Seloka Mat Jenin




Kajian Puisi Melayu Tradisional

Seloka Mat Jenin

Panjat kelapa sampai ke atas,
Berhenti sebentar sambil berangan,
Aku ingin nak kaya lekas,
Dapat duit nak buat modal.

Jual kelapa nak beli ayam,
Jual ayam nak beli itik,
Kalau ada emas berkoyan,
Rupa hodoh pun jadi cantik.

Jual itik nak beli kambing,
Jual kambing nsk beli lembu,
Mat Jenin mula tersenyum sumbing,
Duit disimpan beribu-ribu.

Jual lembu nak beli bahtera,
Pergi berniaga keluar negeri,
Akhirnya Jenin dah kaya-raya,
Ingin berkahwin Tuan Puteri.

Jenin hanyut dalam angan-angan,
Dia lupa buat seketika,
Sambil mengangkat kedua tangan,
Menggenggam kuat tanda gembira.

Akibatnya ia hilang pertimbangan,
Lalu jatuh tersembam ke tanah,
Nafas berhenti, mulut berdarah,
Angannya tidak berguna lagi.

Inilah lagak orang dah kaya,
Selalu sangat lupakan diri,
Oleh itu hubaya-hubaya,
Seloka Mat Jenin sampai di sini.

Md. Ali Bachik.
(Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003).

Maksud

Rangkap 1 :
Mat Jenin berangan-angan di atas pokok kelapa jika ada duit ingin buat modal kerana ingin menjadi kaya dengan cepat.

Rangkap 2 :
Mat Jenin berangan-angan ingin menjual kelapa dan ayam untuk membeli itik bagi menjadi kaya raya.

Rangkap 3 :
Angan-angan Mat Jenin ingin menjual itik dan membeli kambing. Setelah itu menjual kambing untuk membeli lembu. Sambil tersenyum sumbing Mat Jenin berangan duitnya ada beribu-ribu.

Rangkap 4 :
Mat Jenin berangan-angan menjual lembu untuk membeli bahtera dan pergi berniaga di Luar Negeri. Tujuannya untuk menjadi kaya-raya serta ingin berkahwin dengan Anak Raja.

Rangkap 5 :
Angan-angan tersebut akhirnya menyebabkan Mat Jenin lupa diri seketika dengan mengangkat tangannya tanpa disedari dirinya berada di atas pokok.

Rangkap 6 :
Akibat terlalu kuat berangan-angan, Mat Jenin menggadai nyawanya sendiri kerana terjatuh dari atas pokok.

Rangkap 7 :
Inilah kesan kepada orang yang suka berangan-angan sehingga lupa diri dan tergadai nyawa sendiri.

Tema

Angan-angan kosong ingin menjadi orang yang kaya raya dan akhirnya menggadai nyawa sendiri.
Contoh : Angan-angan Mat Jenin yang ingin menjadi kaya-raya akhirnya meragut nyawa sendiri kerana terjatuh dari atas pokok.

Persoalan

Persoalan sikap Suka berangan-angan
Contoh : Mat Jenin seorang yang suka memasang angan-angan yang kosong.

Persoalan sikap tidak sedar akan kedudukan diri yang sebenar
Mat Jenin suka berangan-angan tanpa menyedari akan kedudukan dirinya yang sebenar hanya seorang yang miskin.

Persoalan kesan angan-angan kosong
Perbuatan angan-angan kosong Mat Jenin yang ingin jadi kaya raya akhirnya memakan diri sendiri kerana dia meninggal dunia akibat jatuh dari atas pokok.

Gaya Bahasa

Anafora
Jual itik nak beli kambing
Jual kambing nak beli lembu

Responsi
Jual kelapa nak beli ayam
Jual ayam nak beli itik

Asonasi
Berhenti sebentar sambil berangan

Sinkof
Dapat duit nak buat modal.

Bentuk

Sukukata
Mempunyai sembilan hingga 10 suku.

Perkataan
Mempunyai tiga hingga enam patah perkataan.

Baris
Mempunyai empat baris. Serangkap

Rangkap
Mempunyai tujuh rangkap.

Rima akhir separuh terikat.
Contoh :
Rangkap 1 - a,b,a,c.
Rangkap 2 dan 3 - a,b,c,b.
Rangkap 4,5, dan 7 - a.b.a.b.
Rangkap 8 - a,b,b,c.

Pengajaran


Janganlah kita suka memasang angan-angan kosong yang tidak memberi apa-apa makna dalam hidup.
Contoh : Angan-angan kosong Mat Jenin tidak memberi apa-apa faedah kepada dirinya malah menyebabkan Mat Jenin mati sia-sia.

Kita harus sedar akan kedudukan diri kita yang sebenarnya.
Contoh : Mat Jenin suka memasang angan-angan kosong tanpa memikirkan dan menyedari hakikat dirinya yang sebenar hanyalah seorang yang miskin.

Janganlah kita suka berlagak ingin kaya-raya dengan cepat.
Contoh : Mat Jenin suka berlagak jadi kaya-raya dalam angan-angan kosongnya.

Kita mestilah rajin bekerja dan berusaha untuk menjadi kaya.=Contoh : Angan-angan Mat Jenin yang ingin menjadi kaya-raya tanpa berusaha dan bekerja menyebabkan angan-angannya sekadar menjadi angan-angan kosong

Comments