Bimbingan Karya Penulisan Cerpen



BIMBINGAN BERKARYA PENULISAN CERPEN

Definisi Cerpen

Genre/bidang cerpen dalam kesusasteraan Melayu termasuk dalam kategori cereka, merupakan satu bidang yang popular. Terdapat lima genre/bidang dalam kesusasteraan Melayu moden iaitu cerpen, drama, esei/kritik, novel dan puisi.

Hashim Awang Glosori Mini Kesusasteraan, Fajar Bakti , 1987) menyebut bentuk cereka yang pendek yang membawa satu persoalan bagi menghasilkan satu kesan tertentu yang indah. Ia memusatkan diri pada satu watak dalam suatu situasi di suatu tempat dan ketika.

Hendry Guntur Tarigan (Prinsip-prinsip Dasar Sastera, 1984: Penerbit Angkasa Bandung) mengutip kata B. Mathew menyebut bukan cerita pendek jika tidak ada sesuatu yang diceritakan. Hendri Guntur sendiri mengulas cerpen seperti berikut " cerita pendek harus mengandungi interpretasi pengarang tentang komsepsinya mengenai kehidupan, baik secara langsung atau pun tidak langsung, harus menimbulkan satu efek dalam fikiran pembaca, cerita pendek juga mengandungi detail-detail dan insiden-insiden yang dipilih dengan sengaja, dan yang bisa menimbulkan pertanyaan-pertanyaan di dalam fikiran pembaca.

Cerpen ialah cerita berdasarkan fakta di campur dengan imaginasi. Kesusasteraan ialah ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Di dalamnya ada bahan yang indah, bahasa yang indah dan teknik penceritaan yang indah. Yang indah dalam kesusasteraan juga bukan hanya yang cantik di mata tetapi mempunyai nilai estatika. Dengan ini cerpen ialah satu gabungan yang tidak seimbang antara pengalaman (realiti/benar berlaku) dengan rekaan (imaginasi) pengarang.

Panjangnya cerpen ialah antara 5,000 hingga 20,000 patah perkataan. Namun pada kebiasaannya panjang sesebuah cerpen antara 6 – 20 muka surat bersaiz A4.

Cerpen yang baik adalah yang mudah difahami, mudah dimengerti, informasi dan mesejnya jelas, menggunakan bahasa yang indah, mentaati kaedah bahasa, judulnya menarik, dan meyakinkan. Selain itu cerpen yang menarik juga yang menyentuh isu atau berita semasa (news value), iaitu aktual, faktual, penting, dan menarik.

Namun cerpen yang dianggap baik oleh seseorang tidak semestinya dianggap baik pula oleh orang lain kerana setiap pembaca berlainan cita rasanya. Ada pembaca yang suka cerpen konvensional dan ada pula pembaca yang suka cerpen berbentuk non konvensional. Perkara yang perlu ada pada seorang penulis ialah niat yang baik, motivasi, mampu menguasai bahasa, suka membaca dan pandai menyesuaikan gaya penulisan mengikut kehendak pembaca.

Apa yang mesti ada dalam karya sastera seperti cerpen?

Pertama, Intelek iaitu ada sesuatu pemikiran yang tinggi dalam cerpen tersebut. Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya boleh direnung dan difikir oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.

Kedua, Pancaran emosi dalam cerpen tersebut sama ada gembira, sedih, sinis. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan stail/gaya bahasa yang boleh dihayati dengan baik oleh pembacanya dan dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan.

Ketiga, Peristiwa/persoalan dalam cerpen tersebut dituliskan dengan mata hati dan mata fikir iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya hal-hal yang positif.

Keempat, sesebuah cerpen ada teknik persembahannya iaitu cara olahannya, susunan peristiwanya dan diksi-diksi yang dipilihnya.

Bentuk cerpen

Pertama. Mimesis/peniruan iaitu meniru atau merakamkan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ditambah dengan imaginasi pengarang.

Kedua. Cerpen beralasan iaitu mengadakan sau dasar atau alasan untuk mengubah bentuk biasa seperti menciptakan watak daripada mahluk asing.

