Kesusasteraan Melayu Tradisional



Kesusasteraan Melayu Tradisional merupakan satu bidang kajian yang sangat luas dan sentiasa berkembang dan melahirkan penemuan-penemuan baru yang pelbagai sifatnya. Menurut Profesor Ismail Hussein;


kesusasteraan Melayu tradisional adalah semua gejala kesusasteraan yang berbentuk lisan atau bertulis tetapi tidak bercetak.

Berdasarkan pernyataan di atas, amat jelas kepada kita bahawa kesusasteraan Melayu tradisional merupakan satu wacana yang luas dan terdiri daripada berbagai-bagai bentuk dan sifat. Pengkaji kesusasteraan Melayu membahagikan kesusasteraa Melayu tradisional kepada dua golongan yang utama iaitu:


1. Kesusasteraan Lisan
2. Kesusasteraan Tulisan

Kesusasteraan lisan (tradisi lisan) lahir di kalangan masyarakat Melayu yang lazimnya terdiri daripada kaum tani dan nelayan. Mereka ini tinggal di kawasan yang jauh di pedalaman, desa-desa dan pinggir pantai. Pada waktu tersebut sistem tulisan belum lagi muncul dan masyarakat lazimnya buta huruf. Walaupun tidak menguasai sistem tulisan, daya kreativiti mereka dalam bidang kesusasteraan tidak pula mati begitu sahaja. Sebaliknya ia dikembangkan melalui pertuturan atau penceritaan secara lisan. Atas sebab itulah hasil-hasil keusasteraan yang dicipta oleh kelompok ini disebut sebagai kesusasteraan lisan kerana penyampaian cerita secara lisan. Kesusasteraan lisan dikenali juga sebagai kesusasteraan rakyat.

Kesusasteraan tulisan (tradisi tulisan) muncul apabila orang Melayu mula menerima pengaruh luar. Pengaruh luar yang awal menyerap ke dalam kebudayaan Melayu adalah pengaruh India. Melalui kemasukan pengaruh India, orang Melayu diperkenalkan dengan sistem tulisan. Walau bagaimanapun, sistem tulisan ini tidak meluas dan akhirnya pupus.


Kedatangan agama Islam ke alam Melayu membuka satu lembaran baru dalam kamus kesusasteraan Melayu. Agama Islam muncul bersama-sama dengan sistem tulisan yang lengkap bersumberkan al-Quran sebagai kitab suci orang Islam. Sistem tulisan Arab-Islam ini kemudiannya disesuaikan dengan sebutan dalam bahasa Melayu. Orang Melayu kini mempunyai sistem tulisan yang dinamakan tulisan Jawi. Tradisi tulisan lebih condong kepada istana menjadikan istana sebagai pusat penyebaran ilmu pada masa itu. Di istanalah lahirnya tokoh-tokoh sasterawan Melayu tradisional yang menghasilkan karya sama ada yang asli ataupun salinan semula kerana pada masa itu mesin cetak belum wujud.

Semua hasil karya ini sama ada lisan atau bertulis merupakan satu dokumen penting yang merakamkan segala perihal kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Ia adalah himpunan daya kreativiti masyarakat Melayu tradisional yang menyerlahkan daya fikir, akal budi, sentuhan jiwa, cita rasa, jati diri dan kebijaksanaan masyarakat Melayu (Mutiara Sastera Melayu Tradisional 2003:xiv).


Sebagai kesimpulannya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Harun Mat Piah kesusasteraan Melayu tradisional merujuk kepada karya yang mempunyai ciri-ciri seperti :

1. Bersifat kolektif dan dianggap sebagai milik bersama masyarakat

2. Hasil karya bersifat feudal

3. Karya yang terbatas pencipta dan khalayak

4. Dihasilkan sebelum 1800.

5. Bersifat fungsional

6. Pelbagai genre

7. Perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional tidak dibatasi oleh zaman, tarikh dan waktu.

8. Gaya bahasa berbeza daripada gaya bahasa kini

9. Hasil karya mempunyai nilai tersendiri kepada masyarakat yang mewarisinya.

10. Bentuk dan cirinya menjadi tradisi yang mantap

11. Persoalan yang dibawa oleh karya tersebut mempunyai struktur formal yang terikat.

12. Hasil karya yang bersifat statis kerana tidak memperlihatkan keragaman tema dalam sesuatu genre

Kesusasteraan Tradisional merupakan himpunan karya-karya kesusasteraan dalam semua bentuk yang terhasil sejak manusia wujud tetapi tidak melepasi zaman selepas wujudnya mesin cetak. Kesusasteraan Tradisional muncul di kalangan masyarakat awal yang masih lagi primitif dan mengamalkan kepercayaan animisme. Ada pendapat yang mengatakan kemunculan tamadun awal manusia diiringi juga dengan kemunculan budaya kesusasteraan ke dalam tamadun tersebut. Contohnya dengan munculnya Tamadun Mesopotamia serentak dengan itu juga lahirlah karya-karya kesusasteraan hasil daripada kemunculan tamadun Mesopotamia seperti Epik Gilgamesh. Oleh itu dari segi sejarah, ternyata kesusasteraan telah muncul dan mewarnai kehidupan manusia sejak sekian lama. Perjalanan masa yang begitu lama dan lampau itulah yang menyebabkan apa sahaja hasil kesusasteraan yang ada pada masa dahulu disebut tradisional. Selepas munculnya mesin cetak lebih kurang dalam tahun 1800, karya kesusasteraan pun bertukar wajah daripada tradisional kepada moden.


Secara umumnya karya-karya kesusasteraan tradisional boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu lisan dan tulisan. Lisan bererti yang dituturkan dan tulisan maksudnya yang ditulis atau dibukukan. Kesusasteraan lisan lebih mewakili golongan bawahan seperti petani dan nelayan. Ia juga dikenali sebagai kesusasteraan rakyat. Manakala sastera tulisan pula adalah ciptaan golongan pemerintah selepas kemunculan sistem tulisan dalam sesebuah masyarakat itu

Comments