelukisan watak hitam putih, misalnya. Unsur-unsur baru pula, di samping persoalan-persoalan, gambaran-gambaran semasa yang terdapat dalam novel-novel tersebut, ialah penyampaiannya yang sebahagiannya menimbulkan kesan vivid dan realistik dan sebahagian besar stylenya mirip kepada kelaziman bahasa surat  khabar dan majalah ketika itu.

Iakah Salmah? (1928) setebal 648, diterbitkan dalam tujuh penggal dan merupakan novel yang terpanjang dalam zamannya. Novel ini dapat mewakili novel tahun dua puluhan dari segi sifat-sifat novel zamannya. Novel ini mengetengahkan tema imansipasi wanita melalui perwatakan Salmah seorang anak gadis yang berpendidikan Inggeris. Salmah dilukiskan berpakaian ala gadis Barat yang rasional dan menentang adat kolot. Ia menjadi lambang kepada cita-cita dan perjuangan pengarangnya dari golongan reformis Islam dewasa itu.

Dari segi bentuk, Iakah Salmah? (1928) memperlihatkan adunan di antara ciri-ciri baru dan ciri-ciri naratif tradisi. Ciri-ciri tersebut tergambar terutama pada plotnya. Dari satu segi plot Iakah Salmah? (1928) memperlihatkan unsur-unsur baru. Unsur-unsur baru itu terletak kepada jalinan cerita yang berdasarkan peristiwa-peristiwa sezaman dan dilakukan oleh watak-watak manusia yang hidup sekitar zaman moden. Dari sudut teknik plot pula, novel ini mengemukakan unsur baru iaitu kalam dan dakwat sebagai peng-hubung antara pengarang dengan pembaca bagi mengarahkan minat pembaca kepada peristiwa-peristiwa dalam plot. Dari segi lain pula, plot cerita ini boleh dikembalikan kepada pola plot "awang-dara" yang begitu lazim dalam cerita-cerita tradisi, khasnya ceria-cerita penglipurlara. Dalam plot penglipurlara terdapat seorang wira mencari seorang wirawatinya. Terjadilah pengembaraan untuk mendapatkannya. Dalam pe¬ngembaraan ini berlaku berbagai peristiwa. Cerita berakhir dengan happy ending bila wira dapat me¬ngatasi peristiwa dan sampai ke pangkuan wirawatinya. Yang sedikit berbeza antara pola plot penglipurlara dengan Iakah Salmah? (1928) ialah wira novel Iakah Salmah? (1928) mengembara kerana dihalau dan kerana untuk memujuk dirinya dari kekecewaan.

Di samping itu pula, memang ba¬nyak ciri baru dalam lakah Salmah? (1928) ciri-ciri yang menjadikannya sebuah novel. Ciri-ciri itu ialah pelukisan peristiwa yang dramatis dan terperinci. Pelukisan watak-watak manusia yang hidup dan bersifat individu, seperti terlihat pada watak Salmah, pelukisan latar yang berjejak di alam nyata, detail dan hidup melalui media bahasa periodikal semasa yakni yang bukan bahasa hikayat (bahasa istana).

Keharmonian unsur-unsur naratif tradisi ke dalam Iakah Salmah? (1928) ini dan kehadiran unsur-unsur baru dan asing buat sastera tradisi Melayu inilah yang mencirikan lakah Salmah? (1928) sebagai novel dalam kesusasteraan Malaysia moden. Ciri-ciri lama dan baru atau ciri-ciri pemesraan tradisi dan ciri-ciri penyimpangan dari tradisi yang terdapat dalam lakah Salmah? (1928) ini adalah satu kepunyaan novel Melayu (Malaysia) yang ada juga mempunyai persamaan dengan ciri-ciri penovelan Indonesia, Filipina dan Thai atau negara-negara Timur Tengah. Pemesraan dan pemberontakan itu memang tidak dapat dielakkan dalam perkembangan sesuatu genre dan sesebuah kesu¬sasteraan sesuatu negara atau bangsa. Sejarah pembaharuan sastera itu, ibarat aliran air yang tidak dapat dipatahkan dengan satu garis pe¬misah yang tegas. Demikianlah yang terjadi dalam sejarah penovelan Malaysia. Proses demikian terus terjadi dan ini akan terlihat pada period berikutnya.

(Dewan Sastera, Januari 1986)

Comments