Ketiga. Cerpen mimpi iaitu cerita seperti dalam mimpi, dengan sifat luar biasanya, perlambangan tertentu sehingga ada waktunya tidak boleh diterima akal.

Teknik penceritaan cerpen

a. Ciri-ciri khas cerpen (cerpen konvensional)
1. Singkat, padu, intensif (ada perkara yang ditekankan)
2. Ada adengan, watak, gerak.
3. Bahasa tajam dan menarik
4. Interpertasi pengarang kepada kehidupan
5. Dapat menimbulkan satu kesan
6. Menarik perasaan pembaca
7. Penggambaran jelas pada peristiwa yang dipilih
8. Ada cerita/persoalan utama, watak utama, latar dan suasana

b. Struktur cerpen yang menarik ialah :

1. Cerpen memiliki jumlah watak dan episod di dalamnya yang amat terhad.

2. Kebiasaannya. dimulakan di bahagian paling hampir dengan penyelesaiannya.

3. Lazimnya cerpen hanya menangani satu isu atau masalah dalam satu karya.

4. Menggunakan hanya maklumat terperinci yang perlu saja, utk memahami situasinya.

5. Latar masa biasanya meliputi satu masa yg singkat.

Perkara Penting Yang Perlu Ada Dalam Sesebuah Cerpen

1. Cerpen harus dicerita dari sudut pandangan watak (watak-watak ) utamanya. Watak utamanya mungkin hanya seorang, tetapi boleh juga dua orang, bagi menghidupkan karya dan membolehkan pembaca mengenali dan berasa hampir dengan pergolakan jiwa watak-watak dalam karya anda.

2. Unsur-unsur konflik haruslah, diperkenalkan pada paragraf pertama lagi, seboleh mungkin; Cuba kerikan gambaran suasana, waktu dan latar, secara tidak langsung, pada pembukaan cerpen.

Mulakan dgn pergolakan jiwa watak utama yg berkaitan dgn tema. Elakkan menggambarkan pemandangan latar pada paragraf pertama.

3. Unsur-unsur suspen juga harus seboleh mungkin diwujudkan pada paragraf pertama atau kedua cerpen anda, supaya pembaca akan tertanya-tanya apa yg akan berlaku seterusnya kepada watak-watak yang menghadapi konflik itu dan bagaimana kekusutan fikiran watak utama dalam cerpen itu dirungkaikan.

4. Pada klimak cerita, seharusnya menjadi tempat di mana konflik itu dileraikan.

5. Ceritanya harus difokuskan pada satu peristiwa, pada pusat segala masalah hidup yang dihadapi oleh watak utamanya.

Interaksi antara watak utama, adalah nadi dalam cerpen. Pastikan perwatakan watak utama ini sentiasa ditonjolkan, dan hanya `menunjukkankan' latar belakang yg diperlukan saja. untuk menggerakkan plot (jalan cerita). Cuba memulakan setiap paragraf dengan aksi fizikal atau luahan perasaan, untuk menarik minat pembaca.

6. Judul karya; Jika judul diberikan sebelum karya anda siap, anda akan terikat pada judul itu. Padahal, di sepanjang berkarya, plot cerita akan berkembang, hidup dan berubah dgn sendirinya, bersesuaian dengan cerita anda. Oleh itu lebih mudah memberi judul setelah karya anda siap, kerana judul itu nanti akan merangkumi ke seluruhan cerita anda. Judul yang baikkebiasaannya memiliki di antara 2 hingga 3 patah perkataan.

Elemen Cerpen

Watak

Watak ialah pelakon yang mendukung cerita dalam sesebuah cerpen. Tanpa kehadiran watak maka cerita tidak dapat digerakkan. Oleh itu watak mesti wujud dalam sesebuah cerpen. Watak terbahagi kepada dua jenis iaitu watak utama dan watak sampingan atau pembantu. Kerana takrif cerpen ialah cerita pendek maka tidak perlu watak yang ramai.

