Sketsa Kerinduan


 SKETSA KERINDUAN
(Shukri Abdullah)

MAKSUD

Rangkap 1
Penyair berada di kotaraya yang penuh dengan kesibukan yang sering menggamit rindunya ke desa kelahiran.

Rangkap 2
Penyair terpaksa bertahan sambil mencari rezeki di kota demi membela dan menampung kehidupan mereka sekeluarga walaupun hakikatnya tidak setanding dengan jasa ibu.

Rangkap 3
Penyair meyakinkan ibunya bahawa dia sentiasa mengingati nasihat, kokokan ayam di tunggul pohon ketapang dan di situ jugalah tempat dia menggantung buaian suatu ketika dahulu.

Rangkap 4
Ketika kegembiraan sambutan ulang tahun kemerdekaan di ibu kota, penyair teringat atau membayangkan sama ada kedinginan desa masih di rasai di rumahnya.

Rangkap 5
Kerinduan pada desa sering mengganggu lena tidurnya di tengah kesibukan kota batu.

MAKSUD KESELURUHAN
Walaupun penyair berada di tengah kesibukan kota untuk mencari rezeki, kerinduan pada ibu dan kampung tidak pernah pudar.Dia juga meyakinkan ibu bahawa segala kenangan dan nasihat tidak pernah dilupakan malah dijadikan azimat semasa berada di perantauan kota batu.

TEMA
Kerinduan terhadap kampung halaman. Kerinduan penyair pada suasana di kampung dan ingatan mendalam terhadap ibu yang disayanginya. Dia meyakinkan ibunya betapa kerinduannya pada kampung sering menemani kesibukannya mencari rezeki di kota

PERSOALAN
1. Persoalan kasih sayang antara keluarga.
Contoh : percayalah bonda
masih terpatri dimindaku

2. Persoalan kesibukan warga kota bersaing mencari rezeki.
Contoh : terpaksa aku bertahan, bonda
untuk rezeki yang bakal
menyalakan jamung kehidupan kita

3. Persoalan keindahan di desa.
Contoh : masihkah permatang di hujung bendang
Mengalirkan dinginnya ke teratak kita?

4. Persoalan pengorbanan ibu dan anak menyara kehidupan keluarga.
Contoh : biarpun ku sedar segalanya masih
tidak mampu melunasi piutang budimu

BENTUK
1. Sajak ini mempunyai 5 rangkap.

2. Bilangan baris setiap rangkap tidak sama
Contoh : R1(5 baris), R2(5 baris), R3(6 baris),
R4(4baris), R5(2 baris).

3. Bilangan perkataan dalam setiap baris tidak sama – antara 1 hingga 7 patah perkataan.
Contoh : Bonda
Bonda, seringkali sketsa ini membuai tidurku

4. Bilangan suku kata setiap baris tidak sama – antara 2 hingga 16 suku kata.
Contoh : Bon/da (2 suku kata)
Bon/da, se/ring/ka/li sket/sa i/ni mem/bu/ai ti/dur/ku (16 suku kata)

5. Rima akhir setiap baris dan rangkap bebas atau tidak sama.
Contoh : R1 (abccc), R2 (abacd), R3 (abcdbc), R4 (aaba), R5 (aa)

6. Sajak ini berbentuk bebas

GAYA BAHASA
1. Inversi
Contoh : masih lagi aku di sini

2. Asonansi
Contoh : masih lagi aku di sini (pengulangan bunyi vokal i)

3. Aliterasi
Contoh : untuk rezeki yang bakal (pengulangan bunyi konsonan k)

4. Kata ganda
Contoh : tengah-tengah

5. Simile
Contoh : kicau burung pagi persis pesta pora

6. Sinkof
Contoh : tidurku

7. Pengulangan kata
Contoh : masih

8. personifikasi
Dikepung belantara batu
Rusuh angin saling bertolakan

9. Metafora
Contoh : jamung kehidupan

NADA
1. Melankolik
Gambaran kerinduan dan kasih sayang anak di kota kepada ibu yang berada di kampung
Contohnya : bonda, seringkali sketsa ini membuai tidurku
Diranjang resah dikepung belantara batu

NILAI
1. Kasih sayang
Kasih sayang antara anak dengan ibu.
Contoh : menghantar rinduku ke desa kelahiran

2. Bertanggungjawab
Anak bertanggungjawab mencari rezeki untuk membela nasib keluarga .
Contoh : untuk rezeki yang bakal
menyalakan jamung kehidupan kita

3. Kegigihan
Orang kota sibuk mencari rezeki demi untuk menyara keluarga
Contoh : terpaksa aku bertahan, bonda
untuk rezeki yang bakal
menyalakan jamung kehidupan kita


PENGAJARAN
1. Kita hendaklah tabah dan cekal menghadapi cabaran kehidupan ketika mencari rezeki demi membela nasib keluarga.
Contoh : terpaksa aku bertahan, bonda
untuk rezeki yang bakal
menyalakan jamung kehidupan kita

2. Kita haruslah sentiasa mengeratkan hubungan kasih sayang atau ikatan kekeluagaan demi melahirkan keluarga yang bahagia.
Contoh : bonda, seringkali sketsa ini membuai tidurku
diranjang resah dikepung belantara batu

3. Kita hendaklah menunaikan kewajipan dan amanah sebagai anak demi nama baik keluarga.
Contoh : biarpun kusedar segalanya masih
tidak mampu melunasi piutang budimu

3. Kita hendaklah sentiasa peka dan bijak menyesuaikan diri dengan persekitaran di mana sahaja kita berada.
Contoh : percayalah bonda
Masih terpateri di di mindaku

4. Kita mestilah mengenang jasa seorang ibu
Contoh : menghantar rinduku ke desa kelahiran

Comments

  1. Memang bagus lah mimbar kata nie saya dapat menyiap kerja skula dgn begitu mudah sekali..so akhir kata memang bagus sangat2x :-)

    ReplyDelete

Post a Comment