Watak bertujuan untuk menonjolkan keberkesanan cerita, sebuah cerpen cukup sekadar menampilkan sekitar tiga orang watak utama saja. Jika terlalu banyak watak, ia boleh mengaburkan jalan cerita Anda. Jangan terlalu ghairah untuk memerikan latar belakang setiap watak tersebut. Tentukan watak mana yang paling penting dalam mendukung cerita dan fokuskan diri kepadanya

Tema

Tema yang menarik perhatian pembaca ialah yang membawa persoalan baru dan boleh menambah pengetahuan pembaca. Sebuah tema adalah seperti seutas tali yang menghubungkan awal dan akhir cerita di mana anda menggantungkan pokok persoalan, watak, latar cerita dan lain-lain.


Latar

Latar belakang juga penting dalam sesebuah cerpen kerana membantu pembaca menghayatinya dengan jelas. Latar belakang terbahagi kepada beberapa bahagian antaranya:

a. Latar Masa

Cerita dalam sebuah cerpen yang efektif biasanya menggunakan tempoh waktu yang pendek. Hal ini adalah satu peristiwa dalam kehidupan watak utama anda atau cerita tentang kejadian yang berlangsung dalam sehari dan bahkan dalam masa satu jam. Dengan waktu yang singkat itu, usahakan agar kejadian yang anda ceritakan dapat memunculkan tema anda.

b. Latar Tempat

Dalam cerpen pengarang memiliki jumlah kata-kata yang terbatas untuk menyampaikan pesan. Pengarang harus dapat memilih latar tempat dalam cerita dengan hati-hati. Sebagai contoh, beberapa latar tempat yang paling menakutkan bagi sebuah cerita seram bukanlah kuburan atau rumah tua, tapi tempat-tempat biasa yang sering dijumpa pembaca dalam kehidupan sehari-hari mereka. Buatlah agar pembaca juga seolah-olah merasakan suasana cerita yang telah dipilih tadi.

Teknik Penceritaan

Teknik penceritaan juga amat penting untuk menarik perhatian pembaca. Ini terpulang kepada kepintaran pengarang untuk memilih teknik penceritaannya. Ada teknik mendatar dan mudah sahaja iaitu dari A hingga Z. Namun ada pula menggunakan teknik sebaliknya. Bermula dari Z atau puncak cerita kemudian dibuat urutan kembali peristiwa.

Persoalan

Persoalan dalam cerpen juga amat berkesan di hati pembaca. Ada persoalan yang dibiarkan tergantung jawapannya namun ada pula persoalan yang berjaya diselesaikan dengan baik. Ada cerpen yang diakhiri dengan gembira dan ada pula cerpen yang diakhiri dengan sedih dan berduka. Ini juga terserah kepada pengarang untuk menentukannya.

Plot

Buat perenggan pembuka yang menarik yang cukup membuat pembaca tertanya-tanya
untuk mengetahui apa yang akan terjadi selanjutnya. Pastikan bahawa plot Anda lengkap, iaitu ada pembukaan, pertengahan cerita dan pengakhiran cerita.

Anda juga tidak perlu terlalu berlama-lama dalam membangun cerita, sehingga klimaks atau penyelesaian cerita hanya muncul dalam satu kalimat, dan membuat pembaca merasa terganggu dan bingung, bukannya terpesona dengan cerita Anda. Jangan pula membuat "twist ending" (penutup yang tak terduga)

Usahakan supaya pembaca tetap tertanya-tanya sampai saat-saat terakhir. Jika anda membuat cerita yang bergerak cepat, misalnya cerita tentang jenayah, jagalah supaya perenggan dan ayat-ayat anda tetap ringkas dan padat. Ini adalah cara untuk mempercepat dan memperkental nuansa yang ingin anda sajikan pada pembaca.


Bahasa

Pada umumnya, cerpen bertolak daripada satu idea pokok. Bagi menyampaikan idea ini, adanya watak yang sesuai dengan perwatakannya yang khusus bagi membantu pengarang menampilkan gagasan yang pengarang mahu ketengahkan, Peristiwa daripada satu peringkat ke satu peringkat disusun dengan cermat. Ia dikenali sebagai plot. Penceritaan disampaikan melalui sudut pandangan yang sebaik mungkin dengan memberi latar yang sesuai serta menarik kepada cerita. Penyampaian dari mula hingga ke akhir cerpen menggunakan bahasa. Kelemahan penguasaan bahasa akan melemahkan penggarapan tema. Cepen menjadi tawar dan hambar. Banyak aspek kejiwaan dan psikologi watak, tidak mampu dihuraikan dengan mendalam. Kelemahan bahasa menjadikan gambaran alam dan suasana pula menjadi tidak berkesan dan tidak mampu menimbulkan kesan keindahan. Dalam penghasilan karya cerpen pengarang perlu menguasai dengan baik apa yang disebut metafora, simili, hiperbola, inversi, alusi, analogi, personifikasi, imejan , perlambangan, dan lain-lain unsur bahasa.

Penguasaan bahasa boleh ditingkatkan melalui pembacaan. Penulis muda perlu banyak membaca karya-karya besar tokoh sasetrawan . Novel-novel seperti Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, novel Sungai Mengalir Lesu karya A. Samad Said atau novel Seorang Tua di Kaki Gunuug karya Azizi Hj. Abdullah, atau Saudagar besar dari Kuala Lumpur karya Keris Mas atau Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Dato' Dr. Anwar Ridhwan dan lain-lain.

Selain membaca karya-karya kreatif, jangan abaikan membaca selalu buku tatabahasa. Buku Tatabahasa Dewan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan buku panduan bahasa yang amat berguna. Selain itu, selalulah berdamping dengan Kamus Dewan untuk memantapkan penggunaan sesuatu kosa kata. Kris Mas menghasilkan buku Perbincangan Gaya Bahasa Sastera (DBP 1988). Buku ini amat menarik dalam membincangkan aspek gaya bahasa dalam karya sastera. Menurut Kris Mas, gaya bahasa bermaksud cara atau ragam bahasa itu dipakai, khususnya dalam tulisan atau karangan (hal 13). Gaya bahasa juga dirujuk kepada gaya seseorang penulis menggunakan bahasa (hal.14). Bagi Kris Mas, bahasa itu ialah perahu yang didayung oleh setiap sastrawan dan ditumpang oleh pembaca dalam pelayaran yang ingin mencari kebenaran (hal.16).

Kaedah Penghasilan Gaya Bahasa Dalam Cerpen

1. Pemilihan kata

Bagi menghasilkan penulisan yang baik, pemilihan kosa kata yang tepat amat penting. Kesilapan menggunakan sesuatu perkataan menyebabkan pemahaman pembaca tersasar jauh daripada apa yang difikirkan oleh penulis. Contonya perkataan lihat, tengok, intai, tinjau, tilik semuanya menggambar apa yang dilihat oleh mata tetapi setiap perkataan memberi maksud yang berbeza.

2. Pembinaan ayat yang mantap

Ayat yang baik lahir dari struktur yang betul. Dalam tatabahasa bahasa Melayu ada empat pola ayat yang mendominasikan pengolahan ayat. Struktur itu ialah FN + FN, FN + FS, FN + FA dan FN + FK.

Dalam penulisan karya sastera, penggunaan kata diperindahkan dengan menggunakan bahasa puitis. Lihat bentuk gaya bahasa puitis dalam ayat di bawah.

Contoh 1

Air sungai menyenak ke tebing. Hujan semalaman menjadikan sungai sebak. Arus deras menunda sampah sarap yang tesangkut pada tunggul-tunggul berceranggah di tepi tebing. (Dharmala N.S Cerpen Rakit)

Air sungai menyenak – personifikasi
Hujan semalaman menjadikan sungai sebak – Hiperbola
Arus deras menunda sampah – hiperbola

Contoh 2

Sago berasa kepedihan hatinya perlahan-lahan surut. Dia teringat pada mimpi-mimpi yang memberi harapan lain saban malam sejak dua bulan terakhir ini. (Baharuddin Kahar, Cerpen Sempena Ganja Iras)

mimpi-mimpi yang memberi harapan lain - personifikasi
kepedihan hatinya perlahan-lahan surut - imejan

3. Dialog yang mantap

Dialog dalam cepen mempunyai fungsi yang besar menghidupkan penceritaan.

(i) memperkenalkan watak

Dialog memberi kesan kepada pembaca apabila dialog itu sendiri memperkenalkan watak-watak dalam penceritaan. Sebagai contoh , lihat dialog di bawah.
" Siapa dia? "
" Namanya Pipah. Tetapi dipanggil Pip saja. Dia sekampung dengan saya. Tapi sudah lama tinggal di KK."
" Dia kerja apa? "
" Setiausaha sebuah firma yang besar di sana. Saya tidak tahu nama firma itu," kata Baitah. (Cerpen Sebuah Pekan Bernama Semporna karya Abdullah Hussein. Antologi SPBS, DBP hal. 128 - 129)

(ii) Dialog tanpa penjelasan

Dialog yang kemas tidak memerlukan keterangan suasana. Memadai pembaca membaca dialog. Pembaca sudah tahu siapa yang berkata dan kepada siapa dia berkata. Lihat pula dialog dari cerpen Susanne dan Penyair yang pulang karya Zakaria Ali (Dewan Sastera; Ogos 1973: 1)

" Jebat, aku punyai sesuatu nak aku katakan padamu."
" Apa? "
" Tentang Leonard Weekend ini meyakinkan aku bahawa ia tetap cinta padaku."
" Dan kau memulangkan kembali cintanya? "
" Entahlah. Aku sayang padanya'" bisik sussane.
" Tapi aku tak percaya aku cinta padanya sepertiia mencintai aku."

(iii) Dialog dengan penjelasan

Namun begitu, ada baiknya juga jika dialog itu diberi keterangan supaya pembaca benar-benar dapat memahami apa yang diceritakan oleh pengarang. Saya mengambil contoh seperti dialog berikut.
]
" Aku akan megusulkan undi tidak percaya terhadap pucuk pimpinan parti," ujar Lavasqui secara tebuka sehari selepas berita itu tersiar di akhbar.
" Kau memerlukan dua pertiga majoriti ahli jawatankuasa pusat, Lavasqui," komen Dave.
" Aku telah mengira kau sebagai penyokongku yang pertama,"
Dave menyepi. Dia cuma merenung tepat ke muka sahabatnya.

(iv) Menukar dialog kepada cakap pindah

Terdapat juga penulis yang menukar dialog kepada cakap pindah. Contohnya Anwar Ridhwan dalam karyanya berjudul Di Negeri Belalang menulis begini.

Dia ditanya apa tujuannya datang ke kota mati itu. Dia memberi jawapan bahawa dia tanpa tujuan sebenarnya dan tidak mengharapkan penemuan yang luar biasa. Dia sudah terbiasa untuk menemui kekosongan dalam hidupnya. Itu, katanya sama seperti mendulang emas di kali yang memang tidak mempunyai emas.
( Novelet Di Negeri Belalang, Marwilis Publisher, 1989: 59 – 60)

4. Pelukisan

Untuk memberi gambaran yang tepat, pengarang perlu menulis secara terperinci tentang sesuatu perkara. Perincian penulisannya itu menyebabkan pembaca benar-benar berpuas hati . Inilah pelukisan bahasa dalam sesebuah karya sastera.

Dalam novel terjemahan berjudul Perjuangan Sia-sia karya John Steinbeck (DBP, 1981) bahasa pelukisan ini digarap dengan baik.

Akhirnya malam menjelang. Di luar lampu-lampu jalan telah menyala dan lampu neon pada papan tanda restoran berkelip-kelip memancar sinar merah menyala ke udara. Lampu neon di papan tanda itu melontarkan sinar merah redup ke bilik Jim Nolan. Telah dua jam dia duduk di kerusi goyang kecil yang keras di bilik itu dengan melunjurkan kedua-dua kakinya ke lantai dan menepuk-nepuknya untuk menghilangkan rasa kebas itu menjalar naik dan turun hingga ke buku lalinya, kemudian dia berdiri lalu menyalakan lampu yang tidak bertudung dan kelihatanlah sebuah katil putih besar dengan cadarnya berwarna putih seperti kapur sebuah almari kayu oak berwarna keemasan dan permaidani merah bersih yang terhampar yang warnanya telah bertukar menjadi kecoklatan dengan tepinya yang meleding (hal. 1).

Selamat Menulis Cerpen.

Comments